بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Khamis, 13 November 2008

Pembudayaan dan Pemerkasaan Bahasa

Semalam saya selesai menghadiri seminar Antarabangsa Linguistik & Pembudayaan Bahasa Melayu ke 4 di FBMK, UPM. Seminar yang berlangsung selama 2 hari ini mengungkapkan hasil-hasil kajian terkini berkenaan bahasa Melayu. Menariknya, ketika seminar ini saya berpeluang mendengar pembentangan kertas dasar oleh Prof Emiritus Dr Abdullah Hassan. Itulah pertama kali saya mendengar pembentangan beliau. Sungguh menggagumkan. Tanpa pergerakan badan yang banyak dan dengan gaya bersahaja, beliau memperlihatkan ketokohan sebagai seorang yang ahli dalam bahasa Melayu. Gaya ucapan, lenggok bahasa dan susunan kata beliau menarik perhatian saya untuk mendengar sepanjang 1 jam pembentangan (malangnya, terganggu dek seorang 'jurujual' di sebelah saya yang mengambil kesempatan menjual buku, dan mendakwa dia seorang tokoh bahasa. memalukan!).

Prof Abdullah membentangkan kertas dasar berkenaan 'berbudi bahasa' yang benar-benar memberi kesan pada diri saya. Antara isi yang disampaikan adalah betapa pentingnya 'berbudi bahasa dalam berbahasa'. Pertuturan juga dikatakan berkait rapat dengan pencapaian akademik seseorang. Menurut Prof Abdullah daripada hasil kajian ringkas, terdapat korelasi menunjukkan penggunaan bahasa yang baik dapat membantu pencapaian seseorang. Namun Prof. Abdullah berpendapat hal berkenaan masih sebagai andaian dan belum dibuktikan.

Sememangnya berbudi bahasa itu sangat penting. Selain membudayakan bahasa yang betul, berbudi bahasa mencerminkan keperibadian seseorang. Kita boleh nilai peribadi seseorang daripada gaya percakapannya. Misalnya, menurut Prof Abdullah, nama gelaran perlu dipraktikkan dengan betul dan tidak dipandang remeh. Penggunaan nama gelaran boleh menjadi kayu ukur budi bahasa seseorang. Panggilan 'pakcik' dan 'abang' tidak boleh digunakan untuk orang yang berpangkat lebih tinggi, misalnya kepada ketua di pejabat. Sebaliknya panggilan lebih formal seperti 'Dr', 'Datuk', 'Encik' harus digunakan. Ini mencerminkan rasa hormat kita pada mereka, secara tak langsung 'mengambil hati'. Ini adalah contoh 'berbudi bahasa dalam berbahasa' yang dibentangkan oleh Prof Abdullah.

Dalam soal membudaya dan memperkasakan bahasa Melayu, wajar diambil perhatian. Mutakhir ini bahasa Melayu semakin kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat lebih senang dan cenderung untuk mengujarkan bahasa Inggeris sebagai bahasa harian. Natijahnya, budaya negatif (khususnya yang telah popular di Barat) lebih mudah menular melalui pembudayaan bahasa. Bahasa kesat dan lucah secara senyap mempengaruhi remaja menjadi liar dan biadap. Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Justeru dalam membendung gejala negatif, salah satu cara adalah dengan cara mempromosi bahasa Melayu yang kaya dengan nilai positif, misalnya unsur berbudi bahasa yang dinyatakan di atas. Bukan sahaja dapat membendung masalah sosial, malah dapat memartabatkan semula bahasa Melayu.

Kebetulan akhbar Berita Harian (online) hari ini melaporkan isu berkaitan bahasa, seperti berikut: Sumber: (BH Online, 13 Nov 2008)
'Usah pinggir BM dalam subjek Sains, Matematik'
Tun Rahman Ya'kub bantah pengajaran guna bahasa Inggeris

Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my

KUCHING: Bahasa Melayu akan menjadi bahasa melukut di tepi gantang jika Kementerian Pelajaran meneruskan keputusan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang membantah keputusan itu sekeras-kerasnya, berkata bahasa Melayu tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak berkata, setakat ini tiada bukti bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak dapat bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, sejak dasar Bahasa Kebangsaan dilaksanakannya pada 1970, kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Melayu bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, malah ramai yang bergelar pakar dalam Sains dan Matematik di negara ini sekarang, mempelajarinya dalam bahasa Melayu.

"Jadi, langkah Kementerian Pelajaran mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu harus ditentang.

"Saya membantah keputusan itu sekeras-kerasnya dan pihak berkaitan perlu mengajar kedua-dua subjek itu semula dalam bahasa Melayu," katanya selepas berucap pada majlis Wacana Ilmu bertajuk Pembangunan Pendidikan di Sarawak, anjuran Institut Aminuddin Baki di Pusat Maklumat Islam (PMI) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak melarang warga negara ini mempelajari bahasa lain, termasuk bahasa Jerman, namun tidak setuju kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris kerana ia akan memberi kesan mendalam kepada murid-murid yang mempelajarinya terutama peringkat rendah.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan akan menimbulkan pelbagai masalah berkaitan termasuk kos yang tinggi bagi menyediakan tenaga pengajar yang dapat menarik murid mempelajari kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Beliau yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, orang politik tidak sepatutnya campur tangan dalam soal bahasa, sebaliknya menyerahkannya kepada pakar bidang itu membuat keputusan.

Katanya, sebarang keputusan yang hendak dibuat harus dirujuk kepada beberapa pakar dalam bidang berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1970-an, negara berdepan dengan kekurangan guru Sains yang kritikal.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, beliau pergi ke Indonesia untuk mendapatkan kerjasama dengan meminjamkan seberapa ramai guru Sains selama tiga tahun untuk bertugas di sekolah di negara ini.

"Hasilnya amat membanggakan dan ramai guru dari Indonesia enggan pulang ke tanah air mereka selepas tempoh tiga tahun berakhir kerana mereka selesa dengan keamanan dan perpaduan di negara ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, mentaliti pemimpin Melayu Sarawak pada zaman penjajah rajah kulit putih ialah tidak mahu melihat orang Melayu mendapat pendidikan sempurna kerana khuatir akan menyaingi mereka.

Selain itu katanya, masalah kewangan dan sikap tidak yakin kepada kemampuan diri sendiri menyebabkan ramai di antara mereka tidak melanjutkan pelajaran.

Bukanlah bermakna bahasa lain misalnya bahasa Inggeris harus dipinggirkan. Cuma bahasa Melayu mempunyai nilai murni dan unsur kebudayaan yang dapat memupuk masyakat dengan nilai yang positif. Ini sekaligus mendorong bahasa Melayu sesuai untuk dijadikan bahasa ilmu, kerana bahasa Melayu itu sendiri bersifat mendidik. Maka wajarlah sekiranya bahasa Melayu dibudayakan dan diperkasakan semula menjadi bahasa yang utama. Jika boleh menjadi bahasa utama di rantau Asia Tenggara.

p/s: sedikit sebanyak kesan menghadiri seminar bahasa ;)

2 ulasan:

  1. kalau saya di kedai makan, saya terbias memanggil pelayan itu encik atau cik bukan abang, adik, akak.

    ms itu kawan-kawan akan pandang saya pelik macam saya alien dari angkasa lepas.

    ketika itu saya sedar kesantunan bahasa kian terhakis.

    ;-)

    BalasPadam
  2. Terima kasih Ainun sudi dtg.

    Bagusnya.

    Saranan Prof Abdullah pada hadirin (tika itu) agar teruskan budaya berbudi bahasa. Itulah adat budaya Melayu. Dan itulah juga yang disuruh dalam agama kita.

    BalasPadam