'Dalam gelap gelita sedikit cahaya lilin besar ertinya' *
(*Saya terlupa rujukan.)
Penyelidikan bukan satu tugas yang mudah. Hakikat penyelidikan dalam dunia realiti ialah kita mencari benda yang kita sendiri tidak pasti. 'Pemandu' kita hanya hipotesis, dan setiap petunjuk yang ditemui dalam perjalanan meyakinkan kita bahawa 'pemandu' kita membawa kita ke destinasi yang benar.Maka dalam pencarian ini, kita jangan cepat berputus asa. Sebagai kaedah memotivasi diri, kita harus ingat setiap hasil penyelidikan adalah satu penemuan, setidak-tidaknya pada kita (ilmu yang baru dipelajari), dan jika bernasib baik ilmu yang baru kita pelajari itu akan membawa kita kepada ilmu yang semua orang belum tahu. Walau sekecil (remeh) mana dirasakan penemuan itu, bak kata pepatah di atas, adalah satu 'cahaya', dan dalam keadaan gelap gelita (tanpa ilmu), sekecil mana 'cahaya' itu ia nyata amat bermakna. Maka kita harus berbangga dengan setiap hasil penyelidikan yang diperolehi, kerana kita telah menyumbang sesuatu. Hatta 'kegagalan' yang direkodkan juga dapat dijadikan rujukan kepada penyelidikan akan datang.
Penyelidik merupakan kunci utama kepada kemajuan dalam era perkembangan sains dan teknologi. Ini kerana kemajuan dinilai berasaskan kepada jumlah hasil penyelidikan yang berjaya diaplikasikan. Namun tidak bermakna penyelidikan asas tidak berguna. Walaupun belum berjaya diaplikasikan atau dikenalpasti kegunaannya, ia tetap satu 'ilmu' dan mungkin akan menjadi kunci penting kepada pembangunan negara satu hari nanti, mungkin 100 tahun lagi.
Namun begitu, sebagai penyelidik, kita tidak seharusnya lupa asal kejadian dan matlamat kita (manusia) dijadikan. Maka seharusnya kita kembali dan sentiasa berada di atas jalan yang Allah perintahkan. Jangan kerana sibuk menyelidik, ibadah yang fardhu ditinggalkan, ibadah yang sunat diabaikan. Semuanya perlu seiring, kerana agama melengkapi kehidupan, dan kehidupan memerlukan agama. Alangkah indahnya jika kita sebagai penyelidik, pada masa yang sama dapat menjadi rujukan dalam hal agama. Barulah lengkap istilah 'ulama' (orang berilmu).
Jadi dalam pada kita sibuk menyelidik, mari kita sama-sama berdoa pada Allah yang menguasai alam ini agar setiap penyelidikan kita sentiasa mendapat keberkatan dan rahmah keampunan dariNya (seperti biasa, dimulakan dengan Basmallah & Solawat atas Nabi) :
'Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah tuhan yang maha berkuasa. Yang menguasai seluruh langit dan bumi dan segala isinya. Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan insan-insan yang bertuah yang dapat membongkar rahsia alam yang Engkau ciptakan. Jadikanlah kami insan-insan yang terus berusaha menyumbang bakti dalam membangunkan negara dan masyarakat kami. Kami bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau kurniakan pada kami. Berilah kami kekuatan dan semangat untuk terus berusaha. Rahmatilah usaha kami dan jadikanlah setiap usaha kami sebagai satu usaha ke arah jalan yang Engkau redhai. Mudah-mudahan, setiap sumbangan kami akan mengukuhkan lagi keimanan dan pegangan agama kami dan memperkasakan seluruh umat Islam di seluruh alam ini'. Amin. Ya Rabbal Alamin.