بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 2 Disember 2009

Sisipan - Cerita tentang 'Upin & Ipin'


TAHNIAH & SYABAS

Nampaknya siri animasi 'Upin & Ipin' dah pun ditayangkan di Disney Channel (Astro-saluran 614). Tahniah dan syabas kepada pengurusan dan semua warga kerja Les' Copaque. Suatu usaha yg sangat baik. Sebagai rakyat Malaysia, saya tumpang rasa berbangga dan mengucapkan terima kasih kepada anda semua (warga Les' Copaque). Tidak sia-sia pelaburan penaja - MDeC, TM dll.

Kalau berdasarkan kualiti siri animasi tersebut, saya tak hairan Upin & Ipin dapat menembusi pasaran antarabangsa. Cuma yang mengkagumkan saya, kesanggupan Les' Copaque berusaha menjual karyanya di pasaran antarabangsa. Tentunya memerlukan keyakinan dan usaha yang banyak. Harapnya siri 'Saladin' (MDeC) akan menurut pula kejayaan ini.

Semoga animasi 'Upin & Ipin' terus berkembang dan mendapat sambutan. Bila agaknya akan jadi 30 minit? Dari segi pasaran, bila nak ke Amerika Syarikat dan Jepun?

Jom tonton: http://www.upindanipin.com.my/downloads.html

Ahad, 8 November 2009

Kepentingan Islam dari perspektif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

(Siri MEMBANGUN BERSAMA ISLAM - bhgn 3)



Pemikiran kritikal adalah asas kepada budaya penyelidikan. Pemikiran kritikal menghendaki kita berfikir secara rasional dan mencari rasionaliti terhadap setiap yang berlaku dalam hidup kita. Melalui persoalan-persoalan yang dikemukakan boleh mendorong kita mencari sebab-musabab kepada sesuatu perkara dan alasan yang munasabah untuk kita menerimanya. Pemikiran kritikal selalu disebut apabila bercakap soal pemikiran saintifik. Sesetengah ahli sains terlalu obses dengan tema ini, sehingga menolak sama sekali kewujudan alam rohaniah. Salah satu sebabnya adalah kerana alam rohaniah tidak boleh dijelaskan menggunakan hujah pemikiran rasional. Malah 'kekurangan' ini mendorong ahli sains terbabit menolak konsep agama dalam kehidupan (terutama yang melibatkan alam roh dan akhirat, seperti Islam).

Namun dalam keghairahan kita untuk menerima pemikiran saintifik dan pemikiran kritikal, kita tidak harus menolak agama (cth menganggapnya karut, tidak penting dll). Sebagai orang Islam, keimanan dan tauhid itu menjadi asas kepada ajaran Islam. Jika kita menolak kepercayaan terhadap alam roh dan hari akhirat, maka Islam kita belum sempurna. Apatah lagi jika kita menolak keseluruhan konsep beragama sepertimana fahaman ahli sains atheis. Membuktikan kewujudan alam roh bagi menunjukkan kepentingan agama mungkin sangat sukar. Sebab-sebabnya ialah (1) kekangan ilmu dan (2) kekangan teknologi. Pembuktian tanpa ilmu tidak akan membuktikan apa-apa. Manakala untuk mewujudkan ilmu tanpa teknologi adalah sangat sukar.

Bagi umat Islam kita sangat bertuah kerana telah dibekalkan ilmu, iaitu Al-Quran. Mukjizat ini dihuraikan pula oleh sunnah dan hadis Nabi S.A.W.. Namun kita masih tidak mampu menjelaskan setiap ilmu ini secara saintifik kerana tidak ada sebarang teknologi/ilmu saintifik yang dapat menjelaskannya dengan sempurna. Hanya sebahagian teknologi hari ini dapat digunakan untuk membuktikan kandungan Al-Quran. Sebagai orang Islam kita tetap percaya walaupun belum terbukti. Usaha perlu diteruskan bagi mencari 'bukti' dan 'sebab-musabab' kepentingan beragama supaya dapat meningkatkan keimanan kita dan juga meyakinkan orang yang menolak agama (khususnya Islam) atas nama 'saintifik'. (Hakikatnya kita tidak perlu tunggu bukti untuk beriman. Bahkan alam sekeliling kita telah pun membuktikan keagungan Allah.)

Walaupun tidak ada hujah saintifik, sebagai Muslim, kita masih boleh menunjukkan kepentingan agama terhadap manusia melalui hikmah, contoh dan kesan positif yang boleh dihasilkan melalui aplikasi agama Islam dalam kehidupan. Justeru artikel ini cuba menghuraikan secara umum kesan positif amalan beragama dan mempraktikkan ajaran Islam dari perspektif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Amnya bidang TMK merupakan salah satu bidang sains sosial kerana ianya lebih melibatkan aplikasi, misalnya ilmu matematik dan bahasa. Ia bukanlah sains tulen/asas seperti ilmu fizik, kimia mahupun biologi. Di sebalik bidang TMK, wujud pula bidang Sains Komputer. Sains Komputer mengkaji secara saintifik teori dan ilmu yang dapat digunapakai untuk meningkatkan bidang pengkomputan dan komputasi. Ini sekaligus meningkatkan prestasi komputer bagi kegunaan manusia dan memperluaskan manfaatnya dalam pelbagai bidang.

Bagi menjelaskan kepentingan Islam kepada TMK, kita boleh lihat dalam 2 aspek - (1)sumbangan Islam kepada TMK, dan (2)potensi serta sumbangan TMK kepada perkembangan Islam. Melalui huraian aspek (1), kita boleh menilai kepentingan dan sumbangan utama Islam dari segi pembangunan sahsiah modal insan yang seimbang terhadap bidang TMK. Ada kemungkinan terdapat kepentingan-kepentingan lain yang belum dapat kita rungkai. Namun sekurang-kurangnya ini boleh menjadi titik permulaan kepada penerokaan fungsi agama dalam TMK. Manakala aspek (2), sebenarnya merupakan satu ruang yang agak luas dan terbuka kerana terdapat pelbagai kemungkinan dan usaha yang boleh dilakukan. Namun di sini kita akan membincangkan beberapa potensi TMK terhadap kepentingan Islam, supaya umat Islam dapat melibat bahawa penglibatan Islam sebenarnya menghasilkan lebih banyak peluang kepada potensi saintifik TMK. Justeru dalam aspek ini kepentingan agama lebih dilihat sebagai nilai-tambah kepada bidang TMK.

Melalui aplikasi agama akan dapat melahirkan modal insan yang mantap dalam bidang TMK. Amnya agama lebih tertumpu kepada memantapkan sahsiah diri sebagai manusia. Bidang TMK memerlukan penglibatan manusia. Pelbagai peranan diperlukan oleh TMK seperti penyelidik, pengaturcara, perekabentuk, penganalisis, penguji dan sebagainya. Ada sebahagian peranan telah diambil-alih sepenuhnya oleh komputer (cth penguji), sebahagiannya (computer-assisted spt pengkompil atau pembina program, tugas merekabentuk) atau bergantung sepenuhnya kepada manusia (cth pembinaan algoritma). Oleh kerana wujud penglibatan manusia, maka ia perlukan bimbingan agama bagi memastikan manusia yang terlibat dapat melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Peranan yang boleh dimainkan oleh ajaran Islam terhadap modal insan TMK ialah dalam soal etika dan kualiti kerja. Etika merupakan satu perkara asas yang perlu bagi setiap individu. Etika ditampilkan melalui perwatakan dalaman manusia seperti berintegriti, jujur, ikhlas, adil dsb. Persoalan etika sering diperkatakan kerana ia memberi kesan/impak yang besar terhadap aktiviti yang dilakukan. Pada masa yang sama etika sangat sukar untuk diawasi/dikuatkuasakan. Justeru ianya bergantung kepada keikhlasan/kehendak individu untuk melakukannya, selain adanya undang-undang dan peraturan yang dilaksanakan bagi 'memastikan' kod etika dipatuhi. Dalam hal ini, agama sebenarnya boleh memainkan peranan untuk 'menguatkuasakan' kod etika. Melalui bimbingan (dan desakan) iman, manusia akan cenderung untuk memelihara etika. Bagi orang yang beriman (mempercayai hukuman tuhan), kesalahan adalah dosa yang pasti akan dihukum, setidaknya oleh hukuman akhirat. Maka walaupun tidak diawasi oleh undang-undang, individu tetap memelihara etika kerana adanya 'undang-undang tuhan'.

Apabila ada keimananan, akan mendorong kepada hidup berdisiplin. Jika ditaati dan diamalkan sebaik mungkin (seperti saranan agama), akan melahirkan individu yang mementingkan ketelitian, kecekapan, ketaatan dsb. Ini adalah hasil disiplin. Adanya disiplin yang tinggi akan mendorong modal insan TMK untuk menghasilkan produktiviti yang bukan saja memenuhi matlamat tetapi juga berkualiti tinggi. Misalnya dalam tugas pengaturcaraan/pengekodan, adakala sesuatu matlamat boleh dicapai dengan pelbagai cara. Sama konsepnya dengan nilai 10 yang boleh dihasilkan dengan 5+5, 2x5, 9+1, 12-2, 50/5 dsb. Perkara penting bagi pengaturcara/pengekod adalah memilih cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan mencapai objektif (iaitu masalah komputasi selesai). 'Terbaik' diukur berdasarkan tahap optimum sesuatu penyelesaian, 'efficiency' dan juga kompleksiti sesuatu algoritma. Maka pengaturcara yang beriman akan cuba memilih kaedah yang dirasakannya terbaik (yang mampu dilakukan) kerana ia adalah amanah. Namun bagi yang tidak mementingkan iman, pelbagai unsur 'khianat' atau 'usaha sambil lewa' mungkin diamalkan. Misalnya dalam kes mendapatkan nilai 10, 5+5 lebih efisien berbanding 50 bahagi 5 (50/5). Namun bagi pengaturcara yang tidak beretika mungkin ini tidak diambil peduli, selagi nilai 10 diperolehi. Itupun jika tidak 'mencuri' atau meniru aturcara orang lain. Maka manfaat agama sebenarnya sangat besar terhadap TMK jika dapat diterapkan.

Ajaran Islam merupakan satu ajaran yang (kita imani) berasal dari Allah S.W.T. Maka banyak konsep yang sangat ideal boleh kita dapati dalam Islam. Untuk memahami sesuatu persoalan berkaitan cabang agama, misalnya ilmu fiqh, kita tidak boleh hanya menerima sahaja (sepertimana budaya ikut-ikutan). Sebaiknya, umat Islam perlu berfikiran rasional dengan memahami sebab-sebab di sebalik hukum tersebut (jika boleh). Misalnya, mengapa tidak boleh memegang kulit babi yang basah dan perlu disamak? Alasan umum adalah kerana hukumnya telah jelas sebagai perintah Allah. Tapi setakat menerima fakta 'pegang babi perlu samak' belum cukup. Sebaliknya kita perlu memahami bahawa perintah Allah dalam Al-Quran wajib kita taati (hukum tauhid). Kita perlu belajar kaedah 'samak' yang betul (hukum fiqh selanjutnya). Bagi ilmu saintifik pula kita boleh kaji alasan-alasan yang mungkin wujud di sebalik perintah ini sebagai nilai-tambah kepada pengukuhan iman kita.

Justeru konsep kesempurnaan dan 'ikutan berasas' dalam agama ini menggalakkan kita belajar/mendalami secara menyeluruh ke peringkat dasar, dan ini boleh diterapkan kepada penglibatan dalam bidang TMK. Sebagai contoh, dalam memahami sesuatu peraturan pengaturcaraan kita tidak boleh semata-mata menerima, malah sebaiknya perlu mengkaji alasan dan falsafah di sebalik peraturan itu supaya lebih memahaminya. Antaranya konsep orientasi-objek (OO). OO adalah paradigma, dan bukan sesuatu yang nyata (yakni implicit). Bagi pengaturcara yang tidak memahami konsep OO, adalah mustahil untuk membina program OO menggunakan bahasa pengaturcaraan OO seperti C++. Pengaturcara mungkin akan menghasilkan aturcara bermodul kerana C++ turut membenarkan konsep aturcara bermodul selain OO. Maka dengan penghasilan aturcara bermodul dan bukan OO adalah tidak berkesan dan mencapai matlamat, kerana matlamatnya aturcara berkonsepkan OO. Oleh itu melalui pemahaman dalam beragama kepada pembawaan dalam TMK akan menggalakkan individu menjadi modal insan yang berkualiti dan bermutu. Maka dapat mendorong kepada pemahaman terhadap falsafah dan paradigma, berbanding hanya melihat kepada aplikasi semata-mata.

Sebagai suatu ajaran yang benar dan bersifat universal/sejagat, ada kemungkinan terdapat elemen-elemen dalam ajaran Islam yang boleh dijadikan asas kepada pembinaan teori/aplikasi sains komputer. Tidak mustahil. Sains komputer yang ada sekarang umpamanya, banyak mengaplikasi konsep-konsep dalam alam nyata sebagai asas teori atau perbandingan. Misalnya konsep pepohon dan hutan (struktur data), keselarian (pemprosesan), struktur nahu bahasa (pemprosesan) dan bahasa formal (analisis). Maka ada baiknya jika kita cuba mengkaji kemungkinan-kemungkinan yang wujud dalam ajaran Islam yang boleh diterapkan dalam TMK. Contohnya formula penentuan kedudukan planet berdasarkan ilmu falaq Islam mungkin boleh digunakan bagi formula kebarangkalian, konsep kejadian langit dan bumi yang tersusun boleh menjadi sumber idea penyusunan organisasi sistem komputer dll. Tidak mustahil perkara ini mahupun kemungkinan lain menjadi releven dengan TMK dan dapat direalisasikan. Sesungguhnya alam ini Allah jadikan untuk manusia, dan salah satu elemennya adalah ajaran Islam. Justeru perlu difikirkan contoh/tauladan yang boleh diadaptasi dari ajaran Islam kepada TMK.

Manakala bagi aspek (2) ialah potensi-potensi pembangunan aplikasi dan penyelidikan TMK untuk kepentingan ajaran Islam. Kepentingan agama yang cuba diketengahkan ialah penglibatan agama dapat memperluaskan lagi skop dan ruang aplikasi TMK terhadap kehidupan manusia. Komputer sudah digunakan di pelbagai bidang, dalam pelbagai aspek kehidupan manusia moden. Amnya ini akan mendorong komputer dan TMK terus releven. Justeru dengan memastikan agama itu releven terhadap TMK membolehkan survivaliti agama dalam arus pemodenan hidup manusia. (Hakikatnya agama tetap boleh wujud melalui kepentingan-kepentingan dalam bidang/aspek lain. Ini cuma satu daripadanya.) Namun bahagian seterusnya ini lebih bersifat sebagai cadangan yang merangkumi sebahagian daripada kemungkinan dan potensi yang ada berkenaan TMK.

Antara aplikasi TMK dalam bidang berkaitan ajaran Islam ialah aplikasi sistem zakat dan pengurusan ekonomi Islam. Pengurusan zakat dan ekonomi Islam memerlukan pengurusan yang bukan saja betul, tetapi juga cekap dan efisien. Bagi sebuah pusat pungutan zakat, sistem pengurusan kutipan zakat akan dapat meningkatkan kecekapan pusat berkenaan dalam mengurus harta zakat. Formula zakat tidak sama dengan formula cukai, kerana peraturan dan syaratnya berbeza. Tugas sistem pengurusan zakat bukan saja perlu mengira, tetapi juga menyimpan maklumat, serta mengurus transaksi dan penyaluran wang zakat, maklumat asnaf dan sebagainya. Semua ini akan lebih mudah disempurnakan jika menggunakan sistem komputer kerana maklumat boleh diurus dengan cekap dan pantas. Hasil daripada sistem seperti ini akan mendorong kepada keperluan penyelidikan terhadap model, teori, formula dan sebagainya bagi tujuan penghasilan aplikasi khusus untuk pengurusan zakat dan masalah sepertinya. Malah kajian akan mendorong kepada pengkajian terhadap ilmu baharu. Zakat adalah salah satu model ekonomi Islam dan melalui pengembangan ilmu berkaitan dengannya secara tidak langsung mengembangkan ilmu dan sistem ekonomi Islam.

Al-Quran adalah petunjuk dan rahmat bagi seluruh alam semesta. Maka manusia yang berperanan sebagai khalifah bukan saja perlu memelihara isi Al-Quran tetapi juga menjadikannya sumber rujukan yang utama. Tidak bermakna jika Al-Quran itu dianggap petunjuk, tetapi tidak dirujuk mahupun dibaca. Justeru umat Islam perlu ada satu sistem yang menguruskan kandungan Al-Quran sebagai rujukan utama. Kemudian rekod-rekod hadis boleh disimpan bagi membantu menerangkan isi kandungan Al-Quran. Matlamat ini mendorong kepada pembangunan sistem pangkalan data/maklumat oleh pakar rujuk kepada kandungan Al-Quran dan hadis. Sistem ini juga merupakan satu usaha pemusatan rujukan Al-Quran dan hadis kepada umat Islam di seluruh dunia. Ini memudahkan ianya dipantau dan dikawal daripada usaha penipuan/kesilapan. Tugas sistem ini ialah (1) menyimpan dan mengurus kandungan Al-Quran dan hadis, (2) menyediakan sistem pakar yang boleh menganalisis kandungan Al-Quran dan dengan gabungan enjin carian serta keupayaan perlombongan data (3) memudahkan umat Islam mencari ayat-ayat Al-Quran atau keterangan hadis yang menjelaskan sesuatu isu. Malah bagi hadis pula (4) memudahkan urusan perekodan sanad atau susur-galur perawi atau ulama yang merekodkan hadis berkenaan. Melalui pengwujudan maklumat digital pula, akan membolehkan penyelidikan berkaitan Al-Quran dilakukan dengan lebih berkesan cth. analisis komputasi bagi kajian bahasa Arab dsb.

Lanjutan daripada sistem ini, dapat diteruskan pula kepada sistem pengurusan pendokumentasian Al-Quran. Sistem ini merupakan sebuah pangkalan data arkib yang menyimpan dokumentasi dan pentafsiran oleh ulama Islam (yang diiktiraf) dari seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan budaya. Ini membolehkan Al-Quran itu difahami mengikut konteks ataupun mazhab. Malah pada masa yang sama, umat Islam boleh membaca/mengetahui pandangan dari mazhab-mazhab yang berbeza terhadap sesuatu isu yang dibincangkan oleh Al-Quran. Perbezaan sebab dan alasan terhadap sesuatu pendapat boleh direkodkan, dan kemudian dirujuk oleh umat Islam. Ini dapat meningkatkan kefahaman di kalangan umat Islam sekaligus menghindarkan permusuhan antara puak dan kumpulan akibat perbezaan mazhab. Sistem dokumentasi ini juga perlu memiliki ciri carian, perlombongan data, sistem penyuntingan serta menyediakan sistem-sistem maklumat lain yang berkaitan, supaya penggunaannya lebih mantap dan berkesan.

Antara isu yang diperkatakan dalam Sains Komputer ialah cabaran dalam perlombongan data dan dapatan semula maklumat. Perlombongan data merujuk kepada kaedah bagi mencari dan memilih maklumat yang benar-benar releven dengan kehendak/carian pengguna. Fungsi ini merupakan antara ciri utama enjin carian internet seperti Google, Yahoo, Altavista dan sebagainya. Selain itu enjin carian juga digunakan bagi kegunaan setempat (cth. mencari fail gambar dalam cakera keras) seperti enjin carian Sherlock dalam MacOS X atau enjian carian dalam Microsoft Windows. Enjin carian pada hakikatnya masih kekurangan teori-teori yang berkesan, walaupun prestasinya hari ini kelihatan sangat mantap. Maka dalam usaha penyelidikan untuk membangunkan perlombongan data dan dapatan semula maklumat, boleh difikirkan juga bagaimana membina kaedah perlombongan data yang khusus bagi masalah-masalah berkaitan agama dan sistem rujukan Islam. Pada dasarnya kita boleh membina sebuah algoritma umum perlombongan data, kemudian digunakan untuk maklumat berkaitan ajaran Islam. Namun algoritma ini mungkin perlu diubahsuai; cth bagi kegunaan sistem pengurusan pendokumentasian Al-Quran.

Proses menjadi seorang Muslim bukanlah rumit. Asasnya hanya perlu meyakini dan mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang tunggal (tiada yang lain) dan nabi Muhammad S.A.W. pesuruh-Nya, dan dilafazkan sebagai 'ikrar'. Kemudian memahami prinsip Rukun Islam dan Rukun Iman serta mengamalkannya. Maka sudah diiktiraf sebagai Muslim. Namun untuk mengamalkan ajaran Islam perlu kesungguhan dan usaha. Antara cabaran bagi seorang Islam ialah mempelajari ilmu bagi memantapkan akidah dan ibadah. Cabaran ini akan lebih tinggi terhadap Orang Kurang Upaya (OKU). Maka kita perlu menyahut tanggungjawab agama, iaitu membangunkan teknologi dan perisian aplikasi bagi kegunaan OKU Muslim. Sistem (aplikasi) pendidikan Islam bagi OKU merupakan satu cabaran kepada saintis Sains Komputer. Ini kerana OKU Muslim perlu dididik tentang ajaran Islam sepertimana pelajar Muslim yang sempurna sifat. Umum mengetahui bahawa penggunaan komputer dan perisian dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Namun dengan keupayaan yang terhad (buta, kurang anggota dsb), bagaimanakah perisian itu mampu digunakan dengan baik dan berkesan terhadap OKU? Teknologi multimedia dan grafik seperti manipulasi warna, bunyi dan interaksi pengguna yang berkesan akan dapat membantu. Insan Muslim yang cacat pendengaran boleh belajar solat melalui paparan visual. Bagi orang yang buta atau tidak ada kaki dan tangan pula bagaimana? Semua ini seharusnya difikirkan oleh saintis TMK supaya OKU Muslim dapat dibantu untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam dengan sesempurna yang mungkin, sepertimana saudaranya yang sempurna sifat.

Selain yang telah dinyatakan, pelbagai aplikasi lain seperti teknologi pengira koordinat kiblat (Kaabah) dan Al-Quran elektronik telah pun wujud. Manakala di pasaran hari ini kita dapat lihat pula perisian-perisian multimedia bagi tujuan panduan am pendidikan Islam, hiburan dan permainan, pendidikan (bahasa Arab, bacaan Al-Quran) dsb. Namun pencapaian ini hanyalah sebahagian kecil daripada ruang yang boleh diteroka dan dibangunkan. Sebenarnya terdapat banyak ruang aplikasi untuk sistem perisian bagi kegunaan umat Islam. Ini kerana keperluan umat Islam terhadap ajaran Islam hampir tidak terbatas dan akan sentiasa berkembang. Apatah lagi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Maka sebagai kesimpulannya, kepentingan ajaran Islam terhadap bidang TMK sangat besar. Agama tidak seharusnya diabaikan kerana selain dapat membimbing dan melahirkan modal insan yang berkaliber, agama juga memberi ruang kepada aplikasi yang lebih besar dan penting terhadap TMK. Justeru di sini ingin dilontarkan beberapa cabaran umum yang harus dipikul oleh ahli TMK. Cabaran-cabaran tersebut ialah mengkaji dan mengenalpasti - (1)Apakah teori/aplikasi TMK yang boleh diilhamkan dari ajaran Islam? (2)Apakah teori/aplikasi TMK yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam? (3)Bagaimana untuk memastikan bahawa setiap elemen dalam sains komputer meningkatkan ketaqwaan kepada Allah? dan (4)Bagaimana melahirkan umat Islam yang mantap akidahnya dan mantap ilmu TMK? Justeru dengan memperkembangkan ajaran Islam dalam bidang TMK bukan sahaja terus merelevenkan agama dalam kehidupan moden tetapi juga memantapkan lagi usaha dakwah di kalangan masyarakat saintifik dan TMK.


(bersambung...)

Rabu, 4 November 2009

Perspektif terhadap pembangunan Sains dan Teknologi (S&T) - Di mana peranan agama?

(Siri MEMBANGUN BERSAMA ISLAM - bhgn 2)



(Kemaskini: 4 Nov 2009)


Kemajuan Sains dan Teknologi (S&T) merupakan satu ciri sebuah negara maju. S&T perlu dibangunkan sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi dan menjadi penggerak kemajuan sesebuah negara. Hubungan S&T dengan ekonomi sangat rapat. Sesebuah negara yang maju ekonominya tetapi tidak ada aktiviti S&T ibarat manusia yang hidup sihat tetapi tidak punya 5 pancaindera. Manakala negara yang maju S&T tetapi tidak mantap ekonominya, ibarat manusia yang lengkap pancaindera tapi tidak bertenaga. Kesan kedua-dua keadaan ini ialah negara akan bersifat statik. Malah mungkin akan jadi mundur. Sebaliknya perkembangan menggalakkan dalam kedua-dua bidang (S&T dan ekonomi) membolehkan sesebuah negara menjadi dinamik dan berkembang. Maka mutu dan taraf hidup masyarakatnya akan meningkat.

S&T dan ekonomi seolah dilihat sudah saling melengkapi antara satu sama lain kerana hasil pemantapan kedua-dua bidang ini membolehkan banyak negara mencapai tahap kemajuan yang tinggi. Maka S&T dan ekonomi begitu penting untuk diberi perhatian. Ini mendorong pemimpin yang inginkan kemodenan menganggap kedua-dua bidang ini saja yang harus diutamakan. Maka pelbagai dasar digubal untuk memajukan bidang ekonomi dan S&T. Peruntukan kewangan disediakan dalam jumlah yang besar. Pelbagai program dirangka supaya bidang ekonomi dan pembangunan S&T semakin rancak. Dasar pendidikan ditumpukan kepada ilmu/kemahiran berkaitan ekonomi dan S&T seperti ilmu matematik, ilmu sains, ilmu teknikal dan kemahiran berbahasa Inggeris serta bahasa-bahasa yang utama di dunia. Masyarakat pula lebih cenderung untuk memilih bidang S&T sebagai tumpuan sama ada untuk pendidikan mahupun kerjaya.

Antara faktor perkembangan ekonomi ialah kemajuan S&T. Ini kerana aktiviti ekonomi banyak bergantung kepada teknologi, dan ianya berkait rapat pula dengan kemajuan sains. Melalui penyelidikan sains, banyak teknologi baru dapat dibangunkan. Kemajuan teknologi membolehkan peralatan-peralatan baru dibina bagi tujuan aktiviti ekonomi. Bidang perindustrian, misalnya, banyak bergantung kepada teknologi. Antaranya keperluan dalam pembinaan bangunan, kemudahan infrastruktur dan alat pengangkutan, serta penggunaan mesin/robot dalam sektor pembuatan. Bidang perindustrian merupakan antara faktor kepada kemajuan ekonomi moden. Tanpa S&T, industri mungkin tidak akan berkembang. Akibatnya aktiviti ekonomi sesebuah negara tidak dapat berlaku dengan berkesan. Ini akan menjejaskan pendapatan dan hasil ekonomi sesebuah negara industri seperti Malaysia.

Manakala S&T pula memerlukan kemajuan ekonomi sebagai sumber penggerak. Keperluan untuk mengembangkan S&T banyak tertumpu kepada sumbangan dana dan modal kewangan. Sumber kewangan yang mantap hanya boleh dijana melalui aktiviti ekonomi. Melalui peningkatan pendapatan negara, kerajaan dapat menyediakan geran dan peruntukan kepada projek-projek penyelidikan. Begitu juga dengan pembangunan teknologi baru yang memerlukan pembiayaan yang besar. Malah teknologi baru boleh diperolehi dengan lebih cepat dan mudah (spt mengimport teknologi atau membeli peralatan) dengan adanya sumber kewangan yang mantap. Penyelidikan bidang sains memerlukan kemudahan infrastruktur dan peralatan yang canggih supaya dapat dijalankan dengan berkesan. Penggunaan teknologi yang primitif akan menjadikan penyelidikan sains sia-sia kerana penemuan 'baru' mungkin sudah ketinggalan (obsolete) dan tidak terpakai lagi. Oleh itu sumber kewangan menjadi salah satu faktor terbesar kemajuan S&T. Sebab itu negara-negara kaya semakin maju kerana dapat menarik penyelidik dan mengembangkan penyelidikan dengan pesat. Tanpa aktiviti ekonomi yang pesat, tidak mungkin sumber kewangan yang mantap untuk S&T dapat disediakan dan ini menyebabkan bidang penyelidikan S&T semakin malap.

Adakah ini bermakna agama tidak relevan dalam memodenkan sesebuah negara? Kedudukan agama dalam arus pemodenan perlu diperjelaskan. Jika tidak, dikhuatiri ilmu agama akan semakin terpinggir atau dilupakan terus. Inilah yang perlu dielakkan. Justeru perlu ada suatu penjelasan dan huraian terhadap konsep beragama dalam S&T dan bidang utama yang lain supaya dapat dilihat kepentingannya. Di sini penulis ingin memfokus terhadap bidang S&T, iaitu suatu bidang yang penting selain bidang berkaitan ekonomi. Bahagian seterusnya akan membincangkan kepentingan agama dan hubungannya dengan S&T. Apabila masyarakat sedar keperluan agama dalam pemodenan negara, maka ini akan membolehkan agama dilihat sebagai suatu yang relevan dalam memodenkan masyarakat dan negara.


Kepentingan agama dan hubungannya terhadap pembangunan S&T

Secara keseluruhannya, S&T adalah untuk meningkatkan taraf hidup dan berkaitan kepentingan aktiviti manusia. Maka secara dasarnya, agama boleh menjadi pengawal dalam aspek pembangunan S&T kerana agama diturunkan untuk membimbing manusia. Aktiviti S&T perlu ada garis panduan supaya ia kekal untuk memberi faedah. Hakikatnya S&T yang keterlaluan telah mendatangkan kesan buruk sama ada kepada manusia dan alam sekitar. Hari ini, isu terhadap 'sustainability' S&T mula hangat diperkatakan. Salah satu faktor adalah kerana pencemaran alam sekitar akibat S&T yang tidak terkawal yang semakin membimbangkan dan menjadi isu global. Justeru S&T yang lebih 'mesra alam' menjadi topik utama berkaitan 'sustainability'. Namun ramai kalangan kita nyata tidak sedar, aplikasi agama sebagai panduan pembangunan S&T dapat memastikan 'sustainability' boleh tercapai tanpa perlu bersusah payah merangka pelan atau program yang kompleks bagi mencapai matlamat tersebut. Bukan saja 'sustainability' dalam S&T, malah agama sememangnya penting untuk menjadi panduan kepada semua aktiviti manusia.

Penggabungan agama dengan S&T nyata penting. Namun penggabungan ini dalam dimensi yang bagaimana? Integrasi agama dalam S&T atau S&T dalam agama? Sepertimana hubungan S&T dengan ekonomi, hubungan timbal-balik atau saling melengkapi juga berlaku antara S&T dan agama. Di dalam mengembangkan S&T, seharusnya S&T bermatlamat mencari keredhaan Allah. Ini hanya boleh dicapai melalui aplikasi agama dalam S&T. Maka langkah awal ialah agama perlu diintegrasi ke dalam S&T bagi memastikan S&T tidak lari dari matlamat asal kejadian manusia. Ini juga didorong oleh faktor bahawa agama itu tidak terikat dengan S&T. Melalui penerapan agama, isu 'sustainability' dan pelbagai masalah berkaitan salahguna S&T mungkin akan dapat diselesaikan. Malah isu 'sustainability' mungkin tidak timbul langsung kerana perkembangan S&T sentiasa berada dalam batas-batas yang menjamin kesejahteraan hidup manusia dan keharmonian alam sekitar.

Banyak kerosakan dan ketidakseimbangan alam semulajadi pada hari ini berlaku kerana kepincangan dalam aktiviti S&T. Pada dasarnya S&T bertujuan memudahkan urusan dan menaikkan taraf hidup manusia. Tetapi dengan pembangunan yang sembrono dan melulu tanpa menghiraukan kesannya terhadap alam sekitar telah menimbulkan banyak kesan buruk. Sebagai contoh, melalui penyelidikan dan pembangunan S&T minyak dan sumber petroleum diteroka dan dipelbagaikan hingga melahirkan pelbagai produk. Daripada gas asli, minyak petrol/gasolin, pelincir, polimer sehinggalah kepada bahan turap (tar). Semua produk dan teknologi yang terhasil nyata memberi faedah kepada kita. Namun bahan-bahan ini juga turut menyebabkan masalah pencemaran, sampah-sarap (bahan-bahan tak-terbiodegradasi/sukar lupus), gangguan ekosistem (pemusnahan habitat liar), pemanasan global (akibat pembakaran bahan api dan pembebasan gas karbon monoksida/dioksida berlebihan), kemusnahan alam fauna dan sebagainya. Ini berlaku disebabkan S&T hanya bermatlamat untuk memperolehi teknologi baru dan keuntungan semata-mata. Tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar, S&T dikembangkan sehinggalah pada satu tahap (hari ini) manusia mula menanggung kesan buruknya.

Agama mengajar seseorang untuk hidup bermatlamat. Matlamat beragama ialah untuk menjamin/mendapatkan kesejahteraan di akhirat melalui kepatuhan di dunia. Setiap amalan yang dilakukan di dunia perlu berada di atas landasan yang diredhai oleh Allah. Telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa manusia adalah khalifah Allah yang bertanggungjawab untuk memelihara dan mengurus alam ini. Justeru setiap urusan manusia perlu memelihara keharmonian dan keseimbangan alam semulajadi. Sekiranya penyelidikan S&T terbina di atas landasan ini, maka sudah tentu S&T tidak akan merosakkan bumi kerana setiap kajian dirancang dengan teliti. Seandainya ini terlalu bersifat idealistik, setidaknya ia dapat meminimakan kesan negatif yang timbul kerana penyelidikan dan pembangunan pastinya dilakukan secara berhati-hati bagi memelihara kepentingan alam semulajadi.

Apabila mengulas tentang hubungan antara agama dan S&T pasti tidak dapat meminggirkan persoalan etika. Etika merujuk kepada peraturan-peraturan sosial yang perlu dipatuhi oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Etika merupakan antara ciri penting yang perlu ada dalam pembudayaan bidang S&T. Ini kerana penyelidikan meneroka ilmu baharu. Bukan saja melibatkan wang peruntukan yang banyak, tetapi juga memberi 'kuasa' dan kelebihan kepada seseorang kerana dia telah menguasai sesuatu yang tidak dipunyai/diketahui oleh orang lain. Maka penyelidik yang berjaya menemui ilmu baharu mempunyai peluang untuk memanipulasi ilmu tersebut untuk kepentingan dirinya. Oleh itu potensi untuk berlakunya salahlaku seperti plagiat, penipuan dan penyalahgunaan kuasa sangat tinggi.

Tanpa etika, isu plagiat dan penipuan sangat mudah berlaku dalam penyelidikan. Ianya sukar dibongkar kerana fakta sebenar tentang penemuan baharu tentunya belum diketahui umum. Fakta baharu hanya diketahui oleh penyelidik yang menemuinya dan kemudian dihebah untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Dalam isu plagiat, penyelidik yang tidak jujur akan mencuri penemuan dan idea orang lain (yang belum dihebahkan atau tidak diketahui umum) dan mendakwa sebagai miliknya. Terdapat juga kes di mana penyelidik memalsukan data untuk sesuatu kepentingan. Melainkan penipuan ini dapat dikesan, maka salahlaku plagiat atau penipuan akan terlepas begitu saja. Dalam hal ini masyarakat hanya dapat bergantung kepada kejujuran penyelidik. Meskipun terdapat prosedur-prosedur mengesan penipuan/plagiat, kes sebegini tetap terlepas juga.

Selain penipuan, salahguna kuasa juga mudah berlaku dalam pembangunan S&T. 'Kuasa' bagi penyelidik ialah keupayaan untuk menggunakan ilmu yang ditemuinya bagi kepentingan dirinya atau pihak tertentu. Suatu masa dahulu, dunia digemparkan dengan isu berkenaan kejuruteraan genetik dan pengklonan. Kejuruteraan genetik ialah teknologi yang boleh digunakan bagi meningkatkan hasil pertanian (cth benih padi bermutu tinggi boleh diklon dalam jumlah yang banyak untuk menghasilkan beras bermutu tinggi). Namun oleh kerana faktor keuntungan, pengubahsuaian genetik tanaman yang keterlaluan mula berleluasa bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak. Usaha ini ditentang hebat kerana baka ubahsuai genetik boleh menyebabkan kesan buruk kepada tubuh manusia. Malah dalam jangkamasa panjang pendapatan dan hasil tanaman golongan petani akan lebih terjejas kerana baka ubahsuai tidak sama sifatnya dengan baka tanaman semulajadi. Ubahsuai yang keterlaluan akan memudaratkan tanaman, misalnya kemerosotan daya tahan tanaman terhadap penyakit dan menyebabkan tanaman mudah mati dan sebagainya. Selain itu usaha pengklonan mula disalahguna hingga dicadangkan melibatkan eksperimen ke atas manusia. Jika tidak kerana ditentang hebat oleh komuniti penyelidikan atas prinsip etika, mungkin pengklonan manusia telah berlaku.

Maka etika nyata sangat penting bagi penyelidik dan penyelidikan S&T. Jika diamati, Islam sebenarnya adalah pendorong kepada etika kerana agama juga bermatlamat mendidik manusia atas landasan kehidupan yang sebenar. Islam menekankan bahawa penyelidik/manusia sentiasa tertakluk di bawah kuasa tuhan. Bagi pendokong Atheis, etika hanya semata-mata bergantung kepada kejujuran. Bagi mereka tidak ada konsep tuhan yang mengawal manusia. Tetapi dalam Islam, prinsip keimanan bahawa 'tuhan itu ada dan sentiasa memerhati kita' akan mendorong penyelidik untuk hidup beretika melalui agama. Ini secara langsung akan memastikan prinsip etika dalam penyelidikan dipatuhi oleh penyelidik. Secara tidak langsung pembangunan S&T akan lebih terkawal kerana etika sentiasa dipertahankan.

Manakala integrasi S&T dalam agama juga perlu. Keperluan ini wujud akibat perubahan keperluan semasa. Apabila gaya hidup manusia semakin moden, maka keperluannya juga semakin kompleks. Jika pada zaman batu manusia tidak perlu kereta, hari ini kereta adalah satu medium pengangkutan yang wajib. Jika pada zaman kegemilangan Baghdad ilmuan belum memerlukan komputer, hari ini ilmuan dan penyelidik sangat memerlukan komputer. Oleh kerana agama itu untuk manusia, maka kaedah dalam Islam juga perlu 'dipertingkatkan' selari dengan kemajuan S&T. (Bukan 'dimodenkan', kerana istilah ini memberi persepsi yang negatif pada agama, yakni seolah-olah agama itu primitif dan jumud.) Matlamat integrasi (atau lebih tepat aplikasi) S&T kepada agama adalah untuk memajukan kaedah-kaedah penyampaian dan penerapan nilai di dalamnya. Antara ruang pembangunan yang wujud termasuklah pembangunan bidang berkaitan dakwah, penyelidikan sejarah dan sains Islam, dsb. Ini semua merupakan kaedah-kaedah bagi menyebarluas dan memantapkan agama dalam kehidupan manusia. Apabila kaedah dan proses dalam peng'agama'an semakin mantap, maka lebih mudah agama itu disebar dan diterapkan dalam masyarakat.

Dahulu masyarakat hanya boleh belajar agama di masjid, surau atau madrasah. Tetapi hari ini media massa boleh membantu menyampaikan ilmu/maklumat walaupun jarak antara tok guru dengan murid beribu-ribu kilometer jauhnya. Jika dahulu pembelajaran ilmu agama hanya melalui kitab-kitab dan ceramah, hari ini semuanya boleh dicapai dengan mudah melalui internet. (Namun perlu hati-hati.) Begitu juga kaedah menentukan makanan halal, boleh dilakukan dengan lebih berkesan melalui eksperimen makmal. Baru-baru ini, penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan kaedah pengujian DNA babi menggunakan 'polymerase chain reaction' yang digunakan terhadap ujian gelatin di Malaysia sekarang tidak tepat. Sebaliknya kaedah menggunakan 'biomarker' yang mendedahkan profil protein adalah lebih berkesan (dlm NSTP bertarikh 3 Nov 2009, seksyen 'Nation' ms 14). Perkembangan ini adalah antara petanda positif bahawa S&T juga mempunyai peranan untuk dimajukan atas kepentingan dakwah, penyebaran dan memantapkan aplikasi Islam. Justeru S&T juga diperlukan terhadap perkembangan agama.


Integrasi dalam sistem pendidikan

Rata-rata masyarakat hari ini sedar dan memahami bahawa, untuk memastikan pembangunan S&T itu mantap usaha perlu dilakukan sejak dari peringkat sekolah. Ini kerana usaha menggerakkan bidang S&T hanya boleh dilakukan dengan adanya sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan dan mahir S&T. Apabila sumber manusia mantap (berilmu dan berkemahiran) akan dapat membolehkan bidang S&T berkembang dengan lebih berkesan. Dengan hanya bersandarkan kepada pelaksanaan program atau penyediaan peruntukan di pihak kerajaan, usaha mengembangkan S&T tidak akan berjaya. Usaha dan perancangan kerajaan berkaitan S&T tidak akan mendapat sambutan kerana masyarakat tidak faham S&T. Tetapi dengan adanya generasi yang mahir S&T, maka usaha dapat digerakkan melalui bidang penyelidikan, pembuatan dan pembangunan teknologi.

Maka berdasarkan konsep yang sama, usaha penghayatan agama dalam S&T dan aplikasi S&T dalam agama hanya boleh dicapai dengan berkesan sekiranya ahli masyarakat telah memahami kepentingan dan kaitannya. Mereka perlu diajar dan diterangkan bagaimana ilmu agama dan S&T saling berkait. Untuk mencapai matlamat ini, usaha perlu dilakukan sejak dari peringkat awal proses pendidikan seseorang individu. Penerapan nilai Islam dalam pendidikan sains sejak peringkat sekolah boleh menjadi asas permulaan kepada melahirkan generasi berilmu S&T yang taat kepada agama. Begitu juga pemahaman terhadap kaedah aplikasi S&T terhadap ilmu agama. Berdasarkan pengetahuan penulis, penerapan ilmu sains di sekolah-sekolah menengah agama telahpun dilaksanakan melalui pengwujudan mata pelajaran Sains. Manakala di peringkat pengajian tinggi, pusat pengajian Darul Quran sedang berusaha melahirkan lulusan bidang S&T yang hafaz Al-Quran. Sesungguhnya semua usaha ini merupakan satu permulaan yang baik. Namun dalam sistem pendidikan kebangsaan yang diamalkan sekarang, usaha ini belum lagi dilakukan.

Selagi pengasingan ilmu agama dengan ilmu sains masih berlaku, maka kita tidak akan dapat melahirkan suatu generasi S&T yang benar-benar mantap ilmu agamanya atau generasi aliran agama yang mantap ilmu S&T. Pengasingan inilah yang mengakibatkan masalah yang dihadapi sekarang di mana lulusan S&T tidak menghayati agama dan lulusan agama cetek ilmu S&T. Integrasi ilmu agama dan sains perlu dilakukan bagi melahirkan ilmuan Islam yang mahir S&T dan ilmuan S&T yang mantap akidahnya. Istilah integrasi tidak semestinya bermaksud perlu mewujudkan subjek Sains Islam. Namun prinsip asas dalam agama - ketauhidan, akhlak - boleh diserapkan ke dalam sukatan mata pelajaran sains sedia ada. Manakala elemen asas S&T - kemahiran menyelidik dan bereksperimen, berfikiran kritikal, mempunyai kemahiran teknikal - boleh diserapkan dalam sukatan mata pelajaran asas aliran agama. Ini membolehkan pelajar-pelajar dapat memahami asas kedua-dua bidang dan membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam bidang tersebut. Namun yang lebih penting pelajar-pelajar ini dapat memahami hubungan antara S&T dengan prinsip Islam dalam kehidupan. Maka apabila mereka dewasa dan terlibat dengan industri, mereka sudah dibekalkan dengan asas yang mantap bagi memastikan kedua-dua aliran pemikiran adalah seimbang. Justeru dapat melahirkan individu yang tidak mengasingkan antara agama dengan soal teknikal berkaitan S&T.

Integrasi antara ilmu agama dan sains sedikit sebanyak akan dapat membendung masalah yang dihadapi oleh lulusan bidang agama dewasa ini. Isu yang dihadapi sekarang ialah masalah kekurangan tempat bagi lulusan agama dalam sektor pekerjaan. Antara punca yang dikenalpasti ialah pelajar lulusan bidang agama tidak ada kemahiran yang 'diperlukan' ('perlu' bermaksud keperluan industri semasa). Justeru melalui integrasi dalam sistem pendidikan akan melahirkan lebih ramai lulusan agama yang mahir dalam ilmu (sekurang-kurangnya ilmu asas) berkaitan S&T. Dengan adanya pendedahan terhadap S&T di peringkat sekolah, mereka akan faham betapa pentingnya memahami S&T dan kepentingannya terhadap bidang agama. Justeru lulusan agama akan cenderung untuk mendalami dan lebih memanfaatkan teknologi. Bukan setakat mahir menggunakan aplikasi pemproses teks (Microsoft Word dsb), malah mungkin setiap mereka akan lebih peka dengan perkembangan sains dan teknologi semasa.


Kesimpulan

Peranan agama dalam pembangunan S&T sangat besar. Maka kepentingan Islam sebagai pembimbing S&T tidak boleh dipertikaikan lagi. Manakala perkembangan ilmu agama juga sangat memerlukan S&T dan ini merupakan satu ruang kepada perkembangan S&T. Namun perlu difahami, bahawa hubungan timbal-balik antara agama dan S&T (saling melengkapi) itu berlaku kesan daripada perkembangan hidup manusia yang semakin kompleks. Pada dasarnya isi agama itu sudah sempurna, cuma kaedah penerapan dan pelaksanaannya saja perlukan S&T. Berdasarkan perbincangan ini, diharap dapat menyedarkan kita bahawa sebenarnya wujud hubungan yang erat antara agama dan S&T. Justeru sebagai kesimpulannya, agama itu tetap relevan dalam pembangunan dan usaha pemodenan negara.

(bersambung)...

Khamis, 22 Oktober 2009

Benarkah Islam menghalang produktiviti?

(Siri MEMBANGUN BERSAMA ISLAM - bhgn 1)



Umat Islam pernah menjadi tamadun yang paling produktif di kalangan masyarakat dunia. Mereka yang rata-rata dari kawasan benua Arab dan Afrika menguasai pelbagai bidang dan ilmu hingga membolehkan mereka dianggap golongan yang maju. Masyarakat dunia tertumpu kepada pusat pengajian ilmu seperti Baghdad dan Cordova kerana pelbagai penemuan sains dan teknologi dibincangkan di situ. Produktiviti yang tinggi dari aspek keilmuan dan teknologi menjadikan mereka masyarakat yang maju. Namun hari ini masyarakat Islam di negara-negara Arab tidak lagi produktif seperti masa lalu.

Ilmuan Eropah/Barat dan golongan muslim sekular mendakwa faktor kemunduran ini adalah kerana faktor agama Islam. Faktor yang dikatakan sebagai 'ketaksuban kepada agama' dianggap punca utama yang melemahkan penguasaan umat Islam terhadap sains dan teknologi. Bagi kalangan modenis ala sekular (berselindung atas nama pemodenan Islam) pula menuding jari kepada hadis sebagai punca kemunduran umat Islam. Kononnya hadis-hadis ini cenderung kepada kefahaman umat Islam masa lalu dan tidak lagi releven pada masa kini. Mereka mendakwa, oleh kerana terlalu berpegang kepada hadis yang 'kolot' maka umat Islam tidak mampu bersaing dengan tamadun lain. Bagi golongan yang 'anti hadis' atau modenis, mereka mempertahankan bahawa hanya Al-Quran saja yang sentiasa releven. Justeru, dakwa mereka, perlu ada pentafsiran baru terhadap kandungan Al-Quran oleh kerana hadis-hadis yang menerangkan kandungan Al-Quran tidak lagi terpakai di zaman moden. Malah ada sesetengahnya mendakwa kemungkinan sebahagian hadis nabi yang ada sekarang adalah palsu dan bukan sunnah nabi.

Dengan berselindung kononnya untuk menggalakkan umat Islam menjadi lebih maju, golongan modenis ala sekular menyarankan pelbagai 'modifikasi' terhadap ketaatan dalam beragama, misalnya 'memperbaharui pentafsiran Al-Quran dan ilmu hadis' dan 'lebih mementingkan ilmu Sains dan Teknologi berbanding ilmu pengajian Islam'. Golongan ini mendakwa ilmu-ilmu agama yang diajarkan lebih merupakan suatu indoktrinisasi dan tidak menjadikan umat Islam berkembang. Malah mereka mendakwa ajaran Islam yang diajar kepada generasi muda lebih mengongkong dan menjadikan mereka berfikiran tertutup dan tidak ada rasa ingin mengembangkan ilmu. Ilmu-ilmu hadis sedia ada dikatakan sudah kolot dan mungkin merupakan satu bentuk manifestasi pemikiran umat Islam yang sudah ketinggalan zaman!

Jika diamati, tuduhan-tuduhan yang mengatakan 'agama faktor kemunduran' nyata merupakan suatu dakyah/fitnah yang mungkin juga satu propaganda golongan sekular dan atheis untuk menjatuhkan Islam. Manakala 'nasihat' modenis ala sekular yang sering dikatakan sebagai saranan untuk memodenkan umat Islam acapkali senada dengan dakyah-dakyah ini. Namun golongan yang menuduh 'agama faktor kemunduran' mungkin sudah lupa (atau buat-buat lupa, atau mungkin tidak sedar!) bahawa ajaran Islamlah sebenarnya yang menjadi penggerak kepada umat Islam suatu masa dahulu, kini dan selamanya. Dengan pertolongan dan izin Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W yang dibantu para sahabat dan golongan muslimin yang awal telah berjaya menaikkan martabat golongan Arab dari suatu kaum yang jahil kepada suatu kaum yang dihormati. Walhal kebanyakan (nota: 'kebanyakan', kerana ketika itu ada juga yang murtad, sesat dsb) umat Islam yang awal taat beribadah dengan bersungguh-sungguh dan mengamalkan ajaran Islam yang disampaikan oleh nabi S.A.W. Mungkin lebih intensif lagi berbanding umat Islam yang 'mundur' pada masa kini. Namun mereka tetap produktif dan berjaya. Adakah ilmu pengetahuan seperti sains dan teknologi tidak wujud pada zaman nabi? Kita tahu pada zaman nabi Muhammad S.A.W., masyarakat Rom, Parsi dan Mesir adalah antara kuasa besar ketika itu. Bagaimana suatu agama yang dikatakan 'mendorong kemunduran' boleh menaikkan tamadun Arab setaraf dengan kuasa besar, sedangkan bangsa Arab wujud lama sebelum itu?

Ajaran Islam bukanlah satu yang jumud hingga menghalang umat Islam untuk maju. Malah Islam menjadi faktor kemajuan kepada bangsa Arab satu masa dahulu. Namun yang jelas kelemahannya adalah berpunca dari sikap umat Islam dalam mengamalkan ajaran Islam. Faktor ini menjadi punca kepada kemunduran dan kemerosotan tamadun Islam. Apabila agama tidak diamalkan dengan sempurna, maka merosotlah amalannya. Contohnya boleh dilihat pada budaya tradisi dalam masyarakat. Masyarakat lama berpegang kepada tradisi lama. Apabila masyarakat mengalami pelbagai perubahan dari aspek sosial dan budaya, budaya tradisi akan merosot kerana tidak diamalkan sepenuhnya. Kecenderungan kepada budaya luar/asing menjadi pendorong utama kepada perubahan ini. Apabila tidak diamalkan sepenuhnya, lama-kelamaan budaya tradisi akan terhakis.

Begitu juga halnya yang berlaku kepada ajaran Islam. Semakin masa beredar/berubah, umat Islam semakin jauh daripada zaman nabi Muhammad S.A.W., iaitu zaman di mana Islam diamalkan dengan sempurna. Maka sudah tentu corak amalannya akan berubah. Mana-mana sistem yang ideal sekalipun perlu diamalkan sepenuhnya untuk mendapatkan kesan. Oleh kerana Islam sudah tidak diamalkan dengan sempurna, maka masyarakat Islam tidak lagi berpegang dan mengamalkan suatu prinsip dan fahaman yang ideal. Justeru tidak menghairankan umat Islam semakin mundur. Islam tidak lagi diamalkan secara menyeluruh, malah mungkin sudah bercampur dengan budaya luar yang mungkin bertentangan dengan sifat ideal Islam itu. Mungkin juga budaya luar yang meresap telah merosakkan produktiviti umat Islam masa lalu!

Jika masalah 'kelemahan pelaksanaan' ini yang dijadikan asas oleh golongan modenis untuk mengatakan Islam 'faktor kemunduran', maka ia tidak boleh diterima sama sekali. Golongan modenis mendabik dada mengatakan bahawa golongan Barat maju kerana mengamalkan suatu sistem yang lebih dinamis berbanding Islam. Bahkan dikatakan masyarakat Asia atau mana-mana masyarakat yang 'maju' sekarang adalah disebabkan mereka mengamalkan sistem barat yang sekular. Namun jika diteliti, sistem itu sebenarnya lebih kurang saja dengan sistem yang disarankan dalam Islam. Malah lebih banyak kelemahannya. Golongan modenis mendakwa Islam itu lemah dengan menilai pelaksanaannya. Walhal sistem sekular yang mereka agung-agungkan itu juga boleh dikatakan ideal pada konsepnya sahaja. Sedangkan jika tidak diamalkan dengan betul lebih banyak mendatangkan keburukan. Sebaliknya, pelaksana sistem 'moden' itu boleh mendapat hasil yang sama (atau mungkin lebih baik) jika melaksanakan sistem yang disarankan oleh Islam. Golongan modenis sering merujuk kepada pelaksanaan Islam untuk menilai ajaran Islam, sedangkan apa yang mereka lihat mungkin hanya 5% daripada sifat idealistik Islam. Jika dikaji berasaskan teori Islam (dan praktikaliti yang dipamerkan pada zaman nabi Muhammad S.A.W.), golongan modenis sudah tidak ada pilihan melainkan mengatakan bahawa Islam itulah yang paling ideal.

Secara semulajadi ('common sense'), manusia tidak boleh hidup dengan hanya beribadah (khusus). Manusia perlu makan, bersosial dan akibatnya perlu bekerja untuk memenuhi keperluan hidup. Bagaimana golongan modenis boleh mengatakan Islam itu jumud dan menghalang produktiviti umat Islam? Jika ia jumud (beku), bagaimana Islam boleh serasi dengan keperluan umat Islam hari ini? Bayangkan wujud satu agama yang kononnya 'ideal' mewajibkan penganutnya beribadah 24 jam sehari semalam. Mungkin ia tidak ada pengikut yang ramai seperti Islam hari ini. Mungkin hanya seorang, itupun pengasasnya. Ini kerana syarat agama itu tidak mampu dipenuhi kesan daripada keperluan-keperluan asasi manusia. Jika Islam jumud, mungkin ia hanya diamalkan 1400 tahun yang lepas dan hari ini sudah pupus. Namun Islam masih kekal diamalkan. Justeru Islam itu terbukti sebagai suatu sistem yang ideal, dan mustahil bagi suatu sistem yang ideal tidak merangkumi pengetahuan tentang keperluan asas manusia!

Boleh dipertimbangkan juga bahawa Islam mungkin telah bertindak menyamaratakan hak manusia seperti mana komunis dan sosialis, atau bersikap terlalu toleran dan liberal seperti sistem kapitalis supaya ia kekal 'ideal'. Namun hakikatnya, kewujudan keseimbangan dan keadilan dalam ajaran Islam menafikan sama sekali kecenderungan terhadap sistem-sistem sosial yang ekstrem tersebut. Malah dari aspek kerohanian dan mistik sekalipun, Islam berada dalam kelasnya yang tersendiri jika dibandingkan dengan agama-agama seperti Hindu, Buddha, Kristian (sekarang), Yahudi mahupun mana-mana agama tradisi. Bagaimana keunikan ini boleh wujud dalam suatu agama yang tidak ideal dan tidak sempurna?

Islam sama sekali tidak menghalang produktiviti, malah menggalakkan supaya umat Islam sentiasa bersikap adil dan seimbang. Misalnya dalam aspek kesihatan, Islam menggalakkan kebersihan dan pada masa yang sama tidak menghalang umatnya melakukan sesuatu yang ditakrif sebagai 'kotor' (misalnya memegang babi). Islam mengatakan babi haram kerana ia adalah perintah Allah, pencipta langit, bumi dan seluruh alam. Maka babi tidak boleh dimakan. Itupun masih dibenarkan dalam keadaan terdesak/darurat. Hasil kajian sains membuktikan babi itu mengandungi banyak kuman yang tidak mampu ditangani oleh sistem tubuh manusia. Walaupun babi itu haram, Islam memberi pilihan dan tetap mengajar kaedah untuk bersuci/membersihkan kotoran yang disebabkan punca babi. Begitu juga dalam soal ibadah. Tidak ada satu kenyataan dalam ajaran Islam yang disampaikan oleh nabi Muhammad S.A.W. yang melarang umatnya bekerja atau melibatkan diri dalam hal keduniaan (bekerja, bersosial dan sebagainya). Bahkan dianjurkan supaya umat Islam melibatkan diri dalam perniagaan, sukan dan aktiviti-aktiviti lain. Cuma dalam soal ibadah sangat ditekankan supaya melakukannya dengan sempurna (seimbang) kerana ibadah adalah manifestasi ketaatan kita kepada Allah, selain seimbang dalam urusan keduniaan agar tidak keterlaluan. Malah urusan ibadah dan amalan Islam nyata mengimbangkan naluri/aktiviti manusia supaya tidak sama seperti haiwan!

Jika diteliti, banyak perkara ibadah yang boleh dikaji kerana terdapat banyak persoalan menarik yang boleh dikemukakan. Bahkan ilmu-ilmu Islam sudahpun dikembangkan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W., iaitu lama sebelum kegemilangan Baghdad sebagai pusat ilmu. Pelbagai peristiwa menyatakan para sahabat bertanya pelbagai persoalan mengenai Islam, dan Nabi menjawabnya. Sesi soal-jawab, mesyuarat/musyawarah dan perdebatan merupakan satu aktiviti wajib, kerana masyarakat ketika itu berminat untuk belajar. Jika Islam itu menghalang perkembangan dan jumud, pasti para sahabat nabi sudah dijerkah, dan perdebatan akan ditegah sepertimana yang diamalkan oleh Kristian ketika zaman gelap Eropah.

Maka jika Islam tidak menghalang hak asasi manusia dan produktiviti, adakah Islam mendorong produktiviti? Ibadah berpandukan Islam boleh menjadi sumber kekuatan dalaman kepada individu. Jika diamalkan dengan bersungguh-sungguh, yakni ikhlas sebagai satu ibadat kepada Allah, pada hakikatnya akan mengubah seseorang individu menjadi lebih produktif. Buktinya seseorang Islam diwajibkan bangun pada awal pagi untuk solat Subuh. Jika dicampur zikir, tasbih, wirid dan doa mungkin hanya perlu kurang daripada satu jam digunakan untuk beribadah. Selepas bersiap-siap orang Islam sudah boleh keluar bekerja sedangkan mungkin orang lain (golongan atheis atau agama lain) masih nyenyak tidur. Malah orang Islam disunatkan bangun lebih awal (3/4 malam atau akhir malam) untuk bertahajud dan Qiamullail. Pada waktu subuh, pemikirannya sudah segar dan boleh berfikir pelbagai perkara. Kelebihannya, disiplin ini terletak dalam sistem dan bukannya terserah kepada kehendak individu. Ini merupakan ciri sistem yang ideal.

Pada setiap sela masa tertentu (5 waktu solat fardu) umat Islam diwajibkan solat. Jika dicampur solat sunat dan wirid mungkin hanya perlu 30 minit bagi setiap waktu. Selepas itu mereka boleh melakukan kerja dengan tenang dan segar. Malah umat Islam sepatutnya lebih produktif kerana minda dan hati mereka sudah 'berehat' (khusyuk semasa solat), berbanding golongan yang lebih suka menghabiskan masa berbual kosong di tempat lain. Tentunya fikiran dan hati mereka yang belum beribadah masih berkecamuk dengan pelbagai perkara yang boleh mengurangkan tumpuan kepada kerja. Malah, nabi S.A.W. menggalakkan umatnya solat pada awal waktu dan berjemaah. Ini adalah disiplin, dan disiplin merupakan suatu yang penting. Malah disiplin merupakan ramuan dan asas kepada kepada kejayaan masyarakat maju hari ini!

Dari sudut ilmiah, sebenarnya ajaran Islam boleh menjadi sumber ilmu pengetahuan yang boleh dikembangkan. Pelbagai persoalan boleh dikemukakan berkaitan hal ibadah, rukun, isi kandungan Al-Quran, sunnah nabi, amalan para sahabat dan tabiin. Seharusnya peluang-peluang ini dapat menangkis hujah bahawa ajaran Islam itu jumud, kolot dan sebagainya. Masalahnya bukan terletak pada ajaran Islam tetapi individu yang mengamalkannya. Ajaran Islam bukan saja sesuatu yang ideal malah praktikal. Ianya sesuai untuk semua golongan dan pelbagai bangsa. Maka sifat universal ini boleh dijadikan dorongan untuk mengkaji dan mengembangkan apa saja ilmu berkaitan ajaran Islam, kerana ianya sesuai diamalkan oleh semua orang dan setiap zaman. Sangat mengkagumkan, kerana Islam itu menjadi agama terakhir (yang diiktiraf sebagai ajaran yang sah di sisi Allah) perlu mencakupi semua keperluan makhluk (manusia dan jin) dan pelbagai zaman! Maka sudah tentu Islam itu adalah suatu yang sangat hebat.

Bayangkan apabila satu rahsia ilmu dalam Islam berjaya dibongkar, maka ia akan digunakan oleh manusia semua peringkat sepanjang zaman! Ini patut dijadikan pendorong bagi umat Islam untuk mengkaji rahsia ibadah dalam Islam. Teori Relativiti Einstein yang dikatakan hebat sekalipun sudah mula digugat dengan pelbagai ilmu baru yang dikatakan lebih konkrit. Ini lumrah dan boleh dijangka, kerana Einstein sebagai manusia hanya berfikir berdasarkan apa yang dilihat atau ditanggap oleh pancainderanya. Tetapi ilmu Islam pastinya mencakupi kebenaran kerana ia dari Tuhan, iaitu pemilik yang mencipta rahsia alam.

(bersambung)...


p/s: Disebabkan saya di peringkat akhir PhD, siri 'Panduan utk bakal PhD/Master' hanya akan disambung selepas saya tamat, insya'Allah. Kalau tidak macam 'ketam ajar anak berjalan' la pulak! hehehe lagipun masih sibuk. Segala kesulitan amat dikesali.

Selasa, 13 Oktober 2009

Menggalakkan umat Islam solat awal waktu.

Berikut adalah antara 'fakta saintifik' berkaitan solat 5 waktu. Namun tidak pasti sama ada terdapat bukti empirikal untuk menyokong 'fakta' ini.

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak ?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur d elta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Wallahualam.

http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=44867



Maka anda nilailah sendiri. Mungkin ada yang berminat untuk buat eksperimen. Mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat menggalakkan kita semua untuk solat pada awal waktu dan mencari rahsia di sebalik kewajipan solat.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Sisipan: Mengapa Melayu tidak dibela?

Artikel ini adalah hasil tulisan Dr. Riduan Tee Abdullah bertajuk 'Nasib Melayu di bumi Melayu', yang disiarkan di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Saya siarkan di sini untuk renungan bersama...

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.






p/s: Tahniah juga kepada pemenang-pemenang Anugerah Akademik Negara!

Rabu, 5 Ogos 2009

Buku - Wawasan Pendidikan (1993)

Wawasan Pendidikan - Agenda Pengisian
Datuk Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin
(Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia)
Nurin Enterprise,KL. 1993


Secara keseluruhannya buku ini cuba menerangkan tentang wawasan pendidikan negara dan matlamatnya untuk mencapai Wawasan 2020. Selain itu buku ini cuba mengetengahkan kepentingan Falsafah Pendidikan Negara yang telah diungkapkan secara rasmi pada tahun 1988. Dr Wan Zahid banyak mengulas tentang peranan sistem pendidikan dalam melahirkan tenaga mahir bagi menjayakan Wawasan 2020. Peranan sistem pendidikan begitu penting kerana pendidikan melahirkan sumber manusia yang berguna kepada negara. Bagi beliau, selain penekanan kepada kemahiran, nilai-nilai murni juga perlu diterapkan dalam pendidikan. Ia juga selaras dengan 9 cabaran utama yang dinyatakan dalam Wawasan 2020.

Perkara penting yang cuba dinyatakan dalam buku ini lebih menumpu kepada aspek wawasan dalam sistem pendidikan negara. Seperti mana Wawasan 2020 yang penting bagi memaju pembangunan dan pemodenan negara, wawasan pendidikan juga penting supaya memastikan sistem pendidikan dapat berfungsi melahirkan tenaga kerja dan sumber manusia yang sempurna. Apatah lagi, sistem pendidikan sangat berkait rapat dalam menjayakan Wawasan 2020. Banyak ciri-ciri yang diterangkan oleh Dr Wan Zahid bagi mewujudkan sistem pendidikan berwawasan dan berdaya maju.

Dalam memastikan perkara ini, menurut Dr Wan Zahid, antaranya ialah peningkatan mutu pengurusan dan pengajaran di sekolah. Pengurusan tidak seharusnya bersifat statik atau 'reflective rationality' (menurut arahan orang atasan) semata-mata, tetapi pengurusan perlu lebih dinamik. Pihak pentadbir perlu menggalakkan orang bawahan lebih kreatif dan proaktif untuk mewujudkan suasana dinamik di dalam pentadbiran sekolah. Ini sekaligus dapat mendorong peningkatan kualiti kepada mutu pengajaran.

Selain itu beliau juga menjelaskan corak pengurusan dan kepimpinan yang baik dan perlu diamalkan oleh warga yang terlibat dalam sistem pendidikan. Beliau tidak hanya merujuk kepada guru atau guru besar saja, tetapi juga melibatkan pegawai-pegawai di peringkat kementerian dan pejabat pendidikan. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus, namun perancangan dan penetapan matlamat pendidikan dirangka di peringkat kementerian dan jabatan, manakala pihak sekolah hanya menjalankan apa yang telah dirancang. Sudah tentu pengurus dan pemimpin yang dimaksudkan adalah pihak atasan, selain guru besar yang mentadbir sekolah.

Selain meningkatkan kualiti pentadbiran, Dr Wan Zahid menegaskan perlunya aspek penekanan nilai murni diterapkan dalam silibus pendidikan. Beliau juga menekankan pentingnya aspek pendidikan Islam kepada sistem pendidikan. Bagi menjelaskan perlunya aspek ini, beliau mengulas perubahan dalam sistem pendidikan sejak awal kemerdekaan hinggalah pada masa kini (tahun berkenaan). Misalnya pengwujudan mata pelajaran Kemahiran Hidup dan juga penerapan pendidikan berunsur Islamiyah dan moral. Dari situ, dapat dilihat kekurangan yang masih wujud dan alasan mengapa perlunya pembaharuan tersebut. Dr. Wan Zahid juga turut menyentuh peranan dan perlunya penglibatan ibu-bapa terhadap sistem pendidikan anak-anak di sekolah melalui PIBG (Persatuan Ibubapa dan Guru). Beliau juga turut memberi contoh pembaharuan yang dilakukan di US dalam mengkaji kepentingan penglibatan ibubapa kepada pendidikan anak-anak.

Apa yang menariknya buku ini ialah Dr Wan Zahid menjelaskan bagaimana kaedah dan cara membina sistem pendidikan yang berwawasan. Selain itu beliau memperlihatkan kaitan antara sistem pendidikan dan kepentingannya terhadap Wawasan 2020. Selain itu perincian terhadap ciri-ciri pemimpin dan pengurus yang baik kepada sistem pendidikan juga turut dimuatkan dalam buku ini.

Buku ini sesuai dibaca oleh pihak pentadbir dan pengurus yang terlibat dalam sistem pendidikan. Bukan sahaja peringkat sekolah, tetapi juga pentadbir pusat pengajian tinggi. Walaupun sudah diterbitkan agak lama, namun isinya masih relevan pada hari ini, kerana apa yang diperkatakan, masih belum terlaksana dan mendapat sambutan sepenuhnya dalam sistem pendidikan negara.



berkaitan pembangunan sumber manusia:

http://myais.fsktm.um.edu.my/5305/1/12.pdf


Sains - kemajuan atau kemusnahan?


Sumber : http://blogs.reuters.com/from-reuterscom/2009/08/03/graphic-bunker-buster-bomb/

Jumaat, 15 Mei 2009

Panduan untuk bakal Sarjana dan Doktor Falsafah

Melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) - Bahagian 2

NOTA: Panduan berikut adalah sambungan bahagian 1, perkongsian saya berdasarkan pengalaman-pengalaman dan maklumat yang diperolehi sebagai seorang pelajar PhD bidang Sains Komputer di IPTA tempatan (dan masih berjalan). Mungkin boleh digunakan dalam bidang anda dan mungkin tidak. Namun pada asasnya, semua sama (insya'allah) dan boleh dijadikan panduan.

Persediaan-persediaan melanjutkan pengajian (samb.)

2) Persediaan Mental, Fizikal dan Emosi

Sebagai manusia, kita diberi keupayaan dari 3 aspek - fizikal, mental dan emosi. Setiap keupayaan membantu kita mengharungi cabaran hidup. Dan sebagai bakal Sarjana/Doktor Falsafah juga, keupayaan kita dalam tiga aspek ini akan sentiasa teruji. Sebagai persediaan eloklah kita mengetahui cabaran-cabaran yang ada terlebih dahulu supaya kita dapat mempersiapkan diri menghadapinya.

i) Daya tahan
Dari aspek fizikal, pelajar akan kerap diuji dengan beban kerja yang meletihkan. Letih fikiran, mata dan tubuh adalah perkara biasa. Penyelidikan memerlukan kita banyak berfikir, kerana begitu banyak maklumat dan ilmu yang perlu diperoses, diingat, dinilai, diterjemah dan segala macam 'di' yang perlu dilakukan oleh otak. Ada juga penyelidikan yang memerlukan kita meredah hutan belantara, mendaki gunung, dan sebagainya bagi mendapatkan spesimen untuk eksperimen. Ada juga yang terpaksa bersengkang mata 24 jam menunggu keputusan eksperimen. Ada juga yang terpaksa membelek dokumen-dokumen yang beratus jumlahnya untuk dianalisa. Itu belum lagi ditambah bahan rujukan yang tidak terkira jumlahnya dan beban kerja menghasilkan penulisan. Semua ini merupakan antara cabaran fizikal, mental dan emosi yang terpaksa ditempuhi dalam kerja penyelidikan. Dalam tempoh yang singkat mungkin tidak terasa. Tetapi dalam tempoh masa panjang, kesannya pasti terasa jika tidak ada daya tahan. Akibatnya badan jadi letih, mata mengantuk, fikiran hilang fokus (dan mungkin gila?!) kerana bebanan kerja yang menimbun.

Apa yang perlu dilakukan ialah bersedia. Alah bisa, tegal biasa. Apabila kita telah biasa melakukan aktiviti menelaah, berfikir, mencari dan menganalisa bahan dsb., maka semuanya terasa mudah dan tidak membebankan. Samalah seperti seorang ahli bina badan. Beban yang berat memang tidak terpikul pada awalnya. Tetapi dengan berlatih dan membina otot yang lebih kuat, lambat laun beban yang berat itu jadi ringan. Bukan berat itu yang berkurangan, tetapi daya tahan dan kekuatan otot yang bertambah. Begitulah juga dengan keupayaan penyelidik. Jika berlatih selalu, beban itu akan nampak ringan (walaupun hakikatnya berat bebannya masih seperti asal).

Kaedah berguna yang boleh dicadangkan adalah dengan berlatih menulis kertas penyelidikan. Buat satu penyelidikan mudah, dan cuba terbitkan penerbitan yang memerihalkan penyelidikan tersebut. Penyelidikan yang lengkap menyerupai tugas membina tesis. Jika berjaya menerbitkan satu kertas penyelidikan yang lengkap, seolah kita telah menyiapkan satu tesis mini. Bezanya mungkin skop yang lebih kecil, namun boleh dijadikan latihan persediaan. Jika ada kemampuan boleh dibentangkan di seminar atau konferens berkaitan bidang kita. Bagi ahli akademik, penulisan akan dinilai bagi kenaikan pangkat. Kelebihan melakukan latihan ini ialah kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan, dan apabila mendaftar sebagai pelajar sudah boleh merancang dan bersedia dengan aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan. Yang lebih penting, mudah-mudahan daya tahan itu sudah ada sedikit sebanyak.

ii) Niat dan matlamat
Sebagai Sarjana/Doktor Falsafah, niat dan matlamat kita mestilah untuk menyumbang kepada khazanah ilmu ('book of knowledge') sedia ada agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Niat dan matlamat yang baik perlu ada dalam setiap bakal Sarjana/Doktor Falsafah. Bukan saja berkait dengan soal etika, tetapi keupayaan seseorang untuk melengkapkan pengajiannya mungkin juga hanya tercapai jika dipandu dengan matlamat yang baik.

Ada penyelidikan hari ini yang bercampur-baur dengan penipuan, penyelewengan data, plagiat (menciplak/meniru), penyelewangan peruntukan geran dan pelbagai kesalahan lain. Ini semua berpunca dari kurangnya kepekaan penyelidik terhadap etika penyelidikan dan juga mempunyai kepentingan peribadi. Etika sangat penting dalam penyelidikan. Tanpa etika, bidang penyelidikan akan hilang integriti (kebolehpercayaan) dan masyarakat tidak akan menyambut baik hasil kajian dan penyelidikan. Bahkan kesan lebih buruk ialah hasil daripada penipuan yang digunakan memberi kesan dan mudarat terhadap masyarakat. Misalnya penyelewangan terhadap penyelidikan ubatan/vaksin akan memberi kesan buruk pada kesihatan orang ramai. Tanpa niat dan matlamat yang baik, mudah saja kita terpengaruh untuk melakukan penyelewengan (banyak faktor penyebab - kepentingan peribadi, rasa tamak dsb). Maka sebagai bakal sarjana/Doktor Falsafah, perlu ditekankan bahawa kajian dan penyelidikan kita akan dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru perlu bersedia dengan niat dan matlamat yang baik, supaya penyelidikan terpimpin dengan etika yang baik. Niat dan matlamat ini tidak harus dilupakan sepanjang tempoh pengajian, supaya dapat menjadi pembimbing dan pendorong kita.

iii) Semangat
Dengan beban kerja yang banyak dan meletihkan, seseorang yang lemah semangatnya pasti mudah putus asa. Semangat yang kuat perlu ada bagi seorang bakal Sarjana/Doktor Falsafah. Seperti mana cabaran hidup, bidang penyelidikan tidak kurang cabarannya. Maka hanya dengan semangat yang berkobar untuk menyelesaikan penyelidikan boleh mendorong kita untuk menggapai ijazah Sarjana/Kedoktoran yang diidamkan.

Sepanjang perjalanan penyelidikan akan ada masa di mana semangat kita pasang-surut / turun-naik. Ada masanya naik, ada masa seolah ingin putus asa dan berhenti. Maka bersedialah dengan kaedah-kaedah yang dapat memastikan semangat kita akan sentiasa kuat. Jangan mudah putus asa kerana tanda kegagalan pertama ialah putus asa. Buku-buku berunsur motivasi yang memerihalkan kejayaan penyelidik-penyelidik boleh dijadikan pendorong, seperti buku '20 Tokoh Ilmuwan (Malaysia)' tulisan Siti Ezaleila Mustafa, terbitan Medium Publications, 2009. Mungkin juga kita pernah dengar cerita 'katak yang pekak memanjat tiang' atau kisah 'Pemuda kampung yang menghadapi raksasa bernama 'ketakutan' yang tinggal di puncak gunung'. Moral cerita-cerita ini ialah semangat yang kuat dapat mengelakkan kita terpengaruh dengan godaan dan cabaran yang cuba menghalang kita untuk mencapai matlamat. Cerita-cerita sebegini boleh dijadikan pendorong sampingan kepada motivasi diri. Selain itu rangka kerja yang tersusun dapat memastikan kita tidak hilang fokus dan tumpuan yang biasanya menjadi faktor melemahkan semangat. Penyelia yang berkaliber juga sepatutnya mampu menjadi pemotivasi atau pendorong yang baik. Tetapi jarang yang bertuah sebegitu. Maka sebagai persediaan, kita perlulah berikhtiar sendiri dengan persediaan secukupnya supaya tidak mudah hilang/patah semangat, dan jika berlaku juga perlu ada cara untuk mengatasinya.

vi) Komitmen, dedikasi dan fokus
Selain semangat, komitmen, dedikasi dan fokus sangat berkait rapat kerana saling mempengaruhi. Komitmen dan dedikasi yang tinggi menjamin fokus terhadap matlamat. Manakala fokus yang konsisten dapat mendorong kita sentiasa komited dengan tugas penyelidikan. Timbal-balik antara komitmen dan fokus perlu diberi perhatian. Maka sebagai persediaan, bakal Sarjana/Doktor falsafah perlu sentiasa ada komitmen dan dedikasi terhadap penyelidikan yang kita lakukan. Fokus sepenuhnya kepada tugas menyelidik. Selalunya fokus mudah hilang apabila menemui kegagalan, misalnya kegagalan dalam eksperimen. Maka jangan putus asa dan terus fokus dengan matlamat yang ingin dicapai. Jika tidak, kita akan mudah hilang semangat dan tidak mahu meneruskan penyelidikan.

Persediaan ini juga penting bagi bakal Sarjana/Doktor Falsafah yang sudah berkeluarga atau belajar separuh masa. Ini kerana komitmen kita bukan saja pada penyelidikan, tetapi terpaksa dibahagikan dengan keluarga atau kerja hakiki (kerjaya). Justeru fokus mudah hilang. Manakala bagi yang selain itu, tetap ada cabaran juga kerana bukan sepanjang masa kita melakukan penyelidikan. Aktiviti harian yang lebih menyeronokkan akan mudah menarik tumpuan dan fokus. Maka kurangnya fokus akan mengurangkan komitmen pada penyelidikan. Proses timbal-balik menyebabkan kita lebih hilang fokus dan lambat laun jika dibiarkan akan menjejaskan penyelidikan dan pengajian kita. Justeru bersedialah dengan perancangan yang dapat memastikan kita terus komited dan fokus dengan pengajian.

v) Tekanan perasaan dan stress
Satu fenomena lumrah yang berlaku ialah tekanan perasaan. Bukan bermakna kita akan jadi tidak waras atau gila. Tetapi kerja-kerja penyelidikan yang begitu membebankan akan buat kita mudah tertekan. Dalam keadaan ini, sedikit sebanyak akan menjejaskan kesihatan dan aktiviti sosial kita. Bahkan kita kehilangan mood, hilang semangat dan mudah putus asa. Justeru perlu ada perancangan dan mengenalpasti kaedah yang dapat menghilangkan tekanan. Satu kaedah yang paling mudah ialah melupakan sementara kerja penyelidikan dan lakukan aktiviti yang tidak berkaitan tetapi memberi faedah cth. bersenam/berjoging. Kaedah lain ialah melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga/kawan-kawan. Apabila hilang tekanan, boleh kembali melakukan kerja penyelidikan. Persediaan dalam mengurus tekanan sangat penting, kerana tekanan yang dibiarkan berlarutan boleh mengundang musibah. Rancanglah apa aktiviti yang mungkin perlu dilakukan untuk menghilangkan tekanan, atau setidaknya bersedia untuk mengawal perasaan ketika tertekan. Bunyinya agak melucukan, tetapi percayalah hal ini sangat serius dan jika tidak dikawal boleh menjejaskan kehidupan anda.

Satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah dengan menonton filem A Beautiful Mind, lakonan Russell Crowe. Ceritanya berdasarkan kisah benar penerima anugerah Nobel Prize bidang ekonomi, John Forbes Nash Jr. yang mengalami halusinasi yang teruk dan menakutkan. Akibatnya dia mengalami tekanan emosi. Yang boleh dicontohi adalah bagaimana beliau mengawal tekanan emosi yang disebabkan halusinasinya. Lama-kelamaan dia boleh mengawal perasaannya dan dapat menerima halusinasi di dalam pemikirannya sebagai sesuatu yang biasa dan tidak lagi menakutkan (lebih kuranglah sinopsisnya). Ini adalah satu contoh kaedah menangani tekanan perasaan. Bagaimanapun ada pelbagai alternatif lain yang boleh dilakukan seperti yang dinyatakan sebelumnya.

Senarai yang dibincangkan mungkin hanya sebahagian dari cabaran-cabaran yang perlu ditangani sepanjang tempoh pengajian. Namun ia tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk menghadapinya. Sudah ramai yang melaluinya dan dapat mengatasi cabaran-cabaran berkenaan. (Walaupun ada yang gagal, itu bukan alasan untuk turut gagal). Mengetahuinya sedikit sebanyak membolehkan kita bersedia.



3) Persediaan Intelektual

Penyelidikan keseluruhannya merupakan satu kerja intelektual. Ia memerlukan kebijaksanaan dalam pelbagai aspek, dan matlamatnya juga untuk menyumbang ilmu baharu. Bukan saja fikiran dan mental yang sihat, bahkan pemikiran yang matang dan berkembang sangat diperlukan oleh seorang penyelidik. Justeru panduan persediaan berikutnya ingin membantu bakal Sarjana/PhD dari aspek intelektual supaya cukup bijak untuk memulakan dan melengkapkan pengajian. 'Bijak' bukan bermaksud sekarang kita tidak bijak. Tetapi bidang penyelidikan memerlukan kita melakukan banyak tugas ilmiah, dan dengan memahaminya dapat memastikan kejayaan dalam pengajian. Justeru apakah tugas berkaitan ilmiah yang biasa dilakukan? Inilah yang dibincangkan seterusnya.

i) Kenalpasti dan dalami bidang kajian
Sebelum memulakan pengajian, kita perlu kenalpasti bidang penyelidikan yang ingin kita lakukan. Ini adalah sebagai pendedahan awal kepada tugas yang bakal dilakukan. Penyelidikan semasa pengajian Sarjana/PhD bukannya boleh dilakukan secara 'bidan terjun'(add-hoc). Mungkin bagi genius bolehlah. Tetapi berapa ramai yang genius atau bernasib baik? Pengajian Sarjana/PhD memerlukan persediaan dan perancangan yang teliti (tak kisahlah walaupun belum rapi, kerana boleh diperkemaskan kemudian). Salah satu perancangan yang penting ialah memahami penyelidikan yang ingin dilakukan. Untuk memahami bidang penyelidikan, perlu kenalpasti dahulu. Kemudian bolehlah dikaji dan difahami dengan mendalam.

Cuba dapatkan bahan-bahan rujukan yang boleh membantu anda mengenalpasti bidang penyelidikan yang berpotensi/boleh dilakukan. Jika boleh kenalpasti juga pakar-pakar yang terlibat dalam bidang terbabit. Dan jika boleh lagi, cuba hubungi pakar-pakar terbabit dan dapatkan khidmat nasihat mereka (jika boleh la). Nasihat dan penerangan dari pakar-pakar ini boleh membantu kerana mereka arif tentang bidang terbabit, termasuklah mengenai potensi dan masalah yang wujud. Kenalpasti bakal penyelia dan dapatkan panduan dari mereka. Jika mereka sanggup membantu (lihat jawapan/layanan mereka), ini boleh menjadi 'first impression' bahawa mereka sedia membantu kita dan cukup kaliber untuk menyelia dengan baik kelak. (kalau dengan individu tak dikenali pun mereka layan, apatah lagi pelajar yang memang di bawah seliaan mereka!) Apabila bidang yang berpotensi telah dikenalpasti, maka lebih mudah untuk membuat rujukan selanjutnya kerana skop sudah lebih kecil.

ii) Banyak membaca
Pembacaan sangat penting. Lagi banyak kita baca, lagi banyak kita tahu. Lagi banyak kita tahu, lebih mudah untuk membuat keputusan, analisis dan kesimpulan. Proses berfikir manusia ialah menggunakan maklumat-maklumat yang sudah tersimpan di dalam otak. Pembacaan yang luas bermakna lebih banyak maklumat yang boleh digunakan untuk berfikir. Pembacaan adalah satu alternatif dalam proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, membaca adalah sumber pembelajaran yang terbaik kerana bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Kita boleh baca sebanyak mana yang kita suka, tidak kira masa dan tempat. Apatah lagi jika pembacaan boleh dilakukan dengan pantas. Berbanding belajar daripada individu, alat pandang-dengar dan sebagainya.

Dalam pengajian Sarjana/PhD, kita bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang kita ada. (apa yang kita tahu.) Lebih banyak yang kita tahu, maka mudah untuk kita menjalankan penyelidikan. Misalnya kita tahu masalah-masalah yang wujud dalam bidang terbabit, dan dengan ilmu yang kita tahu, kita boleh menjana/merangka model penyelesaian terbaik dan sekaligus memungkinkan kita menyelesaikan masalah. Apabila masalah yang dijadikan objektif pengajian berjaya diselesaikan, maka sudah selesai separuh perjalanan kita untuk mencapai ijazah Sarjana/PhD. Selebihnya cuma perlu siapkan tesis dan bersedia untuk viva/penilaian (bagi tesis). Tetapi jika kita kurang membaca dan semata-mata mengharapkan orang lain untuk mengajar kita, maka dinasihatkan jangan buat penyelidikan. Ini kerana sikap malas membaca petanda awal kegagalan. Disebabkan tempoh pengajian yang terhad, maka sebaiknya perbanyakkan pembacaan sebelum mula pengajian kerana selain membantu kita bersedia, kita juga dapat jimat masa. Ini kerana masa yang sepatutnya digunakan untuk pembacaan (dinamakan rujukan literatur) sudah boleh digunakan untuk tugas penyelidikan yang lain.

iii) Aktiviti selain membaca - menulis, menganalisis, mengkritik, membuat pemerhatian, membuat kesimpulan
Pelbagai kemahiran diperlukan oleh pelajar Sarjana/PhD, dan antara yang terpenting adalah kemahiran berkaitan intelektual - membaca, menulis, menganalisis, mengkritik, memerhati (membuat pemerhatian) dan membuat kesimpulan.

Seperti yang dibincangkan di atas, membaca memang sangat penting kerana itulah sumber ilmu terbanyak kepada penyelidikan kita. Namun ada yang lebih penting, iaitu menulis. Peranan penyelidik selain mengkaji, ialah menyumbang kepada khazanah ilmu melalui penulisan. Jika kita tidak menulis sesuatu daripada kajian kita, bagaimana kita hendak mengembang dan menyebarkannya kepada masyarakat? (boleh juga melalui seminar, ceramah dsb. Tetapi sifat ilmuan begitu akrab dengan penulisan). Maka menulis itu satu kemahiran yang perlu ada. Berlatihlah dari sekarang dengan mendalami bidang penulisan, khususnya yang bersifat saintifik. Penulisan saintifik berbeza dengan penulisan fiksyen atau bahan sastera lain, kerana penulisan saintifik mementingkan fakta dan membentangkannya dalam format yang standard. Ini memudahkan komuniti saintis berkongsi fakta, idea dan sebagainya. Selain itu, kita juga boleh menyertai bengkel atau seminar penulisan penyelidikan, kerana ia dapat memberi pendedahan kepada keperluan selain kemahiran menulis. Antaranya panduan menerbitkan penulisan, memilih bahan untuk penulisan dan sebagainya.

Kemahiran menganalisis juga wajib bagi penyelidik. Ini kerana dalam proses menyelidik, kita bergelumang dengan sekian banyak bahan ilmiah dan maklumat. Namun bukan semuanya berguna. Skop penyelidikan sangat luas, dan bidang kita mungkin hanya sebahagian kecil daripadanya. Maka semua bahan dan maklumat perlu dianalisis, ditapis dan maklumat yang tidak penting untuk penyelidikan kita perlu diketepikan. Tugas menganalisis memerlukan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan yang luas. Jadi pembacaan yang luas dapat membantu, manakala apabila kita sudah biasa menulis kita dapat membuat analisis dengan mudah kerana menulis melatih kita menganalisis bahan untuk penulisan.

Keupayaan mengkritik secara kritis juga penting. Dengan mengkritik kita bukan saja dapat menyumbang pembaikan atau idea kepada orang lain tetapi juga diri sendiri. Bahkan kita boleh mengkritik diri sendiri. Mengkritik secara rasional memerlukan kita mencari kelemahan-kelemahan di dalam penyelidikan. Ini bukan satu tugas mudah. Melalui cubaan mengkritik, kita akan dapat mengungkapkan kelemahan-kelemahan yang wujud dan mungkin terlepas pandang, sekaligus dapat melakukan pembaikan.

Pemerhatian pula bukan boleh dilakukan suka-suka atau sambil lewa. Jika tidak, mungkin ada perkara-perkara penting yang terlepas pandang dan terbazir begitu saja. Hasil pemerhatian yang baik akan membantu kita membuat kesimpulan yang baik. Maka kemahiran memerhati secara teliti penting bagi penyelidikan. Adakala kita hanya perlu perhatikan benda/ciri yang penting saja, tetapi selalunya yang penting itulah yang kita abaikan. Seperti ungkapan watak Sherlock Holmes, "You see. But you do not observed" - dalam 'A scandal in Bohemia' ("anda melihat, tetapi tidak memerhati").

Daripada hasil eksperimen/kajian, penyelidik perlu membuat kesimpulan. Kesimpulan inilah yang dianggap sebagai ilmu baharu. Kesimpulan yang baik bergantung kepada kebijaksanaan penyelidik menilai hasil eksperimen/kajian. Adakala penyelidik membuat kesimpulan yang salah, walaupun hasil eksperimen/kajian sebenarnya sudah tepat. Maka penyelidik perlu berhati-hati semasa membuat kesimpulan. Sebagai panduan, watak Sherlock Holmes mengungkapkan, "I have no data yet. It is a capital mistake to theorize before one has data. Insensibly one begins to twist facts to suit theories, instead of theories to suit facts. But the note itself. What do you deduce from it?" dalam 'A scandal in Bohemia' ("Saya belum ada data lagi. Adalah satu kesilapan besar membuat teori sebelum mempunyai data. Tanpa disedari, seseorang akan memutarbelit fakta supaya sesuai dengan teori, berbanding sebaliknya (yang sepatutnya). Nota itu. Apa yang kamu dapat simpulkan daripadanya?").

iv) Berdiskusi (berbincang) dan menghadiri seminar (membentang, mendengar pembentangan)
Penyelidikan sebenarnya bukanlah aktiviti perseorangan, sebaliknya adalah aktiviti berkumpulan. Ini kerana kita memerlukan rakan penyelidikan sama ada untuk berbincang tentang penyelesaian masalah, mencari idea, mendapatkan maklumbalas dan kritikan, membentangkan hasil penyelidikan, mendapatkan bantuan dalam tugas penyelidikan dan banyak lagi keperluan lain. Semua keperluan ini bukanlah tugas perseorangan. Mungkin boleh dilakukan berseorangan, tetapi hasilnya pasti bukan yang terbaik. Melalui aktiviti penyelidikan secara berkumpulan/dalam komuniti boleh membantu mempercepatkan perkembangan penyelidikan sama ada yang khusus dengan kita atau kepada bidang terbabit secara keseluruhan.

Berkumpulan tidak hanya terhad di kalangan penyelidik yang setempat dengan kita. Kita juga mungkin perlu bersemuka dengan penyelidik dari tempat-tempat yang jauh. Satu peluang yang ada adalah dengan menghadiri persidangan/seminar. Sebagai penyelidik adalah penting untuk kita menyertai persidangan/seminar - sama ada sebagai pembentang mahupun sekadar mendengar pembentangan penyelidik lain. Antara faedah membentangkan hasil penyelidikan ialah: (a) kita boleh menghebahkan kajian kita untuk dimanfaatkan oleh penyelidik lain; (b) kita boleh mendapatkan maklumbalas dan kritikan; (c) menambah bilangan penerbitan penyelidikan sebagai portfolio penyelidikan kita dsb. Manakala sebagai pendengar/penonton yang menghadiri seminar, kita: (a) dapat mengetahui perkembangan penyelidikan dalam bidang kita; (b) dapat bersemuka dengan penyelidik lain yang mempunyai minat penyelidikan yang sama; (c) dapat mengadakan rangkaian dengan penyelidik lain; (d) dapat bertukar pendapat dan idea dengan penyelidik yang berada jauh dari kita; (e) dapat menyumbang idea dan kritikan kepada komuniti penyelidikan (ini juga satu sumbangan) dan banyak lagi kelebihan lain. Penyertaan seminar memerlukan kos yang agak besar, dan sebagai pembentang juga perlu menulis kertas penyelidikan untuk dimasukkan di dalam prosiding. (Prosiding ialah dokumen yang menyenaraikan semua penyelidikan yang dibentangkan dalam seminar/persidangan/konferens terbabit.) Maka persediaan seperti wang peruntukan/geran dan kemahiran penulisan sangat diperlukan juga.

v) Jana pemikiran kreatif
Sebagai penyelidik, daya kreativiti juga menjadi penentu kejayaan. Ini kerana penyelidikan ialah usaha menyelesaikan masalah, dan adakala kita perlu mencuba pelbagai kaedah penyelesaian sebelum satu kaedah yang tepat ditemui. Begitupun kaedah penyelesaian itu belum tentu yang terbaik. Maka penyelesaian yang terbaik masih boleh dicari. Melalui daya kreativiti, kita boleh cuba mencari/mencipta pelbagai kaedah dan alternatif penyelesaian kepada sesuatu masalah. Adakala kita juga akan menemui jalan buntu semasa melakukan tugas penyelidikan. Pada ketika ini daya kreativiti dapat membantu kita mencari jalan keluar daripada kebuntuan. Ini sekaligus menghindarkan kita daripada rasa putus asa dan kegagalan.

Pemikiran kreatif sebenarnya boleh dilatih. Ianya tidak bergantung kepada bakat semulajadi semata-mata. Cuma mungkin bagi si A, perlu berlatih lebih berbanding si B, dan sebaliknya. Maka cubalah jana pemikiran kreatif dari awal. Mudah-mudahan sedikit-sebanyak dapat membantu semasa tempoh pengajian. Cubalah aktiviti yang melatih pemikiran kreatif, seperti bermain Lego (ia adalah permainan untuk orang dewasa juga!). Anda boleh juga berlatih berimaginasi, melukis atau apa saja aktiviti yang dirasakan memerlukan pemikiran kreatif. Penyelidikan bergantung kepada idea. Perbanyakkanlah idea dengan menjananya sendiri (pemikiran kreatif) atau melalui aktiviti seperti pembacaan, pemerhatian/pencerapan, perbincangan dan sebagainya.

Semoga apa yang dikongsikan kali ini dapat dijadikan panduan seterusnya untuk menjadi bakal Sarjana/PhD yang terbaik.

Akan Datang (Insya'allah): Bahagian seterusnya - 4) Persedian dari aspek sosial, dan 5) Topik khas berkaitan asas penyelidikan.