بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 4 November 2009

Perspektif terhadap pembangunan Sains dan Teknologi (S&T) - Di mana peranan agama?

(Siri MEMBANGUN BERSAMA ISLAM - bhgn 2)



(Kemaskini: 4 Nov 2009)


Kemajuan Sains dan Teknologi (S&T) merupakan satu ciri sebuah negara maju. S&T perlu dibangunkan sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi dan menjadi penggerak kemajuan sesebuah negara. Hubungan S&T dengan ekonomi sangat rapat. Sesebuah negara yang maju ekonominya tetapi tidak ada aktiviti S&T ibarat manusia yang hidup sihat tetapi tidak punya 5 pancaindera. Manakala negara yang maju S&T tetapi tidak mantap ekonominya, ibarat manusia yang lengkap pancaindera tapi tidak bertenaga. Kesan kedua-dua keadaan ini ialah negara akan bersifat statik. Malah mungkin akan jadi mundur. Sebaliknya perkembangan menggalakkan dalam kedua-dua bidang (S&T dan ekonomi) membolehkan sesebuah negara menjadi dinamik dan berkembang. Maka mutu dan taraf hidup masyarakatnya akan meningkat.

S&T dan ekonomi seolah dilihat sudah saling melengkapi antara satu sama lain kerana hasil pemantapan kedua-dua bidang ini membolehkan banyak negara mencapai tahap kemajuan yang tinggi. Maka S&T dan ekonomi begitu penting untuk diberi perhatian. Ini mendorong pemimpin yang inginkan kemodenan menganggap kedua-dua bidang ini saja yang harus diutamakan. Maka pelbagai dasar digubal untuk memajukan bidang ekonomi dan S&T. Peruntukan kewangan disediakan dalam jumlah yang besar. Pelbagai program dirangka supaya bidang ekonomi dan pembangunan S&T semakin rancak. Dasar pendidikan ditumpukan kepada ilmu/kemahiran berkaitan ekonomi dan S&T seperti ilmu matematik, ilmu sains, ilmu teknikal dan kemahiran berbahasa Inggeris serta bahasa-bahasa yang utama di dunia. Masyarakat pula lebih cenderung untuk memilih bidang S&T sebagai tumpuan sama ada untuk pendidikan mahupun kerjaya.

Antara faktor perkembangan ekonomi ialah kemajuan S&T. Ini kerana aktiviti ekonomi banyak bergantung kepada teknologi, dan ianya berkait rapat pula dengan kemajuan sains. Melalui penyelidikan sains, banyak teknologi baru dapat dibangunkan. Kemajuan teknologi membolehkan peralatan-peralatan baru dibina bagi tujuan aktiviti ekonomi. Bidang perindustrian, misalnya, banyak bergantung kepada teknologi. Antaranya keperluan dalam pembinaan bangunan, kemudahan infrastruktur dan alat pengangkutan, serta penggunaan mesin/robot dalam sektor pembuatan. Bidang perindustrian merupakan antara faktor kepada kemajuan ekonomi moden. Tanpa S&T, industri mungkin tidak akan berkembang. Akibatnya aktiviti ekonomi sesebuah negara tidak dapat berlaku dengan berkesan. Ini akan menjejaskan pendapatan dan hasil ekonomi sesebuah negara industri seperti Malaysia.

Manakala S&T pula memerlukan kemajuan ekonomi sebagai sumber penggerak. Keperluan untuk mengembangkan S&T banyak tertumpu kepada sumbangan dana dan modal kewangan. Sumber kewangan yang mantap hanya boleh dijana melalui aktiviti ekonomi. Melalui peningkatan pendapatan negara, kerajaan dapat menyediakan geran dan peruntukan kepada projek-projek penyelidikan. Begitu juga dengan pembangunan teknologi baru yang memerlukan pembiayaan yang besar. Malah teknologi baru boleh diperolehi dengan lebih cepat dan mudah (spt mengimport teknologi atau membeli peralatan) dengan adanya sumber kewangan yang mantap. Penyelidikan bidang sains memerlukan kemudahan infrastruktur dan peralatan yang canggih supaya dapat dijalankan dengan berkesan. Penggunaan teknologi yang primitif akan menjadikan penyelidikan sains sia-sia kerana penemuan 'baru' mungkin sudah ketinggalan (obsolete) dan tidak terpakai lagi. Oleh itu sumber kewangan menjadi salah satu faktor terbesar kemajuan S&T. Sebab itu negara-negara kaya semakin maju kerana dapat menarik penyelidik dan mengembangkan penyelidikan dengan pesat. Tanpa aktiviti ekonomi yang pesat, tidak mungkin sumber kewangan yang mantap untuk S&T dapat disediakan dan ini menyebabkan bidang penyelidikan S&T semakin malap.

Adakah ini bermakna agama tidak relevan dalam memodenkan sesebuah negara? Kedudukan agama dalam arus pemodenan perlu diperjelaskan. Jika tidak, dikhuatiri ilmu agama akan semakin terpinggir atau dilupakan terus. Inilah yang perlu dielakkan. Justeru perlu ada suatu penjelasan dan huraian terhadap konsep beragama dalam S&T dan bidang utama yang lain supaya dapat dilihat kepentingannya. Di sini penulis ingin memfokus terhadap bidang S&T, iaitu suatu bidang yang penting selain bidang berkaitan ekonomi. Bahagian seterusnya akan membincangkan kepentingan agama dan hubungannya dengan S&T. Apabila masyarakat sedar keperluan agama dalam pemodenan negara, maka ini akan membolehkan agama dilihat sebagai suatu yang relevan dalam memodenkan masyarakat dan negara.


Kepentingan agama dan hubungannya terhadap pembangunan S&T

Secara keseluruhannya, S&T adalah untuk meningkatkan taraf hidup dan berkaitan kepentingan aktiviti manusia. Maka secara dasarnya, agama boleh menjadi pengawal dalam aspek pembangunan S&T kerana agama diturunkan untuk membimbing manusia. Aktiviti S&T perlu ada garis panduan supaya ia kekal untuk memberi faedah. Hakikatnya S&T yang keterlaluan telah mendatangkan kesan buruk sama ada kepada manusia dan alam sekitar. Hari ini, isu terhadap 'sustainability' S&T mula hangat diperkatakan. Salah satu faktor adalah kerana pencemaran alam sekitar akibat S&T yang tidak terkawal yang semakin membimbangkan dan menjadi isu global. Justeru S&T yang lebih 'mesra alam' menjadi topik utama berkaitan 'sustainability'. Namun ramai kalangan kita nyata tidak sedar, aplikasi agama sebagai panduan pembangunan S&T dapat memastikan 'sustainability' boleh tercapai tanpa perlu bersusah payah merangka pelan atau program yang kompleks bagi mencapai matlamat tersebut. Bukan saja 'sustainability' dalam S&T, malah agama sememangnya penting untuk menjadi panduan kepada semua aktiviti manusia.

Penggabungan agama dengan S&T nyata penting. Namun penggabungan ini dalam dimensi yang bagaimana? Integrasi agama dalam S&T atau S&T dalam agama? Sepertimana hubungan S&T dengan ekonomi, hubungan timbal-balik atau saling melengkapi juga berlaku antara S&T dan agama. Di dalam mengembangkan S&T, seharusnya S&T bermatlamat mencari keredhaan Allah. Ini hanya boleh dicapai melalui aplikasi agama dalam S&T. Maka langkah awal ialah agama perlu diintegrasi ke dalam S&T bagi memastikan S&T tidak lari dari matlamat asal kejadian manusia. Ini juga didorong oleh faktor bahawa agama itu tidak terikat dengan S&T. Melalui penerapan agama, isu 'sustainability' dan pelbagai masalah berkaitan salahguna S&T mungkin akan dapat diselesaikan. Malah isu 'sustainability' mungkin tidak timbul langsung kerana perkembangan S&T sentiasa berada dalam batas-batas yang menjamin kesejahteraan hidup manusia dan keharmonian alam sekitar.

