بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Jumaat, 20 Februari 2009

Buku - Pemikiran Hamka


Tajuk: Pemikiran Hamka
Penyunting: Dr Sidek Baba (mantan NC UKM)
Penerbit: DBP
Harga: RM20.00
Mukasurat: 175 mukasurat
Sumber gambar






Ini ulasan buku yang kedua. Buku 'Pemikiran Hamka' ini mengandungi 7 bab. Setiap bab merupakan makalah dan kertas kerja berkenaan sumbangan Hamka (atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah) terhadap bidang keilmuan, khususnya perkembangan Islam dan tamadun Melayu. Bab 1 merupakan makalah yang ditulis oleh anak Allahyarham Hamka, iaitu menceritakan latar belakang dan pengalaman hidup Hamka. Bab 2 pula berkenaan Tafsir Al-Azhar, iaitu salah satu karya Hamka yang terulung. Bab 3 berkisar tentang Tajdid dan Islah menurut pemikiran Hamka, manakala bab 4 adalah tentang konsep Bina Insan yang diterapkan oleh Hamka dalam karya-karya sasteranya. Bab 5 adalah berkenaan penulisan dan sumbangan Hamka dalam penulisan sejarah Melayu, manakala bab seterusnya (6) mengungkap secara kritis peranan wanita pada sudut pandangan Hamka. Sementara bab terakhir, iaitu bab 7 merupakan satu aprisiatif (penghargaan) terhadap sumbangan-sumbangan Hamka kepada tamadun dan bahasa Melayu.

Amnya, saya rasa seronok bila membaca buku ini. Walaupun lebih bersifat rujukan dan sarat dengan unsur ilmiah, tapi atas rasa ingin mengenali sumbangan dan siapa Hamka, saya mampu membaca dari awal hingga akhir dlm tempoh 2 hari. Mungkin bagi yang mampu membaca lebih pantas, boleh habis lebih awal. Melalui pembacaan ini, saya dapat mengetahui latar belakang Hamka, sedikit sebanyak sumbangan dan perjuangannya, serta dapat menambah koleksi ilmu saya tentang seorang lagi pejuang dan pemikir yang hebat. Untuk mengetahui lebih lanjut, kena beli la ye!

Secara kritis pula, saya melihat ada beberapa kekurangan terhadap buku ini. Satunya, dari aspek agama, kerana Hamka juga merupakan seorang tokoh agama. Walaupun dalam bab 2 menyentuh secara khusus tentang tafsir Al-Azhar (karya agama), namun peranan Hamka sebagai seorang ulama tidak begitu ditekankan. Sepanjang membaca buku ini, tergambar di fikiran bahawa Hamka lebih seperti seorang budayawan yang mencuba-cuba menceburkan diri dalam bidang agama, walhal peranan Hamka saya rasa sudah layak dipanggil ulama dan pendakwah. Cuma sumbangannya terhadap penyebaran dakwah itu tidak ketara dalam buku ini, walaupun ada dibincangkan.

Kelemahan kedua, dari aspek pembincangan falsafah dan pemikiran Hamka itu sendiri (tajuknya pun 'Pemikiran Hamka'). Bila membaca tajuknya, saya mengharapkan satu perbincangan yang khusus tentang bagaimana Hamka melihat perkembangan tamadun Islam dan Melayu, dan sekaligus membincangkan pandangannya terhadap perkembangan ini secara kritis. Namun apa yang ketara hanya pembincangan melalui karya-karya dan hasil sastera Hamka, yang pada saya tidak cukup menggambarkan bahawa, Hamka sebenarnya lebih dari sekadar berjuang dengan penulisan saja. Misalnya, dinyatakan semasa mudanya, Hamka pernah menyertai pertubuhan pejuang kemerdekaan, tapi tak dibincangkan lebih lanjut.

Namun, kelemahan-kelemahan di atas mungkin berlaku disebabkan buku ini merupakan himpunan makalah-makalah terpilih yang berkaitan sumbangan tertentu Hamka, dan bukan ditulis secara khusus untuk mengungkapkan sejarah hidup Allahyarham. Mungkin juga, DBP, sebagai penerbit buku, lebih ingin menceritakan perjuangan Hamka dari aspek sastera dan budaya, maka hal-hal yang tidak berkaitan tidak disentuh sangat.

Apapun saya tetap berpuas hati dengan buku ini, kerana banyak ilmu yang boleh dipelajari berkaitan Hamka, dan peranannya sebagai seorang ulama dan pejuang pembaharuan (lagipun dah beli!). Sebagai penutup, saya petik kata-kata pujangga bernama Hamka ini (dlm buku ini, m/s 89) yang saya rasa menarik untuk dikongsi:
"Kerana sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara, guna mengumpulkan kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru. Sebab itulah maka tak usah kita menangis di waktu mendaki, sebab di balik puncak perhentian pendakian itu, telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana, iaitu kuatkan kaki, supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa di waktu menurun kerana kita akan menempuh pendakian pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian dahulu. Dan barulah kelak di akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu padang yang luas terbentang, bernama maut."
(Hamka, Merantau ke Deli:71)

Khamis, 19 Februari 2009

Sisipan - Beza Menteri dan Bapa

Artikel di bawah saya 'pinjam' dari saudara Azli Shukri. Satu contoh biografi yg sangat bermakna utk dikongsi tentang kehidupan peribadi dan sikap Tun Dr Mahathir.

"Saya membesar seperti kanak-kanak lain."

Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi.

Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan Mukhriz dengan kanak-kanak sekampungnya tiada jurang dan perbezaan. “Zaman remaja saya seperti orang lain juga. Saya tiada beza dengan kanak-kanak yang sebaya dengan saya pada ketika itu. Walaupun ayah saya dihormati kerana seorang doktor, tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan sekampung tiada beza, kami bersama-sama bermain di dalam sawah, pergi berenang di sungai Kedah, memancing ikan dan bermain meriam buluh, semua ini membuatkan hubungan kami sangat rapat dan mesra, tanpa mengira status dan kedudukan.”

Mukhriz berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1974, ketika berada dalam darjah empat, kerana Tun Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran . Mukhriz dibesarkan di Kuala Lumpur, tetapi pendidikan menengahnya di Kelantan. Menurut Mukhriz, walaupun Tun Mahathir merupakan Menteri Pelajaran pada ketika itu, dan mempunyai peluang untuk menghantar anak-anaknya belajar ke luar negara, namun demikian, beliau tidak melakukannya. Tun Mahathir lebih selesa menghantar Mokhzani dan Mukhriz ke sekolah berasrama penuh. “Saya dan abang saya, Mokhzani dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu (Sekarang MRSM Pengkalan Chepa) selama lima tahun dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Di sana, saya mendapat banyak pengalaman yang berbeza, kerana saya dibesarkan dalam budaya dan bahasa percakapan masyarakat Kedah dan bukan Kelantan. Pada awalnya, agak sukar untuk memahami pertuturan orang Kelantan, tetapi lama kelamaan ia semakin mudah difahami.” Jelas Mukhriz lagi.

Menurut beliau , zaman remajanya di Kelantan sangat indah dan menarik, kerana budaya dan cara hidup Islam yang diamalkan di sana. Menurut Mukhriz, “Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat Kelantan yang teguh kepada ajaran Islam serta budaya Melayu. Saya hidup selama lima tahun di negeri tersebut, sehingga sekarang saya masih fasih bercakap dalam dialek Kelantan, kerana saya mempunyai kawan yang ramai di sana. Hal ini menyebabkan saya berasa bertuah dan tidak meninggalkan cara hidup Islam dan orang Melayu.”

Sepanjang lima tahun belajar di Kelantan, Mukhriz banyak belajar erti berdikari dan kehidupan susah masyarakat Kelantan. Hal ini mematangkan beliau. Apatah lagi menurut Mukhriz, walaupun Mokhzani berada di tingkatan tiga dan beliau berada di tingkatan satu, namun abangnya itu lebih gemar agar Mukhriz berdikari dan tidak bergantung harap kepadanya selalu. malah, menurut Mukhriz, pernah sekali beliau dibuli oleh pelajar-pelajar senior, tetapi Mokhzani tidak datang membantu, sebaliknya mahu beliau mempelajari erti tidak bergantung harap kepada orang lain.

Ketika Mukhriz di sekolah, beliau begitu aktif dalam persatuan, tetapi bukanlah sebagai ketua atau pemimpin, sebaliknya lebih kepada pelaksana dan penggerak kepada tugas yang diamanahkan. Kehidupan beliau semakin mencabar setelah Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, iaitu ketika beliau berada di tingkatan lima. Mukhriz terpaksa bekerja keras untuk membuktikan bahawa sebagai seorang anak Perdana Menteri, beliau mampu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dan yang lebih penting tidak memalukan ayahnya sebagai Perdana Menteri. Akhirnya, Mukhriz berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan menyambung pelajarannya di Universiti Sophia, Tokyo, Jepun dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan. Seterusnya menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Pemasaran.

Menurut beliau, perkara yang tidak dapat dilupakan ketika zaman remajanya ialah, setiap kali keluarga Tun Mahathir bercuti ke luar negara, sudah pasti Tun Mahathir akan membawa mereka melawat ke kilang-kilang kereta. Bagi Mukhriz, beliau rasa bertuah, kerana sejak zaman remaja lagi, beliau sudah didedahkan dengan syarikat-syarikt pengeluar kereta terkenal dunia, seperti Toyota dan Mistubishi. Tidak disansikan oleh sesiapa pun bahawa hobi Tun Mahathir adalah melawat kilang kereta dan pembuatan. Lantaran itu, tidak menghairankan apabila Tun Mahathir membangunkan projek kereta nasional dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar Jepun. Melalui hobi Tun Mahathir ini, menyebabkan Mukhriz secara tidak langsung jatuh hati dalam industri pembuatan.

Setelah menamatkan pelajaran di Jepun dan Amerika Syarikat, beliau berazam membina perniagaannya sendiri melalui Opcom Holdings dan merasai jatuh bangun dalam pelbagai bidang perniagaan. Setelah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya dalam dunia perniagaan, Mukhriz menceburi secara langsung dengan dunia politik dan kerja-kerja amal. Kini, beliau banyak terlibat dengan kerja amal melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti AMAN Malaysia. Serta terlibat secara aktif dalam politik setelah memenangi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2004. Malah, karismanya semakin menyerlah setelah memenangi kerusi Parlimen Jerlun dalam pilihan raya umum 2008.

komen:
Ini bukan laman politik, jadi harap abaikanlah (sementara) perbezaan fahaman politik masing-masing.

Saya juga pernah bersekolah bersama dengan anak seorang bekas Menteri, (waktu itu Menteri) tetapi nyata sangat berbeza dengan sikap Datuk Mukhriz. Apa yang ingin saya utarakan di sini, tidak semua pemimpin berjaya mendidik anaknya. Satu ciri pemimpin ialah 'melahirkan pemimpin untuk jadi sepertinya'. Juga, dapat dicontohi prinsip peribadi Tun Dr Mahathir dalam membezakan peranannya sebagai Menteri (seterusnya Perdana Menteri) dan seorang bapa!

p/s: saya terlepas 'deadline' blog. Jadilah, sementara nak siapkan pos seterusnya, 'Pemikiran Hamka' insya'allah...

Rabu, 11 Februari 2009

Sisipan - Sayembara Fiksyen S&T

sumber: Utusan Malaysia Online

Sayembara Fiksyen Sains, Teknologi

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi yang dilancarkan hari ini menjadi medium terulung bagi menggalakkan pemikiran saintifik, kreatif dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia itu menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.

Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai RM15,000 manakala kedua RM7,500, ketiga RM5,000 serta lima pemenang sagu hati masing-masing menerima RM500 di samping setiap pemenang membawa pulang watikah dan trofi.

Sempena penganjuran sayembara itu, sejumlah enam bengkel bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi akan diadakan seluruh negara.

Siri pertama telah diadakan pada 31 Januari lalu di Johor Bahru diikuti Kuala Lumpur (7 Februari) sebelum dianjurkan di Kota Kinabalu pada 28 Februari ini, diikuti Kota Bharu (7 Mac), Alor Setar (14 Mac) dan berakhir di Kuching (21 Mac).

Pelancaran sayembara yang julung-julung kali memfokuskan fiksyen sains dan teknologi itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin di sini petang ini.

Pada majlis itu, Zaini dan Mohamed Hashim menandatangani memorandum persefahaman mewakili UTM dan Kumpulan Utusan bagi penganjuran sayembara itu.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak; dan Timbalan Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Marzuki Khalid.

Mereka yang berminat menghantar novel untuk menyertai sayembara itu boleh mengisi borang penyertaan yang boleh didapatkan daripada pihak sekretariat di Penerbit UTM Press di UTM, Skudai, Johor atau dimuat turun dari laman web www.penerbit.utm.my atau www.mybooks.com.my.

Tarikh tutup penyertaan bagi sayembara itu ialah pada 31 Ogos ini manakala penyampaian hadiah-hadiah dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.

Dalam ucapannya, Zaini berkata, sayembara itu merupakan inisiatif UTM dan Kumpulan Utusan ke arah melahirkan modal insan kreatif yang berorientasikan pemikiran sains dan teknologi.

Menurutnya, bengkel-bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi itu pula bertujuan mendapatkan karya benar-benar bermutu dan memenuhi genre fiksyen sains dan teknologi untuk menyertai sayembara berkenaan.

“Tamadun yang maju di seluruh dunia dipengaruhi penguasaan ilmu yang tinggi dan dibina menerusi budaya membaca, mencipta, menulis dan menerbitkan buku yang hebat.

“Saya percaya manuskrip untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi ini tidak hanya bercerita dan menampilkan kecanggihan teknologi malah kita harap ia menggarap dan mengadunkan aspek nilai dan ideologi secara mantap serta memiliki impak positif,” katanya.

Zaini berkata, penyertaan sayembara itu terbuka kepada individu atau berkumpulan tetapi sesebuah kumpulan tidak boleh melebihi tiga ahli.

“Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya. Tiada had penyertaan sama ada bagi peserta individu atau berkumpulan,” ujar beliau.

Mohd. Nasir dalam ucapannya pula berkata, jalinan kerjasama Kumpulan Utusan dan UTM itu bertujuan meningkatkan martabat bidang penulisan tanah air.

“Ini akan memperkayakan lagi khazanah karya-karya tempatan selain memberi ruang lebih luas kepada para penulis untuk mengetengahkan hasil mereka dalam bentuk lebih kreatif,” ujarnya.

Tambahnya, semua karya pemenang sayembara itu akan diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyertai sayembara atau bengkel-bengkel yang diadakan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian 07-5218166

p/s: bolehlah mula berkarya dan berfantasi!

Selasa, 10 Februari 2009

Pengaturcara muda dan harta intelek

Kisah remaja bijak (pengaturcaraan) di Singapura...
Nine-year-old writes iPhone code

A nine-year-old Malaysian boy in Singapore has written a painting application for the Apple iPhone. Lim Ding Wen created the finger painting program, known as Doodle Kids, for his two younger sisters aged three and five. The program allows iPhone owners to draw images on the handset's touch screen using just their fingers. The program has been downloaded more than 4,000 times from Apple's iTunes store in less than two weeks. While most children of his age are painting or drawing with crayons, Lim Ding Wen has been programming.

