Sekadar hendak mengulas isu berikut:
sumber:
Elaun guru Kafa naik JanuariKUALA LUMPUR: Elaun guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM1,200 sebulan mulai 1 Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Beliau berkata elaun guru itu yang pada masa kini RM500 sebulan, tidak dinaikkan sejak 22 tahun lalu.Katanya, mereka layak untuk diberi elaun setimpal memandangkan kadar inflasi yang meningkat setiap tahun dan ia adalah penghargaan dan pengiktirafan kepada pejuang Islam."Kenaikan ini kerana menyedari selama ini paras gaji dan kedudukan pegawai agama (guru agama) tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan terlalu berhati-hati untuk membelanjakan gaji atau elaun mereka yang menegakkan syiar Islam," katanya selepas merasmikan Majlis Ihtifal Perdana dan penyampaian Sijil Tadika Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, semalam.Majlis yang julung kali diadakan di Wilayah Persekutuan itu dihadiri 2,900 pelajar daripada 5,662 Tadika Islam JAWI dan MAIWP menamatkan alam tadika.Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MAIWP berkata, oleh kerana kutipan zakat MAIWP mencecah RM200 juta setahun maka adalah munasabah guru berkenaan mendapat kenaikan elaun.Sehubungan itu, katanya, negeri lain digalakkan mencontohi MAIWP untuk menaikkan kadar elaun guru SRA dan Kafa di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing.Ahmad Zahid berkata, sebanyak 625 jawatan guru tadika di Wilayah Persekutuan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang (sehingga 2012) bagi menampung keperluan guru sedia ada yang pada masa kini seramai 278 orang.Beliau berkata, MAIWP juga akan menaik taraf Tadika Islam Jawi dan MAIWP yang kini berjumlah sebanyak 78 buah."Jika selama ini tadika Islam hanya menumpang di masjid, flat dan dewan orang ramai, maka premis tadika Islam yang lebih baik dan mesra akan dibangunkan," katanya. - Bernama
Perhatian yang diberikan oleh menteri yang berkenaan sewajarnya dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, dan seharusnya dihargai. Bayangkan sejak 22 tahun tidak pernah mendapat kenaikan gaji. Walhal para pendidik SRA dan KAFA memainkan peranan penting dalam memastikan generasi muda terus dibekalkan ilmu akhirat yang cukup (selain sumbangan pusat pendidikan yang lain yang seumpamanya). Peranan mereka jelas begitu penting, di saat generasi muda terdedah kepada gelombang globalisasi yang mudah menghanyutkan mereka yang lemah imannya.
Justeru usaha ini merupakan satu pembaharuan ke arah memantapkan sistem pendidikan asas Islam di Malaysia, kerana kenaikan gaji akan menjanjikan jaminan sumber pendapatan lebih baik kepada tenaga pendidik KAFA. Ini sekaligus memberi mereka semangat untuk lebih tekun mendidik dan menggalakkan mereka memberi fokus kepada pengajaran, bukan sibuk mencari pendapatan sampingan. Satu lagi kebaikannya adalah dapat menarik perhatian lebih ramai golongan yang mencari kerja, dan membolehkan pihak yang menguruskan SRA dan KAFA memilih tenaga pengajar yang benar-benar berwibawa dan berkebolehan, tidaklah sekadar mengajar bagai 'melepas batuk di tangga'.
Namun perkembangan ini hanya berlaku di bawah wilayah tadbiran MAIWP. Diharapkan negeri-negeri lain mengambil pendekatan yang sama dalam memantapkan lagi sistem pendidikan Islam di negara ini.
p/s: Teringat waktu saya sekolah, ustazah di SRA, pagi 'mengajar' (menoreh) pokok getah, petang mengajar kami.
Terbaru (4 Dis 2008) - PUZPP (Pusat Urus Zakat Pulau Pinang) mengambil pendekatan yang sama dengan MAIWP dengan menaikkan elaun guru agama dan KAFA sebanyak 50%. Syabas dan terima kasih atas kesedaran pihak berkenaan terhadap kepentingan agama pada tamadun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan