Assalamualaikum / slmt sejahtera
En./Cik/Sdr
Pagi ni saya diberi ilham utk menulis satu saranan '20 sen' buat kita semua. Semoga sama-sama dapat manfaatnya.
Kebelakangan ini negara dihangatkan dengan isu PPSMI. Ramai yang menyokong, dan tak kurang yang membantah. Namun di sebalik semua kesan baik/buruk yang timbul, mungkin PPSMI akan diteruskan. Tidak dapat tidak akan kena pada batang hidung kita, kerana kalangan kita ada yang mempunyai anak-anak, saudara-mara, kawan-kawan yang terpaksa berdepan dengan masalah apabila berkomunikasi dlm bahasa Inggeris.
Antara kesan buruk yang timbul (katanya), ialah kemerosotan pencapaian pelajar-pelajar dlm bidang akademik akibat tidak fasih dalam bahasa Inggeris. Jika benar, ia merugikan sebab bukan sahaja mutu bahasa Inggeris yang sedia rendah itu semakin rendah, malah mengheret sama pencapaian dalam bidang lain iaitu Matematik dan Sains ke tahap yang lebih rendah. Khabarnya gred markah terpaksa diturunkan demi untuk menonjolkan prestasi pelajar yang stabil (walaupun tak stabil). Entahlah.
Di sini disarankan supaya para mahasiswa, para ilmuan dan pesara-pesara yang mempunyai kemahiran dan mutu bahasa Inggeris yang baik, supaya memberi sumbangan dlm mengatasi masalah yg dikatakan timbul akibat pelaksanaan PPSSMI ini, iaitu dengan cara:
- membimbing mana-mana pelajar yang diketahui bermasalah supaya dapat meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris
- memberi nasihat, dorongan dan galakan supaya lebih proaktif utk meningkatkan mutu bahasa Inggeris melalui pembacaan dan sebagainya
- menyediakan peluang-peluang pendidikan - tutorial, kelas tambahan, usrah dsb - yg murah/percuma bagi membantu pelajar yang bermasalah
- menyediakan bahan-bahan pendidikan utk membantu pelajar meningkatkan mutu bahasa Inggeris mahupun subjek lain
- dll yang difikirkan dapat membantu.
saranan ini patut disampaikan pada mahasiswa kerana mereka sepatutnya mempunyai kemahiran yang diperlukan dan sebagai bakal pemimpin, mereka patut digalak memberi sumbangan dan melatih diri untuk menjadi seorang pemimpin. Manakala kepada para ilmuan itu sudah tentulah memberi sumbangan. Kalau tidak, tentu tidak dipanggil ilmuan. Dan buat para pesara (dan bakal pesara), sumbangan anda sangat ditagih kerana golongan lain mungkin sibuk (dan takde masa?) utk memberi sumbangan yang diharapkan ini. Justeru para pesara (dan bakal pesara yg dinasihatkan oleh Menteri jgn disambung kontrak?) boleh terus menyumbang amal bakti dengan memberi bimbingan kepada anak-anak, cucu-cucu, saudara mara atau sesiapa saja yang memerlukan.
Semoga dengan saranan '20 sen' ini, diharapkan kita semua dapat sama-sama menyumbang untuk negara :)
wallahua'lam (Allah lebih tahu)
p/s: kalau rasa bermanfaat haraplah dapat disebarkan. terima kasih
Selasa, 31 Mac 2009
Sisipan - Saranan utk para mahasiswa, ilmuan dan pesara
Isnin, 30 Mac 2009
Antara 'betul-salah', 'dua pilihan' dan 'atas pagar'
Persoalan betul-salah bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup kita. Malah mungkin kita adalah antara individu yang sering menganggap diri/pendapat kita betul dan orang lain adalah salah. Tapi, apakah sebenarnya maksud 'betul' dan 'salah'? Adakah semua orang punya maksud dan definisi 'betul/salah' yang sama? Saya cuba merungkai persoalan betul-salah kerana persoalan memilih betul-salah memberi impak yang besar dalam hidup kita, dan hakikatnya telah mencetuskan pelbagai polemik sesama manusia sejak zaman nabi Adam a.s. lagi.
Persoalan betul-salah merupakan satu persoalan logik. Ilmu logik mengganggap, hanya ada dua keadaan - betul atau salah. Jika sesuatu tidak betul, maka ia salah, dan begitu juga sebaliknya. Amnya, persoalan betul-salah kerap dijadikan asas untuk menentukan perjalanan hidup hari ini. Hidup memerlukan kita memilih yang betul dan menghindarkan yang salah. Kerana persoalan betul-salah, manusia boleh berjaya. Kerana betul-salah, manusia boleh gagal. Kerana persoalan betul-salah manusia bergaduh, berselisih-faham dan bermusuh. Inilah yang saya maksudkan polemik yang dicetuskan oleh persoalan betul-salah, kerana manusia berselisih faham kesan daripada menganggap dia betul, dan pihak lain salah. (pernah ke dengar individu bergaduh kerana mahu pertahankan dia salah?)
Dalam ilmu logik, terdapat dua keadaan - betul atau salah. Ahli matematik, George Boole, mempelopori teori ini, dan ia dijadikan asas kepada dunia digital (nilai betul/salah dinamakan nilai Boolean). Keadaan diskrit diwakilkan kepada 2 perwakilan - 1/0 atau wujud/tak wujud. Perwakilan diskrit 1/0 memudahkan maklumat disimpan dan dimanipulasi dalam dunia digital. Konsep pengiraan perwakilan 1/0 dimudahkan lagi melalui kewujudan nombor andasar 2. Walau bagaimanapun, secara realiti persoalan betul-salah atau logik bukanlah suatu yang bersifat diskrit sepenuhnya seperti yang digunakan di dalam komputer dan dunia digital.
Hari ini, ramai di kalangan kita menganggap logik adalah jalan penyelesaian kepada masalah dalam hidup. Tidak dinafikan bahawa penggunaan logik membantu memudahkan kita membuat keputusan. Amnya, manusia berfikir menggunakan logik. Jika kita mewakilkan satu keadaan sebagai 'betul', dan sebaliknya sebagai 'salah', maka proses penilaian akan jadi lebih mudah kerana kita hanya perlu mengambil keputusan berdasarkan 2 keadaan saja - betul atau salah. Misalnya, jika kita wakilkan 'terus berjalan akan sampai' sebagai betul, dan 'berhenti berjalan akan sampai' sebagai salah, maka jika 'ingin sampai' kita akan pilih keadaan 'terus berjalan' (betul) dan sekaligus mengelakkan 'berhenti berjalan' (salah).
Persoalan logik juga menjadi punca manusia berselisih faham. Apabila 2 pihak menganggap diri masing-masing betul dan pihak lain salah, biasanya perselisihan dan polemik akan wujud. Pasti, kerana masing-masing akan cuba mempertahankan ke'betul'an masing-masing. Hal ini berlaku kerana kita secara mudah menganggap bahawa setiap pendapat hanya ada dua keadaan saja - jika pendapat saya betul, maka pendapat lain salah. Ini merupakan satu kesilapan besar yang kita lakukan tanpa kita sedari. Dan lebih malang, kesilapan ini membawa kepada masalah yang besar. Adakala masalah ini membawa kepada perpecahan, permusuhan, peperangan, kematian, kemusnahan dan penderitaan yang berpanjangan.
Kita patut sedar, walaupun logik itu kelihatan sah sebagai satu asas pemikiran, ilmu logik bukan satu-satunya kaedah penyelesaian dalam membuat keputusan. Ini kerana, paling mudah kita berbalik kepada persoalan definisi - bagaimana kita tahu sesuatu itu 'betul'/'salah' dan bukan sebaliknya? Kelemahan ilmu logik yang nyata ialah, ilmu logik itu sendiri dibuat berasaskan logik terhadap sesuatu yang lain (dianggap sebagai 'fakta', dan dikenali sebagai premis), yang mana sesuatu yang disandarkan sebagai 'fakta' itupun belum tentu betul/salah. Bahkan, walaupun sesuatu 'fakta' boleh jadi betul pada masa ini, tidak mustahil ia didapati salah kemudiannya.
Untuk menjelaskan kelemahan logik, pertimbangkan pernyataan 'anda kaya'. Betulkah anda kaya? Bagaimana anda tahu anda kaya? Kaya sebab banyak wang. Maka jika anda banyak wang, betullah anda kaya. Tapi, betulkah anda banyak wang? Bagaimana anda tahu anda banyak wang? Dan persoalan ini sebenarnya tidak akan habis melainkan pada akhirnya, kita akan membuat andaian bahawa sesuatu keadaan itu betul - misalnya andaian 'wang' ialah sesuatu dengan definisi sekian, sekian, dan diterima sebagai satu 'fakta'. Jadi ilmu logik sebenarnya suatu yang rapuh, kerana hakikatnya kita tidak boleh 100% pasti bahawa 'betul' itu betul, 'salah' itu salah, dan sebaliknya. Logik itu rapuh kerana dibuat berdasarkan 'fakta' yang kita sendiri andaikan sebagai 'betul' (boleh jadi ia salah!)
Ini secara langsung merupakan satu alasan mengapa logik tidak sepatutnya digunakan untuk memikirkan hal-hal berkaitan alam ghaib seperti alam ruh, akhirat dan sebagainya. Kalau dalam kehidupan nyata manusia pun logik tidak sah sepenuhnya, bagaimana logik boleh digunakan untuk mempertimbang dan menilai alam ghaib? Justeru tidak hairan jika dalam Islam, logik ditolak sebagai asas pemikiran untuk mendalami ilmu tauhid.
Antara fokus utama artikel ini adalah untuk menyatakan bahawa, dalam hidup kita tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada logik betul-salah. Semua perkara dalam hidup kita bukanlah hanya ada dua keadaan (betul-salah). Jika satu pihak menganggap ia 'betul', belum tentu keadaan yang selain keadaan 'betul' itu tidak betul (salah). Malangnya ramai antara kita yang terlampau taksub dan berpegang kepada prinsip betul-salah ini. Ini menyebabkan berlaku pelbagai polemik hingga mencetuskan permusuhan dan sebagainya. Tetapi, apa yang perlu kita buat dalam pemikiran kita untuk menilai sesuatu, kita sememangnya boleh menganggap bahawa kita 'betul'. Cuma, sebaiknya kita jangan cepat menganggap sesuatu yang bukan 'betul' itu adalah salah.
Ada golongan yang mengaitkan pendekatan betul-salah menjadi prinsip 'dua pilihan'. Dalam prinsip yang dianggap 'dua pilihan' ini, kita semua cuma hanya dua pilihan. Sama ada pilih A atau pilih B. Dikatakan jika kita tidak pilih A, maka kita akan pilih B. Ada kebenarannya. Misalkan, kita membuat pilihan sama ada kita nak buat sesuatu tindakan atau tidak. Kita boleh pilih untuk buat (jadi A), atau tidak buat (maka jadi B). Tetapi malangnya, dalam mengambil pendekatan 'dua pilihan' ini, ada pendekatan ekstrem yang menganggap jika kita tidak pilih A, maka PASTI kita pilih B. Ini kurang tepat. Apabila bercakap soal membuat keputusan dalam hidup, tidak wajar jika mengambil pendekatan ekstrem dan melampau seperti ini. Kerana hakikat hidup kita, di antara dua pilihan ada yang ketiga (malah mungkin banyak lagi). (dan begitu juga jika berdua-duaan di tempat sunyi, ada yang ketiga!)
Apabila kita ingin membuat keputusan dalam hidup, kita sentiasa ada sekurang-kurangnya 2 pilihan. Tetapi kita mungkin ada lebih banyak pilihan. Jika dimodelkan dalam bentuk formula, jika kita ada N pilihan untuk bertindak, kita sentiasa ada 2N-1 kemungkinan keadaan. Maka jika N=2 (iaitu minimum 2 pilihan), maka kita ada sekurang-kurangnya 3 (2*2-1) kemungkinan keadaan yang akan dihadapi!
Untuk menjelaskan model di atas, misalkan dalam keadaan kita akan menduduki peperiksaan. Kita ada 2 pilihan - ambil peperiksaan, atau tidak. Jika tidak ambil, asasnya kita akan gagal. Jika ambil, ada 2 kemungkinan - berjaya atau gagal. Jadi 2 tindakan - ambil/tidak, dan 3 keadaan - tidak_ambil:gagal, ambil:berjaya, ambil:gagal. Namun, mungkin juga jika tidak ambil, kita ada pilihan lain cth. jalani latihan praktikal untuk ganti peperiksaan. Dan pilihan ini akan hasilkan 2 keadaan lagi - praktikal:berjaya, praktikal:gagal (sekarang 3 pilihan, 5 keadaan).
