بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Selasa, 24 Mei 2011

Di mana kebodohan kita?

* Saya tak kata kita (orang Malaysia) ni bodoh. Tapi sepandai-pandai manusia, memang banyak kelemahan dan ke'bodohan'nya.

Saya sering bertanya pada diri sendiri - kenapa kita masih tidak maju? Pelbagai cara dan usaha sudah dilakukan dalam masyarakat kita dalam usaha mencapai kemajuan. Bahkan slogan 'kita mesti menyaingi bangsa yang lebih maju' acapkali didendang dan dilaungkan. Namun, kita semacam masih terus berada di takuk lama. Usahkan hendak mengatasi bangsa yang maju, nak memajukan diri sendiri pun macam tak dapat-dapat juga. Walaupun Tun Mahathir berusaha membangunkan pelbagai prasarana yang hebat-hebat (KLCC, Cyberjaya, Putrajaya dsb) dan pembangunan industri (elektronik, kenderaan), nampaknya belum cukup untuk membolehkan kita bergelar masyarakat maju. Kenapa agaknya?

Salah satu sebab yang mungkin ialah budaya masyarakat. Masyarakat kita belum mampu membudayakan penerokaan ilmu. Masyarakat perlu sedar, penerokaan bukan setakat mempelajari ilmu yang bertimbun-timbun di sekeliling kita, tetapi juga cuba membentuk suatu kerangka, konsep, elemen ilmu yang baharu. Belajar saja tidak cukup kerana semua orang belajar. Tetapi yang membezakan (dengan ketara sekali) antara bangsa maju dengan yang biasa-biasa ialah bangsa maju begitu banyak meneroka dan menghasilkan ilmu-ilmu yang baharu. Dengan adanya pembentukan ilmu baharu, maka mereka dapat membina pelantar atau jambatan untuk meneroka ilmu yang lebih baharu yang bangsa lain belum mampu mencapainya (termasuklah kita, yang masih terkapai-kapai menghadam ilmu sedia ada).

Selain itu, budaya masyarakat kita lebih tertumpu kepada mempelajari (hanya menerima) pendapat dan pandangan dari bangsa lain, tanpa mahu berfikiran kritikal dan mempersoalkan ilmu yang disampaikan oleh bangsa yang maju. Ini lebih dikenali sebagai budaya pengguna (consumer). Sedangkan apa yang kita terima itu belum tentu betul dan sepatutnya dipersoalkan supaya kita boleh mengungkapkan 'kebenaran' dalam 'ilmu' tersebut. Selain itu dengan hanya mengamalkan budaya pengguna, kita terikat dan bergantung kepada bangsa lain. Sedangkan jika hal ini berterusan, kita akan menjadi pengikut selama-lamanya (kerana kita tidak mampu mengatasi kedudukan mereka disebabkan terus-terusan menjadi 'pak turut'). Budaya pengguna tidak salah. Tetapi pada masa yang sama kita harus manfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari untuk menghasilkan ilmu-ilmu baharu yang belum diteroka oleh bangsa maju. Ini akan memberi kelebihan sekaligus mengatasi mereka.

Kita perlu mengubah budaya pengguna kepada budaya pengeluar (producer). Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu dari bangsa lain, kita sebenarnya sudah ada batu loncatan untuk membuka jalan kepada penerokaan baharu. Mengapa nak tunggu sampai dapat semua? Gunakan, dan manfaatkan apa saja ilmu yang sudah kita miliki. Cuba bentuk satu usaha meneroka ilmu baharu daripada apa sahaja yang kita ada. Sintesiskan suatu kajian dan mulakan penerokaan, kemudian hebahkan apa saja penemuan yang kita rasa bermanfaat kepada masyarakat kita sendiri.

Sebenarnya konsep belajar-mengajar ini sudah lama digalakkan di kalangan umat Islam. Apabila kita belajar sesuatu ilmu, kita digalakkan untuk mengajarnya kepada saudara muslim. Melalui cara ini, bukan sahaja saudara kita dapat mempelajari ilmu baharu, tetapi dengan mengajar kepada orang lain, kita akan terfikir tentang ilmu tersebut. Hasil pemikiran akan mencetuskan pula pembaikan, idea, dan sebagainya. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman kepada ilmu yang kita miliki. Sedangkan jika kita hanya belajar (dan tidak mengajar) kita tidak berapa terdorong untuk berfikir secara kritikal dan memikirkan semula ilmu yang kita pelajari itu (kecuali jika perlu digunakan dalam situasi tertentu). Itulah bezanya budaya belajar dengan kesan budaya belajar-mengajar. Budaya belajar-mengajar itu akan mendorong kita terus berfikir secara kritikal dan jika bernasib baik, orang yang kita ajar itu memperbaiki kesilapan yang tidak kita sedari.

Satu lagi kelemahan masyarakat kita ialah kurang membaca. Bukan masyarakat kita kurang membaca, tetapi tidak ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca. Contohnya dalam 1000 orang mungkin hanya 50 saja membaca. Jumlah ini sedikit. Walaupun setiap individu yang 50 itu membaca 30 buku sebulan (hebat), namun yang penting ialah jumlah individu yang membaca berbanding jumlah bahan yang dibaca. Pembaca yang akan membentuk masyarakat, bukan buku atau bahan bacaan itu. Walaupun seseorang dapat membaca habis keseluruhan kandungan perpustakaan, tidak ada maknanya jika sebahagian besar individu lain tidak membaca.

Budaya membaca penting kerana melalui pembacaan akan menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Namun bukan semua bahan bertulis yang boleh dibaca itu berguna. Sesetengahnya hanya bersifat 'sampah', melalaikan dan tidak bermanfaat. Oleh itu hendaklah memilih bahan bacaan yang sesuai. Jika tidak, kita hanya membuang masa dan jika melalaikan, adalah lebih baik untuk tidak membaca. Bagaimana memilih bahan bacaan yang sesuai? Ini terpulang kepada individu kerana ianya bergantung kepada minat dan keupayaan pembaca memahami apa yang dibacanya. Namun amnya, kita hendaklah memilih bahan bacaan yang memberi kebaikan yang disebutkan di atas tadi - menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Kebaikan-kebaikan ini amnya akan dapat membentuk kita menjadi sebuah masyarakat maju.

Kelemahan lain yang menjadi penghalang kita untuk maju ialah sikap ego dan bodoh sombong. Hal ini lumrah, terutamanya di kalangan golongan senior. Dalam masyarakat umpamanya, ada golongan tua yang tidak suka jika golongan muda bersikap agresif walaupun menghasilkan sesuatu kesan positif. Selain didorong rasa ego (merasakan diri mereka lebih bijak), golongan tua seperti ini sebenarnya khuatir akan hilang kedudukan kepada golongan muda. Oleh sebab itu, mereka sedaya-upaya akan menghalang (mencantas) usaha golongan muda untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada yang dimiliki golongan tua. Sikap 'ego tidak bertempat' dan budaya mencantas ini ada di mana-mana sama ada masyarakat, organisasi mahupun keluarga.

Sikap keegoan hanya akan menghalang kemajuan. Tidak dinafikan sesetengah tindakan golongan muda yang agresif turut membawa kesan yang negatif, apatah lagi jika tindakan mereka hanya didorong oleh 'jiwa muda' dan nafsu semata-mata. Namun ada juga golongan muda yang berfikiran matang dan faham dengan tindakan mereka. Setiap tindakan dilakukan dengan cermat, tersusun dan memberi kesan positif. Maka jika ini berlaku, golongan tua atau senior perlu memberi peluang dan sokongan kepada golongan muda. Bukan menghalang mereka. Ini kerana hasilnya akan dinikmati oleh semua individu (jika berjaya). Adalah malang, jika sesetengah golongan tua itu lebih sanggup berada dalam kebodohan, kegelapan, kesusahan atau apa juga situasi negatif, berbanding memberi peluang golongan muda melakukan pembaharuan. Justeru untuk membentuk sebuah masyarakat maju, kita perlu melakukan pembaharuan yang drastik (atau revolusi), termasuklah memusnahkan sikap ego yang menghalang kepada sebarang usaha pembaharuan.

Dalam usaha menjadi masyarakat maju, sebarang usaha pembaharuan harus disokong. Tidak kiralah apa jua kesannya. Sebagai manusia kita hanya boleh berusaha dan yang menentukannya ialah Allah Taala. Sekiranya usaha pembaharuan itu sudah dinilai sehabis-habisnya, dan dijangka memberi kesan positif tetapi sebaliknya, itu bukan salah sesiapa. Itu adalah taqdir. Maka apabila berlaku kesan negatif, kita hendaklah sama-sama berganding bahu mengatasinya dan bukan tuding-menuding menyalahkan pihak lain. Sikap suka tuding-menuding dan menyalahkan pihak lain ini merupakan satu lagi kebodohan kita yang sering terpamer dalam masyarakat. Sedangkan menanggung kesan negatif akibat usaha pembaharuan merupakan suatu risiko, dan mengalaminya adalah lebih baik berbanding tidak berusaha langsung. Budaya masyarakat maju, apabila berlaku suatu kesan negatif, maka hampir semua orang (dalam masyarakat itu) akan berusaha mencari penyelesaiannya. Mereka tidak duduk berdiam diri mahupun menyalahkan pihak lain, sebaliknya terus berusaha menangani masalah yang dihadapi.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan kita yang boleh diungkapkan. Namun penulisan ini cuba mengungkapkan kelemahan yang penting untuk diubah dan diperbaiki. Jika yang diungkap itu dapat diubah, itupun sudah memadai kerana sedikit halangan sudah dapat diatasi. Maka ini dapat meninggikan peluang kita untuk mencapai taraf masyarakat maju pada masa akan datang. "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit"