بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Isnin, 30 Mac 2009

Antara 'betul-salah', 'dua pilihan' dan 'atas pagar'

Amati kenyataan berikut - "betul, awak salah!". Pada pendapat anda, individu yang dimaksudkan dengan 'awak' itu betul atau salah?

Persoalan betul-salah bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup kita. Malah mungkin kita adalah antara individu yang sering menganggap diri/pendapat kita betul dan orang lain adalah salah. Tapi, apakah sebenarnya maksud 'betul' dan 'salah'? Adakah semua orang punya maksud dan definisi 'betul/salah' yang sama? Saya cuba merungkai persoalan betul-salah kerana persoalan memilih betul-salah memberi impak yang besar dalam hidup kita, dan hakikatnya telah mencetuskan pelbagai polemik sesama manusia sejak zaman nabi Adam a.s. lagi.

Persoalan betul-salah merupakan satu persoalan logik. Ilmu logik mengganggap, hanya ada dua keadaan - betul atau salah. Jika sesuatu tidak betul, maka ia salah, dan begitu juga sebaliknya. Amnya, persoalan betul-salah kerap dijadikan asas untuk menentukan perjalanan hidup hari ini. Hidup memerlukan kita memilih yang betul dan menghindarkan yang salah. Kerana persoalan betul-salah, manusia boleh berjaya. Kerana betul-salah, manusia boleh gagal. Kerana persoalan betul-salah manusia bergaduh, berselisih-faham dan bermusuh. Inilah yang saya maksudkan polemik yang dicetuskan oleh persoalan betul-salah, kerana manusia berselisih faham kesan daripada menganggap dia betul, dan pihak lain salah. (pernah ke dengar individu bergaduh kerana mahu pertahankan dia salah?)

Dalam ilmu logik, terdapat dua keadaan - betul atau salah. Ahli matematik, George Boole, mempelopori teori ini, dan ia dijadikan asas kepada dunia digital (nilai betul/salah dinamakan nilai Boolean). Keadaan diskrit diwakilkan kepada 2 perwakilan - 1/0 atau wujud/tak wujud. Perwakilan diskrit 1/0 memudahkan maklumat disimpan dan dimanipulasi dalam dunia digital. Konsep pengiraan perwakilan 1/0 dimudahkan lagi melalui kewujudan nombor andasar 2. Walau bagaimanapun, secara realiti persoalan betul-salah atau logik bukanlah suatu yang bersifat diskrit sepenuhnya seperti yang digunakan di dalam komputer dan dunia digital.

Hari ini, ramai di kalangan kita menganggap logik adalah jalan penyelesaian kepada masalah dalam hidup. Tidak dinafikan bahawa penggunaan logik membantu memudahkan kita membuat keputusan. Amnya, manusia berfikir menggunakan logik. Jika kita mewakilkan satu keadaan sebagai 'betul', dan sebaliknya sebagai 'salah', maka proses penilaian akan jadi lebih mudah kerana kita hanya perlu mengambil keputusan berdasarkan 2 keadaan saja - betul atau salah. Misalnya, jika kita wakilkan 'terus berjalan akan sampai' sebagai betul, dan 'berhenti berjalan akan sampai' sebagai salah, maka jika 'ingin sampai' kita akan pilih keadaan 'terus berjalan' (betul) dan sekaligus mengelakkan 'berhenti berjalan' (salah).

Persoalan logik juga menjadi punca manusia berselisih faham. Apabila 2 pihak menganggap diri masing-masing betul dan pihak lain salah, biasanya perselisihan dan polemik akan wujud. Pasti, kerana masing-masing akan cuba mempertahankan ke'betul'an masing-masing. Hal ini berlaku kerana kita secara mudah menganggap bahawa setiap pendapat hanya ada dua keadaan saja - jika pendapat saya betul, maka pendapat lain salah. Ini merupakan satu kesilapan besar yang kita lakukan tanpa kita sedari. Dan lebih malang, kesilapan ini membawa kepada masalah yang besar. Adakala masalah ini membawa kepada perpecahan, permusuhan, peperangan, kematian, kemusnahan dan penderitaan yang berpanjangan.

Kita patut sedar, walaupun logik itu kelihatan sah sebagai satu asas pemikiran, ilmu logik bukan satu-satunya kaedah penyelesaian dalam membuat keputusan. Ini kerana, paling mudah kita berbalik kepada persoalan definisi - bagaimana kita tahu sesuatu itu 'betul'/'salah' dan bukan sebaliknya? Kelemahan ilmu logik yang nyata ialah, ilmu logik itu sendiri dibuat berasaskan logik terhadap sesuatu yang lain (dianggap sebagai 'fakta', dan dikenali sebagai premis), yang mana sesuatu yang disandarkan sebagai 'fakta' itupun belum tentu betul/salah. Bahkan, walaupun sesuatu 'fakta' boleh jadi betul pada masa ini, tidak mustahil ia didapati salah kemudiannya.

Untuk menjelaskan kelemahan logik, pertimbangkan pernyataan 'anda kaya'. Betulkah anda kaya? Bagaimana anda tahu anda kaya? Kaya sebab banyak wang. Maka jika anda banyak wang, betullah anda kaya. Tapi, betulkah anda banyak wang? Bagaimana anda tahu anda banyak wang? Dan persoalan ini sebenarnya tidak akan habis melainkan pada akhirnya, kita akan membuat andaian bahawa sesuatu keadaan itu betul - misalnya andaian 'wang' ialah sesuatu dengan definisi sekian, sekian, dan diterima sebagai satu 'fakta'. Jadi ilmu logik sebenarnya suatu yang rapuh, kerana hakikatnya kita tidak boleh 100% pasti bahawa 'betul' itu betul, 'salah' itu salah, dan sebaliknya. Logik itu rapuh kerana dibuat berdasarkan 'fakta' yang kita sendiri andaikan sebagai 'betul' (boleh jadi ia salah!)

Ini secara langsung merupakan satu alasan mengapa logik tidak sepatutnya digunakan untuk memikirkan hal-hal berkaitan alam ghaib seperti alam ruh, akhirat dan sebagainya. Kalau dalam kehidupan nyata manusia pun logik tidak sah sepenuhnya, bagaimana logik boleh digunakan untuk mempertimbang dan menilai alam ghaib? Justeru tidak hairan jika dalam Islam, logik ditolak sebagai asas pemikiran untuk mendalami ilmu tauhid.

Antara fokus utama artikel ini adalah untuk menyatakan bahawa, dalam hidup kita tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada logik betul-salah. Semua perkara dalam hidup kita bukanlah hanya ada dua keadaan (betul-salah). Jika satu pihak menganggap ia 'betul', belum tentu keadaan yang selain keadaan 'betul' itu tidak betul (salah). Malangnya ramai antara kita yang terlampau taksub dan berpegang kepada prinsip betul-salah ini. Ini menyebabkan berlaku pelbagai polemik hingga mencetuskan permusuhan dan sebagainya. Tetapi, apa yang perlu kita buat dalam pemikiran kita untuk menilai sesuatu, kita sememangnya boleh menganggap bahawa kita 'betul'. Cuma, sebaiknya kita jangan cepat menganggap sesuatu yang bukan 'betul' itu adalah salah.

Ada golongan yang mengaitkan pendekatan betul-salah menjadi prinsip 'dua pilihan'. Dalam prinsip yang dianggap 'dua pilihan' ini, kita semua cuma hanya dua pilihan. Sama ada pilih A atau pilih B. Dikatakan jika kita tidak pilih A, maka kita akan pilih B. Ada kebenarannya. Misalkan, kita membuat pilihan sama ada kita nak buat sesuatu tindakan atau tidak. Kita boleh pilih untuk buat (jadi A), atau tidak buat (maka jadi B). Tetapi malangnya, dalam mengambil pendekatan 'dua pilihan' ini, ada pendekatan ekstrem yang menganggap jika kita tidak pilih A, maka PASTI kita pilih B. Ini kurang tepat. Apabila bercakap soal membuat keputusan dalam hidup, tidak wajar jika mengambil pendekatan ekstrem dan melampau seperti ini. Kerana hakikat hidup kita, di antara dua pilihan ada yang ketiga (malah mungkin banyak lagi). (dan begitu juga jika berdua-duaan di tempat sunyi, ada yang ketiga!)

Apabila kita ingin membuat keputusan dalam hidup, kita sentiasa ada sekurang-kurangnya 2 pilihan. Tetapi kita mungkin ada lebih banyak pilihan. Jika dimodelkan dalam bentuk formula, jika kita ada N pilihan untuk bertindak, kita sentiasa ada 2N-1 kemungkinan keadaan. Maka jika N=2 (iaitu minimum 2 pilihan), maka kita ada sekurang-kurangnya 3 (2*2-1) kemungkinan keadaan yang akan dihadapi!

Untuk menjelaskan model di atas, misalkan dalam keadaan kita akan menduduki peperiksaan. Kita ada 2 pilihan - ambil peperiksaan, atau tidak. Jika tidak ambil, asasnya kita akan gagal. Jika ambil, ada 2 kemungkinan - berjaya atau gagal. Jadi 2 tindakan - ambil/tidak, dan 3 keadaan - tidak_ambil:gagal, ambil:berjaya, ambil:gagal. Namun, mungkin juga jika tidak ambil, kita ada pilihan lain cth. jalani latihan praktikal untuk ganti peperiksaan. Dan pilihan ini akan hasilkan 2 keadaan lagi - praktikal:berjaya, praktikal:gagal (sekarang 3 pilihan, 5 keadaan).

Apa yang ingin dijelaskan ialah, dalam hidup ini konsep 'dua pilihan' boleh diterimapakai, cuma jangan terlalu ekstrem dengan menganggap kita cuma ada 2 pilihan. Model tersebut di atas dapat menjelaskan 2 prinsip penting: (1)dalam membuat (walau 1) pilihan, sekurang-kurangnya ada 3 keadaan yang bakal dihadapi, dan (2)kita tidak terhad kepada 2 pilihan saja (cuma pilihan minimum 2, maksimum mungkin banyak lagi).

Prinsip (1) menerangkan bahawa terdapat 3 kemungkinan yang akan berlaku walaupun kita hanya ada 1 peluang untuk bertindak, dan 1 peluang itu bukanlah satu-satunya pilihan yang ada. Ini menyangkal dakwaan jika ada 1 peluang bertindak bermakna 1 pilihan saja. Maka dalam kes jika ada 2 pihak bermusuh (2 peluang), kita tidak semestinya berpihak pada pihak-pihak yang terlibat (misal kata A atau B). Kita boleh memilih untuk berpihak pada A, B, atau tidak memilih sama ada A/B, iaitu 'atas pagar' (ini juga 1 pilihan!). Buktinya dibuktikan melalui model tersebut di atas.

Prinsip (2) pula menerangkan bahawa, dalam hidup kita hakikatnya kita mungkin ada banyak peluang untuk bertindak dan tidak terhad pada 2 peluang saja. Maka jika gagal dalam 1 peluang, kita perlu cari peluang-peluang tindakan lain yang ada. Semakin banyak peluang yang ada, semakin banyak kemungkinan yang akan berlaku, dan bermakna peluang untuk berjaya semakin tinggi. Buktinya, jika kita guna model 2N-1: andai kita cuma ada 1 peluang tindakan saja, sekurang-kurangnya N=2. Maka kemungkinan yang ada = 2*2-1 = 3. Tetapi jika peluang tindakan lebih tinggi cth N=6, kemungkinan = 2*6-1 = 11 kemungkinan!

Sengaja saya nyatakan contoh 'atas pagar' di atas kerana konsep betul-salah dan 'dua pilihan' menjadi antara faktor penyebab kepada konflik dan polemik di kalangan masyarakat hari ini. Saya melihat bahawa masyarakat hari ini telah mengaplikasi konsep'betul-salah' dan 'dua pilihan' secara kurang tepat. Hakikatnya konsep betul-salah merupakan asas saja dan tidak seharusnya di'telan' bulat-bulat sebagai asas pemikiran manusia kepada kehidupan realiti. Di tambah lagi dengan ego dan sikap mementingkan diri, akan menjejaskan lagi pertimbangan dalam membuat keputusan, lantas menimbulkan perselisihan. Begitu juga dengan konsep 'dua pilihan' yang mana segolongan individu mengaplikasinya secara terus hingga menghadkan peluang-peluang bertindak dan menjejaskan motivasi diri.

Saya kemukakan situasi masyarakat hari ini, di mana kita boleh lihat pelbagai konflik dan polemik yang mencetuskan permusuhan. Ini berlaku apabila segolongan individu menganggap mereka betul, dan pihak selainnya adalah salah. Sementara mana-mana individu yang ingin memberi pendapat, dipaksa memilih salah satu pihak yang bermusuh. Jika tidak memilih mana-mana pihak yang bermusuh, mereka dianggap 'atas pagar' dan tidak ada pendirian.

Maka kesemua konsep dan prinsip yang telah diterangkan sebenarnya boleh diaplikasikan sebagai penyelesaian kepada situasi ini. Jika mana-mana individu yang bermusuh, mengamalkan konsep 'betul-salah' secara berkadar dan tidak ekstrem, maka penyelesaian sebenarnya akan dapat dicapai. Apabila mana-mana pihak menganggap mereka betul, janganlah terus menganggap satu pihak lagi sebagai salah. Amalan konsep 'betul-salah' yang diaplikasi secara berkadar/berpada, akan membenarkan bahawa satu pihak yang 'bukan betul' mungkin betul juga. Maka perbincangan perlu dilakukan untuk sama-sama memilih pendapat yang 'betul' secara sepakat, dengan menyatukan pendapat-pendapat yang 'betul' dan mengetepikan yang sama-sama dianggap 'salah'.

Manakala konsep 'dua pilihan' secara minimum, mampu mengelakkan konflik daripada menjadi lebih buruk. Ini kerana apabila konflik berlaku, ia akan jadi lebih buruk apabila ada sokongan kepada mana-mana pihak yang berkonflik. Selain kesan ekstremis betul-salah, konsep 'dua pilihan' yang ekstrem juga menjadi punca bertambahnya sokongan. Individu yang mengemukakan pendapat terpaksa memilih pihak untuk disokong kerana malu dikatakan 'atas pagar' (atau tidak sedar pilihan ke-3). Maka bila memihak kepada satu pihak, sokongan bertambah lantas konflik menjadi lebih buruk. Akan tetapi, jika konsep 'dua pilihan' diaplikasi secara minimum, individu yang baru terlibat boleh memilih menjadi orang tengah, dan tidak memilih mana-mana pihak. Justeru sokongan dikurangkan, dan konflik boleh diselesaikan. Tambah lagi jika orang tengah itu mampu menyelesaikan konflik tersebut.

Sebagai rumusan, keseluruhannya artikel ini cuba menjelaskan prinsip 'betul-salah' dan konsep 'dua pilihan' secara lebih wajar, berbanding apa yang diamalkan oleh masyarakat hari ini. Ini kerana kelemahan aplikasi konsep 'betul-salah' dan 'dua pilihan' telah menjadi antara faktor konflik dan polemik di kalangan masyarakat. Justeru dengan penjelasan dan cadangan yang diberikan, diharap dapat menunjukkan kaitan prinsip 'betul-salah' dan 'dua pilihan' sebagai faktor kepada kepincangan (konflik) yang berlaku, dan melalui konsep yang sama cuba mencadangkan kaedah penyelesaiannya dalam melahirkan masyarakat yang sama-sama 'betul'!

p/s: betul atau salah?

[kemaskini - 31/3/2009]

nota-kaki: Artikel ini lebih sesuai dijadikan tesis berbanding artikel umum. Tapi saya bukan (belum jadi?) ahli bidang falsafah mahupun logik. Jadi saya terbitkan sebagai bahan bacaan saja. Mudah-mudahan sama-sama dapat manfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan