بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Selasa, 2 Disember 2008

Struktur Penyeliaan Penyelidikan

Tempoh hari (lama juga) saya terdengar wawancara di radio IKIM.fm berkenaan struktur penyeliaan penyelidikan di universiti di luar negara. Tamu wawancara ketika itu (malangnya tidak tahu siapa) mengulas tentang kebaikan dan kelebihan sistem penyeliaan di UK.

Menurut beliau, penyeliaan penyelidikan di UK, suatu makmal akan diketuai oleh seorang professor. Professor ini akan bertanggungjawab terhadap makmal kendaliannya. Di bawah seliaan professor ini juga terdapat (beberapa orang) pembantu professor. Di Malaysia pembantu professor lebih dikenali sebagai professor madya (madya bererti separuh). Di bawah pembantu professor, akan ada beberapa orang pelajar pasca graduat dan penyelidik (biasanya Master dan PhD). Mereka ini juga merupakan pembantu-pembantu penyelidik kepada projek berkenaan. Setiap mereka pula akan menyelia dan membantu pelajar-pelajar bacelor dan projek tahun akhir. Sistem bertetingkat atau hirarki ini ada juga diamalkan di negara kita. Pengalaman sewaktu bekerja di Malaysia Genome Institute (MGI), di UKM ketika itu, mendedahkan saya kepada struktur sebegini.

Namun pengalaman dan ilmu yg cetek tak memungkinkan saya memberi penilaian professional di sini. Sekadar pandangan peribadi, bahawa pendekatan seperti ini nyata berkesan dalam melahirkan tenaga penyelidik dalam jumlah yang ramai, kerana (1) kepakaran dan bantuan sentiasa diberi, (2) mudah berbincang tentang masalah kerana di bawah projek yang sama dan bantuan yg diberikan.

Pengaturcaraan - Pengenalan

Bila berfikir tentang blog ini, saya baru teringat. Dalam banyak-banyak pos saya, belum ada yang khusus tentang sains komputer (sedangkan itu penyelidikan utama saya!). Maka untuk pos kali ini adalah untuk memperkenalkan bidang pengaturcaraan. Mungkin sebab selama ni saya menulis untuk diri sendiri, maka rasa tak penting 'memperkenalkan' subjek yang arif bagi saya. Tidak apa. Boleh juga jadi 'ulangkaji'!

Pengaturcaraan sangat rapat dengan istilah komputer. Ini kerana komputer tidak boleh berfungsi tanpa perisian. Pengaturcaraan adalah satu kerja (atau aktiviti) menyusun langkah-langkah penyelesaian masalah dalam bentuk diskrit untuk dilaksanakan oleh komputer. Set langkah ini dinamakan aturcara. Perisian ialah hasil dari kompilasi aturcara ke dalam bentuk kod mesin. Jadi perisian merujuk kepada langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh komputer dalam bentuk kod mesin, dan pengaturcaraan adalah kerja untuk menghasilkan perisian.

Dahulu mesin hanya merujuk pada komputer atau pemproses sebenar. Tapi kini terdapat perisian yang digelar 'mesin maya' atau VM (virtual machine). Perisian ini mengambil alih fungsi mesin sebenar untuk melaksanakan perisian. Jadi secara mudahnya, perisian tidak perlu mesin sebenar untuk dilaksanakan, sebaliknya dengan menggunakan VM, output perisian boleh dihasilkan. (hakikatnya perisian VM perlu mesin sebenar juga untuk 'berfungsi', cuma VM mampu melindungi perisian yang hendak dilarikan / 'execute' daripada bergantung kepada sesuatu mesin sebenar). Tujuan VM adalah membolehkan sesuatu perisian bersifat mudah-alih, sebab VM lebih murah dan perisian (secara amnya) dapat dilarikan pada mana-mana mesin sebenar.

Pengaturcaraan melibatkan bahasa pengaturcaraan. Pernah dengar PHP? HTML? C? Visual Basic? Java? Semua ini adalah antara bahasa pengaturcaraan yang dikenali ramai (kalangan ahli komputer). Secara terperinci HTML, PHP dan C adalah 3 jenis bahasa berbeza. Tapi untuk memudahkan, kita andaikan sebagai satu bahasa pengaturcaraan saja. Contoh:
(1)
#include "stdio.h"

int main (void)
{

printf("Selamat Pagi, Malaysia!\n");
return 0;
}

Contoh (1) di atas adalah aturcara dalam bahasa C. Aturcara akan disimpan dalam fail teks (misalnya 'ucapan.c') dan dikompil menggunakan perisian yang dipanggil pengkompil. Pengkompil khusus pada sesuatu bahasa pengaturcaraan, dan pengkompil untuk aturcara (1) adalah pengkompil C. Output pengkompil adalah fail perisian yang boleh dilaksanakan. Ia juga dipanggil program atau aturcara. Apabila dilaksanakan, akan mengeluarkan output berikut pada skrin:
(2)
Selamat Pagi, Malaysia!
Ini adalah satu contoh ciri perisian, iaitu mengeluarkan output. Tugas perisian lebih kepada untuk melakukan pengiraan dan komputasi. Apabila mengungkap istilah 'pengiraan', sebenarnya teks yang terpapar dalam (2) adalah hasil pengiraan (walaupun sekadar memaparkan teks). Jadi pengaturcaraan hakikatnya adalah langkah penyelesaian pengiraan. Maka tidak hairanlah ramai pakar pengaturcaraan biasanya mereka yang mahir Matematik, atau orang Matematik mudah mahir pengaturcaraan. Tapi bak kata pepatah 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Sesiapa saja boleh menguasainya jika berusaha bersungguh-sungguh. Individu yang melakukan kerja pengaturcaraan pula dipanggil pengaturcara. Dalam industri pembangunan perisian dan aplikasi komputer, pengaturcara adalah salah satu golongan yang penting. Hakikatnya ramai lagi yang penting seperti pengurus projek, penganalisis sistem, perekabentuk, penguji, selain pengaturcara. Cuma dalam skop hobi atau eksperimen, seorang saja boleh menjawat semua tugas berkenaan.

Pelaksanaan perisian melibatkan tiga ciri utama, iaitu input, proses dan output (IPO). Ada juga yang memandang perisian sebagai sebuah sistem atau fungsi kerana mengandungi IPO. (IPO adalah konsep umum yang terpakai pada banyak bidang, termasuk sains komputer). Maka pengaturcara perlu mahir konsep IPO dan perisian untuk memahami pengaturcaraan, kerana pengaturcaraan adalah untuk menghasilkan perisian, dan perisian melakukan fungsi IPO.

Rasanya cukuplah untuk pengenalan. Insya'allah, ada masa (atau kesempatan dsb yang berkaitan) saya sambung lagi.

Isnin, 1 Disember 2008

Sisipan

Saya baru kemaskini blog. Mengalukan kedatangan tetamu. Maklumlah kebelakangan ini ada pula kunjungan-kunjungan luar. Kemaskini kebanyakannya melibatkan butiran sampingan (bukan pos/catatan). Mudah-mudahan saya dapat terus mengirimkan pos-pos yang berguna di blog ini. Khususnya berkaitan dunia penyelidikan. Jadilah untuk tatapan sendiri dan sesiapa yang sudi.

Buat tuan-tuan/puan-puan yang telah mengunjungi blog ini, terima kasih saya ucapkan. Teruskan berkunjung, dan harap kita dapat sama-sama belajar. Bagi yang terlibat dalam penyelidikan, teruskan usaha (atau apa saja asalkan berguna). Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmah dari Allah S.W.T. atas sumbangan kita pada ummah. Insya'allah. -

'Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk'.

p/s: Disebabkan blog ni dah macam rojak 'pasemboq', boleh juga gunakan 'index' di sebelah kiri utk melawat pos yang berkenan saja.

Qa'edah melaksana dan membahagikan daging Qurban

Sekadar menyampaikan saranan seorang tamu di rancangan radio (tak silap IKIM.fm). Pagi ini saya terdengar wawancara berkenaan usaha melaksanakan ibadah Qurban untuk diagihkan kepada saudara Islam di negara Bangladesh. Rasanya tak perlu diulas lagi berkenaan penderitaan mangsa bencana dan saudara-saudara Islam yang menderita kemiskinan di negara berkenaan dan negara lain. Rasanya rakyat Malaysia sudah maklum dan banyaknya usaha membantu kini boleh dilihat di mana-mana. Mudah-mudahan kita semua dapat sama-sama membantu. Insya'allah.

Cuma yang menjadi fokus di sini, apakah qa'edah yang berkesan untuk melaksanakan ibadah Qurban bagi tujuan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan bagaimana cara pengagihan yang berkesan. (ini ditanya dan minta disampaikan oleh tamu wawancara berkenaan).

Saya juga ingin mengungkap kes berkaitan satu masa dahulu. Satu parti politik mengadakan acara Qurban besar-besaran (ini bukan ruang politik ya!). Ramai peserta terlibat, dan banyaklah daging qurban yang berjaya dihasilkan. Namun, dengarnya hasil qurban berkenaan tidak berjaya diagihkan sepenuhnya, kerana yang ditumpukan oleh pihak pengurusan acara ialah acara menyembelih besar-besaran, tetapi terlupa bagaimana dan kepada siapa hasilnya disumbangkan. Ini contoh kes kegagalan pengagihan hasil Qurban sahaja dan bukan perbincangan politik.

Sebenarnya masalah ini tidak hanya melibatkan hasil Qurban saja. Malahan hasil zakat juga turut menanggung masalah yang sama. Urusan pengumpulan tidak lagi menjadi soal (mungkin ada, cuma tidak serius), kerana sudah banyak ditubuhkan pusat dan kaunter-kaunter pungutan zakat bagi memudahkan umat Islam membayarnya (hatta di koridor hospital cth. PPUM). Tahniah diucapkan. Cumanya, masalah pengagihan masih berlaku, iaitu bagaimana mengagihkan hasil secara berkesan kepada mereka yang memerlukan. Satu contoh kaedah pengagihan /penggunaan wang kutipan zakat boleh dirujuk pada post saya yang lepas.

Jadi, sebagai penyelidik yang terlibat dalam bidang berkenaan, bolehlah mula mengkaji. Sama ada bagi hasil ibadah Qurban, akikah, mahupun zakat dan lain-lain. Sumbangan ini sangat penting kerana dapat dapat dimanfaatkan oleh orang Islam. Besar tu pahalanya! (insya'allah).