Apa yang ingin dijelaskan ialah, dalam hidup ini konsep 'dua pilihan' boleh diterimapakai, cuma jangan terlalu ekstrem dengan menganggap kita cuma ada 2 pilihan. Model tersebut di atas dapat menjelaskan 2 prinsip penting: (1)dalam membuat (walau 1) pilihan, sekurang-kurangnya ada 3 keadaan yang bakal dihadapi, dan (2)kita tidak terhad kepada 2 pilihan saja (cuma pilihan minimum 2, maksimum mungkin banyak lagi).
Prinsip (1) menerangkan bahawa terdapat 3 kemungkinan yang akan berlaku walaupun kita hanya ada 1 peluang untuk bertindak, dan 1 peluang itu bukanlah satu-satunya pilihan yang ada. Ini menyangkal dakwaan jika ada 1 peluang bertindak bermakna 1 pilihan saja. Maka dalam kes jika ada 2 pihak bermusuh (2 peluang), kita tidak semestinya berpihak pada pihak-pihak yang terlibat (misal kata A atau B). Kita boleh memilih untuk berpihak pada A, B, atau tidak memilih sama ada A/B, iaitu 'atas pagar' (ini juga 1 pilihan!). Buktinya dibuktikan melalui model tersebut di atas.
Prinsip (2) pula menerangkan bahawa, dalam hidup kita hakikatnya kita mungkin ada banyak peluang untuk bertindak dan tidak terhad pada 2 peluang saja. Maka jika gagal dalam 1 peluang, kita perlu cari peluang-peluang tindakan lain yang ada. Semakin banyak peluang yang ada, semakin banyak kemungkinan yang akan berlaku, dan bermakna peluang untuk berjaya semakin tinggi. Buktinya, jika kita guna model 2N-1: andai kita cuma ada 1 peluang tindakan saja, sekurang-kurangnya N=2. Maka kemungkinan yang ada = 2*2-1 = 3. Tetapi jika peluang tindakan lebih tinggi cth N=6, kemungkinan = 2*6-1 = 11 kemungkinan!
Sengaja saya nyatakan contoh 'atas pagar' di atas kerana konsep betul-salah dan 'dua pilihan' menjadi antara faktor penyebab kepada konflik dan polemik di kalangan masyarakat hari ini. Saya melihat bahawa masyarakat hari ini telah mengaplikasi konsep'betul-salah' dan 'dua pilihan' secara kurang tepat. Hakikatnya konsep betul-salah merupakan asas saja dan tidak seharusnya di'telan' bulat-bulat sebagai asas pemikiran manusia kepada kehidupan realiti. Di tambah lagi dengan ego dan sikap mementingkan diri, akan menjejaskan lagi pertimbangan dalam membuat keputusan, lantas menimbulkan perselisihan. Begitu juga dengan konsep 'dua pilihan' yang mana segolongan individu mengaplikasinya secara terus hingga menghadkan peluang-peluang bertindak dan menjejaskan motivasi diri.
Saya kemukakan situasi masyarakat hari ini, di mana kita boleh lihat pelbagai konflik dan polemik yang mencetuskan permusuhan. Ini berlaku apabila segolongan individu menganggap mereka betul, dan pihak selainnya adalah salah. Sementara mana-mana individu yang ingin memberi pendapat, dipaksa memilih salah satu pihak yang bermusuh. Jika tidak memilih mana-mana pihak yang bermusuh, mereka dianggap 'atas pagar' dan tidak ada pendirian.
Maka kesemua konsep dan prinsip yang telah diterangkan sebenarnya boleh diaplikasikan sebagai penyelesaian kepada situasi ini. Jika mana-mana individu yang bermusuh, mengamalkan konsep 'betul-salah' secara berkadar dan tidak ekstrem, maka penyelesaian sebenarnya akan dapat dicapai. Apabila mana-mana pihak menganggap mereka betul, janganlah terus menganggap satu pihak lagi sebagai salah. Amalan konsep 'betul-salah' yang diaplikasi secara berkadar/berpada, akan membenarkan bahawa satu pihak yang 'bukan betul' mungkin betul juga. Maka perbincangan perlu dilakukan untuk sama-sama memilih pendapat yang 'betul' secara sepakat, dengan menyatukan pendapat-pendapat yang 'betul' dan mengetepikan yang sama-sama dianggap 'salah'.
