بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Memaparkan catatan dengan label wawasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wawasan. Papar semua catatan

Khamis, 30 September 2010

Malaysia tidak mampu capai Wawasan 2020?

Bukan tak mampu, cuma dikhuatiri tidak tepat pada masanya. Tajuk akhbar la katakan.

Utusan Online, "Wawasan 2020 tidak mampu dicapai - Tun M", ruangan ekonomi, 30 Sept 2010

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Wawasan 2020 tidak mungkin dapat dicapai tepat pada masanya jika kerajaan tidak mengubah landasan ekonomi negara, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, jika Malaysia tetap mahu bergelar negara maju pada tahun 2020, beberapa strategi perlu dilaksanakan.

"Status negara maju boleh dicapai oleh Malaysia tetapi bukan pada tahun 2020, mungkin lewat dari tarikh itu.

"Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI)," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010 di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang juga pengasas kepada Wawasan 2020 berkata, FDI tidak lagi relevan buat masa ini kerana pelabur asing hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan negara di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara ini.

"Malaysia tidak akan maju jika terus bergantung kepada FDI.

"Pelabur asing hanya mementingkan keuntungan, jadi mereka memilih negara lain yang lebih murah, kita tidak akan mampu bersaing walaupun semakin banyak sektor diliberalisasikan," tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia memperkenalkan FDI bagi mengatasi masalah pengangguran pada waktu itu tetapi pada hari ini ia membawa lebih banyak implikasi negatif terhadap negara.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan untuk memberi fokus kepada pelaburan langsung domestik (DDI)

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara hanya akan berlaku dari dalam.

Dengan itu, kerajaan perlu melakukan audit dan kaji selidik mengenai syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing bagi memastikan mereka mendapat peluang yang sewajarnya.

"Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini," katanya.

Tambah Dr. Mahathir, selain menggalakkan DDI, pertumbuhan ekonomi negara juga patut kekal pada kadar 7 hingga 8 peratus bagi memastikan status negara maju dapat dicapai dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

Bagaimanapun, ketika sesi soal jawab diadakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bangun bagi menegaskan bahawa kerajaan ketika ini sedang dalam melaksanakan perubahan kepada landskap ekonomi dengan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, kerajaan ketika ini sedar tentang kepentingan DDI dan buktinya 73 peratus daripada 141 pelaburan yang dianalisis di makmal PEMANDU adalah pelaburan tempatan.

"Kerajaan sangat selektif terhadap FDI, hanya pelaburan yang berkualiti sahaja akan diterima," katanya.

Berbeza pendapat dengan Dr. Mahathir, walaupun mengakui bekas Perdana Menteri itu adalah idolanya, Idris sangat optimis Wawasan 2020 dapat dicapai tepat pada masanya bersandarkan kepada pelbagai pelan transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas kenyataan Idris, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan kerajaan patut memberi lebih banyak peluang kepada pelabur dan usahawan tempatan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menggalakkan DDI.



Komen saya:

Saya tidak arif mana soal ekonomi. Justeru apabila berbincang soal ekonomi saya kerap bersetuju dan merujuk pandangan Tun M. Apa yang diperkatakan ada benarnya kerana kemasukan FDI banyak mendorong kemasukan buruh asing. Pada masa yang sama ia meningkatkan aliran wang ke luar negara kerana rata-rata buruh asing ini akan mengirimkan lebih banyak wang ke negara asal masing-masing, berbanding perbelanjaan mereka di negara ini. Syarikat-syarikat asing pun mungkin sudah kurang berminat datang ke Malaysia disebabkan ketakstabilan politik yang dicerminkan melalui kempen-kempen DSAI di luar negara. (Saya khususkan di sini ialah aktiviti DSAI yang tidak mencerminkan sikap patriotik sebagai seorang rakyat Malaysia. Soal sama ada benar atau tidak beliau 'dizalimi' tidak berkaitan dengan perbincangan ini.)

Tun M asasnya menyarankan Direct Domestic Investment (DDI) perlu dipertingkatkan sebagai alternatif atau ganti kepada FDI. Namun persoalannya, bagaimana DDI dapat dilakukan dengan berkesan kalau kepakaran dan keupayaan yang dimiliki pelabur tempatan tidak ada atau masih rendah? Saya melihat kepentingan ilmu dan pendidikan ke arah mencapai Wawasan 2020 juga tidak harus dilupakan selain penekanan aspek ekonomi semata-mata. Di samping itu budaya penyelidikan sememangnya harus dipertingkatkan.

Sebagai rakyat dan pemangkin kepada pencapaian Wawasan 2020, kita perlu turut sama berusaha memahirkan diri kita dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan, supaya sumber tenaga mahir yang cukup untuk syarikat dan pelabur tempatan dapat dihasilkan. Apabila syarikat tempatan ada ramai pekerja mahir, dan modal yang besar (kalau pekerja berkualiti, produk berkualiti, bertambahlah untung), maka kemampuan mereka untuk melabur dan mengembangkan perniagaan akan meningkat. Maka peningkatan dan kemajuan ilmu, serta taraf pendidikan rakyat di negara kita sebenarnya dapat membantu meningkatkan DDI secara tidak langsung.

Selasa, 6 Januari 2009

Cerita tentang Wawasan

Kesinambungan daripada pertanyaan leeann terhadap S&T dan wawasan 2020. Pos kali ini akan memerihalkan tentang Wawasan 2020, 9 cabaran yang disenaraikan untuk ditangani, dan kepentingan penyelidikan S&T dan bukan S&T terhadap Wawasan 2020.

Wawasan 2020 ialah pandangan Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia negara membangun dengan corak negara Malaysia yang diingini menjelang tahun 2020. Pandangan ini dikemukakan pada persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dalam kertas kerja bertajuk "Malaysia - The Way Forward".

Wawasan 2020 bermatlamat untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.

Petikan kertaskerja Tun Dr Mahathir tentang Wawasan 2020;

"Matlamat utama yang patut kita tuju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Adakah kita mahu menjadi seperti 19 negara sekarang yang digelar negara maju? Setiap daripada 19 buah negara ini mempunyai kekuatan tersendiri. Tetapi setiap negara itu juga mempunyai kelemahannya. Tanpa meniru salah satu daripada negara berkenaan, kita masih boleh membangun. Kita patut menjadi negara maju mengikut cita rasa kita.

Malaysia tidak patut dibangunkan daripada segi ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, sosial, kejiwaan, psikologi dan kebudayaan. Kita mesti maju dalam erti kata perpaduan nasional dan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kejiwaan, maruah bangsa dan keyakinan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokrasi liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing dinamik, giat dan kental.

Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita akhirnya mengatasi sembilan cabaran strategi yang kita hadapi sejak kelahiran kita sebagai negara merdeka."
(Tun Dr. Mahathir Mohammad "Malaysia Melangkah Ke Hadapan", 28 Februari 1994) dalam (Zurinah Hassan, 1994).

9 Cabaran Wawasan 2020:
  1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
  2. Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan
  3. Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang
  4. Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika
  5. Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi
  6. Membina masyarakat yang maju dan saintifik
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang
  8. Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya
  9. Memupuk dan membina masyarakat makmur

Tun Dr Mahathir memberi definasi/maksud 'negara Malaysia maju' dalam petikan ucapan berikut (Pusat Dagangan Dunia Putra, 8 Nov 1991);
"Kita telah membentuk Wawasan 2020 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Negara maju yang dimaksudkan bukan semata-mata negara industri yang pendapatan perkapitanya adalah sekian banyak. Yang dimaksudkan dengan negara maju ialah negara yang berupaya membangunkan diri sendiri melalui penguasaan ilmu, kecekapan dan moral yang tinggi yang akan membolehkan kita bersaing dengan Negara maju yang lain dalam semua bidang"

Zurinah Hassan (1994) menerangkan ciri kemajuan yang dimaksudkan ialah
"… kebolehan, pengetahuan serta taraf hidup yang sama atau lebih baik daripada negara maju. Kemajuan yang diingini ialah kemajuan yang lebih menyeluruh dengan mengambil iktibar dari keruntuhan aspek kerohanian yang berlaku di negara maju."

Peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masing-masing, seperti yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad, Wawancara RTM "Bersama Perdana Menteri" Julai 1993) dalam (Zurinah Hassan, 1994);
"Kita tidak boleh bertindak dengan berkesan tanpa memahami apa yang kita buat dan apa hasil daripadanya. Setiap rakyat perlu memahami pembabitan mereka dalam proses pembangunan negara."
Konsep penyatuan usaha ke arah satu matlamat ini perlu dilihat sebagai satu sinergi (Covey, 2004), iaitu gabungan pelbagai usaha dari pelbagai sudut dan perspektif untuk mencapai satu matlamat yang diinginkan. Melalui konsep sinergi, "1 tambah 1 sama dengan 3" bukan 2. Secara prinsipnya, beban yang boleh ditanggung oleh sekumpulan gabungan kayu, lebih banyak dari hasil tambah semua beban yang ditanggung setiap kayu tersebut. Maka 'hasil gabungan usaha' adalah lebih banyak berbanding 'gabungan hasil usaha' setiap individu. Gabungan usaha ini melibatkan kerjasama dari pelbagai bidang dan cabang ilmu.

Salah satu golongan terpenting adalah komuniti penyelidikan, yang menjadi tunggak untuk menyahut cabaran ke-6 -menjadi masyarakat maju dan saintifik. Komuniti bidang penyelidikan memainkan peranan penting kerana penyelidikan memperluas ilmu dan teknologi. Ilmu adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara. Hakikatnya untuk menjadi negara maju, usaha pendidikan dan penyebaran ilmu tidak setakat mempelajari ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Sebaliknya komuniti penyelidik perlu proaktif menyelidik dan membongkar ilmu-ilmu baru, mengkaji, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Malah, penyelidikan adalah nadi dan asas kepada semua bidang. Kemajuan penyelidikan secara langsung dan tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang-bidang lain (cth industri, pendidikan, pertanian, pengurusan dll), sekaligus memajukan negara. Maka tidak hairanlah Singapura sanggup mengeluarkan belanja besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pada tahun 2008 merupakan negara ketiga mengeluarkan perbelanjaan terbesar untuk R&D.

Penyelidikan adalah proses yang mengaplikasi dan memperkembang bidang sains dan teknologi (S&T). S&T telah diakui antara ilmu terpenting dewasa ini. Ini kerana sains membongkar dan menerangkan pelbagai fenomena alam secara sistematik. Justeru menjadi satu proses pengembangan ilmu. Manakala teknologi merupakan aplikasi sains dan pemangkin kepada pembangunan dalam membantu kehidupan manusia. Amnya sains mendorong teknologi, dan teknologi juga boleh mendorong sains. Kedua-duanya terkandung dan menjadi keutamaan dalam penyelidikan.

Dengan adanya sains, manusia lebih memahami sesuatu fenomena alam, dan berasaskan sains manusia dapat maju dengan penghasilan teknologi. Manusia juga boleh maju dengan ilmu sains kerana ia meningkatkan tahap pemikiran dan gaya hidup. Manakala teknologi memantapkan pencapaian hidup manusia melalui penghasilan bahan dan alat yang lebih moden seperti bahan makanan, ubatan, senjata dll, sekaligus meningkatkan prestasi dan pencapaian manusia. Teknologi juga boleh mendorong (semula) sains dengan penghasilan radas, bahan dan kemudahan eksperimen yang lebih canggih untuk kajian sains. Bangsa yang maju dengan sains boleh mengatasi bangsa yang kurang/tidak maju, kerana sains memberikan mereka 'kekuatan' dan kelebihan dari segi ilmu dan teknologi.

Tetapi hakikatnya, dalam mencapai wawasan 2020, pengembangan ilmu tidak harus tertumpu pada perspektif S&T sahaja. Sejarah telah membuktikan pada zaman kegemilangan Rom, Yunani, Parsi, Islam, Eropah dan lain-lain, pelbagai bidang ilmu bergerak seiring. Falsafah, sastera, sains, logik/mantik, matematik dan lain-lain, semuanya didalami, dipelajari dan diperluaskan. Malah dewasa ini, Amerika dan Jepun bukan saja maju dalam bidang ilmu sains, tetapi juga hiburan dan seni kreatif (misalnya animasi dan perisian multimedia). Ini kerana bidang ilmu selain S&T memberi impak kepada komuniti umum, iaitu mampu bertindak sebagai wahana dan wacana alternatif kepada hasil penemuan kajian dan penyebarannya kepada masyarakat. Tanpa bidang media kreatif, misalnya, penyebaran ilmu sains akan jadi perlahan dan terhad. Tetapi kerana hasil kreatif yang bersifat santai menarik minat semua golongan, lantas menjadikan penyebaran ilmu dan maklumat lebih berkesan, khususnya dari aspek budaya dan sosial.

Ilmu bukan S&T juga boleh menjadi pencetus idea. Bidang penulisan fiksyen menjadi pencetus idea kepada penyelidikan S&T melibatkan robot. Istilah dan konsep robot diperkenalkan melalui penulisan sebuah novel fiksyen, lama sebelum wujudnya robot yang pertama. Al-Quran pula merupakan sebuah 'karya maha Agung', dan hakikatnya banyak fenomena-fenomena alam tercatat di dalamnya yang boleh menjadi pencetus idea dan petunjuk kepada penyelidikan S&T. Al-Quran tidak boleh difahami hanya dengan ilmu sains, sebaliknya pemahaman sastera Arab dan kemantapan ilmu agama (naqli) akan memudahkan maksudnya ditafsirkan. Manakala dengan adanya kemajuan dalam bidang S&T seperti komputer membantu pula pengembangan ilmu bukan S&T. Proses timbal-balik ini secara tidak langsung menjadi satu contoh konsep sinergi, iaitu gabungan semua bidang ilmu (S&T dan bukan S&T) membolehkan kemajuan yang dicapai oleh setiap bidang tersebut saling membantu dan menjadi lebih berkesan.

Paling penting, keharmonian dari aspek budaya masyarakat dan prinsip spiritual juga perlu diberi perhatian. Jika dilihat dari 9 cabaran yang disenaraikan, 8 merujuk kepada prinsip ini. Ini kerana kemajuan S&T saja tidak dapat menjamin kemajuan sebenar. Ia perlu disinergikan dengan bidang-bidang dan cabang ilmu bukan S&T, khususnya ilmu agama. Bagi umat Islam, akidah dan iman perlu dimantapkan selari dengan perkembangan S&T, dan Al-Quran adalah sandaran dan tunjang kepada ilmu tersebut. Jika Al-Quran kata haram, haram. Jika halal, halal. Pegangan akidah yang teguh akan menjamin ilmu S&T dan bukan S&T yang diamalkan akan membawa kemajuan, dan bukan merosakkan keharmonian dalam masyarakat.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan ini menjadi faktor kepada penguasaan dalam ilmu dan bidang tertentu. Ilmu-ilmu ini sangat diperlukan oleh negara. Maka semua golongan rakyat, tak kira bidang penyelidikan, pendidikan, industri yang melibatkan dalam apa jua bidang ilmu sekalipun, perlu memahami peranan masing-masing dan terlibat ke arah mencapai wawasan 2020. Kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat itu. Bukan hanya komuniti yang terlibat dengan ilmu S&T saja.

Sebagai orang Islam dan mukmin, renungkan maksud ayat Al-Quran berikut (Surah Al-Mukminun, Ayat 61) :
"Orang mukmin adalah orang yang bersegera untuk mendapatkan segala kebaikan dan merekalah orang yang berada di hadapan dalam mendapatkan kebaikan itu.".
Sesungguhnya, manusia yang terbaik adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain (dan diri sendiri). Kita tidak dilahirkan untuk menjadi sia-sia dan bukan dengan sia-sia.

Rujukan:
  1. Zurinah Hassan (1994). Wawasan 2020 : Huraian 9 Cabaran. Penerbitan Perwarna, Shah Alam.
  2. Covey, Stephen R. (2004). The 7 Habits of Highly Effective People. Free Press. NY.