بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Jumaat, 20 Februari 2009

Buku - Pemikiran Hamka


Tajuk: Pemikiran Hamka
Penyunting: Dr Sidek Baba (mantan NC UKM)
Penerbit: DBP
Harga: RM20.00
Mukasurat: 175 mukasurat
Sumber gambar






Ini ulasan buku yang kedua. Buku 'Pemikiran Hamka' ini mengandungi 7 bab. Setiap bab merupakan makalah dan kertas kerja berkenaan sumbangan Hamka (atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah) terhadap bidang keilmuan, khususnya perkembangan Islam dan tamadun Melayu. Bab 1 merupakan makalah yang ditulis oleh anak Allahyarham Hamka, iaitu menceritakan latar belakang dan pengalaman hidup Hamka. Bab 2 pula berkenaan Tafsir Al-Azhar, iaitu salah satu karya Hamka yang terulung. Bab 3 berkisar tentang Tajdid dan Islah menurut pemikiran Hamka, manakala bab 4 adalah tentang konsep Bina Insan yang diterapkan oleh Hamka dalam karya-karya sasteranya. Bab 5 adalah berkenaan penulisan dan sumbangan Hamka dalam penulisan sejarah Melayu, manakala bab seterusnya (6) mengungkap secara kritis peranan wanita pada sudut pandangan Hamka. Sementara bab terakhir, iaitu bab 7 merupakan satu aprisiatif (penghargaan) terhadap sumbangan-sumbangan Hamka kepada tamadun dan bahasa Melayu.

Amnya, saya rasa seronok bila membaca buku ini. Walaupun lebih bersifat rujukan dan sarat dengan unsur ilmiah, tapi atas rasa ingin mengenali sumbangan dan siapa Hamka, saya mampu membaca dari awal hingga akhir dlm tempoh 2 hari. Mungkin bagi yang mampu membaca lebih pantas, boleh habis lebih awal. Melalui pembacaan ini, saya dapat mengetahui latar belakang Hamka, sedikit sebanyak sumbangan dan perjuangannya, serta dapat menambah koleksi ilmu saya tentang seorang lagi pejuang dan pemikir yang hebat. Untuk mengetahui lebih lanjut, kena beli la ye!

Secara kritis pula, saya melihat ada beberapa kekurangan terhadap buku ini. Satunya, dari aspek agama, kerana Hamka juga merupakan seorang tokoh agama. Walaupun dalam bab 2 menyentuh secara khusus tentang tafsir Al-Azhar (karya agama), namun peranan Hamka sebagai seorang ulama tidak begitu ditekankan. Sepanjang membaca buku ini, tergambar di fikiran bahawa Hamka lebih seperti seorang budayawan yang mencuba-cuba menceburkan diri dalam bidang agama, walhal peranan Hamka saya rasa sudah layak dipanggil ulama dan pendakwah. Cuma sumbangannya terhadap penyebaran dakwah itu tidak ketara dalam buku ini, walaupun ada dibincangkan.

Kelemahan kedua, dari aspek pembincangan falsafah dan pemikiran Hamka itu sendiri (tajuknya pun 'Pemikiran Hamka'). Bila membaca tajuknya, saya mengharapkan satu perbincangan yang khusus tentang bagaimana Hamka melihat perkembangan tamadun Islam dan Melayu, dan sekaligus membincangkan pandangannya terhadap perkembangan ini secara kritis. Namun apa yang ketara hanya pembincangan melalui karya-karya dan hasil sastera Hamka, yang pada saya tidak cukup menggambarkan bahawa, Hamka sebenarnya lebih dari sekadar berjuang dengan penulisan saja. Misalnya, dinyatakan semasa mudanya, Hamka pernah menyertai pertubuhan pejuang kemerdekaan, tapi tak dibincangkan lebih lanjut.

Namun, kelemahan-kelemahan di atas mungkin berlaku disebabkan buku ini merupakan himpunan makalah-makalah terpilih yang berkaitan sumbangan tertentu Hamka, dan bukan ditulis secara khusus untuk mengungkapkan sejarah hidup Allahyarham. Mungkin juga, DBP, sebagai penerbit buku, lebih ingin menceritakan perjuangan Hamka dari aspek sastera dan budaya, maka hal-hal yang tidak berkaitan tidak disentuh sangat.

Apapun saya tetap berpuas hati dengan buku ini, kerana banyak ilmu yang boleh dipelajari berkaitan Hamka, dan peranannya sebagai seorang ulama dan pejuang pembaharuan (lagipun dah beli!). Sebagai penutup, saya petik kata-kata pujangga bernama Hamka ini (dlm buku ini, m/s 89) yang saya rasa menarik untuk dikongsi:
"Kerana sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara, guna mengumpulkan kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru. Sebab itulah maka tak usah kita menangis di waktu mendaki, sebab di balik puncak perhentian pendakian itu, telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana, iaitu kuatkan kaki, supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa di waktu menurun kerana kita akan menempuh pendakian pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian dahulu. Dan barulah kelak di akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu padang yang luas terbentang, bernama maut."
(Hamka, Merantau ke Deli:71)

8 ulasan:

  1. silakan lulucon, mana2 yang saudara rasa baik, ambillah dari mana2 bahagian blog saya, saya izinkan, biar ilmu itu tersebar luas - saya mengharapkan keampunan Allah dan pahala daripada apa2 yang telah saya tulis. Terima kasih sudi singgah ke blog saya.

    BalasPadam
  2. wah, hebat ayatnya...sekian lama dengar nama hamka mestinyer rasa teruja untuk tahu kisahnya..

    BalasPadam
  3. em ,mungkin perlu dikeluarkan lagi buku pemikiran hamka 2..pengenalan agaknyer untuk karya penulisan dan sumbangannya..

    BalasPadam
  4. Sdra Azli: Pahala? insya'allah. Asalkan membawa kebaikan. Terima kasih utk artikel tu, dan juga krn sudi singgah.

    Fahana_ann: saya pun suka, sbb tu paparkan hehehe. Slama ni saya biasa dengar 'hidup umpama roda' je... Pemikiran Hamka 2? Ramai2 la beli buku ni. Jgn kata 2,3,4,10 pun boleh hehehe

    BalasPadam
  5. aku harap jumpa buku yang ku nak cari di pameran buku ni..kalau ada pemikiran Hamka ni..hehehe..diri inilah yang paling seronok..hehe

    BalasPadam
  6. Salam,

    Pemikiran Pak Hamka bermula dari soal adat dan ilmiah yang sangat tajam dan pemergiannya belum ada lagi penggantinya

    BalasPadam
  7. oh, inilah buku yang lelucon suruh saya baca. maaflah. masih tidka berkesempatan.

    Pernah baca merantau ke Deli. saya rasa merantau ke deli punya hujah yang baik untuk poligami

    BalasPadam
  8. singamaraja: wslm, 'belum' itu maksudnya mungkin akan ada :)
    terima kasih sudi singgah dan komen.

    ainunl:ya, saya ada baca komen ainunl, menjawab ktitikan (pd Adi, tak silap) ttg karya sastera Hamka :) tak sangka pulak isinya sgt menarik! (kena cari/baca nih!)

    BalasPadam