Tajuk: Biografi Muhammad bin Abdullah
(Edisi Kemaskini)
Pengarang:
1. Prof Dr Zulkifli Mohd Yusoff
2. PM Dr Noor Naemah Abd. Rahman
Penerbit: PTS
Harga: RM39.00
Mukasurat: 496 mukasurat
Penilaian: ***** (5/5)
Sumber gambar
Satu lagi buku yang menarik. Buku ini merupakan sebuah catatan biografi perjalanan hidup dan suka-duka perjuangan Rasulullah S.A.W. yang diolah dalam bentuk cerita. Bermula dari peristiwa Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan supaya meninggalkan isterinya Siti Hajar di tengah padang pasir, peristiwa pembinaan Kaabah, sejarah perkembangan Kota Mekah, kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., pengutusan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul, pengembangan Islam, penubuhan kerajaan Islam Madinah, pembukaan Kota Mekah, pengembangan dan usaha da'wah Rasulullah sebagai pemimpin kerajaan Islam, hinggalah saat-saat sewaktu kewafatan Rasulullah S.A.W.
Amnya, saya berasa sangat bertuah dapat membacanya. Inilah antara buku-buku tentang sirah/sejarah Rasulullah S.A.W. yang dapat menyentuh hati saya. Apabila terbaca tentang penyeksaan oleh Musyrikin Quraisy, saya terbayang betapa peritnya derita yang terpaksa ditanggung oleh golongan yang paling awal memeluk Islam ketika itu. Tidak kurang, terbayang juga rasa gembira Nabi dan para Sahabat ketika saat-saat Saidina Umar memeluk Islam. Malah semangat juga turut rasa berkobar ketika membaca tentang perjuangan Nabi dan para Sahabat (r.a.) sewaktu era peperangan menentang golongan Musyrikin Quraisy dan sekutunya yang memusuhi Islam. Malahan, yang paling menyentuh hati saya ialah tatkala membaca detik-detik Rasulullah mengucapkan selamat tinggal kepada para Sahabat dan kaum Muslimin hinggakan air mata saya bergenang, apatah lagi ketika membaca saat-saat kewafatan Rasulullah. Saat itu, saya bukan saja terasa kehilangan seorang Nabi, malah terasa seolah-olah kehilangan seorang pemimpin dan sahabat yang sangat-sangat disayangi.
Inilah komen peribadi saya untuk menggambarkan betapa menariknya buku ini untuk anda baca. Tahniah buat pengarang, yang pada saya, telah berjaya membawa karya ilmuan tentang sejarah Islam ke tahap yang mampu mengatasi novel-novel cinta dan karya popular di pasaran! Gaya penulisan dalam bahasa Melayu yang mudah difahami, olahan yang menarik, selain perjalanan cerita yang mudah diikuti menjadikan buku ini sesuai dibaca dan dihayati oleh pelbagai peringkat umur. Anda akan terasa seperti membaca sebuah novel (walaupun hakikatnya ia sebuah karya bersifat ilmiah dan sesuai menjadi bahan rujukan). Secara peribadi, saya menyarankan kepada anda yang ingin mengetahui tentang sejarah (dan menghargai perjuangan) Nabi Muhammad S.A.W. sekurang-kurangnya perlu memiliki buku ini.
Namun, buku ini tetap ada kekurangannya. Bagi yang ingin mendalami sejarah Islam dan perjuangan Rasulullah, buku ini bukanlah sebuah karya dan rujukan yang lengkap. Sebaliknya, hanya sebagai satu permulaan untuk menaikkan semangat dan keinginan membaca rujukan-rujukan sejarah Islam yang lain. Kebanyakan peristiwa-peristiwa bersumberkan hadis tidak dinyatakan rujukannya dengan lengkap, melainkan tentang peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran (disertakan nama surah dan nombor ayat).
Walaupun kandungan buku ini cuba disusun berdasarkan urutan masa, terdapat beberapa maklumat yang sama diulang beberapa kali, dan tidak menurut masa seperti yang cuba dilakukan. Walau bagaimanapun kelemahan tidak begitu ketara, dan urutan ceritanya tetap mudah difahami.
Selain itu, buku ini ditulis dalam bentuk yang agak umum dan santai. Maka terdapat banyak elemen yang penting (mungkin sengaja) ditinggalkan misalnya teks 'S.A.W.' yang biasa ditulis setiap kali menulis nama Nabi Muhammad. Pengarang ada menyatakan bahawa antara sasaran golongan pembaca termasuk pembaca bukan Islam. Mungkin sebagai sebagai bahan bacaan memperkenalkan tentang sejarah Islam. Justeru, kerana penulisannya yang agak umum dan tidak terperinci, para pembaca dinasihatkan sentiasa ingat bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah kekasih Allah yang benar, mulia dan sentiasa terpelihara. Maka, pembacaan hendaklah didasarkan kepada hakikat ini supaya iman dan rasa kasih pada Nabi tidak goyah (terutama bila membaca tentang mukjizat, keadaan serta tindakan nabi yang luar dari kebiasaan dan logik akal). Hakikatnya Nabi dibimbing oleh wahyu dan petunjuk Allah S.W.T.
Sebagai penutup, saya mengalukan anda membeli buku ini. Selamat membaca, dan semoga akan bertambahlah iman dan taqwa kita pada Allah S.W.T., serta kasih kita pada Nabi Muhammad S.A.W. yang tercinta.
kemaskini [3/3/2009]
p/s: ulasan di atas bukan 1 ulasan berbentuk ilmiah/kritis. Jadi ulasan ini tidak sesuai dijadikan rujukan ilmiah. Sekadar luahan hati dan perkongsian daripada saya, sebagai pembaca, untuk mengajak anda semua sama-sama membaca. Begitu juga ulasan-ulasan buku yang saya paparkan sebelum ini. Kalau ulasan ilmiah/kritis, kandungannya lain. Harap maklum.
kemaskini [22/10/2010]
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn Firdaus Tahir, mantan editor di PTS Islamika Sdn Bhd kerana sudi memetik sebahagian tulisan Lelucon sebagai 'pengakuan' pembaca dalam edisi kemaskini buku di atas (Sila rujuk kulit belakang buku tersebut). Tahniah buat penulis buku -Prof. Dato' Dr Zulkifli dan Prof. Madya Datin Dr. Noor Naemah- serta warga kerja PTS Islamika.
p/s: (Utk Pn Firdaus dan PTS Islamika, saya dengan rasminya mengizinkan.)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
terima kasih... inshaAllaah akan baca =)
BalasPadamsalam
wslm. sama2. trima kasih juga. ingatkan dah 'terbang jauh' :)
BalasPadamterbang jauh? x faham...
BalasPadambazla' ni pun..ingat hang dah menghilang..betul tak..hehehe...
BalasPadambuku ni pun sasarannya untuk non muslim..jadinye, memang patut kalau ia tak terlalu ilmiah..untuk permulaan pastinya ia cukup bagus..aku snediri kalau mencari buku biografi tak nak yang terlalu ilmiah sebab tak nak boring..asal maklumat tak salah..dan yang lebih terperinci tu lebih baik untuk lebih faham dan tahu
betul, betul, betul :)
BalasPadamWalaupun buku ini bkn kategori ilmiah tetapi bagi saya rujukan mesti ada tambah-tambah lagi ianya buku berkaitan sejarah Islam.
BalasPadam