Jumaat, 13 Januari 2012
Jumaat, 15 Mei 2009
Panduan untuk bakal Sarjana dan Doktor Falsafah
NOTA: Panduan berikut adalah sambungan bahagian 1, perkongsian saya berdasarkan pengalaman-pengalaman dan maklumat yang diperolehi sebagai seorang pelajar PhD bidang Sains Komputer di IPTA tempatan (dan masih berjalan). Mungkin boleh digunakan dalam bidang anda dan mungkin tidak. Namun pada asasnya, semua sama (insya'allah) dan boleh dijadikan panduan.
Persediaan-persediaan melanjutkan pengajian (samb.)
2) Persediaan Mental, Fizikal dan Emosi
Sebagai manusia, kita diberi keupayaan dari 3 aspek - fizikal, mental dan emosi. Setiap keupayaan membantu kita mengharungi cabaran hidup. Dan sebagai bakal Sarjana/Doktor Falsafah juga, keupayaan kita dalam tiga aspek ini akan sentiasa teruji. Sebagai persediaan eloklah kita mengetahui cabaran-cabaran yang ada terlebih dahulu supaya kita dapat mempersiapkan diri menghadapinya.
i) Daya tahan
Dari aspek fizikal, pelajar akan kerap diuji dengan beban kerja yang meletihkan. Letih fikiran, mata dan tubuh adalah perkara biasa. Penyelidikan memerlukan kita banyak berfikir, kerana begitu banyak maklumat dan ilmu yang perlu diperoses, diingat, dinilai, diterjemah dan segala macam 'di' yang perlu dilakukan oleh otak. Ada juga penyelidikan yang memerlukan kita meredah hutan belantara, mendaki gunung, dan sebagainya bagi mendapatkan spesimen untuk eksperimen. Ada juga yang terpaksa bersengkang mata 24 jam menunggu keputusan eksperimen. Ada juga yang terpaksa membelek dokumen-dokumen yang beratus jumlahnya untuk dianalisa. Itu belum lagi ditambah bahan rujukan yang tidak terkira jumlahnya dan beban kerja menghasilkan penulisan. Semua ini merupakan antara cabaran fizikal, mental dan emosi yang terpaksa ditempuhi dalam kerja penyelidikan. Dalam tempoh yang singkat mungkin tidak terasa. Tetapi dalam tempoh masa panjang, kesannya pasti terasa jika tidak ada daya tahan. Akibatnya badan jadi letih, mata mengantuk, fikiran hilang fokus (dan mungkin gila?!) kerana bebanan kerja yang menimbun.
Apa yang perlu dilakukan ialah bersedia. Alah bisa, tegal biasa. Apabila kita telah biasa melakukan aktiviti menelaah, berfikir, mencari dan menganalisa bahan dsb., maka semuanya terasa mudah dan tidak membebankan. Samalah seperti seorang ahli bina badan. Beban yang berat memang tidak terpikul pada awalnya. Tetapi dengan berlatih dan membina otot yang lebih kuat, lambat laun beban yang berat itu jadi ringan. Bukan berat itu yang berkurangan, tetapi daya tahan dan kekuatan otot yang bertambah. Begitulah juga dengan keupayaan penyelidik. Jika berlatih selalu, beban itu akan nampak ringan (walaupun hakikatnya berat bebannya masih seperti asal).
Kaedah berguna yang boleh dicadangkan adalah dengan berlatih menulis kertas penyelidikan. Buat satu penyelidikan mudah, dan cuba terbitkan penerbitan yang memerihalkan penyelidikan tersebut. Penyelidikan yang lengkap menyerupai tugas membina tesis. Jika berjaya menerbitkan satu kertas penyelidikan yang lengkap, seolah kita telah menyiapkan satu tesis mini. Bezanya mungkin skop yang lebih kecil, namun boleh dijadikan latihan persediaan. Jika ada kemampuan boleh dibentangkan di seminar atau konferens berkaitan bidang kita. Bagi ahli akademik, penulisan akan dinilai bagi kenaikan pangkat. Kelebihan melakukan latihan ini ialah kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan, dan apabila mendaftar sebagai pelajar sudah boleh merancang dan bersedia dengan aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan. Yang lebih penting, mudah-mudahan daya tahan itu sudah ada sedikit sebanyak.
ii) Niat dan matlamat
Sebagai Sarjana/Doktor Falsafah, niat dan matlamat kita mestilah untuk menyumbang kepada khazanah ilmu ('book of knowledge') sedia ada agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Niat dan matlamat yang baik perlu ada dalam setiap bakal Sarjana/Doktor Falsafah. Bukan saja berkait dengan soal etika, tetapi keupayaan seseorang untuk melengkapkan pengajiannya mungkin juga hanya tercapai jika dipandu dengan matlamat yang baik.
Ada penyelidikan hari ini yang bercampur-baur dengan penipuan, penyelewengan data, plagiat (menciplak/meniru), penyelewangan peruntukan geran dan pelbagai kesalahan lain. Ini semua berpunca dari kurangnya kepekaan penyelidik terhadap etika penyelidikan dan juga mempunyai kepentingan peribadi. Etika sangat penting dalam penyelidikan. Tanpa etika, bidang penyelidikan akan hilang integriti (kebolehpercayaan) dan masyarakat tidak akan menyambut baik hasil kajian dan penyelidikan. Bahkan kesan lebih buruk ialah hasil daripada penipuan yang digunakan memberi kesan dan mudarat terhadap masyarakat. Misalnya penyelewangan terhadap penyelidikan ubatan/vaksin akan memberi kesan buruk pada kesihatan orang ramai. Tanpa niat dan matlamat yang baik, mudah saja kita terpengaruh untuk melakukan penyelewengan (banyak faktor penyebab - kepentingan peribadi, rasa tamak dsb). Maka sebagai bakal sarjana/Doktor Falsafah, perlu ditekankan bahawa kajian dan penyelidikan kita akan dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru perlu bersedia dengan niat dan matlamat yang baik, supaya penyelidikan terpimpin dengan etika yang baik. Niat dan matlamat ini tidak harus dilupakan sepanjang tempoh pengajian, supaya dapat menjadi pembimbing dan pendorong kita.
iii) Semangat
Dengan beban kerja yang banyak dan meletihkan, seseorang yang lemah semangatnya pasti mudah putus asa. Semangat yang kuat perlu ada bagi seorang bakal Sarjana/Doktor Falsafah. Seperti mana cabaran hidup, bidang penyelidikan tidak kurang cabarannya. Maka hanya dengan semangat yang berkobar untuk menyelesaikan penyelidikan boleh mendorong kita untuk menggapai ijazah Sarjana/Kedoktoran yang diidamkan.
Sepanjang perjalanan penyelidikan akan ada masa di mana semangat kita pasang-surut / turun-naik. Ada masanya naik, ada masa seolah ingin putus asa dan berhenti. Maka bersedialah dengan kaedah-kaedah yang dapat memastikan semangat kita akan sentiasa kuat. Jangan mudah putus asa kerana tanda kegagalan pertama ialah putus asa. Buku-buku berunsur motivasi yang memerihalkan kejayaan penyelidik-penyelidik boleh dijadikan pendorong, seperti buku '20 Tokoh Ilmuwan (Malaysia)' tulisan Siti Ezaleila Mustafa, terbitan Medium Publications, 2009. Mungkin juga kita pernah dengar cerita 'katak yang pekak memanjat tiang' atau kisah 'Pemuda kampung yang menghadapi raksasa bernama 'ketakutan' yang tinggal di puncak gunung'. Moral cerita-cerita ini ialah semangat yang kuat dapat mengelakkan kita terpengaruh dengan godaan dan cabaran yang cuba menghalang kita untuk mencapai matlamat. Cerita-cerita sebegini boleh dijadikan pendorong sampingan kepada motivasi diri. Selain itu rangka kerja yang tersusun dapat memastikan kita tidak hilang fokus dan tumpuan yang biasanya menjadi faktor melemahkan semangat. Penyelia yang berkaliber juga sepatutnya mampu menjadi pemotivasi atau pendorong yang baik. Tetapi jarang yang bertuah sebegitu. Maka sebagai persediaan, kita perlulah berikhtiar sendiri dengan persediaan secukupnya supaya tidak mudah hilang/patah semangat, dan jika berlaku juga perlu ada cara untuk mengatasinya.
vi) Komitmen, dedikasi dan fokus
Selain semangat, komitmen, dedikasi dan fokus sangat berkait rapat kerana saling mempengaruhi. Komitmen dan dedikasi yang tinggi menjamin fokus terhadap matlamat. Manakala fokus yang konsisten dapat mendorong kita sentiasa komited dengan tugas penyelidikan. Timbal-balik antara komitmen dan fokus perlu diberi perhatian. Maka sebagai persediaan, bakal Sarjana/Doktor falsafah perlu sentiasa ada komitmen dan dedikasi terhadap penyelidikan yang kita lakukan. Fokus sepenuhnya kepada tugas menyelidik. Selalunya fokus mudah hilang apabila menemui kegagalan, misalnya kegagalan dalam eksperimen. Maka jangan putus asa dan terus fokus dengan matlamat yang ingin dicapai. Jika tidak, kita akan mudah hilang semangat dan tidak mahu meneruskan penyelidikan.
Persediaan ini juga penting bagi bakal Sarjana/Doktor Falsafah yang sudah berkeluarga atau belajar separuh masa. Ini kerana komitmen kita bukan saja pada penyelidikan, tetapi terpaksa dibahagikan dengan keluarga atau kerja hakiki (kerjaya). Justeru fokus mudah hilang. Manakala bagi yang selain itu, tetap ada cabaran juga kerana bukan sepanjang masa kita melakukan penyelidikan. Aktiviti harian yang lebih menyeronokkan akan mudah menarik tumpuan dan fokus. Maka kurangnya fokus akan mengurangkan komitmen pada penyelidikan. Proses timbal-balik menyebabkan kita lebih hilang fokus dan lambat laun jika dibiarkan akan menjejaskan penyelidikan dan pengajian kita. Justeru bersedialah dengan perancangan yang dapat memastikan kita terus komited dan fokus dengan pengajian.
v) Tekanan perasaan dan stress
Satu fenomena lumrah yang berlaku ialah tekanan perasaan. Bukan bermakna kita akan jadi tidak waras atau gila. Tetapi kerja-kerja penyelidikan yang begitu membebankan akan buat kita mudah tertekan. Dalam keadaan ini, sedikit sebanyak akan menjejaskan kesihatan dan aktiviti sosial kita. Bahkan kita kehilangan mood, hilang semangat dan mudah putus asa. Justeru perlu ada perancangan dan mengenalpasti kaedah yang dapat menghilangkan tekanan. Satu kaedah yang paling mudah ialah melupakan sementara kerja penyelidikan dan lakukan aktiviti yang tidak berkaitan tetapi memberi faedah cth. bersenam/berjoging. Kaedah lain ialah melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga/kawan-kawan. Apabila hilang tekanan, boleh kembali melakukan kerja penyelidikan. Persediaan dalam mengurus tekanan sangat penting, kerana tekanan yang dibiarkan berlarutan boleh mengundang musibah. Rancanglah apa aktiviti yang mungkin perlu dilakukan untuk menghilangkan tekanan, atau setidaknya bersedia untuk mengawal perasaan ketika tertekan. Bunyinya agak melucukan, tetapi percayalah hal ini sangat serius dan jika tidak dikawal boleh menjejaskan kehidupan anda.
Satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah dengan menonton filem A Beautiful Mind, lakonan Russell Crowe. Ceritanya berdasarkan kisah benar penerima anugerah Nobel Prize bidang ekonomi, John Forbes Nash Jr. yang mengalami halusinasi yang teruk dan menakutkan. Akibatnya dia mengalami tekanan emosi. Yang boleh dicontohi adalah bagaimana beliau mengawal tekanan emosi yang disebabkan halusinasinya. Lama-kelamaan dia boleh mengawal perasaannya dan dapat menerima halusinasi di dalam pemikirannya sebagai sesuatu yang biasa dan tidak lagi menakutkan (lebih kuranglah sinopsisnya). Ini adalah satu contoh kaedah menangani tekanan perasaan. Bagaimanapun ada pelbagai alternatif lain yang boleh dilakukan seperti yang dinyatakan sebelumnya.
Senarai yang dibincangkan mungkin hanya sebahagian dari cabaran-cabaran yang perlu ditangani sepanjang tempoh pengajian. Namun ia tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk menghadapinya. Sudah ramai yang melaluinya dan dapat mengatasi cabaran-cabaran berkenaan. (Walaupun ada yang gagal, itu bukan alasan untuk turut gagal). Mengetahuinya sedikit sebanyak membolehkan kita bersedia.
3) Persediaan Intelektual
Penyelidikan keseluruhannya merupakan satu kerja intelektual. Ia memerlukan kebijaksanaan dalam pelbagai aspek, dan matlamatnya juga untuk menyumbang ilmu baharu. Bukan saja fikiran dan mental yang sihat, bahkan pemikiran yang matang dan berkembang sangat diperlukan oleh seorang penyelidik. Justeru panduan persediaan berikutnya ingin membantu bakal Sarjana/PhD dari aspek intelektual supaya cukup bijak untuk memulakan dan melengkapkan pengajian. 'Bijak' bukan bermaksud sekarang kita tidak bijak. Tetapi bidang penyelidikan memerlukan kita melakukan banyak tugas ilmiah, dan dengan memahaminya dapat memastikan kejayaan dalam pengajian. Justeru apakah tugas berkaitan ilmiah yang biasa dilakukan? Inilah yang dibincangkan seterusnya.
i) Kenalpasti dan dalami bidang kajian
Sebelum memulakan pengajian, kita perlu kenalpasti bidang penyelidikan yang ingin kita lakukan. Ini adalah sebagai pendedahan awal kepada tugas yang bakal dilakukan. Penyelidikan semasa pengajian Sarjana/PhD bukannya boleh dilakukan secara 'bidan terjun'(add-hoc). Mungkin bagi genius bolehlah. Tetapi berapa ramai yang genius atau bernasib baik? Pengajian Sarjana/PhD memerlukan persediaan dan perancangan yang teliti (tak kisahlah walaupun belum rapi, kerana boleh diperkemaskan kemudian). Salah satu perancangan yang penting ialah memahami penyelidikan yang ingin dilakukan. Untuk memahami bidang penyelidikan, perlu kenalpasti dahulu. Kemudian bolehlah dikaji dan difahami dengan mendalam.
Cuba dapatkan bahan-bahan rujukan yang boleh membantu anda mengenalpasti bidang penyelidikan yang berpotensi/boleh dilakukan. Jika boleh kenalpasti juga pakar-pakar yang terlibat dalam bidang terbabit. Dan jika boleh lagi, cuba hubungi pakar-pakar terbabit dan dapatkan khidmat nasihat mereka (jika boleh la). Nasihat dan penerangan dari pakar-pakar ini boleh membantu kerana mereka arif tentang bidang terbabit, termasuklah mengenai potensi dan masalah yang wujud. Kenalpasti bakal penyelia dan dapatkan panduan dari mereka. Jika mereka sanggup membantu (lihat jawapan/layanan mereka), ini boleh menjadi 'first impression' bahawa mereka sedia membantu kita dan cukup kaliber untuk menyelia dengan baik kelak. (kalau dengan individu tak dikenali pun mereka layan, apatah lagi pelajar yang memang di bawah seliaan mereka!) Apabila bidang yang berpotensi telah dikenalpasti, maka lebih mudah untuk membuat rujukan selanjutnya kerana skop sudah lebih kecil.
ii) Banyak membaca
Pembacaan sangat penting. Lagi banyak kita baca, lagi banyak kita tahu. Lagi banyak kita tahu, lebih mudah untuk membuat keputusan, analisis dan kesimpulan. Proses berfikir manusia ialah menggunakan maklumat-maklumat yang sudah tersimpan di dalam otak. Pembacaan yang luas bermakna lebih banyak maklumat yang boleh digunakan untuk berfikir. Pembacaan adalah satu alternatif dalam proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, membaca adalah sumber pembelajaran yang terbaik kerana bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Kita boleh baca sebanyak mana yang kita suka, tidak kira masa dan tempat. Apatah lagi jika pembacaan boleh dilakukan dengan pantas. Berbanding belajar daripada individu, alat pandang-dengar dan sebagainya.
Dalam pengajian Sarjana/PhD, kita bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang kita ada. (apa yang kita tahu.) Lebih banyak yang kita tahu, maka mudah untuk kita menjalankan penyelidikan. Misalnya kita tahu masalah-masalah yang wujud dalam bidang terbabit, dan dengan ilmu yang kita tahu, kita boleh menjana/merangka model penyelesaian terbaik dan sekaligus memungkinkan kita menyelesaikan masalah. Apabila masalah yang dijadikan objektif pengajian berjaya diselesaikan, maka sudah selesai separuh perjalanan kita untuk mencapai ijazah Sarjana/PhD. Selebihnya cuma perlu siapkan tesis dan bersedia untuk viva/penilaian (bagi tesis). Tetapi jika kita kurang membaca dan semata-mata mengharapkan orang lain untuk mengajar kita, maka dinasihatkan jangan buat penyelidikan. Ini kerana sikap malas membaca petanda awal kegagalan. Disebabkan tempoh pengajian yang terhad, maka sebaiknya perbanyakkan pembacaan sebelum mula pengajian kerana selain membantu kita bersedia, kita juga dapat jimat masa. Ini kerana masa yang sepatutnya digunakan untuk pembacaan (dinamakan rujukan literatur) sudah boleh digunakan untuk tugas penyelidikan yang lain.
iii) Aktiviti selain membaca - menulis, menganalisis, mengkritik, membuat pemerhatian, membuat kesimpulan
Pelbagai kemahiran diperlukan oleh pelajar Sarjana/PhD, dan antara yang terpenting adalah kemahiran berkaitan intelektual - membaca, menulis, menganalisis, mengkritik, memerhati (membuat pemerhatian) dan membuat kesimpulan.
Seperti yang dibincangkan di atas, membaca memang sangat penting kerana itulah sumber ilmu terbanyak kepada penyelidikan kita. Namun ada yang lebih penting, iaitu menulis. Peranan penyelidik selain mengkaji, ialah menyumbang kepada khazanah ilmu melalui penulisan. Jika kita tidak menulis sesuatu daripada kajian kita, bagaimana kita hendak mengembang dan menyebarkannya kepada masyarakat? (boleh juga melalui seminar, ceramah dsb. Tetapi sifat ilmuan begitu akrab dengan penulisan). Maka menulis itu satu kemahiran yang perlu ada. Berlatihlah dari sekarang dengan mendalami bidang penulisan, khususnya yang bersifat saintifik. Penulisan saintifik berbeza dengan penulisan fiksyen atau bahan sastera lain, kerana penulisan saintifik mementingkan fakta dan membentangkannya dalam format yang standard. Ini memudahkan komuniti saintis berkongsi fakta, idea dan sebagainya. Selain itu, kita juga boleh menyertai bengkel atau seminar penulisan penyelidikan, kerana ia dapat memberi pendedahan kepada keperluan selain kemahiran menulis. Antaranya panduan menerbitkan penulisan, memilih bahan untuk penulisan dan sebagainya.
Kemahiran menganalisis juga wajib bagi penyelidik. Ini kerana dalam proses menyelidik, kita bergelumang dengan sekian banyak bahan ilmiah dan maklumat. Namun bukan semuanya berguna. Skop penyelidikan sangat luas, dan bidang kita mungkin hanya sebahagian kecil daripadanya. Maka semua bahan dan maklumat perlu dianalisis, ditapis dan maklumat yang tidak penting untuk penyelidikan kita perlu diketepikan. Tugas menganalisis memerlukan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan yang luas. Jadi pembacaan yang luas dapat membantu, manakala apabila kita sudah biasa menulis kita dapat membuat analisis dengan mudah kerana menulis melatih kita menganalisis bahan untuk penulisan.
Keupayaan mengkritik secara kritis juga penting. Dengan mengkritik kita bukan saja dapat menyumbang pembaikan atau idea kepada orang lain tetapi juga diri sendiri. Bahkan kita boleh mengkritik diri sendiri. Mengkritik secara rasional memerlukan kita mencari kelemahan-kelemahan di dalam penyelidikan. Ini bukan satu tugas mudah. Melalui cubaan mengkritik, kita akan dapat mengungkapkan kelemahan-kelemahan yang wujud dan mungkin terlepas pandang, sekaligus dapat melakukan pembaikan.
Pemerhatian pula bukan boleh dilakukan suka-suka atau sambil lewa. Jika tidak, mungkin ada perkara-perkara penting yang terlepas pandang dan terbazir begitu saja. Hasil pemerhatian yang baik akan membantu kita membuat kesimpulan yang baik. Maka kemahiran memerhati secara teliti penting bagi penyelidikan. Adakala kita hanya perlu perhatikan benda/ciri yang penting saja, tetapi selalunya yang penting itulah yang kita abaikan. Seperti ungkapan watak Sherlock Holmes, "You see. But you do not observed" - dalam 'A scandal in Bohemia' ("anda melihat, tetapi tidak memerhati").
Daripada hasil eksperimen/kajian, penyelidik perlu membuat kesimpulan. Kesimpulan inilah yang dianggap sebagai ilmu baharu. Kesimpulan yang baik bergantung kepada kebijaksanaan penyelidik menilai hasil eksperimen/kajian. Adakala penyelidik membuat kesimpulan yang salah, walaupun hasil eksperimen/kajian sebenarnya sudah tepat. Maka penyelidik perlu berhati-hati semasa membuat kesimpulan. Sebagai panduan, watak Sherlock Holmes mengungkapkan, "I have no data yet. It is a capital mistake to theorize before one has data. Insensibly one begins to twist facts to suit theories, instead of theories to suit facts. But the note itself. What do you deduce from it?" dalam 'A scandal in Bohemia' ("Saya belum ada data lagi. Adalah satu kesilapan besar membuat teori sebelum mempunyai data. Tanpa disedari, seseorang akan memutarbelit fakta supaya sesuai dengan teori, berbanding sebaliknya (yang sepatutnya). Nota itu. Apa yang kamu dapat simpulkan daripadanya?").
iv) Berdiskusi (berbincang) dan menghadiri seminar (membentang, mendengar pembentangan)
Penyelidikan sebenarnya bukanlah aktiviti perseorangan, sebaliknya adalah aktiviti berkumpulan. Ini kerana kita memerlukan rakan penyelidikan sama ada untuk berbincang tentang penyelesaian masalah, mencari idea, mendapatkan maklumbalas dan kritikan, membentangkan hasil penyelidikan, mendapatkan bantuan dalam tugas penyelidikan dan banyak lagi keperluan lain. Semua keperluan ini bukanlah tugas perseorangan. Mungkin boleh dilakukan berseorangan, tetapi hasilnya pasti bukan yang terbaik. Melalui aktiviti penyelidikan secara berkumpulan/dalam komuniti boleh membantu mempercepatkan perkembangan penyelidikan sama ada yang khusus dengan kita atau kepada bidang terbabit secara keseluruhan.