Banyak kerosakan dan ketidakseimbangan alam semulajadi pada hari ini berlaku kerana kepincangan dalam aktiviti S&T. Pada dasarnya S&T bertujuan memudahkan urusan dan menaikkan taraf hidup manusia. Tetapi dengan pembangunan yang sembrono dan melulu tanpa menghiraukan kesannya terhadap alam sekitar telah menimbulkan banyak kesan buruk. Sebagai contoh, melalui penyelidikan dan pembangunan S&T minyak dan sumber petroleum diteroka dan dipelbagaikan hingga melahirkan pelbagai produk. Daripada gas asli, minyak petrol/gasolin, pelincir, polimer sehinggalah kepada bahan turap (tar). Semua produk dan teknologi yang terhasil nyata memberi faedah kepada kita. Namun bahan-bahan ini juga turut menyebabkan masalah pencemaran, sampah-sarap (bahan-bahan tak-terbiodegradasi/sukar lupus), gangguan ekosistem (pemusnahan habitat liar), pemanasan global (akibat pembakaran bahan api dan pembebasan gas karbon monoksida/dioksida berlebihan), kemusnahan alam fauna dan sebagainya. Ini berlaku disebabkan S&T hanya bermatlamat untuk memperolehi teknologi baru dan keuntungan semata-mata. Tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar, S&T dikembangkan sehinggalah pada satu tahap (hari ini) manusia mula menanggung kesan buruknya.

Agama mengajar seseorang untuk hidup bermatlamat. Matlamat beragama ialah untuk menjamin/mendapatkan kesejahteraan di akhirat melalui kepatuhan di dunia. Setiap amalan yang dilakukan di dunia perlu berada di atas landasan yang diredhai oleh Allah. Telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa manusia adalah khalifah Allah yang bertanggungjawab untuk memelihara dan mengurus alam ini. Justeru setiap urusan manusia perlu memelihara keharmonian dan keseimbangan alam semulajadi. Sekiranya penyelidikan S&T terbina di atas landasan ini, maka sudah tentu S&T tidak akan merosakkan bumi kerana setiap kajian dirancang dengan teliti. Seandainya ini terlalu bersifat idealistik, setidaknya ia dapat meminimakan kesan negatif yang timbul kerana penyelidikan dan pembangunan pastinya dilakukan secara berhati-hati bagi memelihara kepentingan alam semulajadi.

Apabila mengulas tentang hubungan antara agama dan S&T pasti tidak dapat meminggirkan persoalan etika. Etika merujuk kepada peraturan-peraturan sosial yang perlu dipatuhi oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Etika merupakan antara ciri penting yang perlu ada dalam pembudayaan bidang S&T. Ini kerana penyelidikan meneroka ilmu baharu. Bukan saja melibatkan wang peruntukan yang banyak, tetapi juga memberi 'kuasa' dan kelebihan kepada seseorang kerana dia telah menguasai sesuatu yang tidak dipunyai/diketahui oleh orang lain. Maka penyelidik yang berjaya menemui ilmu baharu mempunyai peluang untuk memanipulasi ilmu tersebut untuk kepentingan dirinya. Oleh itu potensi untuk berlakunya salahlaku seperti plagiat, penipuan dan penyalahgunaan kuasa sangat tinggi.