Manakala konsep 'dua pilihan' secara minimum, mampu mengelakkan konflik daripada menjadi lebih buruk. Ini kerana apabila konflik berlaku, ia akan jadi lebih buruk apabila ada sokongan kepada mana-mana pihak yang berkonflik. Selain kesan ekstremis betul-salah, konsep 'dua pilihan' yang ekstrem juga menjadi punca bertambahnya sokongan. Individu yang mengemukakan pendapat terpaksa memilih pihak untuk disokong kerana malu dikatakan 'atas pagar' (atau tidak sedar pilihan ke-3). Maka bila memihak kepada satu pihak, sokongan bertambah lantas konflik menjadi lebih buruk. Akan tetapi, jika konsep 'dua pilihan' diaplikasi secara minimum, individu yang baru terlibat boleh memilih menjadi orang tengah, dan tidak memilih mana-mana pihak. Justeru sokongan dikurangkan, dan konflik boleh diselesaikan. Tambah lagi jika orang tengah itu mampu menyelesaikan konflik tersebut.
Sebagai rumusan, keseluruhannya artikel ini cuba menjelaskan prinsip 'betul-salah' dan konsep 'dua pilihan' secara lebih wajar, berbanding apa yang diamalkan oleh masyarakat hari ini. Ini kerana kelemahan aplikasi konsep 'betul-salah' dan 'dua pilihan' telah menjadi antara faktor konflik dan polemik di kalangan masyarakat. Justeru dengan penjelasan dan cadangan yang diberikan, diharap dapat menunjukkan kaitan prinsip 'betul-salah' dan 'dua pilihan' sebagai faktor kepada kepincangan (konflik) yang berlaku, dan melalui konsep yang sama cuba mencadangkan kaedah penyelesaiannya dalam melahirkan masyarakat yang sama-sama 'betul'!
p/s: betul atau salah?
[kemaskini - 31/3/2009]
nota-kaki: Artikel ini lebih sesuai dijadikan tesis berbanding artikel umum. Tapi saya bukan (belum jadi?) ahli bidang falsafah mahupun logik. Jadi saya terbitkan sebagai bahan bacaan saja. Mudah-mudahan sama-sama dapat manfaat.
Jumaat, 13 Mac 2009
Sisipan - Bukankah Masa Itu Berharga?
Sedarlah, dalam kita sibuk berdebat dan berdemonstrasi, orang lain sibuk membina teknologi. Sedarlah, menang atau kalah, yang jadi mangsa anak bangsa kita ... apa yang kita buat sebenarnya?
[Kemaskini 31/3/2009]
Nampaknya ada perkembangan yang positif. Alhamdulillah. Terima kasih buat semua yang telah cuba bersepakat demi kebaikan bersama, walaupun masih 'keruh' . (Kenyataan akhbar GMP berhubung pertemuan dengan Menteri Pelajaran)
dan perkembangan terbaru PPSMI setakat 31/3/2009
[1]
PPSMI diteruskan di sekolah menengah?
[sumber: Utusan Online]
KUALA LUMPUR 30 Mac - Keputusan kerajaan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diumumkan tidak lama lagi, tidak semestinya dengan meneruskan dasar itu bulat-bulat atau menolaknya sama sekali.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa yang diutamakan ialah menyesuaikan dasar itu mengikut pencapaian kanak-kanak tempatan.
"Sama ada kita memansuhkan PPSMI atau tidak, saya percaya itu tidak menentukan atau memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan.
"Kementerian mempunyai cadangan yang hendak dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Salah satu ialah menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Jelas Hishammuddin, cadangan lain ialah memulakan PPSMI di tahun empat sehingga sekolah menengah dan menggunakan bahasa penghantar yang ditentukan oleh sekolah sendiri.
"Satu lagi cadangan ialah menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di tahun satu hingga tiga diikuti dwibahasa pada tahun empat hingga enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.
"Jangan lihat PPSMI saja yang menentukan kelangsungan dan kedudukan bahasa kebangsaan kerana usaha memartabatkan bahasa memerlukan pelbagai pendekatan serta penggemblengan semua pihak," katanya.
Sementara itu dalam jawapan kepada soalan asal Firdaus, Hishammuddin menjelaskan, empat perkara utama yang diambil kira berhubung isu PPSMI ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar diperkasakan.
"Dua lagi perkara yang diambil kira ialah kompetensi guru mengajar Sains dan Matematik serta pencapaian murid dalam kedua-dua mata pelajaran itu terus dipertingkatkan," katanya.
Tambah Hishammuddin, dalam konteks PPSMI yang melibatkan pelaburan besar, tenaga pengajar yang ramai iaitu 165,000 guru dan enam juta murid yang melalui dasar ini, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua kajian.
"Semua pihak tidak perlu terlalu emosi kerana sememangnya isu ini sesuatu isu yang penting. Akhirnya kalau kita silap membuat keputusan, kita akan ralat 10 atau 20 tahun.
"Kemudian ketika itu anak-anak kita toleh ke belakang dan kata mereka inilah yang membuat keputusan tidak bijak dan tidak tepat," katanya.
[2]
Syor PPSMI bermula Tahun Empat
Oleh Sazarina Shahrim dan Liza Wasilan
bhnews@bharian.com.myKUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mencadangkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, manakala penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu diteruskan di sekolah menengah.
Kementerian turut mencadangkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hanya dimulakan pada Tahun Empat hingga sekolah menengah atau menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi mata pelajaran terbabit.
Selain itu, sekolah diberi kuasa menentukan penggunaan bahasa pengantar dua subjek itu, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu adalah antara cadangan dikemukakan kementeriannya kepada Kabinet berhubung PPSMI.
"Kerajaan tidak akan menolak dasar PPSMI ataupun menerima dasar itu secara bulat-bulat. Kita tidak perlu melihat perkara ini sebagai situasi kalah-kalah, tolak bulat-bulat atau terima bulat-bulat.
"Apa yang kita hendak lihat adalah menyesuaikannya mengikut pencapaian anak-anak kita," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di Dewan Negara, semalam.Hishammuddin berkata, cadangan itu dibuat hasil daripada pelbagai perbincangan, mesyuarat dan persidangan secara terbuka yang dibuat, antaranya membabitkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak kerajaan dan pembangkang.
Pada sidang media selepas itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno menafikan dakwaan kononnya beliau cuba menidakkan peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam proses kemerdekaan negara ketika memberikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu.
Beliau berkata, dakwaan itu yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, tidak bertanggungjawab kerana ucapannya sudah disalah tafsir.
Hmmm....
Isnin, 2 Mac 2009
Buku - Biografi Muhammad bin Abdullah (S.A.W)
(Edisi Kemaskini)
Pengarang:
1. Prof Dr Zulkifli Mohd Yusoff
2. PM Dr Noor Naemah Abd. Rahman
Penerbit: PTS
Harga: RM39.00
Mukasurat: 496 mukasurat
Penilaian: ***** (5/5)
Sumber gambar
Satu lagi buku yang menarik. Buku ini merupakan sebuah catatan biografi perjalanan hidup dan suka-duka perjuangan Rasulullah S.A.W. yang diolah dalam bentuk cerita. Bermula dari peristiwa Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan supaya meninggalkan isterinya Siti Hajar di tengah padang pasir, peristiwa pembinaan Kaabah, sejarah perkembangan Kota Mekah, kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., pengutusan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul, pengembangan Islam, penubuhan kerajaan Islam Madinah, pembukaan Kota Mekah, pengembangan dan usaha da'wah Rasulullah sebagai pemimpin kerajaan Islam, hinggalah saat-saat sewaktu kewafatan Rasulullah S.A.W.
Amnya, saya berasa sangat bertuah dapat membacanya. Inilah antara buku-buku tentang sirah/sejarah Rasulullah S.A.W. yang dapat menyentuh hati saya. Apabila terbaca tentang penyeksaan oleh Musyrikin Quraisy, saya terbayang betapa peritnya derita yang terpaksa ditanggung oleh golongan yang paling awal memeluk Islam ketika itu. Tidak kurang, terbayang juga rasa gembira Nabi dan para Sahabat ketika saat-saat Saidina Umar memeluk Islam. Malah semangat juga turut rasa berkobar ketika membaca tentang perjuangan Nabi dan para Sahabat (r.a.) sewaktu era peperangan menentang golongan Musyrikin Quraisy dan sekutunya yang memusuhi Islam. Malahan, yang paling menyentuh hati saya ialah tatkala membaca detik-detik Rasulullah mengucapkan selamat tinggal kepada para Sahabat dan kaum Muslimin hinggakan air mata saya bergenang, apatah lagi ketika membaca saat-saat kewafatan Rasulullah. Saat itu, saya bukan saja terasa kehilangan seorang Nabi, malah terasa seolah-olah kehilangan seorang pemimpin dan sahabat yang sangat-sangat disayangi.
Inilah komen peribadi saya untuk menggambarkan betapa menariknya buku ini untuk anda baca. Tahniah buat pengarang, yang pada saya, telah berjaya membawa karya ilmuan tentang sejarah Islam ke tahap yang mampu mengatasi novel-novel cinta dan karya popular di pasaran! Gaya penulisan dalam bahasa Melayu yang mudah difahami, olahan yang menarik, selain perjalanan cerita yang mudah diikuti menjadikan buku ini sesuai dibaca dan dihayati oleh pelbagai peringkat umur. Anda akan terasa seperti membaca sebuah novel (walaupun hakikatnya ia sebuah karya bersifat ilmiah dan sesuai menjadi bahan rujukan). Secara peribadi, saya menyarankan kepada anda yang ingin mengetahui tentang sejarah (dan menghargai perjuangan) Nabi Muhammad S.A.W. sekurang-kurangnya perlu memiliki buku ini.
Namun, buku ini tetap ada kekurangannya. Bagi yang ingin mendalami sejarah Islam dan perjuangan Rasulullah, buku ini bukanlah sebuah karya dan rujukan yang lengkap. Sebaliknya, hanya sebagai satu permulaan untuk menaikkan semangat dan keinginan membaca rujukan-rujukan sejarah Islam yang lain. Kebanyakan peristiwa-peristiwa bersumberkan hadis tidak dinyatakan rujukannya dengan lengkap, melainkan tentang peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran (disertakan nama surah dan nombor ayat).
Walaupun kandungan buku ini cuba disusun berdasarkan urutan masa, terdapat beberapa maklumat yang sama diulang beberapa kali, dan tidak menurut masa seperti yang cuba dilakukan. Walau bagaimanapun kelemahan tidak begitu ketara, dan urutan ceritanya tetap mudah difahami.
Selain itu, buku ini ditulis dalam bentuk yang agak umum dan santai. Maka terdapat banyak elemen yang penting (mungkin sengaja) ditinggalkan misalnya teks 'S.A.W.' yang biasa ditulis setiap kali menulis nama Nabi Muhammad. Pengarang ada menyatakan bahawa antara sasaran golongan pembaca termasuk pembaca bukan Islam. Mungkin sebagai sebagai bahan bacaan memperkenalkan tentang sejarah Islam. Justeru, kerana penulisannya yang agak umum dan tidak terperinci, para pembaca dinasihatkan sentiasa ingat bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah kekasih Allah yang benar, mulia dan sentiasa terpelihara. Maka, pembacaan hendaklah didasarkan kepada hakikat ini supaya iman dan rasa kasih pada Nabi tidak goyah (terutama bila membaca tentang mukjizat, keadaan serta tindakan nabi yang luar dari kebiasaan dan logik akal). Hakikatnya Nabi dibimbing oleh wahyu dan petunjuk Allah S.W.T.
Sebagai penutup, saya mengalukan anda membeli buku ini. Selamat membaca, dan semoga akan bertambahlah iman dan taqwa kita pada Allah S.W.T., serta kasih kita pada Nabi Muhammad S.A.W. yang tercinta.
kemaskini [3/3/2009]
p/s: ulasan di atas bukan 1 ulasan berbentuk ilmiah/kritis. Jadi ulasan ini tidak sesuai dijadikan rujukan ilmiah. Sekadar luahan hati dan perkongsian daripada saya, sebagai pembaca, untuk mengajak anda semua sama-sama membaca. Begitu juga ulasan-ulasan buku yang saya paparkan sebelum ini. Kalau ulasan ilmiah/kritis, kandungannya lain. Harap maklum.
kemaskini [22/10/2010]
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn Firdaus Tahir, mantan editor di PTS Islamika Sdn Bhd kerana sudi memetik sebahagian tulisan Lelucon sebagai 'pengakuan' pembaca dalam edisi kemaskini buku di atas (Sila rujuk kulit belakang buku tersebut). Tahniah buat penulis buku -Prof. Dato' Dr Zulkifli dan Prof. Madya Datin Dr. Noor Naemah- serta warga kerja PTS Islamika.
p/s: (Utk Pn Firdaus dan PTS Islamika, saya dengan rasminya mengizinkan.)