بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Khamis, 14 Julai 2011

Ulasan Buku - A Doctor In The House

Sumber imej: Laman web Tun Dr Mahathir


Tajuk buku : ‘A Doctor In The House’ - The Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad
Penerbit : MPH Publisher
Harga : RM100


Buku ini merupakan buku yang paling tebal pernah saya baca - ~800 muka surat. Namun saya tidak bosan membacanya. Bahkan ada masa saya kena memaksa diri untuk berhenti membacanya, demi melakukan tugas harian lain. Oleh sebab itu juga saya habis membaca dalam masa 2 minggu (cukup cepat bagi saya, untuk buku setebal itu).

Buku ini merupakan catatan pengalaman peribadi mantan Perdana Menteri ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Selain sebagai Perdana Menteri paling lama mentadbir (22 tahun), beliau juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia. Sepanjang tempoh pentadbirannya yang cukup lama itu, nyata tidak dipersiakan oleh Tun. Pelbagai projek dilaksanakan bagi memajukan Malaysia.

Usaha Tun Mahathir amnya banyak bergantung kepada kesinambungan usaha pembangunan yang dilakukan oleh Tun Razak. Melalui usaha Tun Razak, pembangunan Malaysia digerakkan melalui Dasar Ekonomi Baru, Dasar Sekolah Kebangsaan, dan usaha pembangunan masyarakat luar bandar melalui FELDA. Usaha Tun Razak menjadi pemangkin kepada pembangunan Malaysia, khususnya ekonomi orang Melayu dan kemajuan dari aspek perpaduan kaum. Apabila Tun Hussein Onn mengambil alih jawatan Perdana Menteri, semua usaha Tun Razak diteruskan tanpa perubahan yang drastik.

Namun apabila Tun Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri pelbagai pembaharuan drastik diperkenalkan, selain meneruskan kesinambungan usaha Perdana Menteri sebelum beliau. Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah Dasar Pandang ke Timur, projek kereta nasional (PROTON), projek lebuhraya Utara-Selatan, projek Jambatan Pulau Pinang, pengenalan industri mikroelektronik (dan penubuhan MIMOS), pembuatan motosikal pertama nasional (MODENAS) dan kereta ke-2 (PERODUA), dan banyak lagi usaha yang memajukan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Tidak cukup dengan itu Tun juga memberi sinar baharu kepada sistem pentadbiran kerajaan seperti mesin perakam waktu, disiplin dalam perkhidmatan awam, dan pemindahan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya.

Memoir ini memberi kesempatan pada pembaca menelusuri perjalanan hidup Tun Mahathir sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah beliau bersara daripada kerajaan. Pelbagai kisah suka-duka beliau ditulis dalam buku ini. Antaranya pengalaman sebagai remaja ketika pendudukan Jepun, saat-saat awal penglibatan beliau dengan politik dan memasuki sekolah perubatan (kemudian menjadi doktor), penglibatannya dengan UMNO dan juga pengalaman pahit semasa mengalami serangan jantung dan terpaksa dibedah. Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana memoir ini juga merupakan sebuah buku sejarah kerana Tun turut menulis tentang sejarah Tanah Melayu dan proses mencapai kemerdekaan. Justeru sangat sesuai untuk dijadikan rujukan golongan muda yang mungkin tidak mengetahui fakta sejarah selain yang ditulis dalam buku teks di sekolah.

Amnya melalui memoir beliau, Tun Mahathir juga cuba menyelitkan pelbagai penjelasan terhadap isu-isu yang dialami beliau, khususnya yang membabitkan UMNO dan jawatan Perdana Menteri. Kesempatan ini digunakan oleh Tun dalam menjelaskan rasional tindakan-tindakan beliau yang dulunya tidak ada ruang untuk disampaikan kepada umum. Isu-isu membabitkan 'pertelagahan' beliau dengan Tunku Abdul Rahman, kontroversi penyingkiran beliau dari UMNO, pertandingan dengan Tengku Razaleigh (yang mengakibatkan pengharaman UMNO dan penubuhan S46 dan UMNO baru), dan isu yang paling hangat membabitkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang dengan berusaha memberi penjelasan yang cukup terperinci, termasuk yang mungkin tidak akan diketahui oleh orang ramai yang tidak membaca memoir ini.

Tun Mahathir juga turut menulis tentang pelbagai perkara berkaitan tugas dan pengalamannya sebagai doktor, wakil rakyat, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dalam membangunkan status serta pencapaian orang Melayu. Pelbagai kisah teladan, nasihat, peringatan, panduan, dan sebagainya yang (mungkin) ditujukan khas kepada orang Melayu dan generasi muda masa depan.

Keseluruhannya, sebagai pembaca dan orang Melayu Islam, saya benar-benar berpuas hati dengan penulisan memoir ini. Bukan sahaja ia memperkenalkan saya kepada Mahathir Mohamad, malah membantu saya memahami pelbagai perkara yang membabitkan sejarah negara dan proses pembangunannya yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Mahathir. Sebagai generasi muda, adalah penting bagi saya untuk mengetahui dan mendalami perkara ini. Hal ini supaya saya lebih menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam menghasilkan sebuah negara Malaysia yang saya kecapi pada hari ini. Saya juga dapat mendalami pelbagai perkara dan rasionalnya, terutama yang membabitkan aspek pemodenan dan dasar pembangunan negara. Secara tidak langsung, dengan memahami tahap kompleksiti dan kesukaran melaksanakannya, saya dapat menghargai dan mudah-mudahan dapat membantu meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Tun Mahathir.

Kesimpulannya, buku memoir ini sangat berharga untuk dilepaskan. Bacalah, dan hayatilah kandungannya. Mungkin dalam aspek akademik memoir ini bukanlah bahan ilmiah yang teknikal. Namun ia juga bukanlah bahan bacaan yang bersifat popular semata-mata kerana sarat dengan pelbagai panduan, pengajaran dan ilmu yang ditulis oleh seorang negarawan ulung. Secara peribadi, walaupun Tun tidak dianggap seorang ulama, saya menganggap Tun Mahathir adalah tokoh pemikir terbilang era zaman moden yang sudah layak duduk sebaris dengan tokoh Islam zaman silam seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun - berdasarkan usaha dan visi beliau dalam memodenkan umat Islam dan masyarakat amnya.

Sebagai baris akhir - Syabas dan terima kasih Tun Mahathir Mohamad – tokoh dunia moden Islam.

2 ulasan:

  1. Saya pun dah baca buku tersebut.Dari situ kita dapat menilai tindakan yang Tun Dr Mahathir ambil.Bagi saya beliau telah berjaya mengambil tindakan yang tepat tetapi tidak popular demi kepentingan negara keseluruhan nya.Harap pihak berkenaan boleh jadikan ianya sebagai buku teks di sekolah2 begitu juga dengan buku yang berjudul Malay Dilema.

    BalasPadam
  2. Ada buku itupun dah cukup bagus. Sekurangnya boleh dirujuk.

    Saya lupa nak sebut, jasa dan kewibawaan Tun Mahathir dalam memimpin kerajaan menangani krisis matawang sekitar 1997-1999. Itu satu jasa yang besar.

    Saya bukanlah nak membenarkan semua pendapat Tun. Ada juga beberapa pendapat Tun yang saya tak bersetuju. Tapi semua orang ada kelemahan dan kekurangan, termasuk negarawan seperti Tun. Yang baik jadi teladan, yang buruk jadikan pengajaran. terima kasih.

    BalasPadam