بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 29 April 2009

Memurnikan budaya penyelidikan

**Tujuan penulisan adalah untuk membidas beberapa norma penyelidikan 'aneh' yang makin terkenal, dan mengkritik 'penjajahan pemikiran karut' dalam sistem penyelidikan. 'Kita' merujuk kepada penyelidik di Malaysia.

Penyelidikan ialah menghasilkan satu penemuan baharu. Penemuan bukan bermaksud merujuk kepada sesuatu 'benda' yang baharu, tetapi ilmu baharu. Ilmu baharu merangkumi ilmu yang menjelaskan sesuatu yang belum pernah diketahui. Menjelaskan sesuatu yang sudah diketahui umum berdasarkan satu perspektif baharu juga satu ilmu baharu. Ini kerana menjelaskan sesuatu dari perspektif yang berbeza dapat meluaskan lagi pengetahuan dan menyediakan satu pelantar baharu untuk penyelidikan seterusnya. Ini mendorong lebih banyak cabang penyelidikan dan peluang penemuan.

Namun persoalannya, adakah sesuatu penemuan itu mesti didasarkan kepada penemuan yang sudah sedia ada? Kita mungkin mengatakan 'tidak semestinya'. Tetapi tanpa sedar, kalangan kita mungkin sudah terikat dengan prinsip 'the knowledge must came from somewhere'. Ini disinonimkan dengan kewujudan sumber rujukan. Setiap makalah penyelidikan yang mempunyai banyak sumber rujukan dianggap boleh dipercayai, dan begitu juga yang tidak ada sumber rujukan tidak boleh dipercayai. Betulkah? Tidak semestinya. Hakikatnya semua kesimpulan dan pemerhatian kita adalah tertumpu dan bersumber pada alam. Maka pada dasarnya ia sudahpun 'came from somewhere', walaupun kita tidak boleh nyatakan dari sumber mana. Kita bukan malaikat yang datang dari syurga. Sebagai manusia, kita menjalani proses pembesaran dan interaksi sosial di alam nyata. Maka kesimpulan dan pemerhatian tidak dapat tidak akan bersumber pada alam nyata (melainkan kita boleh terima wahyu!). Sains itu adalah menjelaskan fenomena alam. Selagi mana kita boleh menjelaskan secara rasional tentang penemuan kita, maka seharusnya dapat membuktikan bahawa penemuan kita itu berguna dan masyarakat penyelidik harus menerimanya, walaupun tidak 100% (adakala yang nampak rasional itu salah. Malah yang sudah terbukti 'benar' pun ada yang didapati salah kemudiannya.) Dan penjelasan itu juga tidak semestinya datang dari penemuan orang lain, kerana ada alasan-alasan yang boleh dirumuskan berdasarkan pemerhatian kita sendiri.

Namun ada gunanya jika kita dapat menyatakan sumber dari mana kita memperolehi sesuatu maklumat. Kebaikannya ialah, seseorang boleh menyemak maklumat yang kita kemukakan dan memastikan bahawa maklumat itu benar serta selari dengan maklumat yang dinyatakan dalam sumber. Penyelidik adalah manusia, dan tidak mustahil akan melakukan kesilapan. Dengan menyatakan sumber rujukan membolehkan penyelidik mengelakkan kesilapan merujuk dengan bantuan penyemak atau penyelidik lain. Selain itu dengan menyatakan sumber rujukan kita juga dapat memberi kredit atau penghargaan kepada penyelidik yang menerbitkan rujukan. Mereka layak diberi penghargaan di atas usaha menerbitkan bahan rujukan. Dengan menyatakannya dalam makalah atau penerbitan kita sebagai rujukan sekurang-kurangnya kita menghargai sumbangan mereka, dan membantu menyebarkan maklumat yang dirujuk kepada penyelidik lain. Walaupun begitu, jumlah sumber rujukan tidak seharusnya dikaitkan sepenuhnya dengan kebenaran dan kesahihan sesuatu penyelidikan.

Penyelidikan adalah tertumpu kepada mencari ilmu baharu. Pemerhatian dilakukan terhadap persekitaran dan sekeliling kita. Kemudian kita menjelaskan secara rasional berdasarkan penemuan dan data yang diperolehi melalui eksperimen/penyelidikan. Ada idea penyelidikan yang bersumber dari penyelidikan dan penemuan penyelidik lain yang terdahulu. Namun ada juga yang mendapat idea melalui ilham atau secara tidak sengaja (melalui eksperimen sendiri). Hakikatnya penyelidikan itu adalah penerokaan. Meneroka membuat peta, bukan mengikut peta ('mapping the uncharted territory'). Kalau mengikut peta, kita mengikut jalan bukan menemui jalan. Tetapi hari ini kita diasak supaya menghasilkan satu penemuan dalam tempoh masa n unit masa (hari, bulan, tahun dll) yang berhad (finite). Adakah ini suatu norma yang patut diterima? Bolehkah kita menjangka bahawa kita akan menjumpai x pada n unit masa? Jika kita boleh menjangka sedemikian maka kita sudahpun menemui penemuan itu kerana kita sudah tahu dan boleh menjangka sekian-sekian akan berlaku! (Jika tidak bagaimana kita tahu? Inferen?) Layakkah dikatakan penemuan baharu?

Tidak dinafikan menetapkan tempoh masa untuk melengkapkan sesuatu kajian itu sangat penting. Satu kepentingannya ialah untuk memudahkan pengurusan dan perancangan kerja-kerja penyelidikan. Dengan menetapkan tempoh masa, kita boleh merancang perkara-perkara lain yang berkaitan seperti perbelanjaan, pengurusan sumber dan sebagainya. Banyak perkara dalam projek penyelidikan memerlukan kita menetapkan had masa supaya perancangan jelas dan tersusun. Menghadkan masa juga memastikan kita dapat menjalankan kerja-kerja penyelidikan dengan lebih efisien. Dengan ketiadaan had masa, kita mungkin cenderung untuk berlengah. Masa yang terluang banyak digunakan untuk tugas yang tidak berkaitan dengan penyelidikan. Ini merugikan kerana jika digunakan untuk penyelidikan mungkin lebih banyak faedahnya. Maka untuk mengelakkan pembaziran masa, perlu ada had masa. Namun kepentingan-kepentingan ini tidak harus diterimapakai secara rigid. Ianya harus fleksibel, di mana jika berlaku perkara yang tidak diingini, had masa boleh diubahsuai secara tidak keterlaluan supaya kerja penyelidikan tidak terganggu dan tidak menjejaskan kualiti hasil penyelidikan terbabit, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perancangan.

Komuniti saintis hari ini menegaskan perlu ada etika dalam penyelidikan. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Siapa yang mengawal etika? Apabila kita terlalu berpegang dan bersandar kepada pemikiran sains dari Barat, kita sebenarnya menerima konsep sains yang tidak kukuh. Tidak ada pertalian yang teguh antara unsur fizikal dan kerohanian. Etika yang wujud cuma disandarkan pada keinginan dan kehendak penyelidik. Jika tidak dipatuhi? Tiada siapa tahu. Kita boleh putar-belit berdasarkan penemuan-penemuan yang nampak rasional (walaupun salah). Malangnya tidak ramai yang mahu menilai semula pemikiran sains bercorak Ateis (tidak bertuhan) yang diwariskan pada penyelidik moden. Konsep 'penyelidikan satu ibadah' tidak diajar dalam pemikiran sains Barat, kerana sains Barat menolak konsep ketuhanan. Tetapi penyelidikan hari ini banyak menerimapakai budaya penyelidikan ala Barat. Alasannya kerana budaya penyelidikan di sana sudah berkembang luas dan hasil penyelidikan juga banyak. Pengaruhnya sukar untuk dielakkan. Maka banyak hasil penyelidikan saintis Barat dijadikan teras oleh penyelidik-penyelidik baru (termasuk saintis Muslim) untuk melakukan kajian dan penyelidikan. Justeru, tidak dapat tidak, penyelidik Barat terpaksa diangkat sebagai pelopor dan budaya, pendapat serta cara pemikiran mereka, tanpa sedar, diamalkan dalam penyelidikan zaman moden. Walau bagaimanapun tidak bermakna saintis Muslim harus menerima sepenuhnya budaya pemikiran saintis Barat. Saintis Muslim boleh menapis dan mengubahsuai tatacara dan definisi sains ala Barat supaya selari dengan perspektif Islam, dan satu contoh iaitu konsep 'penyelidikan satu ibadah' membuktikan walaupun sains itu dipelopori Barat, tidak semestinya kita juga harus jadi orang Barat (terima bulat-bulat). Sebaliknya yang baik dijadikan tauladan, yang buruk buat sempadan.

Islam memuliakan ilmu. Umat Islam disuruh mencari ilmu, dan ia dianggap satu ibadah (perbuatan yang menghasilkan kebaikan dan diberi pahala). Bidang penyelidikan adalah meneroka ilmu. Maka penyelidikan juga perlu dianggap satu ibadah (umum). Dalam permasalahan mengamalkan etika, beretika adalah satu ciri dalam ibadah, kerana etika atau disiplin membimbing ibadah untuk jadi sempurna. Etika bergantung kepada disiplin diri, kerana tidak ada sesiapa yang boleh menguatkuasakan etika terhadap diri kita, melainkan kita sendiri. Melalui konsep ibadah iaitu pengabdian diri kepada Tuhan, memastikan kita teguh berpegang kepada etika. Ini kerana kita tahu Tuhan sentiasa melihat kita, dan untuk mendapat ganjaran (pahala) kita perlu melakukan yang terbaik dan menghindarkan penyelewengan. Konsep 'penyelidikan satu ibadah' menunjukkan satu perkaitan antara fizikal dan kerohanian, kerana kita tahu setiap perbuatan akan dibalas (sama ada diketahui umum atau tidak). Jadi, penyelidikan bersandar pada etika, etika bersandar pada ibadah, ibadah kerana Tuhan dan Tuhan itu abadi/kekal. Maka hubungan dan perkaitan penyelidikan bersumber dari Tuhan ini merupakan satu asas yang dapat menjamin keteguhan prinsip dalam penyelidikan. Jika tidak inilah jadinya - plagiarisme di kalangan saintis - siapa mahu bertanggungjawab?

Sebagai rumusan, penulisan ini adalah untuk membidas beberapa norma penyelidikan 'aneh' yang makin terkenal, dan mengkritik 'penjajahan pemikiran karut' dalam sistem penyelidikan. Berdasarkan penilaian dan pengamatan penulis, terdapat beberapa budaya yang tidak wajar tetapi diamalkan sebagai budaya penyelidikan. Budaya tersebut adalah (1) budaya 'penyelidikan yang banyak rujukan adalah benar', (2) budaya 'penyelidikan mesti siap dalam tempoh sekian, sekian', dan (3)peminggiran konsep kerohanian dalam sistem penyelidikan. Diharap dengan adanya perbincangan ini, walaupun tidak terperinci dan agak longgar, dapat menjelaskan sedikit sebanyak isu yang wujud dalam penyelidikan seterusnya membantu memberi jalan penyelesaian kepada isu terbabit. Semoga penyelidikan di kalangan saintis Muslim dan kalangan saintis di Malaysia amnya, lebih jitu dan tidak dipengaruhi unsur-unsur yang bukan berdasarkan prinsip dan falsafah penyelidikan yang murni.

Rabu, 22 April 2009

Falsafah Pengkajian Ilmu

Pemodenan memaksa kita belajar dan mengkaji ilmu. Hari ini, umat Islam ketinggalan dari aspek penerokaan ilmu. Bukan tidak ada yang terkehadapan, tetapi jumlahnya sangat sedikit, terutama jika dibandingkan dengan masyarakat di negara-negara maju. Umat Islam perlu sedar bahawa mengkaji ilmu itu adalah satu ibadah, kerana dengan ilmu umat Islam dapat memajukan diri dan ummah. Walaupun pengkajian ilmu tidak semestinya akan menaikkan status sesebuah masyarakat berbanding yang lain secara mendadak, namun dengan mengkaji dan mendalami ilmu dapat membolehkan usaha digerakkan supaya umat Islam setanding dengan tamadun lain. Ini sekaligus menimbulkan rasa hormat di kalangan masyarakat dunia terhadap umat Islam. Penekanan terhadap konsep mengkaji ilmu sebagai satu ibadah adalah perlu, kerana matlamat Islam adalah pada dasarnya keamanan (Islam bermaksud sejahtera, selamat). Inilah falsafah Islam terhadap pengkajian ilmu, kerana matlamatnya adalah untuk beribadah kepada Allah.

Setiap usaha yang dilakukan oleh orang Islam seharusnya dengan matlamat untuk mencari keredahaan Allah. Matlamat hidup kita adalah memakmurkan bumi, dan setiap usaha jadi bekalan untuk akhirat. Maka mengkaji ilmu tidak harus direlatifkan terhadap sesuatu yang bersifat kebendaan atau fizikal, tetapi didasarkan kepada keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat. Setiap perkara atau benda di alam ini bersifat fana', iaitu akan musnah. Jika pengkajian ilmu yang bersandarkan kepada sesuatu yang fana', lambat laun usaha ini juga akan musnah apabila dasarnya musnah. Tetapi Allah itu sifatnya kekal abadi, dan keredhaan Allah akan berterusan sampai bila-bila. Secara teorinya, jika mengkaji ilmu didasarkan pada keredhaan Allah, maka ia akan berterusan juga. Bahkan, jika bersandarkan pada keredhaan Allah pengkaji ilmu akan lebih ikhlas dan usaha akan jadi lebih berkesan.

Kita harus sedar, mengkaji ilmu bukanlah sebagai satu persaingan tetapi sebagai satu sumbangan. Mengkaji ilmu atas dasar persaingan bukan saja boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga memberi kesan negatif kepada usaha pengkajian. Tidak dinafikan, dengan berlumba mencapai tahap ilmu yang lebih baik adalah satu kesan positif. Tetapi persaingan boleh mengubah matlamat seseorang ke arah negatif, iaitu setakat 'ingin lebih dari orang lain'. Natijahnya, jika tiada perkembangan yang dicapai, pesaing akan cuba dijatuhkan supaya nampak 'pencapaian' (yang statik) sebagai satu kelebihan berbanding orang lain (walhal tidak ada kemajuan). Manakala natijah yang lain ialah, seandainya pesaing tidak berjaya mencapai perkembangan, usaha kita juga akan turut terhenti kerana sudah puas hati dengan kedudukan yang masih lebih berbanding orang lain. Tetapi seandainya ia dianggap sebagai satu sumbangan, kajian ilmu akan sentiasa berjalan dan pengkaji tidak akan tertekan walaupun belum mencapai perkembangan. Ini kerana untuk memberi sumbangan memerlukan keikhlasan, maka usaha mengkaji ilmu akan berlaku secara ikhlas dan bukan terpaksa. Justeru penekanan terhadap pengkajian ilmu sebagai satu ibadah dan sumbangan perlu ada, berbanding mengamalkan dasar persaingan.

Setiap orang Islam perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengkaji ilmu. Ilmu milik Allah, dan tiada selain-Nya yang memiliki ilmu. Tetapi kita disuruh mencari ilmu. Islam mensyariatkan supaya manusia sebagai khalifah (wakil) Allah perlu memakmurkan bumi. Salah satu usaha memakmurkan bumi adalah dengan membina tamadun berasaskan ilmu, kerana hanya dengan ilmu manusia dapat membina tamadun yang memerintah bumi dengan baik. Tanpa ilmu, manusia tidak mampu berbuat sesuatu yang luar dari kawalan nafsu. Tidak ubah seperti haiwan, manusia hanya akan melakukan rutin berdasarkan nafsu dan naluri. Itupun jika tidak melakukan kerosakan. Maka orang Islam perlu ke hadapan dalam pengkajian ilmu, kerana selagi kita hidup, tanggungjawab sebagai khalifah masih berterusan. Begitu juga dengan tuntutan mengkaji ilmu. Sepatutnya orang Islam perlu beri sumbangan terbanyak dari segi ilmu berbanding tamadun lain. Tidak kira sama ada sumbangan (mengkaji ilmu) hanya untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, mahupun generasi akan datang.

Mengkaji ilmu sebaiknya bermatlamat ke arah ilmu yang bersifat sepanjang zaman, dan tidak hanya berdasarkan kemasyhuran dan budaya semasa. Ilmu yang bersifat sepanjang zaman lebih bertahan lama berbanding ilmu khusus untuk satu tempoh masa (ilmu yang terikat dengan budaya semasa). Walaupun berguna pada satu tempoh masa, ilmu tersebut mungkin tidak dapat digunakan lagi pada masa akan datang. Sekiranya budaya yang disandarkan itu berubah, ilmu yang dikaji akan jadi sia-sia kerana bukan sahaja tidak dapat digunakan, tetapi juga tidak dapat dikembangkan kerana hilang potensi dan kepentingannya. Biasanya ilmu yang terhad tempoh masa adalah ilmu yang praktikal (tidak semua), manakala ilmu yang bertahan sepanjang zaman adalah ilmu asas (fundamental). Namun ilmu dapat dijadikan sebagai sesuatu yang kekal berguna sepanjang zaman, jika ianya disandarkan kepada keperluan asas, misalnya ilmu untuk memantapkan akidah. Pemantapan akidah adalah perlu kerana akidah memelihara iman, dan iman yang benar perlu untuk bahagia di akhirat. Jadi ilmu tentangnya akan berguna hingga hari kiamat.

Pengkajian ilmu akan memberi kelebihan kepada seseorang, kerana kita 'lebih tahu' berbanding orang lain. Jika kita mudah dipengaruhi dengan kepentingan tertentu, maka kita akan terjebak untuk melakukan perbuatan yang salah. Misalnya memalsukan fakta/ilmu, menggunakan ilmu ke arah yang salah (menyalahgunakan kelebihan ilmu), malah mungkin untuk menyembunyikan kebenaran. Justeru etika sangat penting dalam mengkaji ilmu. Etika membantu membimbing pengkaji ke arah yang baik, seperti membangunkan masyarakat, meningkatkan keupayaan teknologi untuk kegunaan harian, membantu memperkembangkan ilmu dan bermacam lagi matlamat positif. Hakikatnya dalam Islam telah ada prinsip etika, iaitu adab dan akhlak. Jika diaplikasi dengan cara yang sebenar (mengikut Al-Quran dan Sunnah), orang Islam boleh mempelopori kemantapan etika dalam apa jua bidang.

Pengkaji perlu memahami bahawa setiap ilmu adalah neutral, yakni belum tentu ianya membawa kepada kebaikan atau kemusnahan. Seandainya kita sejak awal telah mengkelaskan ilmu kepada kelas baik/buruk, akan membawa pelbagai implikasi. (1) Mungkin ilmu yang 'baik' saja yang akan berkembang, manakala ilmu 'buruk' tidak akan dimajukan atau dikaji lebih lanjut. (2) Pengkaji yang mengkaji ilmu 'baik' digelar orang yang benar, manakala pengkaji ilmu 'buruk' akan dianggap sebagai musuh/penjahat. Walhal, ilmu yang 'baik' boleh disalahgunakan untuk tujuan yang negatif, dan yang 'buruk' mungkin boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Maka bukan saja pengkelasan baik/buruk itu tidak adil, malah merugikan. Hakikatnya, pengkaji dan pengguna ilmulah yang mengkelaskan kegunaan ilmu kepada baik/buruk, iaitu ianya jadi buruk bila digunakan untuk tujuan yang negatif, dan baik jika tujuan positif. Cuma yang penting dan agak pasti, ilmu itu cuma boleh dipastikan ianya benar/tidak. Itupun belum tentu benar, namun benar/tidak sesuatu ilmu itu hakikatnya hanya Allah yang tahu.

Mengkaji ilmu perlu disertakan dengan usaha untuk mengembang dan menyebarkannya. Ilmu yang baik memberi manfaat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Maka dengan menyebarkan ilmu, lebih ramai yang akan menerima manfaat. Bahkan, pelajar mungkin mempunyai idea untuk mengembangkannya, justeru ilmu itu akan berkembang dengan lebih cepat berbanding tidak diajarkan kepada sesiapa. Kemudian ilmu yang dikembangkan diajarkan lagi kepada orang lain supaya manfaat dan pengkajiannya boleh terus berkembang. Ada sesetengah ilmu yang berguna mungkin lenyap begitu saja, jika orang yang mengetahuinya mati sebelum mengajarkannya kepada orang lain. Jika ilmu yang lenyap tersebut sangat berguna dan dapat digunakan jika orang lain mengetahuinya, maka ini adalah satu kerugian yang sangat besar. Hakikatnya, mengajar juga satu ibadah am yang sangat dituntut dalam Islam.

Mengkaji ilmu bersifat kitaran iaitu belajar, mengajar, belajar dan seterusnya. Apabila kita mengkaji ilmu, kita mempelajari sesuatu (misalnya mengkaji alam semulajadi). Kemudian ilmu itu perlu diajar, kerana akan menjadi satu proses pembelajaran kepada pengkaji ilmu yang lain. Apabila kita mengajar, selain sebagai pelajaran kepada orang lain, kita sendiri mungkin akan belajar sesuatu. Ini kerana sesi pengajaran boleh mencetuskan idea dan memberi maklumbalas. Ini membantu kita memperkembangkan ilmu, kerana kita belajar sesuatu melalui maklumbalas, misalnya memperbaiki kesilapan dan mendapatkan idea baru.

