بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Selasa, 14 Februari 2012

Pentingnya kesepaduan ilmu dunia dan akhirat

Pendidikan adalah asas kemajuan masyarakat. Melalui penyebaran dan pengembangan ilmu pengetahuan, manusia dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup. Namun pendidikan bagaimanakah yang sepatutnya diamalkan? Zaman ini ilmu sains dan teknologi (S&T) menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun cukupkah dengan hanya mendidik anak-anak dengan pengetahuan S&T? Atau cukupkah kita mendedahkan generasi muda kita dengan ilmu pengetahuan sekular yang memisahkan aktiviti keduniaan daripada pengetahuan alam akhirat? Atau adakah kita harus menerapkan ilmu agama saja sebagai persediaan menuju ke alam akhirat, tanpa mempedulikan dunia lagi?

Pendekatan kedua-duanya hendaklah seimbang iaitu pendidikan tentang hal keduniaan (seperti S&T) dan hal alam akhirat (ilmu Islam). Ini kerana ilmu duniawi menyediakan manusia untuk berusaha mencari rezeki, meningkatkan taraf hidup serta memastikan kelangsungan hidup di kalangan manusia yang lain. Sementara ilmu akhirat pula secara khususnya menyediakan manusia untuk selamat dan dapat mengharungi alam akhirat. Maka kedua-dua ilmu perlu dipelajari.

Namun ada lagi yang perlu kita tahu. Kita tidak boleh mempelajarinya secara terpisah, sebaliknya ia harus digabungjalinkan. Sebenarnya kedua-dua ilmu (dunia dan akhirat) saling melengkapi satu sama lain. Walaupun ilmu duniawi membolehkan manusia meneroka pelbagai kemajuan dan meningkatkan kualiti hidup, ilmu akhirat dapat membina ketahanan dalaman seseorang untuk mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup. Ilmu duniawi semata-mata tidak akan dapat membentuk ketahanan dalaman seseorang kerana ianya dibentuk daripada pemikiran manusia juga. Sedangkan ilmu akhirat adalah petunjuk daripada Allah S.W.T. yang mencipta manusia, justeru Allah Maha Mengetahui kelebihan dan kekurangan manusia.

Manakala ilmu akhirat pula perlu disertakan dengan ilmu duniawi. Ilmu akhirat semata-mata tidak dapat menjamin kelangsungan hidup manusia di dunia. Bagaimana kita hendak hidup kalau tidak tahu mendapatkan makanan? Apakah yang dinamakan makanan? Apakah makanan yang sesuai untuk kita? Belum lagi meliputi bidang-bidang ilmu lain yang bukan asas seperti fizik, matematik, kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu akhirat tidak mencakupi hal-hal ini secara khusus. Bahkan Allah S.W.T. menyuruh kita menimba ilmu dengan memerhatikan alam sekeliling dan mendalami seberapa banyak ilmu duniawi yang dapat kita terokai. Amnya dengan mendalami ilmu duniawi boleh memantapkan lagi pegangan agama kita melalui pengajaran daripada alam, meningkatkan kualiti hidup yang sekaligus memudahkan kita beribadah, dan sebagainya.

Rumusannya, dalam membentuk sistem pendidikan masyarakat perlu ada keseimbangan dan suatu pendidikan bersepadu kepada ilmu duniawi dan ukhrawi (ilmu akhirat). Kita tidak boleh hanya menekankan kepada satu aspek saja, atau belajar secara berasingan/terpisah, kerana kedua-duanya saling melengkapi (untuk kita hidup sempurna di dunia dan akhirat). Oleh yang demikian, adalah penting ilmu akhirat iaitu ilmu tentang Islam khususnya tentang hal aqidah diterapkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bukan seperti sekarang yang hanya mementingkan ilmu-ilmu seperti S&T yang hanya melahirkan generasi berilmu dan pintar hal dunia, tetapi kosong di dalam jiwanya!


.

1 ulasan: