Pemodenan memaksa kita belajar dan mengkaji ilmu. Hari ini, umat Islam ketinggalan dari aspek penerokaan ilmu. Bukan tidak ada yang terkehadapan, tetapi jumlahnya sangat sedikit, terutama jika dibandingkan dengan masyarakat di negara-negara maju. Umat Islam perlu sedar bahawa mengkaji ilmu itu adalah satu ibadah, kerana dengan ilmu umat Islam dapat memajukan diri dan ummah. Walaupun pengkajian ilmu tidak semestinya akan menaikkan status sesebuah masyarakat berbanding yang lain secara mendadak, namun dengan mengkaji dan mendalami ilmu dapat membolehkan usaha digerakkan supaya umat Islam setanding dengan tamadun lain. Ini sekaligus menimbulkan rasa hormat di kalangan masyarakat dunia terhadap umat Islam. Penekanan terhadap konsep mengkaji ilmu sebagai satu ibadah adalah perlu, kerana matlamat Islam adalah pada dasarnya keamanan (Islam bermaksud sejahtera, selamat). Inilah falsafah Islam terhadap pengkajian ilmu, kerana matlamatnya adalah untuk beribadah kepada Allah.
Setiap usaha yang dilakukan oleh orang Islam seharusnya dengan matlamat untuk mencari keredahaan Allah. Matlamat hidup kita adalah memakmurkan bumi, dan setiap usaha jadi bekalan untuk akhirat. Maka mengkaji ilmu tidak harus direlatifkan terhadap sesuatu yang bersifat kebendaan atau fizikal, tetapi didasarkan kepada keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat. Setiap perkara atau benda di alam ini bersifat fana', iaitu akan musnah. Jika pengkajian ilmu yang bersandarkan kepada sesuatu yang fana', lambat laun usaha ini juga akan musnah apabila dasarnya musnah. Tetapi Allah itu sifatnya kekal abadi, dan keredhaan Allah akan berterusan sampai bila-bila. Secara teorinya, jika mengkaji ilmu didasarkan pada keredhaan Allah, maka ia akan berterusan juga. Bahkan, jika bersandarkan pada keredhaan Allah pengkaji ilmu akan lebih ikhlas dan usaha akan jadi lebih berkesan.
Kita harus sedar, mengkaji ilmu bukanlah sebagai satu persaingan tetapi sebagai satu sumbangan. Mengkaji ilmu atas dasar persaingan bukan saja boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga memberi kesan negatif kepada usaha pengkajian. Tidak dinafikan, dengan berlumba mencapai tahap ilmu yang lebih baik adalah satu kesan positif. Tetapi persaingan boleh mengubah matlamat seseorang ke arah negatif, iaitu setakat 'ingin lebih dari orang lain'. Natijahnya, jika tiada perkembangan yang dicapai, pesaing akan cuba dijatuhkan supaya nampak 'pencapaian' (yang statik) sebagai satu kelebihan berbanding orang lain (walhal tidak ada kemajuan). Manakala natijah yang lain ialah, seandainya pesaing tidak berjaya mencapai perkembangan, usaha kita juga akan turut terhenti kerana sudah puas hati dengan kedudukan yang masih lebih berbanding orang lain. Tetapi seandainya ia dianggap sebagai satu sumbangan, kajian ilmu akan sentiasa berjalan dan pengkaji tidak akan tertekan walaupun belum mencapai perkembangan. Ini kerana untuk memberi sumbangan memerlukan keikhlasan, maka usaha mengkaji ilmu akan berlaku secara ikhlas dan bukan terpaksa. Justeru penekanan terhadap pengkajian ilmu sebagai satu ibadah dan sumbangan perlu ada, berbanding mengamalkan dasar persaingan.
Setiap orang Islam perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengkaji ilmu. Ilmu milik Allah, dan tiada selain-Nya yang memiliki ilmu. Tetapi kita disuruh mencari ilmu. Islam mensyariatkan supaya manusia sebagai khalifah (wakil) Allah perlu memakmurkan bumi. Salah satu usaha memakmurkan bumi adalah dengan membina tamadun berasaskan ilmu, kerana hanya dengan ilmu manusia dapat membina tamadun yang memerintah bumi dengan baik. Tanpa ilmu, manusia tidak mampu berbuat sesuatu yang luar dari kawalan nafsu. Tidak ubah seperti haiwan, manusia hanya akan melakukan rutin berdasarkan nafsu dan naluri. Itupun jika tidak melakukan kerosakan. Maka orang Islam perlu ke hadapan dalam pengkajian ilmu, kerana selagi kita hidup, tanggungjawab sebagai khalifah masih berterusan. Begitu juga dengan tuntutan mengkaji ilmu. Sepatutnya orang Islam perlu beri sumbangan terbanyak dari segi ilmu berbanding tamadun lain. Tidak kira sama ada sumbangan (mengkaji ilmu) hanya untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, mahupun generasi akan datang.
