بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Isnin, 20 Disember 2010

Ni hao! (ulasan buku)

Tajuk: Guanxi - Microsoft, China and Bill Gates' Plan to Win the Road Ahead
Penulis: Robert Buderi, Gregory T. Huang
Penerbit: Random House Business Books
ISBN: 978-1-90-52112-7
Tahun: 2006
Harga: RM19.90 (tertakluk harga kedai)






Ringkasnya, Guanxi banyak berkisar tentang penubuhan dan aktiviti MSRA (atau Microsoft Research Asia) di China. MSRA merupakan satu langkah Microsoft menembusi (dan menguasai) pasaran perisian di China. Selain itu MSRA merupakan salah satu strategi Microsoft untuk memanfaatkan sumber tenaga mahir teknologi maklumat (TM) yang banyak dihasilkan oleh pusat pengajian tinggi China.

MSRA yang terletak di wilayah Zhongguancun, Beijing, diasaskan pada tahun 1998 oleh Kai-Fu Lee (Lee Kai Fu) dengan bantuan pegawai Microsoft termasuk Nathan Myhrvold - Ketua Pegawai Teknologi Microsoft, Dan Ling - Pengarah Microsoft China, George Chen dan Xiaoning Ling. Kai-Fu Lee dilantik sebagai pengarah MSRA yang pertama. MSRA kemudian disertai oleh Harry Shum, Ya-Qin Zhang dan Hongjiang Zhang sebagai timbalan pengarah, yang kemudiannya dilantik sebagai pengarah apabila Kai-Fu Lee berpindah ke Redmond (ibu pejabat Microsoft), dan disertai pula oleh Ya-Qin. Pada awal penubuhan MSRA iaitu dalam masa 12 bulan selepas penubuhannya, MSRA (ketika itu Microsoft Research China) telah berjaya menghasilkan 28 penerbitan jurnal antarabangsa dan 49 permohonan paten. Sejak itu MSRA terus berkembang dan menghasilkan pelbagai teknologi yang kemudiannya diserap ke dalam pelbagai jenis produk Microsoft seperti Microsoft Office 2003, Windows Vista, MSN dsb. Selain itu MSRA juga menempatkan Jian Wang, perekacipta teknologi 'Digital Ink' (pengecam tulisan tangan atau cetakan kepada bentuk digital) yang kemudiannya menjadi ciri utama produk PC Tablet keluaran Microsoft. Amnya MSRA benar-benar memberi sumbangan seperti yang diharapkan oleh Microsoft, bahkan lebih dari jangkaan.

Buku ini sangat menarik untuk dibaca kerana menceritakan kesungguhan tenaga kerja Microsoft yang berasal dari China terutama Kai-Fu Lee dan rakannya dalam membina MSRA. Dalam waktu yang singkat, MSRA bukan sahaja menghasilkan pelbagai penyelidikan malah menjadi penyumbang utama kepada pelbagai teknologi dalam produk Microsoft. Buku ini juga mengulas kesungguhan pihak kerajaan dan mereka yang terbabit dengan pembangunan penyelidikan dan pengajian tinggi di China untuk membangunkan bidang penyelidikan (sains komputer). Usaha ini juga merupakan antara penyumbang kepada pembangunan pesat MSRA. Pada masa yang sama MSRA turut menyumbang kepada penyelidikan dan pendidikan di China dengan merekrut ramai graduat untuk dilatih dan menimba pengalaman di MSRA. Hubungan erat antara bidang pusat pengajian tinggi dan penggiat industri (Microsoft) berjaya menghasilkan pencapaian yang bukan sahaja memberi pulangan kepada Microsoft tetapi juga meningkatkan lagi bidang penyelidikan di China. Usaha ini patut dikaji oleh kerajaan Malaysia untuk memajukan bidang penyelidikan dan pendidikan di Malaysia.

Amnya semasa era Tun Mahathir inisiatif MSC telah cuba menarik minat pelabur seperti Sun, HP dan Microsoft untuk menjayakan MSC. Malah Bill Gates pun menjadi anggota panel penasihat MSC. Namun hasilnya tidaklah membanggakan kerana syarikat-syarikat TM utama dunia tidak berminat membuka pusat penyelidikan di MSC. Mereka nyata lebih berminat dengan negara seperti India dan China. Bahkan Korea, Jepun, Taiwan dan Singapura lebih menarik perhatian pelabur TM. Antara punca yang jelas ialah kegagalan sistem pengajian tinggi di Malaysia melahirkan sumber tenaga kerja berkualiti yang cukup untuk menarik minat pelabur seperti Microsoft dan lain-lain. Justeru kelemahahan dan punca 'kegagalan' MSC sewajarnya dikaji supaya dapat membantu Malaysia meningkatkan mutu penyelidikan di Malaysia.

Isu perpindahan Kai-Fu Lee daripada Microsoft ke Google juga patut diteladani, di mana antara penyebabnya (seperti yang didakwa oleh Kai-Fu) ialah permintaannya yang mahukan Microsoft menyumbang lebih banyak kepada industri teknologi maklumat di China. Selain strategi pelaksanaan yang lebih berkesan (pemusatan aktiviti-aktiviti penyelidikan Microsoft di China), Kai-Fu mengharapkan Microsoft mengotakan janji untuk menyumbang USD100 juta (dlm bentuk out-source, iaitu pemberian kontrak) kepada syarikat-syarikat China sebagai sumbangan China menjayakan MSRA. Namun apabila cadangannya ditentang oleh Microsoft, Kai-Fu mengambil keputusan berpindah. Walaupun Kai-Fu lulusan US (bahkan menjadi rebutan syarikat-syarikat TM US), namun semangatnya untuk membangunkan tanah kelahirannya wajar menjadi contoh kepada rakyat Malaysia, terutama yang berada di luar negara, untuk menyumbang kepada kepada pembangunan negara.

Amnya buku ini bagus untuk dibaca oleh sesiapa yang berminat mendalami pengalaman membangunkan bidang penyelidikan, khususnya kaedah penubuhan pusat penyelidikan seperti institut dan sebagainya. Juga sesuai kepada ejen (penggerak) syarikat asing dalam memantapkan operasi syarikat, atau yang berminat beroperasi di negara China. Namun wajar diingatkan kepada pembaca Muslim, kaedah berparti banyak dinyatakan dalam buku ini, dan tidak harus dicontohi (walaupun meraikan individu bukan Islam). Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan pengajaran (untuk dihindarkan).



picture source : http://books.google.com.my/books?id=iGX1AAAACAAJ&dq=guan+xi+microsoft&source=gbs_similarbooks_s&cad=1