بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 13 Mei 2009

Sisipan - Membalas kritikan melabel 'ulama makan gaji'

Saya terpanggil untuk menulis, sebagai membalas kritikan sinis yang dilemparkan oleh seorang bakal ulama terhadap seorang tokoh ulama yang disegani. Artikel berkenaan disiarkan di ruangan akhbar milik sebuah parti politik, keluaran terbaru (edisi 8-10 Mei 2009). Antara kritikan sinis yang dilemparkan melalui tulisannya ialah melabelkan tokoh ulama/mufti ini sebagai 'mufti makan gaji' atau dengan kata lain 'mufti yang mengeluarkan fatwa hanya atas kehendak pihak majikannya'. (atau mungkin yang dimaksudkan 'makan gaji buta'.) Saya merasa amat tersinggung apabila membaca artikel tersebut.

Walaupun ianya bukanlah ditujukan kepada saya, namun di benak saya, timbul persoalan inikah bakal ulama yang akan diwariskan kepada generasi akan datang? Jika ulama pelabel ini yang akan diwariskan, saya tidak hairan jika generasi akan datang terus dilanda pelbagai masalah (mungkin juga bala). Bahkan menyumbang kepada kemunduran Islam di Malaysia. Ini kerana sikap permusuhan yang ditunjukkan mencerminkan jiwa bakal ulama berkenaan. Sudahlah diselubungi semangat perjuangan (kononnya) yang membara, malah dengan mudah (hanya berdasarkan cerita dan andaian) sanggup melabelkan tokoh ulama yang lain sedemikian rupa.

Satu persoalan lain, di manakah sifat ulama yang sepatutnya dilahirkan? Saya tidak mempersoalkan pendirian politik yang dianutinya, tetapi amnya sifat melabel dan mengeji ini tidak pernah diajar dan diwariskan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat. Mungkin ada, tapi ada bukti kukuh. (tidak perlu belajar agama yg tinggi atau mendalam untuk tahu hal ini!) Apatah lagi label berkenaan ditujukan kepada seorang ulama juga!

Persoalan lain yang ingin diujarkan, di manakah keupayaan rasional ulama (pelabel) ini, sanggup melabel dengan hanya mendengar cerita rakan dan andaian peribadi semata-mata (kononnya berdasarkan penilaian bahawa fatwa dikeluarkan ketika isu politik memuncak). Isu ini timbul berikutan tindakan mufti berkenaan yang mengeluarkan kenyataan mengkritik seorang tokoh politik bukan Islam yang membaca sepotong ayat (seakan ayat Al-Quran). Tindakan mufti berkenaan didakwa bermotifkan politik (makan gaji). 'Didakwa'! Sudahlah menghina, asas dan buktinya pun tidak ada! Bagaimana seorang bakal ulama sanggup melabel ulama lain (berdasarkan CERITA dan ANDAIAN!) dan mempertahankan pula seorang AHLI POLITIK yang KAFIR dan merosakkan BACAAN AL-QURAN DAN NAMA SURAH, dan boleh dapat BUKTI! (di http://www.youtube.com) Rasionalkah begitu? Saya tidak mahu membuat generalisasi bahawa inilah keupayaan rasional bakal ulama yang ada sekarang. Mungkin bakal ulama ini saja yg tidak pandai merasional sesuatu perkara. Namun saya risau juga kerana usaha melabel ini disebarkan kepadanya melalui ceramah yang disampaikan oleh rakannya (mungkin ulama juga!). Jadi bukan seorang yang kurang keupayaan rasionalnya. Dan lagi kemungkinan beliau juga akan jadi ulama dan ustaz yang mendidik generasi akan datang!

Pada saya, motif politik tidak timbul kerana tokoh ulama berkenaan sering mengkritik mana-mana pihak (pembangkang atau kerajaan) yang jelas menyentuh sensitiviti umat Islam. Malah dalam hal terbabit saya menyokong benar tindakan mufti berkenaan.

Di sini saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar bidang agama khususnya yang belajar di Timur Tengah (termasuk bakal ulama itu), sebagai seorang bakal ulama atau pejuang agama, pastikan anda semua menghayati apa yang anda pelajari. Andalah tonggak harapan generasi akan datang, kerana di bahu anda terpikul harapan generasi kini untuk mewariskan ilmu agama yang sangat berharga. Bagi kami yang hanya dapat belajar sedikit-sedikit dari sekolah aliran bukan agama dan belajar sendiri, kami tidak mampu memberikan pendidikan agama yang mantap melainkan apa yang kami amalkan dan pelajari (yang sedikit itu). Justeru sebagai harapan bangsa, teladanilah sifat-sifat mulia para Nabi dan Rasul. Ini termasuk memuliakan 'rakan seperjuangan'. Ambil teladan bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. yang memuliakan nabi-nabi yang terdahulu, walaupun Islam sudah 'memadam' kedudukan ajaran mereka. Bahkan sebagai Penghulu sekalian utusan Allah, Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah memperlekeh Nabi dan Rasul yang sebelumnya. (bahkan nasihat Nabi Musa a.s. diikuti oleh Nabi Muhammad S.A.W. ketika meminta mengurangkan jumlah perintah solat!) Jadi apa yang diwarisi daripada Nabi sebenarnya? (ulama pewaris nabi)

Saya ingin saja melabel penulis berkenaan sebagai ulama politik. Bahkan ringan saja benak saya untuk memperlekeh golongan penuntut-penuntut dari Timur Tengah yang banyak terpengaruh dengan fahaman-fahaman berpuak yang begitu ketara di kalangan masyarakat Arab. Namun secara rasional, tidak wajar bagi saya melakukan itu semua kerana budaya ini bukan budaya umat Islam. Umat Islam memuliakan ilmu, menghormati saudara dan ulama. Kita semua harus sedar, walaupun ingin memberi kritikan, ilmuan Islam perlulah menampilkan adab dan akhlak yang terpuji, menonjolkan perdebatan yang sihat. Paling penting, ilmuan Islam berfikiran rasional berpandu naqal (ilmu naqli) dan bukannya atas dasar politik atau fahaman tertentu, apatah lagi menilai mengikut andaian!

Semoga kritikan balas ini memberi kesedaran kepada kita semua. Hormatilah ulama.

7 ulasan:

  1. salam...

    wah, sesungguhnya benar kata2 tuan...

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. saya setuju dengan tulisan ini. saya kira antara ulama dan politik harus dipisahkan. Saya lihat ada juga kecenderungan ulama yang mengaulkan politik dengan fatwa.
    jikalau keadaan ini berlarutan, saya risau negara kita akan menurut seperti Indonesia, agama anatara perkara yang paling lemah ditegakkan disana sehingga orang bukan islam boleh berkahwin dengan islam tanpa convert agama

    BalasPadam
  4. bumbungrumah:wslm. terima kasih sbb bersetuju

    sepohonkayu: [jawapan balas telah dibuang oleh pemilik]

    ainul.muaiyanah: bagi kes ulama itu (yg dilabel) saya tak fikir fatwanya atas sebab politik. Tapi disalah tanggap (atau sengaja disalah tanggap) sbb faktor politik...Mmg pun sepatutnya ulama yg tetapkan fatwa tidak berpolitik. Ulama nak berpolitik pun tak salah, cuma susah la nak keluar fatwa (orang tak percaya, kecuali pengikut partinya). Dan kepada sesiapapun, janganlah fahaman politik itu mendahului kebenaran. Kalau rasa parti/gengnya salah, katakan salah. Jgnlah sebab nak jaga kepentingan kesalahan disembunyikan...Bab Indonesia tu saya setuju politik antara puncanya...Terima kasih Ainunl sudi komen.

    BalasPadam
  5. Saya tertarik dengan lontaran idea tuan. Saya sering terfikir nasib umat kita yang terus dengan perpecahan akibat perbezaan politik. Sehingga duduk semeja untuk berbincang pun tidak dapat di realisasikan atas keegoan dan kepentingan politik. Namun malangnya 'keegoan' itu di kira sebagai 'istiqamah' dengan meggunakan agama sebagai topeng . Saya begitu bimbang dengan perkembangan sekarang.

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum tuan..

    Bagus tulisan ini.

    Mengenang pada fenomena politik negara la ni, apa pendapat tuan mengenai ulama'yang kadang mengutuk ulama' lain hanya kerana pendapat yang dikeluarkan 'tidak sependapat' malah dituduh 'bias' walaupun pendapat ulama' yang dituduh itu sahih belaka jika dirujuk pada sejarah Islam, Al-quran dan hadis.

    Pening dengan ketaksuban mereka terhadap parti2 politik yang akhirnya lupa menimbangkan adab2 agama dalam berpolitik.

    Islam adalah gerakan politik, tapi janganlah mempolitikkan Islam.

    Wallahua'lam

    BalasPadam
  7. Tanpa Nama: politik tak salah. Yg salah implimentasinya. Sbb itu saya lebih suka bidang akademik/penyelidikan! :)

    Khalifatun Khairiah: jwpn saya spt di atas.

    BalasPadam