Tanpa etika, isu plagiat dan penipuan sangat mudah berlaku dalam penyelidikan. Ianya sukar dibongkar kerana fakta sebenar tentang penemuan baharu tentunya belum diketahui umum. Fakta baharu hanya diketahui oleh penyelidik yang menemuinya dan kemudian dihebah untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Dalam isu plagiat, penyelidik yang tidak jujur akan mencuri penemuan dan idea orang lain (yang belum dihebahkan atau tidak diketahui umum) dan mendakwa sebagai miliknya. Terdapat juga kes di mana penyelidik memalsukan data untuk sesuatu kepentingan. Melainkan penipuan ini dapat dikesan, maka salahlaku plagiat atau penipuan akan terlepas begitu saja. Dalam hal ini masyarakat hanya dapat bergantung kepada kejujuran penyelidik. Meskipun terdapat prosedur-prosedur mengesan penipuan/plagiat, kes sebegini tetap terlepas juga.

Selain penipuan, salahguna kuasa juga mudah berlaku dalam pembangunan S&T. 'Kuasa' bagi penyelidik ialah keupayaan untuk menggunakan ilmu yang ditemuinya bagi kepentingan dirinya atau pihak tertentu. Suatu masa dahulu, dunia digemparkan dengan isu berkenaan kejuruteraan genetik dan pengklonan. Kejuruteraan genetik ialah teknologi yang boleh digunakan bagi meningkatkan hasil pertanian (cth benih padi bermutu tinggi boleh diklon dalam jumlah yang banyak untuk menghasilkan beras bermutu tinggi). Namun oleh kerana faktor keuntungan, pengubahsuaian genetik tanaman yang keterlaluan mula berleluasa bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak. Usaha ini ditentang hebat kerana baka ubahsuai genetik boleh menyebabkan kesan buruk kepada tubuh manusia. Malah dalam jangkamasa panjang pendapatan dan hasil tanaman golongan petani akan lebih terjejas kerana baka ubahsuai tidak sama sifatnya dengan baka tanaman semulajadi. Ubahsuai yang keterlaluan akan memudaratkan tanaman, misalnya kemerosotan daya tahan tanaman terhadap penyakit dan menyebabkan tanaman mudah mati dan sebagainya. Selain itu usaha pengklonan mula disalahguna hingga dicadangkan melibatkan eksperimen ke atas manusia. Jika tidak kerana ditentang hebat oleh komuniti penyelidikan atas prinsip etika, mungkin pengklonan manusia telah berlaku.

Maka etika nyata sangat penting bagi penyelidik dan penyelidikan S&T. Jika diamati, Islam sebenarnya adalah pendorong kepada etika kerana agama juga bermatlamat mendidik manusia atas landasan kehidupan yang sebenar. Islam menekankan bahawa penyelidik/manusia sentiasa tertakluk di bawah kuasa tuhan. Bagi pendokong Atheis, etika hanya semata-mata bergantung kepada kejujuran. Bagi mereka tidak ada konsep tuhan yang mengawal manusia. Tetapi dalam Islam, prinsip keimanan bahawa 'tuhan itu ada dan sentiasa memerhati kita' akan mendorong penyelidik untuk hidup beretika melalui agama. Ini secara langsung akan memastikan prinsip etika dalam penyelidikan dipatuhi oleh penyelidik. Secara tidak langsung pembangunan S&T akan lebih terkawal kerana etika sentiasa dipertahankan.

Manakala integrasi S&T dalam agama juga perlu. Keperluan ini wujud akibat perubahan keperluan semasa. Apabila gaya hidup manusia semakin moden, maka keperluannya juga semakin kompleks. Jika pada zaman batu manusia tidak perlu kereta, hari ini kereta adalah satu medium pengangkutan yang wajib. Jika pada zaman kegemilangan Baghdad ilmuan belum memerlukan komputer, hari ini ilmuan dan penyelidik sangat memerlukan komputer. Oleh kerana agama itu untuk manusia, maka kaedah dalam Islam juga perlu 'dipertingkatkan' selari dengan kemajuan S&T. (Bukan 'dimodenkan', kerana istilah ini memberi persepsi yang negatif pada agama, yakni seolah-olah agama itu primitif dan jumud.) Matlamat integrasi (atau lebih tepat aplikasi) S&T kepada agama adalah untuk memajukan kaedah-kaedah penyampaian dan penerapan nilai di dalamnya. Antara ruang pembangunan yang wujud termasuklah pembangunan bidang berkaitan dakwah, penyelidikan sejarah dan sains Islam, dsb. Ini semua merupakan kaedah-kaedah bagi menyebarluas dan memantapkan agama dalam kehidupan manusia. Apabila kaedah dan proses dalam peng'agama'an semakin mantap, maka lebih mudah agama itu disebar dan diterapkan dalam masyarakat.

Dahulu masyarakat hanya boleh belajar agama di masjid, surau atau madrasah. Tetapi hari ini media massa boleh membantu menyampaikan ilmu/maklumat walaupun jarak antara tok guru dengan murid beribu-ribu kilometer jauhnya. Jika dahulu pembelajaran ilmu agama hanya melalui kitab-kitab dan ceramah, hari ini semuanya boleh dicapai dengan mudah melalui internet. (Namun perlu hati-hati.) Begitu juga kaedah menentukan makanan halal, boleh dilakukan dengan lebih berkesan melalui eksperimen makmal. Baru-baru ini, penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan kaedah pengujian DNA babi menggunakan 'polymerase chain reaction' yang digunakan terhadap ujian gelatin di Malaysia sekarang tidak tepat. Sebaliknya kaedah menggunakan 'biomarker' yang mendedahkan profil protein adalah lebih berkesan (dlm NSTP bertarikh 3 Nov 2009, seksyen 'Nation' ms 14). Perkembangan ini adalah antara petanda positif bahawa S&T juga mempunyai peranan untuk dimajukan atas kepentingan dakwah, penyebaran dan memantapkan aplikasi Islam. Justeru S&T juga diperlukan terhadap perkembangan agama.


Integrasi dalam sistem pendidikan

Rata-rata masyarakat hari ini sedar dan memahami bahawa, untuk memastikan pembangunan S&T itu mantap usaha perlu dilakukan sejak dari peringkat sekolah. Ini kerana usaha menggerakkan bidang S&T hanya boleh dilakukan dengan adanya sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan dan mahir S&T. Apabila sumber manusia mantap (berilmu dan berkemahiran) akan dapat membolehkan bidang S&T berkembang dengan lebih berkesan. Dengan hanya bersandarkan kepada pelaksanaan program atau penyediaan peruntukan di pihak kerajaan, usaha mengembangkan S&T tidak akan berjaya. Usaha dan perancangan kerajaan berkaitan S&T tidak akan mendapat sambutan kerana masyarakat tidak faham S&T. Tetapi dengan adanya generasi yang mahir S&T, maka usaha dapat digerakkan melalui bidang penyelidikan, pembuatan dan pembangunan teknologi.

Maka berdasarkan konsep yang sama, usaha penghayatan agama dalam S&T dan aplikasi S&T dalam agama hanya boleh dicapai dengan berkesan sekiranya ahli masyarakat telah memahami kepentingan dan kaitannya. Mereka perlu diajar dan diterangkan bagaimana ilmu agama dan S&T saling berkait. Untuk mencapai matlamat ini, usaha perlu dilakukan sejak dari peringkat awal proses pendidikan seseorang individu. Penerapan nilai Islam dalam pendidikan sains sejak peringkat sekolah boleh menjadi asas permulaan kepada melahirkan generasi berilmu S&T yang taat kepada agama. Begitu juga pemahaman terhadap kaedah aplikasi S&T terhadap ilmu agama. Berdasarkan pengetahuan penulis, penerapan ilmu sains di sekolah-sekolah menengah agama telahpun dilaksanakan melalui pengwujudan mata pelajaran Sains. Manakala di peringkat pengajian tinggi, pusat pengajian Darul Quran sedang berusaha melahirkan lulusan bidang S&T yang hafaz Al-Quran. Sesungguhnya semua usaha ini merupakan satu permulaan yang baik. Namun dalam sistem pendidikan kebangsaan yang diamalkan sekarang, usaha ini belum lagi dilakukan.

Selagi pengasingan ilmu agama dengan ilmu sains masih berlaku, maka kita tidak akan dapat melahirkan suatu generasi S&T yang benar-benar mantap ilmu agamanya atau generasi aliran agama yang mantap ilmu S&T. Pengasingan inilah yang mengakibatkan masalah yang dihadapi sekarang di mana lulusan S&T tidak menghayati agama dan lulusan agama cetek ilmu S&T. Integrasi ilmu agama dan sains perlu dilakukan bagi melahirkan ilmuan Islam yang mahir S&T dan ilmuan S&T yang mantap akidahnya. Istilah integrasi tidak semestinya bermaksud perlu mewujudkan subjek Sains Islam. Namun prinsip asas dalam agama - ketauhidan, akhlak - boleh diserapkan ke dalam sukatan mata pelajaran sains sedia ada. Manakala elemen asas S&T - kemahiran menyelidik dan bereksperimen, berfikiran kritikal, mempunyai kemahiran teknikal - boleh diserapkan dalam sukatan mata pelajaran asas aliran agama. Ini membolehkan pelajar-pelajar dapat memahami asas kedua-dua bidang dan membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam bidang tersebut. Namun yang lebih penting pelajar-pelajar ini dapat memahami hubungan antara S&T dengan prinsip Islam dalam kehidupan. Maka apabila mereka dewasa dan terlibat dengan industri, mereka sudah dibekalkan dengan asas yang mantap bagi memastikan kedua-dua aliran pemikiran adalah seimbang. Justeru dapat melahirkan individu yang tidak mengasingkan antara agama dengan soal teknikal berkaitan S&T.

Integrasi antara ilmu agama dan sains sedikit sebanyak akan dapat membendung masalah yang dihadapi oleh lulusan bidang agama dewasa ini. Isu yang dihadapi sekarang ialah masalah kekurangan tempat bagi lulusan agama dalam sektor pekerjaan. Antara punca yang dikenalpasti ialah pelajar lulusan bidang agama tidak ada kemahiran yang 'diperlukan' ('perlu' bermaksud keperluan industri semasa). Justeru melalui integrasi dalam sistem pendidikan akan melahirkan lebih ramai lulusan agama yang mahir dalam ilmu (sekurang-kurangnya ilmu asas) berkaitan S&T. Dengan adanya pendedahan terhadap S&T di peringkat sekolah, mereka akan faham betapa pentingnya memahami S&T dan kepentingannya terhadap bidang agama. Justeru lulusan agama akan cenderung untuk mendalami dan lebih memanfaatkan teknologi. Bukan setakat mahir menggunakan aplikasi pemproses teks (Microsoft Word dsb), malah mungkin setiap mereka akan lebih peka dengan perkembangan sains dan teknologi semasa.


Kesimpulan

Peranan agama dalam pembangunan S&T sangat besar. Maka kepentingan Islam sebagai pembimbing S&T tidak boleh dipertikaikan lagi. Manakala perkembangan ilmu agama juga sangat memerlukan S&T dan ini merupakan satu ruang kepada perkembangan S&T. Namun perlu difahami, bahawa hubungan timbal-balik antara agama dan S&T (saling melengkapi) itu berlaku kesan daripada perkembangan hidup manusia yang semakin kompleks. Pada dasarnya isi agama itu sudah sempurna, cuma kaedah penerapan dan pelaksanaannya saja perlukan S&T. Berdasarkan perbincangan ini, diharap dapat menyedarkan kita bahawa sebenarnya wujud hubungan yang erat antara agama dan S&T. Justeru sebagai kesimpulannya, agama itu tetap relevan dalam pembangunan dan usaha pemodenan negara.

(bersambung)...

1 ulasan: