بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 10 Ogos 2011

Sisipan Ramadan: Jauhi majlis anjuran syarikat arak dan judi

Berikut dilampirkan teguran bekas Mufti Wilayah Persekutuan terhadap penganjuran majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim oleh syarikat arak dan judi.
Sumber: Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Syarikat judi, arak anjur buka puasa cemar Islam

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pembabitan syarikat judi atau arak dalam sebarang penganjuran majlis berpuasa bersama anak-anak yatim boleh mencemarkan imej Islam kerana jelas pendapatan syarikat-syarikat seumpama itu datangnya daripada sumber yang haram.

Sehubungan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein berkata, adalah wajar mana-mana pertubuhan anak-anak yatim memastikan terlebih dahulu status pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu bukan daripada syarikat judi atau arak. Pada masa sama beliau menggesa syarikat judi atau arak supaya lebih peka iaitu tidak terlibat dengan sebarang penganjuran majlis berbuka puasa walaupun tujuannya adalah baik.

"Puasa adalah ibadat dan berbuka puasa juga adalah ibadat. Adakah patut kita mencampurkan soal ibadat dengan benda-benda yang haram? Di dalam al-Quran jelas Allah telah memerintahkan kita menjauhi judi dan arak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan secara umum sekiranya terdapat syarikat judi atau arak yang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Muhammad Yusoff berkata, perkara yang dibangkitkan itu bukan berkaitan dengan soal tujuannya baik atau sebaliknya tetapi ia amat berkaitan dengan soal hukum melainkan sekiranya pertubuhan anak yatim itu benar-benar tidak tahu bahawa pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu adalah syarikat judi atau arak.

"Saya amat berharap semua pertubuhan dan rumah anak-anak yatim meneliti terlebih dahulu pihak yang menjemput mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku. Jika ada jemputan daripada mereka kita wajib tolak. "Kita tahu syarikat-syarikat seperti ini mahu melakukan sesuatu yang baik tetapi masalahnya tidak boleh, tidak manis, tidak wajar dan tidak sesuai kerana sumber pendapatan mereka haram,'' katanya. Beliau berkata, sekiranya syarikat-syarikat seperti itu tetap mahu memberi derma kepada anak-anak yatim, mereka boleh mencari anak-anak yatim yang seagama tetapi bukannya kanak-kanak Islam. "Saya percaya banyak lagi syarikat dan korporat Islam yang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dalam bulan Ramadan ini,'' ujarnya.

 Komen Lelucon: Duit yang datang dari sumber yang haram adalah haram. Kasihan anak-anak yatim tu. Walaupun derma untuk anak yatim, syarikat korporat mungkin ada niat untuk promosi. Jadi dah syubhah. Pengurusan tahu pula tu. Jadi tanggunglah dosanya. Mati ke kalau tak berbuka di hotel? Oleh itu berikanlah anak-anak yatim itu duit dari sumber yang halal. Mudah-mudahan jadi anak-anak yang soleh dan solehah. Insya'Allah.

Selasa, 2 Ogos 2011

Sisipan - Selamat Datang Wahai Ramadhan

Sempena bulan beramal ni, saya paparkan semula masukan blog yang lepas (diubahsuai dan disesuaikan dgn bulan Ramadhan). http://lelucon2020.blogspot.com/2009/04/sisipan-surat-untuk-saudaraku.html

------------

'Apa makna basmallah (bismillah), zikir (lailaha illAllah), takbir (Allahu akbar), tasbih (SubhanAllah) dan tahmid (Alhamdulillah) - kepada saya'

بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama Allah Yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)

Buat saudaraku yang sangat dikasihi, semoga sihat selalu. Bagaimana iman hari ini? Semoga sentiasa teguh dalam agama Allah, walaupun nafsu sentiasa menggoda untuk menyesatkan kita. Dan semoga terus dirahmati Allah, serta diperteguhkan jiwa untuk terus berada di atas jalan kebenaran. Buatlah apa tugaspun, asalkan terus mendapat keredhaan Tuhan.


Saudaraku,

Saya kepingin sekali berkongsi erti 'azimat berharga' kepada saudara. Bukan apa, mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu kita menjalani ibadah seharian yang penuh dengan cabaran. Juga, setidak-tidaknya saat Malaikat Maut menjemput saya nanti, tidaklah saya kecewa kerana tidak menceritakan berita baik ini kepada saudara yang sangat saya kasihi.

Sejak kecil, saya diajar supaya membaca basmallah sebelum makan, dan mengucap tahmid apabila selesai makan. Saya berkenalan pula dengan zikir dan tasbih ketika bersekolah rendah. Namun, ketika itu saya tidak terasa apa-apa ketika mengucapkannya. Ya, mungkin di kotak fikiran saya ingat akan Tuhan bernama Allah, tapi dalam hati sebagai anak kecil (malah hingga sekolah menengah dan dewasa), hati saya masih tidak terasa akan kehebatan 'azimat berharga' ini. Mungkin kerana fikiran yang masih mentah dan kurang pendidikan dari aspek penghayatan, maka saya langsung terfikir tentangnya. Apatah lagi untuk merasainya. Malang!

Apabila dewasa, bekerja dan menjalani kehidupan, perjalanan hidup mula berubah. Pelbagai tekanan dan masalah mula terasa. Cabaran hidup yang memerlukan kematangan untuk mengatasinya, masalah bebanan kerja yang tidak selesai-selesai, memberi seribu macam tekanan dan gangguan emosi yang menghentam jiwa. Hari demi hari, dunia seakan makin sempit. Hidup ini seolah-olah tidak ada bahagia. Pelbagai tekanan menghimpit emosi. Bahkan, fikiran pun diasak bertubi-tubi dengan segala macam suara-suara halus yang menghentam dan memaki hamun kelemahan dan kesilapan diri. Cuba saudara bayangkan!

Namun, siapa sangka, di saat saya benar-benar memerlukan bantuan sokongan moral dan ketenangan jiwa, saya seolah-olah diberi petunjuk untuk kembali kepada 'hikmah' yang sekian lama saya tinggalkan. Betapa selama ini saya tidak menyedari, bahawa di sebalik ungkapan-ungkapan 'mengingati Tuhan' itu, tersembunyi 1001 macam rahsia yang sangat berharga. Ibarat bayi yang baru bertatih, saya digerakkan untuk memahami apa sebenarnya rahsia yang saya rasa tersembunyi itu. Tidak siapa yang menegur, tiada siapa yang membimbing. Maka teraba-rabalah saya seperti 'mencari sebatang jarum di dalam gelap'.


Saudaraku,

Benarlah, Allah itu memberi hidayah pada siapa yang diinginiNya. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya mula terasa kehebatan 'azimat berharga' ini. Entah bagaimana, Allah saja yang tahu. Allah beri saya kefahaman, Allah beri saya pedoman, dan rahsia itu mula mengubat jiwa yang sangat-sangat terseksa. Jiwa yang sangat merindui Tuhannya. Benarlah kata orang, 'penderitaan mengajar manusia kesungguhan'.

Dengan berulang kali melafazkan basmallah dan menghayati maknanya, saya mula dapat memahami hakikat diri ini. Mungkin belum sehebat rasa zuhud para Nabi, tetapi itu sudah cukup membuat diri ini sangat-sangat kecil. Betapa kalimah yang saya ucapkan berkali-kali (berbillion tentunya), rupanya adalah satu ubat. Di dalamnya terkandung herba penenang hati, penenteram jiwa. Betapa dengan mengucapkan bismillah yang disertai dengan usaha menghayati maksud 'kebesaran Tuhan', jiwa ini jadi tenang, jadi tenteram. Seolah-olah baru bertemu 1,000,000 kaunselor! Hakikatnya ketenangan itu mungkin tidak dapat walaupun bertemu dengan mana-mana kaunselor pun.

Selain itu saya cuba memahami maksud zikir. Bukan pada bahasanya, tetapi kelazatannya. Saudara tentu tahu apa itu zikir. Tapi saya tidak pasti apakah saudara sudah tahu pentingnya pada jiwa. Zikir mengajar saya supaya mengenal hakikat bahawa diri ini ada pemiliknya, dan pemiliknya hanya satu. Dialah yang memiliki saya, dan Dia jugalah yang memiliki seluruh alam. Tidak pernah terduga sebelumnya, bahawa nafas juga adalah makhluk yang ada pemiliknya. Alangkah daifnya saya! Namun, syukurlah, semua ini dapat juga terduga bila makna zikir itu dapat saya hayati.

Tasbih dan takbir, memuji kesucian Allah dari sifat buruk dan sebarang kelemahan. Betapa di sisi kita, sebenarnya ada 'kaunselor' yang sentiasa bersedia mendengar rintihan 'pesakitnya'. Itulah Allah, Tuhan kita. Betapa 'kaunselor' itu sangat hebat, tidak pernah merungut, mengeji dan merendah-rendahkan masalah jiwa yang kita hadapi. Apatah lagi menghebahkan rahsia diri. Betapa 'kaunselor' itu sangat menyayangi, malah sanggup mendengar berulang kali rintihan 'pesakitnya' tanpa had. Biarlah sampai bila-bila pun, kerana sesungguhnya 'kaunselor' itu Maha Agung dan dengan kuasanya itu Dia memahami dan menyelesaikan masalah kita.


Saudaraku,

Malu rasanya, betapa selama ini saya lupa untuk berterima kasih. Betapa yang saya nampak cuma sekelumit masalah yang menghimpit jiwa, walhal di sebaliknya menggunung nikmat yang tidak terkira. Betapa malangnya, selama ini tidak saya terfikir tahmid (alhamdulillah) itu besar sekali pengertiannya. Bukan setakat kalimah-kalimah 'terima kasih'. Sesungguhnya dengan bersyukur akan bertambah lagi nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Betapa tahmid itu sebenarnya kunci kepada khazanah rahmat dan rezeki yang lebih banyak, menunggu untuk dibuka. Alangkah malangnya saya yang tidak faham erti syukur, walhal berbillion kali disebut kalimah-kalimah tahmid itu. Dan, sesungguhnya dengan memikirkan kesenangan yang telah diperolehi menjadi ubat kepada segala sengsara. Kerana rasa malu yang amat. Kita kerap menangis bila ditimpa musibah tetapi jangan lupa, kita juga lalai bila mendapat senang!

Hakikatnya saya benar-benar bersyukur diberi nikmat dan hidayah untuk memahaminya. Mungkin tidak sehebat bagaimana para Nabi dan Rasul memahami hakikat kejadian diri. Namun sekelumit nikmat ini sudah cukup untuk memberi sejuta kemanisan kepada jiwa yang sentiasa dahagakan bimbingan untuk mencari kebenaran.

Inilah rahsia yang ingin saya kongsikan dengan saudara. Tidak tahulah bagaimana saudara mahu menerimanya, tetapi yang pasti 'azimat' ini benar-benar berharga buat saya. Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah sama-sama kita menghayati rahsia nikmat pemberian Tuhan. Mungkin khabar ini cuma sedikit dari selaut rahsia, tapi cukuplah untuk kita mengenal Tuhan dan terus mengkaji rahsia-rahsia yang masih tersimpan.

Marilah kita kembali kepada fitrah, bahawa kita dijadikan untuk beribadah kepadaNya. Marilah kita mengenang kembali asal kejadian kita, dan sama-sama mengajak saudara-saudara kita untuk kembali kembali kepada kebenaran, kembali kepada Islam. Sampaikanlah dakwah kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita cuma Allah yang Satu, dan Muhammad itu pesuruhNya. Mudah-mudahan, terlepas kita dari disoal di akhirat kelak tentang tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah tentang Islam.

Rasanya cukuplah setakat ini. Sesekali kirimlah khabar berita kepada saya. Akhir kata, sambutlah salam manis dari saya. Semoga sempena bulan Ramadhan tahun ini, saudara, saya dan saudara-saudara yang lain terus mendapat hidayah dan rahmat Allah, Tuhan kita semua.

Wassalamualaikum.

-lelucon