Lim, who is now fluent in six programming languages, first started using a computer when he was two-years-old, discovered programming aged seven, and has since completed more than 20 programming projects. His latest application, Doodle Kids, allows users to draw pictures using their fingers and then clear the screen by shaking the iPhone.

"I wrote the program for my younger sisters, who like to draw," said Lim. "But I am happy that people like it."

Lim wrote the original application on his computer but has now adapted it for use on an iPhone. He told The Electric New Paper in Singapore that he wrote the application in just a few days in Pascal. Writing on his website, Lim's father - Lim Thye Chean - a chief technology officer at a local hi-tech firm, who also writes iPhone applications, was modest about his son's achievements.

"Ding Wen is an above average boy with an interest in computers, especially Apple IIGS and Macs, likes to do programming, and that's it.

"Doodle Kids is an extremely simple program that can be done by anybody. Everybody can program - if Ding Wen can, so can you," he wrote.

Lim Ding Wen is now working on a sci-fi game for the iPhone called Invader Wars and plans to join his school's robotics club.

Sumber: BBC - Technology

Apa yang menarik di atas:
  • mula kenal pengaturcaraan seawal usia 2 tahun
  • membina aplikasi seawal usia 9 tahun
  • membina aplikasi permainan untuk adik-adiknya!
Generasi muda yang bukan saja cemerlang dan pintar, tetapi beretika. Inilah yang Malaysia perlukan...

Berita di atas berkenaan seorang rakyat Malaysia, yang mencapai kejayaan di negara jiran, Singapura. Saya ingin berkongsi tentang saranan Tun M dalam ucapannya tentang perlindungan harta intelek dan peranan negara membangun (dan miskin) melindungi harta intelek (Mahathir, 2006). Antara lain, beliau menyebut tentang hak-hak negara membangun dari sudut perlindungan harta intelek mereka terhadap negara kaya.

Dewasa ini ramai penyelidik/intelek daripada negara-negara membangun bermastautin di negara kaya dan menyumbang hasil kerja dan keintelektualan mereka di sana. Hal ini disebabkan negara kaya dapat menyediakan kemudahan penyelidikan yang diperlukan oleh penyelidik, berbanding berada di negara asal mereka. Tun M berpendapat, seharusnya negara-negara kaya membayar royalti atas sumbangan para penyeldik yang bermastautin di negara kaya. Royalti ini perlu dibayar kepada negara asal penyelidik berkenaan.

Negara asal berhak mendapat royalti kerana negara berkenaan telah berusaha menyediakan pendidikan dan prasarana untuk melahirkan penyelidik. Tetapi apabila para penyelidik telah mendapat pendidikan yang cukup, mereka 'melarikan diri' ke negara kaya. Kesannya, negara kaya terus kaya dengan sumbangan mereka, sedangkan yang membangun dan miskin terus ketinggalan tanpa mendapat apa-apa sumbangan daripada penyelidik yang mereka lahirkan. Justeru Tun M berpendapat, adalah wajar negara kaya terbabit membayar royalti sebagai 'ganti rugi' kepada negara asal penyelidik. Royalti ini bukan sekadar sebagai 'wang tebusan', bahkan bertujuan (1) membantu negara membangun mendapat manfaat dari penyelidik yang mereka lahirkan, selain (2) meningkatkan lagi keupayaan negara tersebut untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai dan penyelidik yang berbakat.

Pastinya saya sangat bersetuju dengan Tun M. Namun untuk memberi komen yang bersifat kritis, pandangan Tun M ini mungkin akan jadi sekadar pandangan yang tidak dipedulikan (hakikat ini sebenarnya diujarkan juga oleh Tun pada akhir ucapannya hehehe). Hujah yang akan dibangkitkan oleh negara kaya ialah (1) bagaimana negara asal boleh mendakwa royalti hak mereka, sedangkan belum tentu pendidikan yang diberikan merupakan asas kepada penemuan penyelidik berkenaan (mana bukti adanya hubungan langsung? Penyelidik belajar juga di negara lain); (2) penyelidik secara sukarela bermastautin di negara kaya dan dianggap ingin menyumbang kepada negara kaya, bukan negara asal mereka; (3) berapa peratus royalti yang perlu dibayar? dan bermacam alasan lain yang akan digunakan oleh negara kaya.

Tun M mungkin sedar atas masalah ini dan beliau sendiri mengujarkan bahawa semua ini bergantung atas 'ehsan' dan rasa prihatin negara kaya berkenaan untuk membayar, kerana tiada badan antarabangsa atau undang-undang yang boleh memaksa mereka membayarnya. Justeru, dalam menyelesaikan masalah ini, mungkin (MUNGKIN), atas inisiatif dan semangat patriotik penyelidik berkenaan, boleh (1) mendapatkan hak (cth: paten) peribadi terhadap penyelidikan mereka, dan membawanya pulang ke negara asal; (2) pulang ke negara asal dan membangunkan prasarana penyelidikan (seperti yang diusahakan oleh Malaysia sblm ini memanggil pulang tenaga pakar); (3) menyalurkan perkembangan penyelidikan mereka ke negara asal (tak perlu pulang), supaya maklumat itu boleh dikembangkan di negara asal mereka oleh penyelidik lain. Sedikit sebanyak usaha ini dapat mengelakkan hasil sumbangan penyelidik dari negara membangun/miskin dimanipulasi oleh negara kaya yang tidak mahu memikirkan nasib negara terbabit.


Rujukan:
  1. Mahathir Mohamad (2006). Islam, Knowledge and Other Affairs. MPH Publishing.
  2. BBC News. URL = http://news.bbc.co.uk/2/hi/technology/7874291.stm (dirujuk pada : 10/02/2009)

Rabu, 4 Februari 2009

Sampai masa kita buat acuan ilmu!

[ Nota: Pos berikut adalah sekadar perbincangan berunsur ilmiah untuk difikirkan bersama. Sebenarnya idea dan 'kesedaran' ini adalah hasil pendedahan terhadap pengembangan ilmu yang diperjuangkan oleh ASASI dalam membina acuan ilmu baru mengikut acuan ilmu Islam. ]

Sumber foto: http://www.history-science-technology.com/

Budaya menyambut/menerima ilmu

Kalau sebelum merdeka dulu, di Malaysia (Tanah Melayu), kita hanya menerima. Datanglah sesiapa pun, akan disambut dengan baik, kerana peradaban Melayu bersopan-santun. Bahkan budaya ini tidak membezakan tetamu, walaupun yang datang itu wakil Siam yang meminta/memaksa sultan membayar ufti pada kerajaan Siam! Kegemilangan kerajaan Srivijaya dan Majapahit menyebabkan tersebarnya budaya Hindu. Kedatangan pedagang-pedagang Arab di sambut dengan baik, dan memudahkan penerimaan dan penyebaran Islam di Tanah Melayu. Bahkan penjajah asing pun 'disambut' juga dan akhirnya kita dipaksa mengikut acuan ilmu mereka. Maka banyaklah budaya dan kepelbagaian ilmu yang diterima di Tanah Melayu.

Budaya mengikut ilmu

Kemudian selepas merdeka, kita belajar dari pegawai bangsa Inggeris yg sanggup tinggal untuk melatih pegawai-pegawai kerajaan yang terdiri dari kalangan orang tempatan. Kita terpaksa mengikut, kerana amalan sistem yang ditinggalkan oleh penjajah British menyukarkan berlakunya rombakan yang drastik. Pemindahan ilmu (mengikut sistem British) berlaku, dan hasilnya kita boleh memerintah sendiri. Hasilnya juga, kita melahirkan generasi baru yang dibentuk dari budaya dan pemikiran penjajah.

Budaya meminta ilmu

Melalui dasar Pandang ke Timur, kita berinisiatif dengan membina acuan sendiri dengan mempelajari budaya asing (Asia Timur). Kita hantar pelajar belajar di Jepun dan Korea. Kita meminta syarikat asing untuk datang melabur dan menyediakan tenaga pakar di Malaysia, dan ramailah pelabur-pelabur dan tenaga pakar yang berpusu-pusu datang ke Malaysia. Hasilnya, banyaklah industri yang berkembang. Hasilnya juga, pemindahan ilmu yang dipelopori oleh negara-negara Asia timur berjaya dipelajari. Dalam pada itu, 'import' ilmu dari Asia Barat dan Dunia Barat juga terus berlaku dengan pesat.

Budaya menyebar ilmu

Apabila Malaysia sudah semakin maju, semakin banyak tenaga mahir diperlukan. Maka bidang pendidikan berkembang dengan pesat. Pusat-pusat pengajian tumbuh bagai cendawan. Kalau dahulu penuntut-penuntut universiti boleh dibilang dengan jari, kini kalau dikumpulkan semuanya boleh buat satu-dua negeri! Pada masa yang sama juga, datanglah pelajar-pelajar asing terutamanya dari kalangan negara miskin dan membangun, dan kita sebarkan pula kemahiran dan ilmu kita pada mereka.

Budaya melahirkan ilmu?

Malangnya apa yang kita sebarkan adalah ilmu yang kita pelajari dan terima dari bangsa asing, yang kita kembangkan dan sebarkan. Bagaimana pula dengan ilmu bangsa Malaysia? Adakah kita akan terus membangun dengan budaya dan ilmu asing? Maka sudah sampai kita bina acuan kita sendiri. Wawasan 2020 tidak dibina dengan matlamat membangunkan negara dengan acuan asing. Sebaliknya antara matlamat Wawasan 2020 ialah membangunkan negara Malaysia yang maju mengikut acuan Malaysia! (rujuk pos lepas). Wajarkah membina acuan negara Malaysia maju itu dengan acuan ilmu bangsa asing? Adakah memadai untuk dinamakan acuan Malaysia?

Apakah bentuk acuan ilmu? Acuan yang dibentuk mestilah berdasarkan pengkajian-pengkajian ilmu baru berasaskan formula kita sendiri. Kalau kita mengkaji formula/ilmu baru bersandarkan ilmu yang ada (asing) dan membina acuan ilmu dengannya, maka kita hanya mengembangkan ilmu mereka dan bukan ilmu kita. Maka kita masih dalam budaya menyebar ilmu! Sebaliknya dengan membina acuan ilmu yang tersendiri, kita boleh melahirkan lebih banyak ilmu yang mana ilmu itu dikembangkan dari acuan kita. Barulah dikatakan melahirkan tamadun, seperti mana Islam melahirkan tamadunnya mengikut acuan sendiri (walaupun berasaskan ilmu Yunani dan Rom, asas ilmu Islam mengikut prinsip Islam). Sekaligus bukan saja mampu menjayakan Wawasan 2020, malah membina satu tamadun ilmu yang bersandarkan pada asasnya yang unik dan ada identiti sendiri.

Pada saya, acuan ilmu yg terbaik tentunya mengikut acuan ilmu Islam kerana (1) Malaysia mahu jadi negara Islam dan (2) Tamadun Islam sudah terbukti gah satu masa dulu. ( Dan tentunya sebagai Muslim saya yakin ilmu Islam itu benar ;)


Rujukan:
  1. Mahathir Mohamad (?). Islam, Knowledge and Other Affairs. MPH Publishing.
  2. Jurnal Kesturi. Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). URL= http://www.kesturi.net

p/s: Insya'Allah saya akan kemaskini blog setiap Rabu. Sempat la nak penuhi 'deadline' blog hehehe Juga ada pautan baru yg menarik