Sebagai pengkaji ilmu, kita tidak perlu was-was untuk mengajar orang lain. Ilmu itu sifatnya tidak akan berkurang, semakin banyak yang diajarkan kepada orang, semakin banyak yang akan kita perolehi. Ini adalah berdasarkan konsep kitaran 'belajar-mengajar-belajar', di mana ilmu yang diajar akan membantu mengembangkan ilmu yang kita miliki. Pada masa yang sama, ilmu sedia ada tidak luput/hilang. Cuma, apabila mengajar ilmu, perlu dinilai kesan pengajaran (misalnya pelajar belajar untuk apa?). Ini kerana ilmu yang diajar mungkin tidak berkurang dari pengajar, tetapi pelajar boleh menyalahgunakan ilmu untuk tujuan tidak baik.

Islam memuliakan ilmu, dan ilmu sangat berkait rapat dengan amal. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, dan amal tanpa ilmu adalah sesat. Kemuliaan ilmu dalam Islam merupakan satu pendorong untuk umat Islam terus berusaha mengkaji ilmu. Ini kerana, apabila ilmu itu mulia, maka orang yang mengetahuinya (dan mengamalkannya) juga adalah mulia. Umat Islam seharusnya paling terkehadapan dalam pengkajian ilmu. Namun mutakhir ini, umat Islam yang (secara keseluruhan) ketinggalan dari aspek pengkajian ilmu. Justeru, diharapkan dengan bingkisan falsafah pengkajian ilmu ini, dapat menyedarkan kita, sebagai umat Islam, supaya dapat meningkatkan usaha mengkaji ilmu pada landasan yang betul. Semoga kedudukan umat Islam dijulang tinggi pada kacamata masyarakat dunia (bukan Islam), disegani serta dihormati.

Khamis, 16 April 2009

Sisipan- Seminar Memperkasa Bahasa Melayu

DAH SELESAI!

Keterangan lanjut, hubungi Pn Halijah (019-7049772) / Cik 'Ainnur Fathiyah (013-2693765).

Rabu, 15 April 2009

Sisipan - Forum Sastera dan Fiksyen


DAH SELESAI
(Poster di atas ditempel dari laman blog serunaifaqir)

Berfikir tentang fiksyen dan teknologi, jangan lupa pada agama.


p/s: Juga akan datang, seminar ASASI 18/4/2009

Sisipan - Surat untuk saudaraku

'Apa makna basmallah (bismillah), zikir (lailaha illAllah), takbir (Allahu akbar), tasbih (SubhanAllah) dan tahmid (Alhamdulillah) - kepada saya'

Bismillahirrahmanirrahim

Buat saudaraku yang sangat dikasihi, semoga sihat selalu. Bagaimana iman hari ini? Semoga sentiasa teguh dalam agama Allah, walaupun berjuta-juta syaitan dan iblis menanti untuk menyesatkan kita. Dan semoga terus dirahmati Allah, dan diperteguhkan jiwa untuk terus berada di atas jalan kebenaran. Buatlah apa tugaspun, asalkan terus mendapat rahmat Tuhan.


Saudaraku,

Saya kepingin sekali berkongsi erti 'azimat berharga' kepada saudara. Bukan apa, mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu kita menjalani hidup seharian yang penuh dengan cabaran. Juga, setidak-tidaknya saat Malaikat Maut menjemput saya nanti, tidaklah saya kecewa kerana tidak menceritakan berita baik ini kepada saudara yang sangat saya kasihi.

Sejak kecil, saya diajar supaya membaca basmallah sebelum makan, dan mengucap tahmid apabila selesai makan. Saya berkenalan pula dengan zikir dan tasbih ketika bersekolah rendah. Namun, ketika itu saya tidak terasa apa-apa ketika mengucapkannya. Ya, mungkin di kotak fikiran saya ingat akan Tuhan bernama Allah, tapi dalam hati sebagai anak kecil (malah hingga sekolah menengah dan dewasa), hati saya masih tidak terasa akan kehebatan 'azimat berharga' ini. Mungkin kerana fikiran yang masih mentah dan kurang pendidikan dari aspek penghayatan, maka saya langsung terfikir tentangnya. Apatah lagi untuk merasainya. Malang!

Apabila dewasa, bekerja dan menjalani kehidupan, perjalanan hidup mula berubah. Pelbagai tekanan dan masalah mula terasa. Cabaran hidup yang memerlukan kematangan untuk mengatasinya, masalah bebanan kerja yang tidak selesai-selesai, memberi seribu macam tekanan dan gangguan emosi yang menghentam jiwa. Hari demi hari, dunia seakan makin sempit. Hidup ini seolah-olah tidak ada bahagia. Pelbagai tekanan menghimpit emosi. Bahkan, fikiran pun diasak bertubi-tubi dengan segala macam suara-suara halus yang menghentam dan memaki hamun kelemahan dan kesilapan diri. Cuba saudara bayangkan!

Namun, siapa sangka, di saat saya benar-benar memerlukan bantuan sokongan moral dan ketenangan jiwa, saya seolah-olah diberi petunjuk untuk kembali kepada asas yang sekian lama saya tinggalkan. Betapa selama ini saya tidak menyedari, bahawa di sebalik ungkapan-ungkapan 'mengingati Tuhan' itu, tersembunyi 1001 macam rahsia yang sangat berharga. Ibarat bayi yang baru bertatih, saya digerakkan untuk memahami apa sebenarnya rahsia yang saya rasa tersembunyi itu. Tidak siapa yang menegur, tiada siapa yang membimbing. Maka teraba-rabalah saya seolah-seolah 'mencari sebatang jarum di dalam gelap'.


Saudaraku,

Benarlah, Allah itu memberi hidayah pada siapa yang diinginiNya. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya mula terasa kehebatan 'azimat berharga' ini. Entah bagaimana, Allah saja yang tahu. Allah beri saya kefahaman, Allah beri saya pedoman, dan rahsia itu mula mengubat jiwa yang sangat-sangat terseksa. Jiwa yang sangat merindui Tuhannya. Benarlah kata orang, 'penderitaan mengajar manusia kesungguhan'.

Dengan berulang kali melafazkan basmallah dan menghayati maknanya, saya mula dapat memahami hakikat diri ini. Mungkin belum sehebat rasa zuhud para Nabi, tetapi itu sudah cukup membuat diri ini sangat-sangat kecil. Betapa kalimah yang saya ucapkan berkali-kali (berbillion tentunya), rupanya adalah satu ubat. Di dalamnya terkandung herba penenang hati, penenteram jiwa. Betapa dengan mengucapkan bismillah yang disertai dengan usaha menghayati maksud 'kebesaran Tuhan', jiwa ini jadi tenang, jadi tenteram. Seolah-olah baru bertemu 1,000,000 kaunselor! Hakikatnya ketenangan itu mungkin tidak dapat walaupun bertemu dengan mana-mana kaunselor pun.

Selain itu saya cuba memahami maksud zikir. Bukan pada bahasanya, tetapi kelazatannya. Saudara tentu tahu apa itu zikir. Tapi saya tidak pasti apakah saudara sudah tahu pentingnya pada jiwa. Zikir mengajar saya supaya mengenal hakikat bahawa diri ini ada pemiliknya, dan pemiliknya hanya satu. Dialah yang memiliki saya, dan Dia jugalah yang memiliki seluruh alam. Tidak pernah terduga sebelumnya, bahawa nafas juga adalah makhluk yang ada pemiliknya. Alangkah daifnya saya! Namun, syukurlah, semua ini dapat juga terduga bila makna zikir itu dapat saya hayati.

Tasbih dan takbir, memuji kesucian Allah dari sifat buruk dan sebarang kelemahan. Betapa di sisi kita, sebenarnya ada 'kaunselor' yang sentiasa bersedia mendengar rintihan 'pesakitnya'. Itulah Allah, Tuhan kita. Betapa 'kaunselor' itu sangat hebat, tidak pernah merungut, mengeji dan merendah-rendahkan masalah jiwa yang kita hadapi. Apatah lagi menghebahkan rahsia diri. Betapa 'kaunselor' itu sangat menyayangi, malah sanggup mendengar berulang kali rintihan 'pesakitnya' tanpa had. Biarlah sampai bila-bila pun, kerana sesungguhnya 'kaunselor' itu Maha Agung dan dengan kuasanya itu Dia memahami dan menyelesaikan masalah kita.


Saudaraku,

Malu rasanya, betapa selama ini saya lupa untuk berterima kasih. Betapa yang saya nampak cuma sekelumit masalah yang menghimpit jiwa, walhal di sebaliknya menggunung nikmat yang tidak terkira. Betapa malangnya, selama ini tidak saya terfikir tahmid (alhamdulillah) itu besar sekali pengertiannya. Bukan setakat kalimah-kalimah 'terima kasih'. Sesungguhnya dengan bersyukur akan bertambah lagi nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Betapa tahmid itu sebenarnya kunci kepada khazanah rahmat dan rezeki yang lebih banyak, menunggu untuk dibuka. Alangkah malangnya saya yang tidak faham erti syukur, walhal berbillion kali disebut kalimah-kalimah tahmid itu. Dan, sesungguhnya dengan memikirkan kesenangan yang telah diperolehi menjadi ubat kepada segala sengsara. Kerana rasa malu yang amat. Kita kerap menangis bila ditimpa musibah tetapi jangan lupa, kita juga lalai bila mendapat senang!

Hakikatnya saya benar-benar bersyukur diberi nikmat dan hidayah untuk memahaminya. Mungkin tidak sehebat bagaimana para Nabi dan Rasul memahami hakikat kejadian diri. Namun sekelumit nikmat ini sudah cukup untuk memberi sejuta kemanisan kepada jiwa yang sentiasa dahagakan bimbingan untuk mencari kebenaran.

Inilah rahsia yang ingin saya kongsikan dengan saudara. Tidak tahulah bagaimana saudara mahu menerimanya, tetapi yang pasti 'azimat' ini benar-benar berharga buat saya. Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah sama-sama kita menghayati rahsia nikmat pemberian Tuhan. Mungkin khabar ini cuma sedikit dari selaut rahsia, tapi cukuplah untuk kita mengenal Tuhan dan terus mengkaji rahsia-rahsia yang masih tersimpan.

Marilah kita kembali kepada fitrah, bahawa kita dijadikan untuk beribadah kepadaNya. Marilah kita mengenang kembali asal kejadian kita, dan sama-sama mengajak saudara-saudara kita untuk kembali kembali kepada kebenaran, kembali kepada Islam. Sampaikanlah dakwah kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita cuma Allah yang Satu, dan Muhammad itu pesuruhNya. Mudah-mudahan, terlepas kita dari disoal di akhirat kelak tentang tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah tentang Islam.

Rasanya cukuplah setakat ini. Sesekali kirimlah khabar berita kepada saya. Akhir kata, sambutlah salam manis dari saya. Semoga saudara, saya dan saudara-saudara yang lain terus mendapat hidayah dan rahmat Allah, Tuhan kita semua.

Wassalamualaikum.

-lelucon

Selasa, 7 April 2009

Sisipan - Hormati ulama dan mufti

Sebagai selingan, buat semua warga penyelidik dan yang berminat dengan penyelidikan.

Sekali lagi komiten dan keperihatinan ulama dan mufti dlm mempertahankan kemuliaan Islam tercabar, gara-gara tindak-tanduk segelintir ahli politik yg menggunakan ayat Al-Quran sebagai bahan kempen. Isu ini bukan sahaja memperlihatkan keperihatinan mufti dan ulama terhadap isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia. Malah ia juga memperlihatkan sejauh mana keupayaan, kepakaran dan kebijaksanaan para mufti utk berhadapan dengan situasi, sekaligus menanganinya.

Namun begitu, tindakan dan kenyataan mufti-mufti (yang dimuliakan lagi disayangi) mengeluarkan kenyataan dan teguran terhadap isu terbabit bukan sahaja diperkecilkan, malah kewibawaan mereka sebagai mufti turut dipertikaikan, gara-gara didorong perbezaan fahaman politik dan sebagainya. Lebih malang yang menghina itu dari kalangan umat Islam sendiri yang sepatutnya memuliakan mereka.

Justeru saya menyeru semua warga penyelidikan dan rakyat Malaysia, hormati dan sayangi ulama dan mufti. Biarpun mungkin kita tidak bersetuju dgn pandangan mereka, itu bukan alasan untuk memperlekeh kewibawaan mereka, tidak kiralah apa fahaman politik kita. Gunakanlah ilmu yg kita ada untuk mengukuhkan iman, persaudaraan dan memantapkan kehidupan. Bukan untuk menghina dan merendahkan orang lain, apatah lagi mufti yang patut dimuliakan.

Gambar: SS Datuk Seri Ustaz Harussani Zakaria
Sumber foto

Ahad, 5 April 2009

Idea - aspek saintifik dlm berwudhu'

Berikut adalah perbuatan-perbuatan semasa mengangkat hadas kecil iaitu berwudhu' mengikut urutan. Apakah rahsianya?:
  1. membaca basmallah (bismillah)
    Menumpukan semula fokus untuk beribadah dan memohon keberkatan perbuatan kita (hanya kerana Allah)

  2. membasuh tangan
    membersihkan kotoran dan najis yang terdapat di tangan. Menyediakan tangan yang bersih untuk membersihkan anggota lainnya. Jika tidak, mungkin kuman yang melekat di tangan akan dipindahkan pula ke bahagian yang lebih sensitif seperti rongga hidung, mulut dan cuping telinga.

  3. berkumur
    membuang sisa-sisa makanan dari celah gigi, lidah dan rongga mulut. Meneutralkan rembesan enzim dan asid yang masih ada kesan dari mengunyah makanan. Air liur mengandungi enzim dan asid bertujuan mencernakan makanan supaya lebih mudah tercerna apabila masuk ke perut. (Sunnah Nabi S.A.W. kunyah makanan 40x kanan dan kiri dapat menghasilkan kesan yang positif ini.) Sisa makanan yang tertinggal akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan, dan dengan berkumur boleh mengurangkan bau.

  4. memasukkan air ke rongga hidung
    membuang kotoran-kotoran yang terdapat dlm hidung seperti habuk, asap-asap dsb yang ditapis oleh bulu hidung. Selain membuang mukus-mukus (hingus, 'tahi hidung') yang memerangkap kotoran. Kuman-kuman yang terdapat dalam mukus boleh menyebabkan rasa gatal, dan mungkin juga jangkitan penyakit. Dengan membersihkannya, dapat mengelakkan kesan negatif pada tubuh.

  5. berniat seraya membasuh muka
    menumpukan matlamat kepada ibadah, mengikhlaskan niat seraya menenangkan hati kerana 'hanya dengan mengingat Allah hati jadi tenang' (Al-Quran). Membasuh muka membersihkan kotoran-kotoran, daki dan minyak yang terkumpul di kulit muka, bulu kening, misai, janggut dsb. Liang-liang roma jadi bersih dan menyegarkan. Selain itu muka juga mungkin mengandungi saraf-saraf dan salur darah penting ke otak. Dengan membasuh muka dapat membantu mengawal suhu dan aliran darah ke otak sekaligus sebagai pencegahan dan mengurangkan risiko berkaitan salur darah seperti strok dan stress.

  6. membasuh kedua belah tangan hingga atas siku
    membersihkan bahagian tangan dengan sempurna, iaitu membersihkan kotoran, daki, minyak yang terdapat pada kulit dan liang roma di kawasan terlibat. Seperti mana anggota lain, tangan mengandungi liang-liang roma dan kulit, yang penting untuk mengawal suhu badan. Selain itu, sebagai organ deria yang penting, tapak tangan mengandungi saraf-saraf yang sensitif.

  7. menyapu sedikit air di kepala (anak rambut)
    Entah (wallahua'lam). Kemungkinan mengendurkan urat saraf yang terdapat di bahagian kepala. Mungkin terdapat saraf dan salur darah yang penting di situ. Boleh mengurangkan hipertensi. Selain strok, hipertensi dan tekanan jiwa boleh berlaku akibat peningkatan suhu dalam badan dan aliran darah yang cepat (tidak normal). Dengan memperlahankan aliran darah supaya lebih teratur dan normal mengurangkan risiko negatif ke atas sistem tubuh.

  8. menyapu air ke dua cuping telinga
    Membuang kotoran dan sisa minyak yang melekat di cuping telinga. Menjadikan pendengaran lebih sempurna, kerana antara fungsi cuping ialah memerangkap/menangkap gelombang bunyi untuk disalurkan ke dalam salur telinga. Selain itu cuping juga berfungsi mengawal suhu badan, iaitu membebaskan haba melalui permukaan kulit yang lebih luas (cth makhluk lain yang memanfaatkan cuping telinga- gajah). Menyejukkan dengan air boleh membantu mengawal suhu. Jika cuping bersih, maka fungsi-fungsi ini akan lebih sempurna.

  9. membasuh kaki hingga atas buku lali
    membersihkan kotoran, minyak dsb yang melekat di permukaan kulit dan liang roma pada kaki. Mengikut ilmu refleksologi, tapak kaki mengandungi banyak saraf penting (punca saraf refleks) yang memberi kesan kepada seluruh fungsi badan. Selain itu kulit kaki juga merupakan sebahagian sistem kawalan suhu badan. Dengan membasuh kaki, bukan sahaja membersihkan, malah membantu meningkatkan keberkesanan fungsi tubuh.

  10. berdoa
    semuanya dari Allah, dan kepada Allah jua ia kembali. Bila dah tenang kesan dari wudhu', mungkin ini antara masa terbaik untuk berdoa sebab lebih fokus (cadangan saja).

Amnya, selain sekadar menerimanya sebagai satu ibadah dan kebersihan, berwudhu' juga melibatkan anggota-anggota penting dalam sistem saraf dan juga punca-punca untuk bendasing/kuman dsb masuk ke dalam badan. Misalnya - hidung, mulut, lubang telinga, tapak tangan dan tapak kaki adalah punca/jalan masuk utama bagi kuman dan bakteria ke dalam sistem tubuh manusia. Justeru selain setakat untuk bersih dan bersuci, wudhu' juga mampu memastikan terhindarnya jangkitan kuman ke dalam tubuh dan meningkatkan keberkesanan fungsi badan. In termasuklah membantu kawalan sistem saraf, kawalan suhu dan aliran darah dalam tubuh terutamanya ke otak, dan juga dapat menenangkan jiwa (mengurangkan tekanan), sekaligus membantu mengawal emosi.

Sekadar penilaian peribadi berdasarkan ilmu yang Allah beri. Saya bukan pakar kesihatan, biologi mahupun doktor. Mungkin perlu kajian terperinci yang mengkaji kesan ibadah wudhu' terhadap fungsi tubuh, minda dan emosi.

Aspek saintifik yang boleh dikaji oleh penyelidik Muslim:
  1. biologi - kesan wudhu' terhadap fungsi sel, tubuh, sistem limfatik dll.
  2. perubatan - wudhu' dari aspek kesihatan fizikal dan emosi, kawalan penyakit, fungsi air terhadap pengawalan strok dan tekanan mental melalui titik refleksologi dll.
  3. fizik - keupayaan sifat molekul air terhadap tekanan dan suhu badan dan peranannya, metafizik seperti tindakbalas sifat magnetism tubuh terhadap kesan wudhu', biofizik seperti mengkaji pengaruh terhadap keseimbangan terma dalam tubuh kesan dari berwudhu' dll.
  4. psikologi - pengawalan emosi melalui wudhu' dll.
  5. falsafah - hubungan antara sifat kemanusiaan dengan ketuhanan melalui ibadah - kajian kes - wudhu' dll.
  6. kaunseling - wudhu' dan peranannya dalam keseimbangan emosi remaja, peranan wudhu' dalam membantu menghadapi krisis 'ramai alami tekanan mental akibat hilang pekerjaan', dll.
Kelebihan umat Islam ialah pada kekuatan Islam itu sendiri. Kalau umat Islam sendiri tidak menggunakan kelebihan yang ada, amat rugilah kita.

Petunjuk lain :
  • Apabila kamu marah, diam. Kalau masih tak reda, duduk. Kalau masih tak reda, baring. Kalau masih tak reda, berwudhu' (sumber: maksud hadis)
  • Setiap titis air wudhu' menghapuskan dosa
  • hanya sah berwudhu' dgn air mutlak (suci dan bersih). Makruh berwudhu' dengan air yang telah terdedah pada sinar matahari (panas). Air yang telah digunakan untuk berwudhu' (yang kurang dari 2 kolah=? liter) tidak sah untuk digunakan lagi.
  • wudhu' boleh digantikan dengan debu yang suci (tayammum) jika tiada air. Apa rahsia debu yang suci?
Wallahua'lam.

Khamis, 2 April 2009

Sisipan - Seminar ASASI

DAH SELESAI


Penyertaan perlu didaftar dahulu dengan urusetia (penyertaan percuma) !
Lagi keterangan lanjut tentang seminar ASASI, rujuk laman web kesturi.net.