Pelik, sedih, kecewa!
Begitulah untuk menggambarkan perasaan saya. Hari ini, 9 Julai 2011, akan tercatit satu lagi 'peristiwa hitam' dalam sejarah negara Malaysia. Gara-gara Perhimpunan BERSIH, kononnya bermatlamat mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya secara adil(?), berlaku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Hakikatnya peristiwa ini sangat mendukacitakan. Jelas sekali apa yang berlaku bukan untuk mencapai 'matlamat' asalnya. Sebaliknya ia merupakan suatu perhimpunan yang ketara didalangi oleh pemimpin parti politik pembangkang dan pemimpin pertubuhan tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan, bertujuan untuk memenuhi kepentingan mereka yang kononnya begitu yakin untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.
Namun saya bukan hendak berbicara soal politik. Sebaliknya yang ingin diulas ialah penglibatan pelajar dalam perhimpunan tersebut. Cukup menyedihkan dan tersentuh hati saya apabila pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi (IPT) yang mudah sekali diperalatkan demi kepentingan individu tertentu. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Mengapa terjadi sedemikian? Bukankah pelajar IPT adalah golongan bijak pandai?
Bagi saya, seharusnya pelajar IPT cukup matang untuk menilai baik-buruk tindakan mereka. Bahkan dalam sesuatu aktiviti yang tidak ada matlamat yang mantap seperti perhimpunan BERSIH ini, pelajar harus boleh menilainya dengan lebih baik - iaitu dengan tidak menyertainya.
Saya berpendapat golongan pelajar IPT perlu ada pendirian dan melaksanakan gerakan mereka berpandukan matlamat dan prinsip sendiri. Bukannya menjadi alat politik seperti yang berlaku sekarang. Jelas sekali pelajar IPT di Malaysia belum ada pendirian. Fikiran mereka belum matang (terutama pemimpin pelajar tersebut) sehingga diperalatkan sedemikian rupa hanya untuk kepentingan individu atau pihak tertentu.
Walhal sebagai pelajar IPT, mereka harus cerdik dan cukup matang untuk membangkitkan isu-isu yang lebih dekat dengan diri mereka dan bidang pendidikan. Banyak isu-isu di IPT hingga kini masih lagi berlaku dan tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, khususnya kementerian pengajian tinggi dan pihak universiti itu sendiri. Di manakah peranan pemimpin dan persatuan pelajar? Di manakah peranan pelajar dalam menuntut hak mereka?
Misalnya, mutu pembelajaran di universiti jelas semakin merosot. Pencapaian dan kelulusan yang diperolehi tidak membantu graduan di sektor industri. Kadar pengangguran graduan IPT makin meningkat. Ini menunjukkan sesi pengajian universiti tidak membantu meningkatkan prestasi atau kemahiran pelajar. Bahkan lebih buruk lagi, banyak IPT di Malaysia kini lebih menumpukan kepada KPI (Key Performance Index) penyelidikan. Keutamaan yang keterlaluan terhadap soal penerbitan dan penyelidikan yang mengetepikan kebajikan dan pendidikan pelajar, menyebabkan ada kalangan pensyarah sudah tidak mementingkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar tidak lagi mendapat kualiti pembelajaran yang diperlukan.
Bukankah ini yang seharusnya pelajar perjuangkan - iaitu mendapatkan hak terhadap pelajaran yang berkualiti dan bermutu? Kenapa tidak diperjuangkan? Adakah dengan menukar kerajaan boleh menyelesaikan semua masalah pelajar? Belum tentu! Sebabnya pemimpin pembangkang pun 2x5 sahaja. Bahkan jika dilihat pencapaian pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang, haru-biru dibuatnya. Inikah 'kerajaan' yang diharapkan untuk menyelesaikan masalah pelajar?
Malangnya pemimpin pelajar yang cetek pengalaman ini lebih suka kepada hal-hal politik dan berhimpun dalam perhimpunan yang boleh bertukar menjadi ganas (mungkin seronok disembur air, macam hero!). Bukan sahaja ia tidak berkait langsung dengan pelajaran, bahkan boleh membuatkan mereka dibuang universiti. Adakah dengan dibuang atau digantung universiti mencapai matlamat sebagai pelajar?
Begitulah sadisnya pemikiran pelajar IPT yang dikatakan sangat bijak pandai ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan