بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 27 Julai 2011

Sisipan: Ke Arah Masyarakat Beretika dan Berintegriti - Mampukah kita?


Hmmm... mampukah?

Apapun, program berikut satu langkah yang wajar dipuji. Ia juga wajar diperluaskan kerana zina dan godaan nafsu tidak mengenal usia. 

SEBAHAGIAN 135 pelajar politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur yang menyertai Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Anda Bijak Jauhi Zina di Dusun Eco Resort, Kuantan, baru-baru ini.
BENTONG 26 Julai - Seramai 135 pelajar politeknik dan kolej komuniti zon timur berkampung di Dusun Eco Resort, di sini untuk menyertai program pembangunan sahsiah pelajar 'Anda Bijak Jauhi Zina' anjuran Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, baru-baru ini. Mereka terdiri daripada pelajar Polisas, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Jeli, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Kota Bharu, Kolej Komuniti Paya Besar dan Kolej Komuniti Rompin.
Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, fokus utama selama tiga hari itu bertujuan mendidik, membimbing dan memperkasakan jati diri remaja Islam menerusi latihan insentif yang disediakan penganjur.
Sepanjang program itu, kata beliau, peserta bukan sahaja dibimbing menjauhi aktiviti yang menjurus kepada berlakunya zina, malah, turut dilatih menjadi peer group iaitu membimbing rakan-rakan mereka yang menghadapi masalah sosial sekembalinya ke kampus masing-masing.

Jauhilah Zina. Zina dan maksiat musuh no. 1 negara.

Isnin, 25 Julai 2011

Sekolah Dalam Hospital - Jangan Abaikan Anak Orang Miskin

Program Sekolah dalam Hospital merupakan program hasil cetusan idea isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen. Tujuannya bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di hospital tidak keciciran dan tertinggal pelajaran kerana tidak dapat hadir ke sekolah.



Saya memuji inisiatif kerajaan serta mereka yang terlibat. Namun program ini harus dikaji keberkesanan dan kaedah pelaksanaannya kerana beberapa faktor:
  • Adakah kanak-kanak atau pelajar yang sakit itu dapat menghayati sepenuhnya sesi pembelajaran-pengajaran yang dijalankan? Berbaloikah wang yang dibelanjakan untuk mengajar mereka?
  • Cukupkah bilangan guru yang diperlukan (11 orang di setiap hospital)? Selama ini sekolah biasa pun kekurangan guru.
  • Berapa kos yang diperlukan untuk melaksanakan program tersebut? Adakah lebih baik berbanding sesi kelas biasa, atau menerusi telekonferens?
  • dll faktor.
Selain itu perlu juga dikaji,
  • Berapa ramaikah pelajar yang sihat tetapi ketinggalan pelajaran kerana dihimpit kemiskinan?
  • Bagaimana nasib mereka? 
  • Bagaimana dengan nasib anak-anak yang terbiar disebabkan ibubapa sakit dan tidak mampu menangggung persekolahan mereka?
Saya berharap kerajaan tidak mengabaikan mereka.

Khamis, 14 Julai 2011

Ulasan Buku - A Doctor In The House

Sumber imej: Laman web Tun Dr Mahathir


Tajuk buku : ‘A Doctor In The House’ - The Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad
Penerbit : MPH Publisher
Harga : RM100


Buku ini merupakan buku yang paling tebal pernah saya baca - ~800 muka surat. Namun saya tidak bosan membacanya. Bahkan ada masa saya kena memaksa diri untuk berhenti membacanya, demi melakukan tugas harian lain. Oleh sebab itu juga saya habis membaca dalam masa 2 minggu (cukup cepat bagi saya, untuk buku setebal itu).

Buku ini merupakan catatan pengalaman peribadi mantan Perdana Menteri ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Selain sebagai Perdana Menteri paling lama mentadbir (22 tahun), beliau juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia. Sepanjang tempoh pentadbirannya yang cukup lama itu, nyata tidak dipersiakan oleh Tun. Pelbagai projek dilaksanakan bagi memajukan Malaysia.

Usaha Tun Mahathir amnya banyak bergantung kepada kesinambungan usaha pembangunan yang dilakukan oleh Tun Razak. Melalui usaha Tun Razak, pembangunan Malaysia digerakkan melalui Dasar Ekonomi Baru, Dasar Sekolah Kebangsaan, dan usaha pembangunan masyarakat luar bandar melalui FELDA. Usaha Tun Razak menjadi pemangkin kepada pembangunan Malaysia, khususnya ekonomi orang Melayu dan kemajuan dari aspek perpaduan kaum. Apabila Tun Hussein Onn mengambil alih jawatan Perdana Menteri, semua usaha Tun Razak diteruskan tanpa perubahan yang drastik.

Namun apabila Tun Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri pelbagai pembaharuan drastik diperkenalkan, selain meneruskan kesinambungan usaha Perdana Menteri sebelum beliau. Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah Dasar Pandang ke Timur, projek kereta nasional (PROTON), projek lebuhraya Utara-Selatan, projek Jambatan Pulau Pinang, pengenalan industri mikroelektronik (dan penubuhan MIMOS), pembuatan motosikal pertama nasional (MODENAS) dan kereta ke-2 (PERODUA), dan banyak lagi usaha yang memajukan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Tidak cukup dengan itu Tun juga memberi sinar baharu kepada sistem pentadbiran kerajaan seperti mesin perakam waktu, disiplin dalam perkhidmatan awam, dan pemindahan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya.

Memoir ini memberi kesempatan pada pembaca menelusuri perjalanan hidup Tun Mahathir sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah beliau bersara daripada kerajaan. Pelbagai kisah suka-duka beliau ditulis dalam buku ini. Antaranya pengalaman sebagai remaja ketika pendudukan Jepun, saat-saat awal penglibatan beliau dengan politik dan memasuki sekolah perubatan (kemudian menjadi doktor), penglibatannya dengan UMNO dan juga pengalaman pahit semasa mengalami serangan jantung dan terpaksa dibedah. Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana memoir ini juga merupakan sebuah buku sejarah kerana Tun turut menulis tentang sejarah Tanah Melayu dan proses mencapai kemerdekaan. Justeru sangat sesuai untuk dijadikan rujukan golongan muda yang mungkin tidak mengetahui fakta sejarah selain yang ditulis dalam buku teks di sekolah.

Amnya melalui memoir beliau, Tun Mahathir juga cuba menyelitkan pelbagai penjelasan terhadap isu-isu yang dialami beliau, khususnya yang membabitkan UMNO dan jawatan Perdana Menteri. Kesempatan ini digunakan oleh Tun dalam menjelaskan rasional tindakan-tindakan beliau yang dulunya tidak ada ruang untuk disampaikan kepada umum. Isu-isu membabitkan 'pertelagahan' beliau dengan Tunku Abdul Rahman, kontroversi penyingkiran beliau dari UMNO, pertandingan dengan Tengku Razaleigh (yang mengakibatkan pengharaman UMNO dan penubuhan S46 dan UMNO baru), dan isu yang paling hangat membabitkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang dengan berusaha memberi penjelasan yang cukup terperinci, termasuk yang mungkin tidak akan diketahui oleh orang ramai yang tidak membaca memoir ini.

Tun Mahathir juga turut menulis tentang pelbagai perkara berkaitan tugas dan pengalamannya sebagai doktor, wakil rakyat, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dalam membangunkan status serta pencapaian orang Melayu. Pelbagai kisah teladan, nasihat, peringatan, panduan, dan sebagainya yang (mungkin) ditujukan khas kepada orang Melayu dan generasi muda masa depan.

Keseluruhannya, sebagai pembaca dan orang Melayu Islam, saya benar-benar berpuas hati dengan penulisan memoir ini. Bukan sahaja ia memperkenalkan saya kepada Mahathir Mohamad, malah membantu saya memahami pelbagai perkara yang membabitkan sejarah negara dan proses pembangunannya yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Mahathir. Sebagai generasi muda, adalah penting bagi saya untuk mengetahui dan mendalami perkara ini. Hal ini supaya saya lebih menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam menghasilkan sebuah negara Malaysia yang saya kecapi pada hari ini. Saya juga dapat mendalami pelbagai perkara dan rasionalnya, terutama yang membabitkan aspek pemodenan dan dasar pembangunan negara. Secara tidak langsung, dengan memahami tahap kompleksiti dan kesukaran melaksanakannya, saya dapat menghargai dan mudah-mudahan dapat membantu meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Tun Mahathir.

Kesimpulannya, buku memoir ini sangat berharga untuk dilepaskan. Bacalah, dan hayatilah kandungannya. Mungkin dalam aspek akademik memoir ini bukanlah bahan ilmiah yang teknikal. Namun ia juga bukanlah bahan bacaan yang bersifat popular semata-mata kerana sarat dengan pelbagai panduan, pengajaran dan ilmu yang ditulis oleh seorang negarawan ulung. Secara peribadi, walaupun Tun tidak dianggap seorang ulama, saya menganggap Tun Mahathir adalah tokoh pemikir terbilang era zaman moden yang sudah layak duduk sebaris dengan tokoh Islam zaman silam seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun - berdasarkan usaha dan visi beliau dalam memodenkan umat Islam dan masyarakat amnya.

Sebagai baris akhir - Syabas dan terima kasih Tun Mahathir Mohamad – tokoh dunia moden Islam.

Sabtu, 9 Julai 2011

Sadisnya pelajar IPT hari ini...


Pelik, sedih, kecewa!

Begitulah untuk menggambarkan perasaan saya. Hari ini, 9 Julai 2011, akan tercatit satu lagi 'peristiwa hitam' dalam sejarah negara Malaysia. Gara-gara Perhimpunan BERSIH, kononnya bermatlamat mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya secara adil(?), berlaku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Hakikatnya peristiwa ini sangat mendukacitakan. Jelas sekali apa yang berlaku bukan untuk mencapai 'matlamat' asalnya. Sebaliknya ia merupakan suatu perhimpunan yang ketara didalangi oleh pemimpin parti politik pembangkang dan pemimpin pertubuhan tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan, bertujuan untuk memenuhi kepentingan mereka yang kononnya begitu yakin untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Namun saya bukan hendak berbicara soal politik. Sebaliknya yang ingin diulas ialah penglibatan pelajar dalam perhimpunan tersebut. Cukup menyedihkan dan tersentuh hati saya apabila pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi (IPT) yang mudah sekali diperalatkan demi kepentingan individu tertentu. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Mengapa terjadi sedemikian? Bukankah pelajar IPT adalah golongan bijak pandai?

Bagi saya, seharusnya pelajar IPT cukup matang untuk menilai baik-buruk tindakan mereka. Bahkan dalam sesuatu aktiviti yang tidak ada matlamat yang mantap seperti perhimpunan BERSIH ini, pelajar harus boleh menilainya dengan lebih baik - iaitu dengan tidak menyertainya.

Saya berpendapat golongan pelajar IPT perlu ada pendirian dan melaksanakan gerakan mereka berpandukan matlamat dan prinsip sendiri. Bukannya menjadi alat politik seperti yang berlaku sekarang. Jelas sekali pelajar IPT di Malaysia belum ada pendirian. Fikiran mereka belum matang (terutama pemimpin pelajar tersebut) sehingga diperalatkan sedemikian rupa hanya untuk kepentingan individu atau pihak tertentu.

Walhal sebagai pelajar IPT, mereka harus cerdik dan cukup matang untuk membangkitkan isu-isu yang lebih dekat dengan diri mereka dan bidang pendidikan. Banyak isu-isu di IPT hingga kini masih lagi berlaku dan tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, khususnya kementerian pengajian tinggi dan pihak universiti itu sendiri. Di manakah peranan pemimpin dan persatuan pelajar? Di manakah peranan pelajar dalam menuntut hak mereka?

Misalnya, mutu pembelajaran di universiti jelas semakin merosot. Pencapaian dan kelulusan yang diperolehi tidak membantu graduan di sektor industri. Kadar pengangguran graduan IPT makin meningkat. Ini menunjukkan sesi pengajian universiti tidak membantu meningkatkan prestasi atau kemahiran pelajar. Bahkan lebih buruk lagi, banyak IPT di Malaysia kini lebih menumpukan kepada KPI (Key Performance Index) penyelidikan. Keutamaan yang keterlaluan terhadap soal penerbitan dan penyelidikan yang mengetepikan kebajikan dan pendidikan pelajar, menyebabkan ada kalangan pensyarah sudah tidak mementingkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar tidak lagi mendapat kualiti pembelajaran yang diperlukan.

Bukankah ini yang seharusnya pelajar perjuangkan - iaitu mendapatkan hak terhadap pelajaran yang berkualiti dan bermutu? Kenapa tidak diperjuangkan? Adakah dengan menukar kerajaan boleh menyelesaikan semua masalah pelajar? Belum tentu! Sebabnya pemimpin pembangkang pun 2x5 sahaja. Bahkan jika dilihat pencapaian pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang, haru-biru dibuatnya. Inikah 'kerajaan' yang diharapkan untuk menyelesaikan masalah pelajar?

Malangnya pemimpin pelajar yang cetek pengalaman ini lebih suka kepada hal-hal politik dan berhimpun dalam perhimpunan yang boleh bertukar menjadi ganas (mungkin seronok disembur air, macam hero!). Bukan sahaja ia tidak berkait langsung dengan pelajaran, bahkan boleh membuatkan mereka dibuang universiti. Adakah dengan dibuang atau digantung universiti mencapai matlamat sebagai pelajar?

Begitulah sadisnya pemikiran pelajar IPT yang dikatakan sangat bijak pandai ...