بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Jumaat, 2 Disember 2011

Pendidikan holistik

Petikan akhbar:

Doktor berasal dari sekolah agama

Bermula 1 Jun 2004, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) ditubuhkan sebagai fakulti keenam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pada tarikh tersebut Dekan Pengasas melapor diri dan 29 pelajar memulakan pengajian asas di pusat asasi Tamhidi. Kumpulan pelajar ini merupakan calon terbaik yang dipilih Unit Pengurusan Universiti (UPU). Mereka dipilih di kalangan lepasan sekolah agama sejajar dengan hasrat kepimpinan negara mahu memberi peluang istimewa kepada lulusan sekolah agama mendapat tempat dalam jurusan perubatan.
Selama setahun pelajar mengikuti pengajian di Pusat Tamhidi di Politeknik MARA di Bangi. Bermula pada hari pertama, mereka telah dipesan oleh Dekan supaya belajar bersungguh-sungguh dan saling membantu satu sama lain seperti adik dan kakak atau abang.
Berkat ketekunan dan kesungguhan serta bimbingan rapi tenaga pengajar berpengalaman, mereka berjaya mencapai keputusan peperiksaan akhir di Pusat Tamhidi dengan mendapat PNGK 3.5 ke atas.
Keputusan itu melayakkan mereka meneruskan pengajian bidang perubatan dalam tahun 1 pada sesi pengajian 2005/2006.
Dari Bangi, 29 pelajar yang terdiri daripada 13 perempuan dan selebihnya lelaki mendaftar pula di FPSK yang beroperasi di Menara B, Persiaran MPAJ , Jalan Pandan Utama , Kuala Lumpur. FPSK menggunakan lima tingkat daripada Menara B yang diubahsuai mengikut perancangan Dekan Pengasas. Lokasi dipilih kerana ia berdekatan dengan Hospital Ampang yang merupakan hospital pengajar yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan untuk FPSK.
Lain-lain hospital yang turut diberi kebenaran adalah Hospital Temerloh, Tampin dan Jelebu.
Semua kelengkapan pembelajaran dan pengajaran seperti dewan kuliah serta makmal moden dan perpustakaan perubatan disediakan untuk kegunaan pelajar perubatan USIM. Sebuah muzium perubatan, makmal komputer, kafe siber, gimnasium, kafetaria dan bilik rehat pelajar juga disediakan.
Di sini bermulalah pengajian perubatan selama 6 tahun untuk kumpulan pertama seramai 29 orang. Kini FPSK mempunyai seramai seramai 317 pelajar dan jumlah pasti bertambah setiap tahun.
FPSK merupakan satu-satunya fakulti perubatan di negara ini yang masih menggunakan kurikulum konvensional atau tradisional tetapi diubahsuai dan dipermodenkan oleh Dekan Pengasas. Kaedah pengajaran seperti kuliah, pembelajaran berasaskan masalah (PBL), pembelajaran berasaskan kes (CBL), latihan asas klinikal di makmal dan lain-lain lagi diperkenalkan di FPSK.

Pengajaran sebenar klinikal dilakukan di Ampang , Temerloh, Tampin dan Jelebu. Fakulti perubatan yang merupakan satu projek "Top Down" ini pada awalnya mendapat beberapa kemudahan yang diperlukan.
Tetapi sejak kebelakangan ini, FPSK menghadapi kekangan mendapat pensyarah. Namun demikian, ia bukan penghalang untuk FPSK memastikan pengajaran dan latihan terbaik kepada para pelajar.
Ini kerana ramai pakar dari Kementerian Kesihatan, dan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Multimedia turut membantu mengajar.
Para pelajar telah melalui tiga peperiksaaan profesional yang dinilai pakar dari dalam dan luar negara . Laporan yang diterima mengenai taraf sistem pengajaran dan pembelajaran serta penilaian amat memberangsangkan.
Kerjasama
Berkat usaha dan kerjasama semua pakar, program perubatan FPSK diiktiraf oleh Malaysian Qualifying Agency (MQA) dan Malaysian Medical Council (MMC) selama tiga tahun. Insya-Allah, dengan diberi pertambahan perjawatan pensyarah , FPSK akan terus berusaha untuk mendapat pengiktirafan 5 tahun pula dari MQA/MMC.
Satu keistimewaan doktor perubatan lepasan FPSK , USIM ialah semua pelajar menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Ada di kalangan mereka juga berjaya menghafal al-Quran tetapi kebanyakannya menghafal sebahagian daripada al-Quran. Surah lazim dan surah berkaitan sains kesihatan dipilih oleh mereka yang pakar al-Quran.
Mereka juga diajar mengendalikan kematian dari saat seorang nazak sehinggalah dimandi, dikapan dan dibawa ke perkuburan. Selain itu, mereka juga memberi khidmat masyarakat seperti melakukan saringan kesihatan dan nasihat kesihatan di beberapa tempat. Ke mana saja dihantar dan apa jua yang disuruh, mereka lakukan tanpa berkira atau rungutan.
Kini 29 graduan sulung FPSK telah diterima bertugas oleh Kementerian Kesihatan dan ditempatkan di merata hospital di seluruh negara . Mereka ditempatkan dalam pelbagai bidang klinikal sebagai houseman atau doktor siswazah mulai pertengahan Julai 2011.

Posting pertama selama empat bulan telah dilalui dengan jayanya. Mereka telah menunjukkan kemampuan bertugas sebagai doktor perubatan dan akan menjalani khidmat sebagai houseman selama dua tahun.
Harapan fakulti ada kalangan mereka yang akan menyertai FPSK sebagai pensyarah kelak. FPSk tentunya mengharapkan Alumni Perubatan USIM membantu membawa FPSK ke persada yang lebih tinggi lagi. Kejayaan FPSK, USIM adalah kejayaan bangsa dan agama. Begitu juga kegagalan FPSK dianggap sebagai kegagalan bangsa dan agama kita juga.
- USIM
Sumber: Utusan Online (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm)


KOMEN:
Alhamdulillah. Rasa seronok melihat perkembangan pendidikan holistik. Pendidikan sebeginilah yang seharusnya diamalkan dalam sistem pendidikan negara di semua peringkat. Barulah generasi muda dan pemimpin masa depan akan lebih berdaya saing.