Mengkaji ilmu sebaiknya bermatlamat ke arah ilmu yang bersifat sepanjang zaman, dan tidak hanya berdasarkan kemasyhuran dan budaya semasa. Ilmu yang bersifat sepanjang zaman lebih bertahan lama berbanding ilmu khusus untuk satu tempoh masa (ilmu yang terikat dengan budaya semasa). Walaupun berguna pada satu tempoh masa, ilmu tersebut mungkin tidak dapat digunakan lagi pada masa akan datang. Sekiranya budaya yang disandarkan itu berubah, ilmu yang dikaji akan jadi sia-sia kerana bukan sahaja tidak dapat digunakan, tetapi juga tidak dapat dikembangkan kerana hilang potensi dan kepentingannya. Biasanya ilmu yang terhad tempoh masa adalah ilmu yang praktikal (tidak semua), manakala ilmu yang bertahan sepanjang zaman adalah ilmu asas (fundamental). Namun ilmu dapat dijadikan sebagai sesuatu yang kekal berguna sepanjang zaman, jika ianya disandarkan kepada keperluan asas, misalnya ilmu untuk memantapkan akidah. Pemantapan akidah adalah perlu kerana akidah memelihara iman, dan iman yang benar perlu untuk bahagia di akhirat. Jadi ilmu tentangnya akan berguna hingga hari kiamat.
Pengkajian ilmu akan memberi kelebihan kepada seseorang, kerana kita 'lebih tahu' berbanding orang lain. Jika kita mudah dipengaruhi dengan kepentingan tertentu, maka kita akan terjebak untuk melakukan perbuatan yang salah. Misalnya memalsukan fakta/ilmu, menggunakan ilmu ke arah yang salah (menyalahgunakan kelebihan ilmu), malah mungkin untuk menyembunyikan kebenaran. Justeru etika sangat penting dalam mengkaji ilmu. Etika membantu membimbing pengkaji ke arah yang baik, seperti membangunkan masyarakat, meningkatkan keupayaan teknologi untuk kegunaan harian, membantu memperkembangkan ilmu dan bermacam lagi matlamat positif. Hakikatnya dalam Islam telah ada prinsip etika, iaitu adab dan akhlak. Jika diaplikasi dengan cara yang sebenar (mengikut Al-Quran dan Sunnah), orang Islam boleh mempelopori kemantapan etika dalam apa jua bidang.
Pengkaji perlu memahami bahawa setiap ilmu adalah neutral, yakni belum tentu ianya membawa kepada kebaikan atau kemusnahan. Seandainya kita sejak awal telah mengkelaskan ilmu kepada kelas baik/buruk, akan membawa pelbagai implikasi. (1) Mungkin ilmu yang 'baik' saja yang akan berkembang, manakala ilmu 'buruk' tidak akan dimajukan atau dikaji lebih lanjut. (2) Pengkaji yang mengkaji ilmu 'baik' digelar orang yang benar, manakala pengkaji ilmu 'buruk' akan dianggap sebagai musuh/penjahat. Walhal, ilmu yang 'baik' boleh disalahgunakan untuk tujuan yang negatif, dan yang 'buruk' mungkin boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Maka bukan saja pengkelasan baik/buruk itu tidak adil, malah merugikan. Hakikatnya, pengkaji dan pengguna ilmulah yang mengkelaskan kegunaan ilmu kepada baik/buruk, iaitu ianya jadi buruk bila digunakan untuk tujuan yang negatif, dan baik jika tujuan positif. Cuma yang penting dan agak pasti, ilmu itu cuma boleh dipastikan ianya benar/tidak. Itupun belum tentu benar, namun benar/tidak sesuatu ilmu itu hakikatnya hanya Allah yang tahu.
Mengkaji ilmu perlu disertakan dengan usaha untuk mengembang dan menyebarkannya. Ilmu yang baik memberi manfaat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Maka dengan menyebarkan ilmu, lebih ramai yang akan menerima manfaat. Bahkan, pelajar mungkin mempunyai idea untuk mengembangkannya, justeru ilmu itu akan berkembang dengan lebih cepat berbanding tidak diajarkan kepada sesiapa. Kemudian ilmu yang dikembangkan diajarkan lagi kepada orang lain supaya manfaat dan pengkajiannya boleh terus berkembang. Ada sesetengah ilmu yang berguna mungkin lenyap begitu saja, jika orang yang mengetahuinya mati sebelum mengajarkannya kepada orang lain. Jika ilmu yang lenyap tersebut sangat berguna dan dapat digunakan jika orang lain mengetahuinya, maka ini adalah satu kerugian yang sangat besar. Hakikatnya, mengajar juga satu ibadah am yang sangat dituntut dalam Islam.
Mengkaji ilmu bersifat kitaran iaitu belajar, mengajar, belajar dan seterusnya. Apabila kita mengkaji ilmu, kita mempelajari sesuatu (misalnya mengkaji alam semulajadi). Kemudian ilmu itu perlu diajar, kerana akan menjadi satu proses pembelajaran kepada pengkaji ilmu yang lain. Apabila kita mengajar, selain sebagai pelajaran kepada orang lain, kita sendiri mungkin akan belajar sesuatu. Ini kerana sesi pengajaran boleh mencetuskan idea dan memberi maklumbalas. Ini membantu kita memperkembangkan ilmu, kerana kita belajar sesuatu melalui maklumbalas, misalnya memperbaiki kesilapan dan mendapatkan idea baru.
Sebagai pengkaji ilmu, kita tidak perlu was-was untuk mengajar orang lain. Ilmu itu sifatnya tidak akan berkurang, semakin banyak yang diajarkan kepada orang, semakin banyak yang akan kita perolehi. Ini adalah berdasarkan konsep kitaran 'belajar-mengajar-belajar', di mana ilmu yang diajar akan membantu mengembangkan ilmu yang kita miliki. Pada masa yang sama, ilmu sedia ada tidak luput/hilang. Cuma, apabila mengajar ilmu, perlu dinilai kesan pengajaran (misalnya pelajar belajar untuk apa?). Ini kerana ilmu yang diajar mungkin tidak berkurang dari pengajar, tetapi pelajar boleh menyalahgunakan ilmu untuk tujuan tidak baik.
Islam memuliakan ilmu, dan ilmu sangat berkait rapat dengan amal. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, dan amal tanpa ilmu adalah sesat. Kemuliaan ilmu dalam Islam merupakan satu pendorong untuk umat Islam terus berusaha mengkaji ilmu. Ini kerana, apabila ilmu itu mulia, maka orang yang mengetahuinya (dan mengamalkannya) juga adalah mulia. Umat Islam seharusnya paling terkehadapan dalam pengkajian ilmu. Namun mutakhir ini, umat Islam yang (secara keseluruhan) ketinggalan dari aspek pengkajian ilmu. Justeru, diharapkan dengan bingkisan falsafah pengkajian ilmu ini, dapat menyedarkan kita, sebagai umat Islam, supaya dapat meningkatkan usaha mengkaji ilmu pada landasan yang betul. Semoga kedudukan umat Islam dijulang tinggi pada kacamata masyarakat dunia (bukan Islam), disegani serta dihormati.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
seronok bergaul dgn org yang berilmu..kata2 penuh manfaat, tunjuk ajar dan panduan..baca ulasan ni pun seronok, kot. terkena kan diri sndiri tapi satu pengajran dan ingatan..belajar tidak hanya pada satu2 bidang..cuba selongkar yang lain
BalasPadamseronok baca? kena tulis panjang lagi nih! hehehe
BalasPadambelajar tu yg penting ikhlas kerana Allah. Kalau matlamatnya dah betul, insya'allah yg lain-lain pun akan betul juga...
assalamualaikum..
BalasPadamilmu adalah neutral-belum tentu ia membawa kebaikan atau kemusnahan.
Misalnya, AMerika mengkaji nuklear. Akhirnya, hasil pengkajian itu diaplikasikan dalam siri keganasan umat Islam.
Namun, adakah ilmu nuklear itu buruk?
Tidak. Iran mula mengkaji nuklear. tujuannya, mahu pertahankan negara islam.
Ketika ini, ilmu adalah nuetral. Baik dan buruk ditentukan dgn apakah tujuan terhadap ilmu itu.
Begitu juga, ada orang barat mengkaji Al-Quran untuk dua tujuan. Sama ada untuk berkenalan dgn Islam atau memusnahkan akidah umat Islam.
Terima kasih, artikelnya membuka minda!
BalasPadamSemoga Allah memberkati segala ilmu yang diajarkan-Nya kepada kita semua. (",)
ustazah: wslm. itulah, pengkelasan ilmu adalah pd sifat ilmu dan bukan aplikasinya. Bila dikelaskan mengikut aplikasi, begitulah jadinya. Di sini juga kita boleh tengok ketinggian Islam sebagai tunjang pengkajian ilmu, kerana ikhlas niat memastikan ilmu tidak disalahgunakan. Kecemerlangan tamadun Islam juga kerana matlamat yang murni, iaitu hanya kerana Allah.
BalasPadamAzraai: ala kadar, setakat yg mampu untuk disumbangkan... sama-sama. terima kasih sudi berkunjung.