Berkumpulan tidak hanya terhad di kalangan penyelidik yang setempat dengan kita. Kita juga mungkin perlu bersemuka dengan penyelidik dari tempat-tempat yang jauh. Satu peluang yang ada adalah dengan menghadiri persidangan/seminar. Sebagai penyelidik adalah penting untuk kita menyertai persidangan/seminar - sama ada sebagai pembentang mahupun sekadar mendengar pembentangan penyelidik lain. Antara faedah membentangkan hasil penyelidikan ialah: (a) kita boleh menghebahkan kajian kita untuk dimanfaatkan oleh penyelidik lain; (b) kita boleh mendapatkan maklumbalas dan kritikan; (c) menambah bilangan penerbitan penyelidikan sebagai portfolio penyelidikan kita dsb. Manakala sebagai pendengar/penonton yang menghadiri seminar, kita: (a) dapat mengetahui perkembangan penyelidikan dalam bidang kita; (b) dapat bersemuka dengan penyelidik lain yang mempunyai minat penyelidikan yang sama; (c) dapat mengadakan rangkaian dengan penyelidik lain; (d) dapat bertukar pendapat dan idea dengan penyelidik yang berada jauh dari kita; (e) dapat menyumbang idea dan kritikan kepada komuniti penyelidikan (ini juga satu sumbangan) dan banyak lagi kelebihan lain. Penyertaan seminar memerlukan kos yang agak besar, dan sebagai pembentang juga perlu menulis kertas penyelidikan untuk dimasukkan di dalam prosiding. (Prosiding ialah dokumen yang menyenaraikan semua penyelidikan yang dibentangkan dalam seminar/persidangan/konferens terbabit.) Maka persediaan seperti wang peruntukan/geran dan kemahiran penulisan sangat diperlukan juga.
v) Jana pemikiran kreatif
Sebagai penyelidik, daya kreativiti juga menjadi penentu kejayaan. Ini kerana penyelidikan ialah usaha menyelesaikan masalah, dan adakala kita perlu mencuba pelbagai kaedah penyelesaian sebelum satu kaedah yang tepat ditemui. Begitupun kaedah penyelesaian itu belum tentu yang terbaik. Maka penyelesaian yang terbaik masih boleh dicari. Melalui daya kreativiti, kita boleh cuba mencari/mencipta pelbagai kaedah dan alternatif penyelesaian kepada sesuatu masalah. Adakala kita juga akan menemui jalan buntu semasa melakukan tugas penyelidikan. Pada ketika ini daya kreativiti dapat membantu kita mencari jalan keluar daripada kebuntuan. Ini sekaligus menghindarkan kita daripada rasa putus asa dan kegagalan.
Pemikiran kreatif sebenarnya boleh dilatih. Ianya tidak bergantung kepada bakat semulajadi semata-mata. Cuma mungkin bagi si A, perlu berlatih lebih berbanding si B, dan sebaliknya. Maka cubalah jana pemikiran kreatif dari awal. Mudah-mudahan sedikit-sebanyak dapat membantu semasa tempoh pengajian. Cubalah aktiviti yang melatih pemikiran kreatif, seperti bermain Lego (ia adalah permainan untuk orang dewasa juga!). Anda boleh juga berlatih berimaginasi, melukis atau apa saja aktiviti yang dirasakan memerlukan pemikiran kreatif. Penyelidikan bergantung kepada idea. Perbanyakkanlah idea dengan menjananya sendiri (pemikiran kreatif) atau melalui aktiviti seperti pembacaan, pemerhatian/pencerapan, perbincangan dan sebagainya.
Semoga apa yang dikongsikan kali ini dapat dijadikan panduan seterusnya untuk menjadi bakal Sarjana/PhD yang terbaik.
Akan Datang (Insya'allah): Bahagian seterusnya - 4) Persedian dari aspek sosial, dan 5) Topik khas berkaitan asas penyelidikan.
Rabu, 6 Mei 2009
Panduan untuk bakal Sarjana dan Doktor Falsafah
NOTA: Panduan berikut adalah perkongsian saya berdasarkan pengalaman-pengalaman dan maklumat yang diperolehi sebagai seorang pelajar PhD bidang Sains Komputer di IPTA tempatan (dan masih berjalan). Mungkin boleh digunakan dalam bidang anda dan mungkin tidak. Namun pada asasnya, semua sama (insya'allah) dan boleh dijadikan panduan.
Pengenalan
Ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana/PhD? Mungkin anda baru tamat belajar peringkat Sarjana Muda, atau dah 'jemu' bekerja (lepasan Diploma dan Sarjana Muda), atau meningkatkan kelulusan/kemahiran, atau berminat dengan penyelidikan. Jadi boleh fikirkan untuk sambung pengajian. Siri ini cuba memerihalkan beberapa perkara tentang pengajian peringkat Sarjana dan PhD supaya dapat dikongsi bersama dan dijadikan panduan untuk anda yang berminat. Tidak kira belum/sudah bekerja, tua/muda, miskin/kaya, sudah/belum berkeluarga. Selagi belum mati, mampu dan ada minat menyelidik, kita sentiasa ada peluang untuk belajar.
Panduan berikut adalah perkongsian ringkas. Ia lebih mengkhusus kepada universiti tempatan. Walau bagaimanapun tetap boleh dijadikan panduan untuk memohon ke universiti luar negara, cuma mungkin ada tambahan seperti penyediaan visa/paspot, tempat tinggal, pakaian panas musim sejuk dsb. Diharapkan dengan perkongsian ini, anda ada panduan dan lebih keyakinan untuk menceburi bidang penyelidikan.
Bagaimana Memohon dan Mendapat Tempat?
i) Peka dengan tawaran menerusi media massa dan iklan
Pihak universiti tempatan misalnya, ada menyiarkan iklan tentang pengambilan pelajar di media massa - akhbar utama, televisyen, radio dsb. Maklumat lanjut tentang program-program yang ditawarkan biasanya ada dinyatakan. Jadi maklumat-maklumat ini boleh dirujuk untuk mempertimbangkan hasrat melanjutkan pelajaran ke universiti terbabit.
ii) Rujuk universiti - khususnya sekolah pengajian siswazah
Lawati laman-laman web universiti terbabit. Jika ada sekolah pengajian siswazah di universiti berkenaan, lawati laman webnya. Selalunya iklan mengenai pengambilan pelajar ada disiarkan di situ. Jika tidak, hubungi terus pejabat pihak pengurusan sekolah berkenaan dan dapatkan maklumat tentang program-program yang ditawarkan dan bila pengambilan pelajar dilakukan. Khidmat melalui laman web selalunya disediakan oleh universiti awam tempatan dan universiti luar negara.
iii) Merujuk sendiri pengajar (bakal penyelia)
Boleh juga menghubungi pensyarah atau pengajar dalam bidang yang ingin disertai. Walau bagaimanapun dinasihatkan tidak menerima bulat-bulat (tanpa usul periksa) maklumat yang diberikan. Ada pensyarah yang tidak tahu perkembangan terbaru sekolah pengajian siswazah di tempatnya (polisi universiti kerap bertukar). Setiap maklumat yang melibatkan hal program pengajian yangt diberi oleh pensyarah perlu disahkan dengan menghubungi terus sekolah pengajian siswazah. Walau bagaimanapun, maklumat yang penting daripada pensyarah ialah dari aspek kajian dalam bidang terbabit.
Mengenali program yang ditawarkan - kursus saja / kursus dgn tesis / tesis saja
Sebaiknya kenalpasti dan pilih bentuk program pengajian yang ditawarkan. Di Malaysia, bagi pengajian Sarjana ada ditawarkan program kerja kursus (mengikuti kelas sepenuhnya) atau kursus dengan tesis (kelas dgn jumlah kredit tertentu, dan selebihnya menghasilkan tesis). Manakala pengajian PhD pula menawarkan program kursus dengan tesis atau tesis sepenuhnya (tidak perlu menghadiri apa-apa kelas. Hasilkan tesis saja). Saya tidak pernah dengar pengajian Sarjana yang menawarkan tesis saja (mungkin ada). Begitu juga PhD dengan kursus saja, tidak perlu tesis. Boleh dapatkan maklumat menerusi sekolah pengajian siswazah.
Setiap program ini ada yang ditawarkan sepenuh masa, ada yang separuh masa (kerja sambil belajar). Tempoh minimum (dengan tesis) biasanya 2 tahun bagi Sarjana sepenuh masa (separuh masa mungkin lebih), dan 3 tahun untuk PhD sepenuh masa (separuh masa mungkin lebih). Bagi kursus (tanpa tesis), Sarjana hanya perlu sekitar 1 tahun saja.
Apa matlamat pengajian anda? Bagi kursus saja, anda perlu mengikuti kelas (dengan gred yang baik) dan hasilkan kerja kursus/ tesis ringkas. Bagi kursus dengan tesis, anda perlu ikuti kelas, dan pada masa yang sama jalankan kajian untuk melengkapkan tesis. Manakala bagi pengajian tesis saja, anda akan gunakan sepenuhnya tempoh pengajian untuk buat kajian dan melengkapkan tesis. Bagi tesis, anda perlu jalani penilaian viva. Jika lulus, maka anda sudah layak digelar sarjana atau doktor (falsafah).
Apa dia tesis? Tesis ialah telahan (ada yang kata hipotesis) yang mana anda buat sebagai asas (tajuk) kajian. Kajian yang dibuat sepatutnya membuktikan tesis anda. Misalnya 'Jarum besi lebih cepat karat berbanding jarum alumunium'. Maka anda buktikan tesis ini dan hasilkan laporan kajian (juga dipanggil tesis).
Keperluan khas untuk mendaftar pengajian
i) Peperiksaan/Kelulusan tambahan
Biasanya pihak universiti mewajibkan pemohon menyertakan sijil kelulusan peperiksaan tertentu. Jika di Malaysia, biasanya peperiksaan bahasa Inggeris MUET (diiktiraf dalam Malaysia saja), atau TOEFL/IELTS (diiktiraf antarabangsa). Namun saya cadangkan duduki TOEFL/IELTS.
(Bagi menduduki IELTS, pendaftaran dikenakan bayaran (~RM500) dan boleh jalani di British Council (Malaysia), berhampiran KLCC.)
ii) Menyediakan proposal untuk pengajian
Setiap permohonan pengajian mungkin memerlukan anda menyertakan satu proposal kajian yang akan dilakukan. Format proposal boleh dirujuk pada pihak sekolah pengajian siswazah universiti terbabit, kerana formatnya mungkin berlainan antara universiti. Proposal wajib bagi pengajian tesis saja atau kursus dengan tesis. Bagi pengajian kursus saja saya tidak pasti. Proposal amnya tidaklah susah untuk dihasilkan. Yang penting ianya jelas untuk menerangkan tentang kajian yang ingin dilakukan semasa tempoh pengajian. Mungkin perlu ada tajuk kajian, objektif, pernyataan masalah, skop kajian, jadual rangka kerja dan sedikit kajian latar belakang bidang kajian. Tidak perlu hasil dan kesimpulan, kerana belum mula kajian pun!
Walau bagaimanapun, sila rujuk pihak universiti (sekolah siswazah) untuk maklumat terperinci.
Sedikit mengenai program pengajian
Walaupun pengajian ini diuruskan oleh universiti, hakikatnya kajian penyelidikan (tesis) yang anda lakukan ialah penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah (atau boleh berjaya dengan bantuan pensyarah/penyelia). Kajian yg akan anda lakukan adalah sebahagian daripada projek pensyarah yang bakal menjadi penyelia. Jika pensyarah sedia mengambil anda sebagai pelajar, maka pihak universiti juga mungkin bersetuju. Jika tidak, peluang mungkin 50-50 saja (pihak universiti akan cuba menyediakan penyelia untuk anda).
Pentingnya maklumat dari pensyarah jika kita ingin melanjutkan pengajian dengan tesis. Biasanya kajian yang ingin dilakukan bergantung kepada kesediaan pensyarah untuk menerima, menyelia dan membimbing pelajar (bukan setakat terima dan buat dek/selamba mengabaikan pelajar). Juga bergantung kepada kewibawaan pensyarah selaku penyelia dan projek yang sedang dilakukan. Sebaiknya bincang dengan bakal penyelia untuk mencari tajuk/tesis untuk kajian yang sesuai. Nilai keupayaan pensyarah untuk membimbing anda. Ada sesetengah pensyarah mungkin tidak layak, tetapi masih mahu menerima anda. Hati-hati jika tidak mahu susah kemudian (atau lebih buruk, GAGAL!)
Selain itu semak juga prestasi pensyarah melalui hasil kerjanya, jumlah kertas penyelidikan yang ditulis/diterbitkan, projek-projek yang pernah dijalankan, dan rekod pelajar-pelajar Sarjana/PhD yang pernah dikendalikannya. Biasanya Profesor sudah cukup wibawa untuk membimbing anda. Bagi yang selain itu, nilailah sebaiknya kerana semua faktor ini akan mempengaruhi kejayaan anda sebagai pelajar Sarjana/PhD. Namun tetap bergantung pada rezeki dan taqdir. Banyakkanlah doa dapat yang terbaik.
Cadangan saya, cari dulu tajuk kajian yang sesuai dengan menghubungi pensyarah dalam bidang kajian yang ingin anda ceburi, dapatkan nasihat dan pandangannya berhubung bidang anda. Pilih penyelia yang benar-benar layak dan mampu membantu. Walaupun anda mungkin sudah ada tajuk kajian anda sendiri, rujuk dan nilai dahulu penyelia sebelum mendaftar pengajian untuk memastikan apa yang dibuat itu boleh membawa kejayaan.
Persediaan-persediaan melanjutkan pengajian
1) Persediaan Kewangan:
Persediaan kewangan sangat penting di 'zaman duit' ini. Apa saja memerlukan duit. Maka panduan berikut berkenaan persediaan berkaitan kewangan yang perlu dilakukan untuk pengajian pasca graduat.
i) Yuran dan pembiayaan pengajian
Yuran pengajian ijazah sarjana dan PhD sangat mahal. Diulang, sangat mahal! Tapi tak perlu bimbang, kerana sekarang pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun menyediakan pembiayaan (biasiswa dan pinjaman) untuk menyambung pengajian. Untuk memohon anda perlu mendaftar pengajian dulu dengan universiti terbabit, dan permohonan pembiayaan boleh dibuat apabila tawaran pengajian diberikan. Selain KPT dan JPA, anda boleh memohon pembiayaan melalui Yayasan Negeri, agensi kerajaan seperti MARA, dan mungkin syarikat-syarikat swasta tertentu (Petronas, Shell dsb). Tetapi bagi syarikat, anda akan dikenakan kontrak bekerja dengan mereka selepas habis belajar. Ada juga yayasan / NGO yang menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang. Jika anda cemerlang boleh mohon. Misalnya Torray Science Foundation.
ii) Menjamin pembiayaan sara hidup
Bagi yang sudah bekerja mungkin tidak ada masalah, kerana ada wang simpanan. Namun perlu merancang juga untuk mendapatkan cuti bergaji/separuh gaji bagi kakitangan kerajaan. Sesetengahnya hanya diberi cuti separuh gaji. Ada juga yang dapat gaji+elaun belajar. Manakala bagi yang kakitangan bukan kerajaan, anda boleh mohon program pengajian separuh masa supaya ada bekalan sara diri. Tetapi pelajar Sarjana/PhD (dgn tesis) ada juga yang tidak perlu memohon cuti (tetapi pengajian sepenuh masa), kerana kursus tidak banyak. Jika ada kelas (kursus) pun cuma 1~3 jam saja sehari (bergantung pada jumlah kursus yang diambil), boleh 'tinggal ofis' sekejap. Selebihnya kajian sendiri. Tetapi jika ingin fokus, sebaiknya mohonlah pengajian sepenuh masa (jika boleh). Kerana pengajian Sarjana/PhD bukan senang. Apatah lagi jika sudah berkeluarga. Sumber kewangan sedia ada harus dijaga bagi memastikan anda tidak putus 'bekalan' semasa dalam tempoh pengajian. Bagi yang belum bekerja, anda mungkin dilantik sebagai pembantu penyelidik (Research Assistant / RA). Maka ada gaji (boleh la walaupun tak banyak). Jika anda berminat untuk jadi ahli akademik (pensyarah), blh cuba mohon kerja dahulu, kerana di kalangan IPT, KPT menyediakan pembiayaan sepenuhnya untuk pengajian pensyarah di dalam/luar negara. Siap ada cuti bergaji dan elaun! (dengan kontrak).
iii) Memilih projek dengan geran penyelidikan
Selain keperluan diri, ada kajian yang memerlukan perbelanjaan yang mahal. Misalnya yang melibatkan eksperimen. Anda juga mungkin terpaksa membelanjakan wang untuk buku rujukan, perbelanjaan ke seminar atau konferens, membeli data atau bahan kajian dari pihak luar dsb. Maka sumber kewangan yang mantap adalah sangat penting. Tidak semestinya guna duit sendiri. Di sinilah peranan geran penyelidikan (apa makna geran? duit le!). Jika bakal penyelia anda sudah mempunyai projek dengan geran penyelidikan (boleh tanya), maka beban kewangan untuk kajian sudah tidak rumit. Perbelanjaan ditanggung 'beres'. Bagaimana jika tidak ada geran? Tidak apa. Mungkin anda tidak memerlukannya atau kajian tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Tetapi jika perlu, anda boleh mohon geran kemudian.
iv) Memohon geran penyelidikan
Di Malaysia, pihak KPT sering menawarkan geran penyelidikan. Anda boleh berbincang dengan penyelia bagaimana untuk memohon geran-geran yang ditawarkan. Selalunya permohonan dilakukan melalui penyelia (kerana geran itu sepatutnya diuruskan oleh penyelia yang menguruskan projek. Pelajar tidak layak). Dengan adanya geran penyelidikan, anda boleh mengunakannya untuk membeli perkakasan seperti komputer, bahan ujikaji makmal, peralatan dan sebagainya yang berkaitan dengan penyelidikan anda nanti. Geran juga boleh digunakan untuk perbelanjaan untuk ke persidangan di luar negara (kosnya memang mahal!). Tetapi jangan mimpi untuk salahguna duit geran, kerana duit itu bukan diserahkan pada kita dlm bentuk tunai. Sebaliknya diuruskan oleh pihak universiti/fakulti tempat anda membuat kajian.
Akan Datang (Insya'allah): Bahagian 2 - 2) Persedian Mental, Fizikal dan Emosi, serta 3) Persediaan Intelektual.
Rabu, 29 April 2009
Memurnikan budaya penyelidikan
Penyelidikan ialah menghasilkan satu penemuan baharu. Penemuan bukan bermaksud merujuk kepada sesuatu 'benda' yang baharu, tetapi ilmu baharu. Ilmu baharu merangkumi ilmu yang menjelaskan sesuatu yang belum pernah diketahui. Menjelaskan sesuatu yang sudah diketahui umum berdasarkan satu perspektif baharu juga satu ilmu baharu. Ini kerana menjelaskan sesuatu dari perspektif yang berbeza dapat meluaskan lagi pengetahuan dan menyediakan satu pelantar baharu untuk penyelidikan seterusnya. Ini mendorong lebih banyak cabang penyelidikan dan peluang penemuan.
Namun persoalannya, adakah sesuatu penemuan itu mesti didasarkan kepada penemuan yang sudah sedia ada? Kita mungkin mengatakan 'tidak semestinya'. Tetapi tanpa sedar, kalangan kita mungkin sudah terikat dengan prinsip 'the knowledge must came from somewhere'. Ini disinonimkan dengan kewujudan sumber rujukan. Setiap makalah penyelidikan yang mempunyai banyak sumber rujukan dianggap boleh dipercayai, dan begitu juga yang tidak ada sumber rujukan tidak boleh dipercayai. Betulkah? Tidak semestinya. Hakikatnya semua kesimpulan dan pemerhatian kita adalah tertumpu dan bersumber pada alam. Maka pada dasarnya ia sudahpun 'came from somewhere', walaupun kita tidak boleh nyatakan dari sumber mana. Kita bukan malaikat yang datang dari syurga. Sebagai manusia, kita menjalani proses pembesaran dan interaksi sosial di alam nyata. Maka kesimpulan dan pemerhatian tidak dapat tidak akan bersumber pada alam nyata (melainkan kita boleh terima wahyu!). Sains itu adalah menjelaskan fenomena alam. Selagi mana kita boleh menjelaskan secara rasional tentang penemuan kita, maka seharusnya dapat membuktikan bahawa penemuan kita itu berguna dan masyarakat penyelidik harus menerimanya, walaupun tidak 100% (adakala yang nampak rasional itu salah. Malah yang sudah terbukti 'benar' pun ada yang didapati salah kemudiannya.) Dan penjelasan itu juga tidak semestinya datang dari penemuan orang lain, kerana ada alasan-alasan yang boleh dirumuskan berdasarkan pemerhatian kita sendiri.
Namun ada gunanya jika kita dapat menyatakan sumber dari mana kita memperolehi sesuatu maklumat. Kebaikannya ialah, seseorang boleh menyemak maklumat yang kita kemukakan dan memastikan bahawa maklumat itu benar serta selari dengan maklumat yang dinyatakan dalam sumber. Penyelidik adalah manusia, dan tidak mustahil akan melakukan kesilapan. Dengan menyatakan sumber rujukan membolehkan penyelidik mengelakkan kesilapan merujuk dengan bantuan penyemak atau penyelidik lain. Selain itu dengan menyatakan sumber rujukan kita juga dapat memberi kredit atau penghargaan kepada penyelidik yang menerbitkan rujukan. Mereka layak diberi penghargaan di atas usaha menerbitkan bahan rujukan. Dengan menyatakannya dalam makalah atau penerbitan kita sebagai rujukan sekurang-kurangnya kita menghargai sumbangan mereka, dan membantu menyebarkan maklumat yang dirujuk kepada penyelidik lain. Walaupun begitu, jumlah sumber rujukan tidak seharusnya dikaitkan sepenuhnya dengan kebenaran dan kesahihan sesuatu penyelidikan.
Penyelidikan adalah tertumpu kepada mencari ilmu baharu. Pemerhatian dilakukan terhadap persekitaran dan sekeliling kita. Kemudian kita menjelaskan secara rasional berdasarkan penemuan dan data yang diperolehi melalui eksperimen/penyelidikan. Ada idea penyelidikan yang bersumber dari penyelidikan dan penemuan penyelidik lain yang terdahulu. Namun ada juga yang mendapat idea melalui ilham atau secara tidak sengaja (melalui eksperimen sendiri). Hakikatnya penyelidikan itu adalah penerokaan. Meneroka membuat peta, bukan mengikut peta ('mapping the uncharted territory'). Kalau mengikut peta, kita mengikut jalan bukan menemui jalan. Tetapi hari ini kita diasak supaya menghasilkan satu penemuan dalam tempoh masa n unit masa (hari, bulan, tahun dll) yang berhad (finite). Adakah ini suatu norma yang patut diterima? Bolehkah kita menjangka bahawa kita akan menjumpai x pada n unit masa? Jika kita boleh menjangka sedemikian maka kita sudahpun menemui penemuan itu kerana kita sudah tahu dan boleh menjangka sekian-sekian akan berlaku! (Jika tidak bagaimana kita tahu? Inferen?) Layakkah dikatakan penemuan baharu?
Tidak dinafikan menetapkan tempoh masa untuk melengkapkan sesuatu kajian itu sangat penting. Satu kepentingannya ialah untuk memudahkan pengurusan dan perancangan kerja-kerja penyelidikan. Dengan menetapkan tempoh masa, kita boleh merancang perkara-perkara lain yang berkaitan seperti perbelanjaan, pengurusan sumber dan sebagainya. Banyak perkara dalam projek penyelidikan memerlukan kita menetapkan had masa supaya perancangan jelas dan tersusun. Menghadkan masa juga memastikan kita dapat menjalankan kerja-kerja penyelidikan dengan lebih efisien. Dengan ketiadaan had masa, kita mungkin cenderung untuk berlengah. Masa yang terluang banyak digunakan untuk tugas yang tidak berkaitan dengan penyelidikan. Ini merugikan kerana jika digunakan untuk penyelidikan mungkin lebih banyak faedahnya. Maka untuk mengelakkan pembaziran masa, perlu ada had masa. Namun kepentingan-kepentingan ini tidak harus diterimapakai secara rigid. Ianya harus fleksibel, di mana jika berlaku perkara yang tidak diingini, had masa boleh diubahsuai secara tidak keterlaluan supaya kerja penyelidikan tidak terganggu dan tidak menjejaskan kualiti hasil penyelidikan terbabit, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perancangan.
Komuniti saintis hari ini menegaskan perlu ada etika dalam penyelidikan. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Siapa yang mengawal etika? Apabila kita terlalu berpegang dan bersandar kepada pemikiran sains dari Barat, kita sebenarnya menerima konsep sains yang tidak kukuh. Tidak ada pertalian yang teguh antara unsur fizikal dan kerohanian. Etika yang wujud cuma disandarkan pada keinginan dan kehendak penyelidik. Jika tidak dipatuhi? Tiada siapa tahu. Kita boleh putar-belit berdasarkan penemuan-penemuan yang nampak rasional (walaupun salah). Malangnya tidak ramai yang mahu menilai semula pemikiran sains bercorak Ateis (tidak bertuhan) yang diwariskan pada penyelidik moden. Konsep 'penyelidikan satu ibadah' tidak diajar dalam pemikiran sains Barat, kerana sains Barat menolak konsep ketuhanan. Tetapi penyelidikan hari ini banyak menerimapakai budaya penyelidikan ala Barat. Alasannya kerana budaya penyelidikan di sana sudah berkembang luas dan hasil penyelidikan juga banyak. Pengaruhnya sukar untuk dielakkan. Maka banyak hasil penyelidikan saintis Barat dijadikan teras oleh penyelidik-penyelidik baru (termasuk saintis Muslim) untuk melakukan kajian dan penyelidikan. Justeru, tidak dapat tidak, penyelidik Barat terpaksa diangkat sebagai pelopor dan budaya, pendapat serta cara pemikiran mereka, tanpa sedar, diamalkan dalam penyelidikan zaman moden. Walau bagaimanapun tidak bermakna saintis Muslim harus menerima sepenuhnya budaya pemikiran saintis Barat. Saintis Muslim boleh menapis dan mengubahsuai tatacara dan definisi sains ala Barat supaya selari dengan perspektif Islam, dan satu contoh iaitu konsep 'penyelidikan satu ibadah' membuktikan walaupun sains itu dipelopori Barat, tidak semestinya kita juga harus jadi orang Barat (terima bulat-bulat). Sebaliknya yang baik dijadikan tauladan, yang buruk buat sempadan.
Islam memuliakan ilmu. Umat Islam disuruh mencari ilmu, dan ia dianggap satu ibadah (perbuatan yang menghasilkan kebaikan dan diberi pahala). Bidang penyelidikan adalah meneroka ilmu. Maka penyelidikan juga perlu dianggap satu ibadah (umum). Dalam permasalahan mengamalkan etika, beretika adalah satu ciri dalam ibadah, kerana etika atau disiplin membimbing ibadah untuk jadi sempurna. Etika bergantung kepada disiplin diri, kerana tidak ada sesiapa yang boleh menguatkuasakan etika terhadap diri kita, melainkan kita sendiri. Melalui konsep ibadah iaitu pengabdian diri kepada Tuhan, memastikan kita teguh berpegang kepada etika. Ini kerana kita tahu Tuhan sentiasa melihat kita, dan untuk mendapat ganjaran (pahala) kita perlu melakukan yang terbaik dan menghindarkan penyelewengan. Konsep 'penyelidikan satu ibadah' menunjukkan satu perkaitan antara fizikal dan kerohanian, kerana kita tahu setiap perbuatan akan dibalas (sama ada diketahui umum atau tidak). Jadi, penyelidikan bersandar pada etika, etika bersandar pada ibadah, ibadah kerana Tuhan dan Tuhan itu abadi/kekal. Maka hubungan dan perkaitan penyelidikan bersumber dari Tuhan ini merupakan satu asas yang dapat menjamin keteguhan prinsip dalam penyelidikan. Jika tidak inilah jadinya - plagiarisme di kalangan saintis - siapa mahu bertanggungjawab?
Sebagai rumusan, penulisan ini adalah untuk membidas beberapa norma penyelidikan 'aneh' yang makin terkenal, dan mengkritik 'penjajahan pemikiran karut' dalam sistem penyelidikan. Berdasarkan penilaian dan pengamatan penulis, terdapat beberapa budaya yang tidak wajar tetapi diamalkan sebagai budaya penyelidikan. Budaya tersebut adalah (1) budaya 'penyelidikan yang banyak rujukan adalah benar', (2) budaya 'penyelidikan mesti siap dalam tempoh sekian, sekian', dan (3)peminggiran konsep kerohanian dalam sistem penyelidikan. Diharap dengan adanya perbincangan ini, walaupun tidak terperinci dan agak longgar, dapat menjelaskan sedikit sebanyak isu yang wujud dalam penyelidikan seterusnya membantu memberi jalan penyelesaian kepada isu terbabit. Semoga penyelidikan di kalangan saintis Muslim dan kalangan saintis di Malaysia amnya, lebih jitu dan tidak dipengaruhi unsur-unsur yang bukan berdasarkan prinsip dan falsafah penyelidikan yang murni.
Rabu, 22 April 2009
Falsafah Pengkajian Ilmu
Setiap usaha yang dilakukan oleh orang Islam seharusnya dengan matlamat untuk mencari keredahaan Allah. Matlamat hidup kita adalah memakmurkan bumi, dan setiap usaha jadi bekalan untuk akhirat. Maka mengkaji ilmu tidak harus direlatifkan terhadap sesuatu yang bersifat kebendaan atau fizikal, tetapi didasarkan kepada keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat. Setiap perkara atau benda di alam ini bersifat fana', iaitu akan musnah. Jika pengkajian ilmu yang bersandarkan kepada sesuatu yang fana', lambat laun usaha ini juga akan musnah apabila dasarnya musnah. Tetapi Allah itu sifatnya kekal abadi, dan keredhaan Allah akan berterusan sampai bila-bila. Secara teorinya, jika mengkaji ilmu didasarkan pada keredhaan Allah, maka ia akan berterusan juga. Bahkan, jika bersandarkan pada keredhaan Allah pengkaji ilmu akan lebih ikhlas dan usaha akan jadi lebih berkesan.
Kita harus sedar, mengkaji ilmu bukanlah sebagai satu persaingan tetapi sebagai satu sumbangan. Mengkaji ilmu atas dasar persaingan bukan saja boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga memberi kesan negatif kepada usaha pengkajian. Tidak dinafikan, dengan berlumba mencapai tahap ilmu yang lebih baik adalah satu kesan positif. Tetapi persaingan boleh mengubah matlamat seseorang ke arah negatif, iaitu setakat 'ingin lebih dari orang lain'. Natijahnya, jika tiada perkembangan yang dicapai, pesaing akan cuba dijatuhkan supaya nampak 'pencapaian' (yang statik) sebagai satu kelebihan berbanding orang lain (walhal tidak ada kemajuan). Manakala natijah yang lain ialah, seandainya pesaing tidak berjaya mencapai perkembangan, usaha kita juga akan turut terhenti kerana sudah puas hati dengan kedudukan yang masih lebih berbanding orang lain. Tetapi seandainya ia dianggap sebagai satu sumbangan, kajian ilmu akan sentiasa berjalan dan pengkaji tidak akan tertekan walaupun belum mencapai perkembangan. Ini kerana untuk memberi sumbangan memerlukan keikhlasan, maka usaha mengkaji ilmu akan berlaku secara ikhlas dan bukan terpaksa. Justeru penekanan terhadap pengkajian ilmu sebagai satu ibadah dan sumbangan perlu ada, berbanding mengamalkan dasar persaingan.
Setiap orang Islam perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengkaji ilmu. Ilmu milik Allah, dan tiada selain-Nya yang memiliki ilmu. Tetapi kita disuruh mencari ilmu. Islam mensyariatkan supaya manusia sebagai khalifah (wakil) Allah perlu memakmurkan bumi. Salah satu usaha memakmurkan bumi adalah dengan membina tamadun berasaskan ilmu, kerana hanya dengan ilmu manusia dapat membina tamadun yang memerintah bumi dengan baik. Tanpa ilmu, manusia tidak mampu berbuat sesuatu yang luar dari kawalan nafsu. Tidak ubah seperti haiwan, manusia hanya akan melakukan rutin berdasarkan nafsu dan naluri. Itupun jika tidak melakukan kerosakan. Maka orang Islam perlu ke hadapan dalam pengkajian ilmu, kerana selagi kita hidup, tanggungjawab sebagai khalifah masih berterusan. Begitu juga dengan tuntutan mengkaji ilmu. Sepatutnya orang Islam perlu beri sumbangan terbanyak dari segi ilmu berbanding tamadun lain. Tidak kira sama ada sumbangan (mengkaji ilmu) hanya untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, mahupun generasi akan datang.
Mengkaji ilmu sebaiknya bermatlamat ke arah ilmu yang bersifat sepanjang zaman, dan tidak hanya berdasarkan kemasyhuran dan budaya semasa. Ilmu yang bersifat sepanjang zaman lebih bertahan lama berbanding ilmu khusus untuk satu tempoh masa (ilmu yang terikat dengan budaya semasa). Walaupun berguna pada satu tempoh masa, ilmu tersebut mungkin tidak dapat digunakan lagi pada masa akan datang. Sekiranya budaya yang disandarkan itu berubah, ilmu yang dikaji akan jadi sia-sia kerana bukan sahaja tidak dapat digunakan, tetapi juga tidak dapat dikembangkan kerana hilang potensi dan kepentingannya. Biasanya ilmu yang terhad tempoh masa adalah ilmu yang praktikal (tidak semua), manakala ilmu yang bertahan sepanjang zaman adalah ilmu asas (fundamental). Namun ilmu dapat dijadikan sebagai sesuatu yang kekal berguna sepanjang zaman, jika ianya disandarkan kepada keperluan asas, misalnya ilmu untuk memantapkan akidah. Pemantapan akidah adalah perlu kerana akidah memelihara iman, dan iman yang benar perlu untuk bahagia di akhirat. Jadi ilmu tentangnya akan berguna hingga hari kiamat.
Pengkajian ilmu akan memberi kelebihan kepada seseorang, kerana kita 'lebih tahu' berbanding orang lain. Jika kita mudah dipengaruhi dengan kepentingan tertentu, maka kita akan terjebak untuk melakukan perbuatan yang salah. Misalnya memalsukan fakta/ilmu, menggunakan ilmu ke arah yang salah (menyalahgunakan kelebihan ilmu), malah mungkin untuk menyembunyikan kebenaran. Justeru etika sangat penting dalam mengkaji ilmu. Etika membantu membimbing pengkaji ke arah yang baik, seperti membangunkan masyarakat, meningkatkan keupayaan teknologi untuk kegunaan harian, membantu memperkembangkan ilmu dan bermacam lagi matlamat positif. Hakikatnya dalam Islam telah ada prinsip etika, iaitu adab dan akhlak. Jika diaplikasi dengan cara yang sebenar (mengikut Al-Quran dan Sunnah), orang Islam boleh mempelopori kemantapan etika dalam apa jua bidang.
Pengkaji perlu memahami bahawa setiap ilmu adalah neutral, yakni belum tentu ianya membawa kepada kebaikan atau kemusnahan. Seandainya kita sejak awal telah mengkelaskan ilmu kepada kelas baik/buruk, akan membawa pelbagai implikasi. (1) Mungkin ilmu yang 'baik' saja yang akan berkembang, manakala ilmu 'buruk' tidak akan dimajukan atau dikaji lebih lanjut. (2) Pengkaji yang mengkaji ilmu 'baik' digelar orang yang benar, manakala pengkaji ilmu 'buruk' akan dianggap sebagai musuh/penjahat. Walhal, ilmu yang 'baik' boleh disalahgunakan untuk tujuan yang negatif, dan yang 'buruk' mungkin boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Maka bukan saja pengkelasan baik/buruk itu tidak adil, malah merugikan. Hakikatnya, pengkaji dan pengguna ilmulah yang mengkelaskan kegunaan ilmu kepada baik/buruk, iaitu ianya jadi buruk bila digunakan untuk tujuan yang negatif, dan baik jika tujuan positif. Cuma yang penting dan agak pasti, ilmu itu cuma boleh dipastikan ianya benar/tidak. Itupun belum tentu benar, namun benar/tidak sesuatu ilmu itu hakikatnya hanya Allah yang tahu.
Mengkaji ilmu perlu disertakan dengan usaha untuk mengembang dan menyebarkannya. Ilmu yang baik memberi manfaat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Maka dengan menyebarkan ilmu, lebih ramai yang akan menerima manfaat. Bahkan, pelajar mungkin mempunyai idea untuk mengembangkannya, justeru ilmu itu akan berkembang dengan lebih cepat berbanding tidak diajarkan kepada sesiapa. Kemudian ilmu yang dikembangkan diajarkan lagi kepada orang lain supaya manfaat dan pengkajiannya boleh terus berkembang. Ada sesetengah ilmu yang berguna mungkin lenyap begitu saja, jika orang yang mengetahuinya mati sebelum mengajarkannya kepada orang lain. Jika ilmu yang lenyap tersebut sangat berguna dan dapat digunakan jika orang lain mengetahuinya, maka ini adalah satu kerugian yang sangat besar. Hakikatnya, mengajar juga satu ibadah am yang sangat dituntut dalam Islam.
Mengkaji ilmu bersifat kitaran iaitu belajar, mengajar, belajar dan seterusnya. Apabila kita mengkaji ilmu, kita mempelajari sesuatu (misalnya mengkaji alam semulajadi). Kemudian ilmu itu perlu diajar, kerana akan menjadi satu proses pembelajaran kepada pengkaji ilmu yang lain. Apabila kita mengajar, selain sebagai pelajaran kepada orang lain, kita sendiri mungkin akan belajar sesuatu. Ini kerana sesi pengajaran boleh mencetuskan idea dan memberi maklumbalas. Ini membantu kita memperkembangkan ilmu, kerana kita belajar sesuatu melalui maklumbalas, misalnya memperbaiki kesilapan dan mendapatkan idea baru.
Sebagai pengkaji ilmu, kita tidak perlu was-was untuk mengajar orang lain. Ilmu itu sifatnya tidak akan berkurang, semakin banyak yang diajarkan kepada orang, semakin banyak yang akan kita perolehi. Ini adalah berdasarkan konsep kitaran 'belajar-mengajar-belajar', di mana ilmu yang diajar akan membantu mengembangkan ilmu yang kita miliki. Pada masa yang sama, ilmu sedia ada tidak luput/hilang. Cuma, apabila mengajar ilmu, perlu dinilai kesan pengajaran (misalnya pelajar belajar untuk apa?). Ini kerana ilmu yang diajar mungkin tidak berkurang dari pengajar, tetapi pelajar boleh menyalahgunakan ilmu untuk tujuan tidak baik.
Islam memuliakan ilmu, dan ilmu sangat berkait rapat dengan amal. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, dan amal tanpa ilmu adalah sesat. Kemuliaan ilmu dalam Islam merupakan satu pendorong untuk umat Islam terus berusaha mengkaji ilmu. Ini kerana, apabila ilmu itu mulia, maka orang yang mengetahuinya (dan mengamalkannya) juga adalah mulia. Umat Islam seharusnya paling terkehadapan dalam pengkajian ilmu. Namun mutakhir ini, umat Islam yang (secara keseluruhan) ketinggalan dari aspek pengkajian ilmu. Justeru, diharapkan dengan bingkisan falsafah pengkajian ilmu ini, dapat menyedarkan kita, sebagai umat Islam, supaya dapat meningkatkan usaha mengkaji ilmu pada landasan yang betul. Semoga kedudukan umat Islam dijulang tinggi pada kacamata masyarakat dunia (bukan Islam), disegani serta dihormati.
Ahad, 5 April 2009
Idea - aspek saintifik dlm berwudhu'
- membaca basmallah (bismillah)
Menumpukan semula fokus untuk beribadah dan memohon keberkatan perbuatan kita (hanya kerana Allah) - membasuh tangan
membersihkan kotoran dan najis yang terdapat di tangan. Menyediakan tangan yang bersih untuk membersihkan anggota lainnya. Jika tidak, mungkin kuman yang melekat di tangan akan dipindahkan pula ke bahagian yang lebih sensitif seperti rongga hidung, mulut dan cuping telinga. - berkumur
membuang sisa-sisa makanan dari celah gigi, lidah dan rongga mulut. Meneutralkan rembesan enzim dan asid yang masih ada kesan dari mengunyah makanan. Air liur mengandungi enzim dan asid bertujuan mencernakan makanan supaya lebih mudah tercerna apabila masuk ke perut. (Sunnah Nabi S.A.W. kunyah makanan 40x kanan dan kiri dapat menghasilkan kesan yang positif ini.) Sisa makanan yang tertinggal akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan, dan dengan berkumur boleh mengurangkan bau. - memasukkan air ke rongga hidung
membuang kotoran-kotoran yang terdapat dlm hidung seperti habuk, asap-asap dsb yang ditapis oleh bulu hidung. Selain membuang mukus-mukus (hingus, 'tahi hidung') yang memerangkap kotoran. Kuman-kuman yang terdapat dalam mukus boleh menyebabkan rasa gatal, dan mungkin juga jangkitan penyakit. Dengan membersihkannya, dapat mengelakkan kesan negatif pada tubuh. - berniat seraya membasuh muka
menumpukan matlamat kepada ibadah, mengikhlaskan niat seraya menenangkan hati kerana 'hanya dengan mengingat Allah hati jadi tenang' (Al-Quran). Membasuh muka membersihkan kotoran-kotoran, daki dan minyak yang terkumpul di kulit muka, bulu kening, misai, janggut dsb. Liang-liang roma jadi bersih dan menyegarkan. Selain itu muka juga mungkin mengandungi saraf-saraf dan salur darah penting ke otak. Dengan membasuh muka dapat membantu mengawal suhu dan aliran darah ke otak sekaligus sebagai pencegahan dan mengurangkan risiko berkaitan salur darah seperti strok dan stress. - membasuh kedua belah tangan hingga atas siku
membersihkan bahagian tangan dengan sempurna, iaitu membersihkan kotoran, daki, minyak yang terdapat pada kulit dan liang roma di kawasan terlibat. Seperti mana anggota lain, tangan mengandungi liang-liang roma dan kulit, yang penting untuk mengawal suhu badan. Selain itu, sebagai organ deria yang penting, tapak tangan mengandungi saraf-saraf yang sensitif. - menyapu sedikit air di kepala (anak rambut)
Entah (wallahua'lam). Kemungkinan mengendurkan urat saraf yang terdapat di bahagian kepala. Mungkin terdapat saraf dan salur darah yang penting di situ. Boleh mengurangkan hipertensi. Selain strok, hipertensi dan tekanan jiwa boleh berlaku akibat peningkatan suhu dalam badan dan aliran darah yang cepat (tidak normal). Dengan memperlahankan aliran darah supaya lebih teratur dan normal mengurangkan risiko negatif ke atas sistem tubuh. - menyapu air ke dua cuping telinga
Membuang kotoran dan sisa minyak yang melekat di cuping telinga. Menjadikan pendengaran lebih sempurna, kerana antara fungsi cuping ialah memerangkap/menangkap gelombang bunyi untuk disalurkan ke dalam salur telinga. Selain itu cuping juga berfungsi mengawal suhu badan, iaitu membebaskan haba melalui permukaan kulit yang lebih luas (cth makhluk lain yang memanfaatkan cuping telinga- gajah). Menyejukkan dengan air boleh membantu mengawal suhu. Jika cuping bersih, maka fungsi-fungsi ini akan lebih sempurna. - membasuh kaki hingga atas buku lali
membersihkan kotoran, minyak dsb yang melekat di permukaan kulit dan liang roma pada kaki. Mengikut ilmu refleksologi, tapak kaki mengandungi banyak saraf penting (punca saraf refleks) yang memberi kesan kepada seluruh fungsi badan. Selain itu kulit kaki juga merupakan sebahagian sistem kawalan suhu badan. Dengan membasuh kaki, bukan sahaja membersihkan, malah membantu meningkatkan keberkesanan fungsi tubuh. - berdoa
semuanya dari Allah, dan kepada Allah jua ia kembali. Bila dah tenang kesan dari wudhu', mungkin ini antara masa terbaik untuk berdoa sebab lebih fokus (cadangan saja).
Sekadar penilaian peribadi berdasarkan ilmu yang Allah beri. Saya bukan pakar kesihatan, biologi mahupun doktor. Mungkin perlu kajian terperinci yang mengkaji kesan ibadah wudhu' terhadap fungsi tubuh, minda dan emosi.
Aspek saintifik yang boleh dikaji oleh penyelidik Muslim:
- biologi - kesan wudhu' terhadap fungsi sel, tubuh, sistem limfatik dll.
- perubatan - wudhu' dari aspek kesihatan fizikal dan emosi, kawalan penyakit, fungsi air terhadap pengawalan strok dan tekanan mental melalui titik refleksologi dll.
- fizik - keupayaan sifat molekul air terhadap tekanan dan suhu badan dan peranannya, metafizik seperti tindakbalas sifat magnetism tubuh terhadap kesan wudhu', biofizik seperti mengkaji pengaruh terhadap keseimbangan terma dalam tubuh kesan dari berwudhu' dll.
- psikologi - pengawalan emosi melalui wudhu' dll.
- falsafah - hubungan antara sifat kemanusiaan dengan ketuhanan melalui ibadah - kajian kes - wudhu' dll.
- kaunseling - wudhu' dan peranannya dalam keseimbangan emosi remaja, peranan wudhu' dalam membantu menghadapi krisis 'ramai alami tekanan mental akibat hilang pekerjaan', dll.
Petunjuk lain :
- Apabila kamu marah, diam. Kalau masih tak reda, duduk. Kalau masih tak reda, baring. Kalau masih tak reda, berwudhu' (sumber: maksud hadis)
- Setiap titis air wudhu' menghapuskan dosa
- hanya sah berwudhu' dgn air mutlak (suci dan bersih). Makruh berwudhu' dengan air yang telah terdedah pada sinar matahari (panas). Air yang telah digunakan untuk berwudhu' (yang kurang dari 2 kolah=? liter) tidak sah untuk digunakan lagi.
- wudhu' boleh digantikan dengan debu yang suci (tayammum) jika tiada air. Apa rahsia debu yang suci?
Rabu, 28 Januari 2009
Akademi Sains Islam Malaysia
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) adalah sebuah persatuan (dulunya elit) yang ditubuhkan sejak tahun 1977. Matlamatnya secara umum adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penyelidik dan saintis untuk memperkembangkan bidang sains dari perspektif keilmuan Islam. ASASI juga memperjuangkan pengembangan ilmu dari aspek kebudayaan Melayu, namun yang ditekankan adalah pengembangan ilmu dari perspektif Islam. Para penyelidik khususnya generasi saintis muda diseru membantu usaha ASASI, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Peranan yang boleh dimainkan sebagai saintis:
- menganggotai ASASI dan memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan (kelayakan minimum ijazah)
- memperkembangkan bidang keilmuan Islam (dan warisan keilmuan Melayu)
- menyumbangkan hasil kajian untuk diterbitkan di Jurnal Kesturi
- memperluaskan usaha ASASI melalui penyebaran maklumat, latihan dan galakan di kalangan para saintis untuk sama-sama membantu
Selasa, 6 Januari 2009
Cerita tentang Wawasan
Wawasan 2020 ialah pandangan Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia negara membangun dengan corak negara Malaysia yang diingini menjelang tahun 2020. Pandangan ini dikemukakan pada persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dalam kertas kerja bertajuk "Malaysia - The Way Forward".
Wawasan 2020 bermatlamat untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.
Petikan kertaskerja Tun Dr Mahathir tentang Wawasan 2020;
"Matlamat utama yang patut kita tuju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.(Tun Dr. Mahathir Mohammad "Malaysia Melangkah Ke Hadapan", 28 Februari 1994) dalam (Zurinah Hassan, 1994).
Adakah kita mahu menjadi seperti 19 negara sekarang yang digelar negara maju? Setiap daripada 19 buah negara ini mempunyai kekuatan tersendiri. Tetapi setiap negara itu juga mempunyai kelemahannya. Tanpa meniru salah satu daripada negara berkenaan, kita masih boleh membangun. Kita patut menjadi negara maju mengikut cita rasa kita.
Malaysia tidak patut dibangunkan daripada segi ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, sosial, kejiwaan, psikologi dan kebudayaan. Kita mesti maju dalam erti kata perpaduan nasional dan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kejiwaan, maruah bangsa dan keyakinan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokrasi liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing dinamik, giat dan kental.
Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita akhirnya mengatasi sembilan cabaran strategi yang kita hadapi sejak kelahiran kita sebagai negara merdeka."
9 Cabaran Wawasan 2020:
- Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
- Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan
- Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang
- Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika
- Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi
- Membina masyarakat yang maju dan saintifik
- Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang
- Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya
- Memupuk dan membina masyarakat makmur
Tun Dr Mahathir memberi definasi/maksud 'negara Malaysia maju' dalam petikan ucapan berikut (Pusat Dagangan Dunia Putra, 8 Nov 1991);
"Kita telah membentuk Wawasan 2020 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Negara maju yang dimaksudkan bukan semata-mata negara industri yang pendapatan perkapitanya adalah sekian banyak. Yang dimaksudkan dengan negara maju ialah negara yang berupaya membangunkan diri sendiri melalui penguasaan ilmu, kecekapan dan moral yang tinggi yang akan membolehkan kita bersaing dengan Negara maju yang lain dalam semua bidang"
Zurinah Hassan (1994) menerangkan ciri kemajuan yang dimaksudkan ialah
"… kebolehan, pengetahuan serta taraf hidup yang sama atau lebih baik daripada negara maju. Kemajuan yang diingini ialah kemajuan yang lebih menyeluruh dengan mengambil iktibar dari keruntuhan aspek kerohanian yang berlaku di negara maju."
Peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masing-masing, seperti yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad, Wawancara RTM "Bersama Perdana Menteri" Julai 1993) dalam (Zurinah Hassan, 1994);
"Kita tidak boleh bertindak dengan berkesan tanpa memahami apa yang kita buat dan apa hasil daripadanya. Setiap rakyat perlu memahami pembabitan mereka dalam proses pembangunan negara."Konsep penyatuan usaha ke arah satu matlamat ini perlu dilihat sebagai satu sinergi (Covey, 2004), iaitu gabungan pelbagai usaha dari pelbagai sudut dan perspektif untuk mencapai satu matlamat yang diinginkan. Melalui konsep sinergi, "1 tambah 1 sama dengan 3" bukan 2. Secara prinsipnya, beban yang boleh ditanggung oleh sekumpulan gabungan kayu, lebih banyak dari hasil tambah semua beban yang ditanggung setiap kayu tersebut. Maka 'hasil gabungan usaha' adalah lebih banyak berbanding 'gabungan hasil usaha' setiap individu. Gabungan usaha ini melibatkan kerjasama dari pelbagai bidang dan cabang ilmu.
Salah satu golongan terpenting adalah komuniti penyelidikan, yang menjadi tunggak untuk menyahut cabaran ke-6 -menjadi masyarakat maju dan saintifik. Komuniti bidang penyelidikan memainkan peranan penting kerana penyelidikan memperluas ilmu dan teknologi. Ilmu adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara. Hakikatnya untuk menjadi negara maju, usaha pendidikan dan penyebaran ilmu tidak setakat mempelajari ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Sebaliknya komuniti penyelidik perlu proaktif menyelidik dan membongkar ilmu-ilmu baru, mengkaji, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Malah, penyelidikan adalah nadi dan asas kepada semua bidang. Kemajuan penyelidikan secara langsung dan tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang-bidang lain (cth industri, pendidikan, pertanian, pengurusan dll), sekaligus memajukan negara. Maka tidak hairanlah Singapura sanggup mengeluarkan belanja besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pada tahun 2008 merupakan negara ketiga mengeluarkan perbelanjaan terbesar untuk R&D.
Penyelidikan adalah proses yang mengaplikasi dan memperkembang bidang sains dan teknologi (S&T). S&T telah diakui antara ilmu terpenting dewasa ini. Ini kerana sains membongkar dan menerangkan pelbagai fenomena alam secara sistematik. Justeru menjadi satu proses pengembangan ilmu. Manakala teknologi merupakan aplikasi sains dan pemangkin kepada pembangunan dalam membantu kehidupan manusia. Amnya sains mendorong teknologi, dan teknologi juga boleh mendorong sains. Kedua-duanya terkandung dan menjadi keutamaan dalam penyelidikan.
Dengan adanya sains, manusia lebih memahami sesuatu fenomena alam, dan berasaskan sains manusia dapat maju dengan penghasilan teknologi. Manusia juga boleh maju dengan ilmu sains kerana ia meningkatkan tahap pemikiran dan gaya hidup. Manakala teknologi memantapkan pencapaian hidup manusia melalui penghasilan bahan dan alat yang lebih moden seperti bahan makanan, ubatan, senjata dll, sekaligus meningkatkan prestasi dan pencapaian manusia. Teknologi juga boleh mendorong (semula) sains dengan penghasilan radas, bahan dan kemudahan eksperimen yang lebih canggih untuk kajian sains. Bangsa yang maju dengan sains boleh mengatasi bangsa yang kurang/tidak maju, kerana sains memberikan mereka 'kekuatan' dan kelebihan dari segi ilmu dan teknologi.
Tetapi hakikatnya, dalam mencapai wawasan 2020, pengembangan ilmu tidak harus tertumpu pada perspektif S&T sahaja. Sejarah telah membuktikan pada zaman kegemilangan Rom, Yunani, Parsi, Islam, Eropah dan lain-lain, pelbagai bidang ilmu bergerak seiring. Falsafah, sastera, sains, logik/mantik, matematik dan lain-lain, semuanya didalami, dipelajari dan diperluaskan. Malah dewasa ini, Amerika dan Jepun bukan saja maju dalam bidang ilmu sains, tetapi juga hiburan dan seni kreatif (misalnya animasi dan perisian multimedia). Ini kerana bidang ilmu selain S&T memberi impak kepada komuniti umum, iaitu mampu bertindak sebagai wahana dan wacana alternatif kepada hasil penemuan kajian dan penyebarannya kepada masyarakat. Tanpa bidang media kreatif, misalnya, penyebaran ilmu sains akan jadi perlahan dan terhad. Tetapi kerana hasil kreatif yang bersifat santai menarik minat semua golongan, lantas menjadikan penyebaran ilmu dan maklumat lebih berkesan, khususnya dari aspek budaya dan sosial.
Ilmu bukan S&T juga boleh menjadi pencetus idea. Bidang penulisan fiksyen menjadi pencetus idea kepada penyelidikan S&T melibatkan robot. Istilah dan konsep robot diperkenalkan melalui penulisan sebuah novel fiksyen, lama sebelum wujudnya robot yang pertama. Al-Quran pula merupakan sebuah 'karya maha Agung', dan hakikatnya banyak fenomena-fenomena alam tercatat di dalamnya yang boleh menjadi pencetus idea dan petunjuk kepada penyelidikan S&T. Al-Quran tidak boleh difahami hanya dengan ilmu sains, sebaliknya pemahaman sastera Arab dan kemantapan ilmu agama (naqli) akan memudahkan maksudnya ditafsirkan. Manakala dengan adanya kemajuan dalam bidang S&T seperti komputer membantu pula pengembangan ilmu bukan S&T. Proses timbal-balik ini secara tidak langsung menjadi satu contoh konsep sinergi, iaitu gabungan semua bidang ilmu (S&T dan bukan S&T) membolehkan kemajuan yang dicapai oleh setiap bidang tersebut saling membantu dan menjadi lebih berkesan.
Paling penting, keharmonian dari aspek budaya masyarakat dan prinsip spiritual juga perlu diberi perhatian. Jika dilihat dari 9 cabaran yang disenaraikan, 8 merujuk kepada prinsip ini. Ini kerana kemajuan S&T saja tidak dapat menjamin kemajuan sebenar. Ia perlu disinergikan dengan bidang-bidang dan cabang ilmu bukan S&T, khususnya ilmu agama. Bagi umat Islam, akidah dan iman perlu dimantapkan selari dengan perkembangan S&T, dan Al-Quran adalah sandaran dan tunjang kepada ilmu tersebut. Jika Al-Quran kata haram, haram. Jika halal, halal. Pegangan akidah yang teguh akan menjamin ilmu S&T dan bukan S&T yang diamalkan akan membawa kemajuan, dan bukan merosakkan keharmonian dalam masyarakat.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan ini menjadi faktor kepada penguasaan dalam ilmu dan bidang tertentu. Ilmu-ilmu ini sangat diperlukan oleh negara. Maka semua golongan rakyat, tak kira bidang penyelidikan, pendidikan, industri yang melibatkan dalam apa jua bidang ilmu sekalipun, perlu memahami peranan masing-masing dan terlibat ke arah mencapai wawasan 2020. Kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat itu. Bukan hanya komuniti yang terlibat dengan ilmu S&T saja.
Sebagai orang Islam dan mukmin, renungkan maksud ayat Al-Quran berikut (Surah Al-Mukminun, Ayat 61) :
"Orang mukmin adalah orang yang bersegera untuk mendapatkan segala kebaikan dan merekalah orang yang berada di hadapan dalam mendapatkan kebaikan itu.".Sesungguhnya, manusia yang terbaik adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain (dan diri sendiri). Kita tidak dilahirkan untuk menjadi sia-sia dan bukan dengan sia-sia.
Rujukan:
- Zurinah Hassan (1994). Wawasan 2020 : Huraian 9 Cabaran. Penerbitan Perwarna, Shah Alam.
- Covey, Stephen R. (2004). The 7 Habits of Highly Effective People. Free Press. NY.
Khamis, 18 Disember 2008
Sisipan - Yakin kuasa dan taqdir Allah
Bismillah jadi pendinding
KEMAMAN 17 Dis. - Seorang warga emas percaya amalan membaca bismillah dan doa setiap kali melangkah keluar dari rumahnya yang turut dijadikan kedai runcit membantu menyelamatkan premisnya daripada menjadi mangsa pencuri baru-baru ini.
Che Ibrahim Che Abdullah, 57, yakin kejadian misteri menimpa seorang pencuri yang 'terperangkap' dalam kedainya selama dua malam sehingga hampir maut akibat kelaparan dan dahaga ketika dia sekeluarga balik kampung pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini semata-mata kuasa Allah hasil amalannya itu. (1)
Warga emas itu menolak anggapan dia menggunakan ilmu hitam sebagai pendinding untuk 'memagar' rumahnya daripada dimasuki pencuri.
''Ini semua kuasa Allah, saya tidak ada apa-apa ilmu mengenai kejadian ini," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai di sini baru-baru ini. (2)
Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Disember lalu, seorang pemuda berusia 30-an memasuki kedai itu dipercayai untuk mencuri ketika Che Ibrahim sekeluarga pulang berhari raya di Selising, Kelantan.
Selepas tiga hari pulang berhari raya, dia terkejut melihat keadaan kedainya bertaburan, malah isterinya pengsan melihat keadaan itu manakala dari dalam bilik tidur terdengar bunyi orang mengerang kesakitan.
Apabila dijenguk ke dalam bilik itu, warga emas itu menemui seorang lelaki dalam keadaan lemah dan dia mendakwa gagal keluar daripada kedai itu kerana tidak mampu melihat apa-apa dan terdapat 'lembaga' yang menghalangnya daripada keluar.
Menurut Che Ibrahim, kedainya sebelum ini pernah dipecah masuk apabila dia sekeluarga pulang ke kampung mereka di Selising tetapi pencuri tersebut tidak mengambil apa-apa walaupun boleh berbuat demikian.
Tidak tahan dengan kejadian itu, dia yang telah berniaga 20 tahun mengamalkan bacaan bismillah dan doa memohon perlindungan Allah setiap kali meninggalkan premisnya. (3)
''Ramai yang bertanya apa ilmu saya amalkan, tetapi terus-terang saya katakan tiada apa-apa ilmu dan semua kejadian ini adalah kuasa Allah," ujarnya.
Kata Che Ibrahim, jika difikirkan secara logik lelaki tersebut boleh mengambil apa jua makanan di kedainya tetapi kerana tidak dapat melihat apa-apa menyebabkannya terpaksa berlapar selama tiga hari.
''Nasib baik saya tinggalkan kedai selama tiga hari saja, kalau saya pulang lebih daripada seminggu, mungkin lain pula jadinya kepada lelaki tersebut," katanya yang lega lelaki itu dapat diselamatkan. (4)
Dia juga bersyukur kerana tiada barangan yang hilang termasuk wang tunai. (5)
Saya tandakan sikap-sikap terpuji (1-5) untuk renungan bersama:
- Yakin bahawa Allah mendengar permohonan dan doanya
- Yakin dengan kebesaran Allah dan merasa rendah diri dengan kelebihan yang diterima
- Mengamalkan bacaan basmallah dan doa
- Belas terhadap insan lain (walaupun orang itu berniat jahat padanya)
- Bersyukur dengan perkara yang berlaku.
Sebagai seorang penyelidik, tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, hendaklah sentiasa mendahulukan agama. Jangan dek kerana terlalu mementingkan kerja, lupa tanggungjawab dan tuntutan agama. Antara perkara yang perlu direnungkan bersama:
- Janganlah kesibukan bereksperimen dsb. dijadikan alasan untuk mengabaikan suruhan dan perintah Tuhan.
- Sebaiknya penyelidikan dijadikan wadah untuk mendekatkan diri dan mengenal kebesaran serta keagungan Allah.
- Jadikan urusan penyelidikan sebagai wadah untuk beribadah seperti basmallah sebelum melakukan kerja, berzikir semasa menunggu keputusan eksperimen, berdoa ketika eksperimen gagal, bersyukur jika berjaya dll.
- Ikhlas - melakukan penyelidikan untuk kepentingan dan kemajuan ummah, bukan semata-mata urusan kerja untuk gaji atau populariti.
- dsb.
p/s: Baru pulang dari menziarahi saudara yang terlantar di hospital. Beliau kemalangan. Tapi masih bernyawa, cuma kaki berskru kerana patah kaki di 3 tempat (cuma?). Lebih dari cukup untuk menginsafkan diri...
Sabtu, 6 Disember 2008
Jangan 'over' ya, cikgu!
Teacher sorry for binding girls in slavery lesson
Sebagai mengingatkan diri (dan pembaca), dalam memberi pendidikan perlu berhati-hati. Mutakhir ini pelajar-pelajar sekolah, remaja dan belia sudah terdedah kepada pelbagai pengaruh (positif dan negatif) kesan perkembangan teknologi dan minda. Natijahnya (dan malang sekali), ada kalangan mereka memilih jalan yang negatif dalam memberi reaksi dan tindakbalas kepada tindakan kita. Justeru sebagai guru, kita perlu berwaspada dalam tindakan, bukan saja demi kebaikan pelajar itu sendiri, tetapi juga kebajikan kita (kalau penampar 'murid' melayang, jangan mengamuk pula!)
Selain itu, yang ingin diungkap adalah kaedah eksperimen. Contoh kes tersebut di atas adalah berkenaan seorang guru yang bereksperimen dalam meningkatkan kesan dan mutu pembelajaran. Beliau cuba memberi contoh realistik kepada kandungan modul, tetapi disalah tanggap. Akibatnya, pelajar menganggap dia dipersendakan dan kecil hati (jadi tak berkesanlah!).
Oleh itu apabila merancang eksperimen, perlulah mengambil kira faktor sekeliling dan kesannya terhadap subjek eksperimen. Apatah lagi kalau melibatkan manusia dan haiwan, kerana selain ada perasaan, subjek juga sebenarnya dilindungi undang-undang (manusia ada hak asasi, privasi dll, haiwan ada akta perlindungan). Perancangan yang teliti dapat mengelakkan kesan buruk semasa dan selepas eksperimen, kerana kita ada persediaan yang rapi. Tapi semuanya ketentuan Allah. Kalau berlaku sesuatu di luar jangkaan, redha sajalah!
Selasa, 2 Disember 2008
Struktur Penyeliaan Penyelidikan
Menurut beliau, penyeliaan penyelidikan di UK, suatu makmal akan diketuai oleh seorang professor. Professor ini akan bertanggungjawab terhadap makmal kendaliannya. Di bawah seliaan professor ini juga terdapat (beberapa orang) pembantu professor. Di Malaysia pembantu professor lebih dikenali sebagai professor madya (madya bererti separuh). Di bawah pembantu professor, akan ada beberapa orang pelajar pasca graduat dan penyelidik (biasanya Master dan PhD). Mereka ini juga merupakan pembantu-pembantu penyelidik kepada projek berkenaan. Setiap mereka pula akan menyelia dan membantu pelajar-pelajar bacelor dan projek tahun akhir. Sistem bertetingkat atau hirarki ini ada juga diamalkan di negara kita. Pengalaman sewaktu bekerja di Malaysia Genome Institute (MGI), di UKM ketika itu, mendedahkan saya kepada struktur sebegini.
Namun pengalaman dan ilmu yg cetek tak memungkinkan saya memberi penilaian professional di sini. Sekadar pandangan peribadi, bahawa pendekatan seperti ini nyata berkesan dalam melahirkan tenaga penyelidik dalam jumlah yang ramai, kerana (1) kepakaran dan bantuan sentiasa diberi, (2) mudah berbincang tentang masalah kerana di bawah projek yang sama dan bantuan yg diberikan.
Sabtu, 29 November 2008
Khas untuk semua penyelidik di Malaysia
'Dalam gelap gelita sedikit cahaya lilin besar ertinya' *
Maka dalam pencarian ini, kita jangan cepat berputus asa. Sebagai kaedah memotivasi diri, kita harus ingat setiap hasil penyelidikan adalah satu penemuan, setidak-tidaknya pada kita (ilmu yang baru dipelajari), dan jika bernasib baik ilmu yang baru kita pelajari itu akan membawa kita kepada ilmu yang semua orang belum tahu. Walau sekecil (remeh) mana dirasakan penemuan itu, bak kata pepatah di atas, adalah satu 'cahaya', dan dalam keadaan gelap gelita (tanpa ilmu), sekecil mana 'cahaya' itu ia nyata amat bermakna. Maka kita harus berbangga dengan setiap hasil penyelidikan yang diperolehi, kerana kita telah menyumbang sesuatu. Hatta 'kegagalan' yang direkodkan juga dapat dijadikan rujukan kepada penyelidikan akan datang.
Penyelidik merupakan kunci utama kepada kemajuan dalam era perkembangan sains dan teknologi. Ini kerana kemajuan dinilai berasaskan kepada jumlah hasil penyelidikan yang berjaya diaplikasikan. Namun tidak bermakna penyelidikan asas tidak berguna. Walaupun belum berjaya diaplikasikan atau dikenalpasti kegunaannya, ia tetap satu 'ilmu' dan mungkin akan menjadi kunci penting kepada pembangunan negara satu hari nanti, mungkin 100 tahun lagi.
Namun begitu, sebagai penyelidik, kita tidak seharusnya lupa asal kejadian dan matlamat kita (manusia) dijadikan. Maka seharusnya kita kembali dan sentiasa berada di atas jalan yang Allah perintahkan. Jangan kerana sibuk menyelidik, ibadah yang fardhu ditinggalkan, ibadah yang sunat diabaikan. Semuanya perlu seiring, kerana agama melengkapi kehidupan, dan kehidupan memerlukan agama. Alangkah indahnya jika kita sebagai penyelidik, pada masa yang sama dapat menjadi rujukan dalam hal agama. Barulah lengkap istilah 'ulama' (orang berilmu).
Jadi dalam pada kita sibuk menyelidik, mari kita sama-sama berdoa pada Allah yang menguasai alam ini agar setiap penyelidikan kita sentiasa mendapat keberkatan dan rahmah keampunan dariNya (seperti biasa, dimulakan dengan Basmallah & Solawat atas Nabi) :
'Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah tuhan yang maha berkuasa. Yang menguasai seluruh langit dan bumi dan segala isinya. Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan insan-insan yang bertuah yang dapat membongkar rahsia alam yang Engkau ciptakan. Jadikanlah kami insan-insan yang terus berusaha menyumbang bakti dalam membangunkan negara dan masyarakat kami. Kami bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau kurniakan pada kami. Berilah kami kekuatan dan semangat untuk terus berusaha. Rahmatilah usaha kami dan jadikanlah setiap usaha kami sebagai satu usaha ke arah jalan yang Engkau redhai. Mudah-mudahan, setiap sumbangan kami akan mengukuhkan lagi keimanan dan pegangan agama kami dan memperkasakan seluruh umat Islam di seluruh alam ini'. Amin. Ya Rabbal Alamin.
Sabtu, 15 November 2008
Ulasan buku
Tajuk: Writing The Research Paper.Pengarang: Kuang Ching Hei, Maya Khemlani DavidJum. M/S: 64Penerbit: Penerbit UPM (Tel:03-89468851)Harga: RM 13.00
Sabtu, 11 Oktober 2008
Ciri-ciri seorang penyelidik
- Rajin -
Penyelidikan bukan terus dapat hasil / keputusan, kadang-kadang take a week, a month, a year or maybe years. Dah tu kerja penyelidikan bukan sedikit, tambah pulak kalau perlukan data yang banyak, dan dapat hasil yang banyak utk dianalisis. Jadi kalau tak rajin dan terus konsisten dgn kerja korang, it'll be the end of your journey la.
Dalam penyelidikan kita kena rajin menyelidik sesuatu perkara dari pelbagai sudut. Sebabnya, korang tak boleh menilai sesuatu dari satu perspektif saja. Mungkin dari sudut yang pelbagai, korang akan nampak perbezaan dari segi ciri, tingkah-laku, fenomena dan sebagainya yang boleh mempengaruhi kesimpulan korang. Kita tak boleh terlalu yakin dengan sesuatu hasil, selagi kita tidak dapat membuat perbandingan dengan hasil yang lain, dan jika terbukti hasil yang kita dapat adalah yang terbaik (berbanding hasil-hasil lain), barulah kita boleh membuat kesimpulan. Itupun belum tentu yg terbaik, but just remember, 'nobody's perfect'.
Sebelum membuat kesimpulan, kita perlu dapatkan hasil dari pelbagai perspektif. Ini kita boleh dapat dari pelbagai kajian yang kita buat, atau dapatkan hasil penyelidikan orang lain melalui jurnal, buku, atau menghubungi penyelidik lain. Kita boleh juga lakukan kerjasama dan koloborasi melalui projek yang sama. Ketekunan juga penting. - Tekun / teliti -
Tekun dan teliti perlu ada pada setiap penyelidik. Teliti ada 2 maksud: melihat dan tekun. Aku maksudkan tekun. Adakala sesuatu penyelidikan nampak macam tak ada hasil. Tapi kalau kita teliti, kita boleh nampak ada hasil yang terselindung. Selain tu, penyelidikan tidak boleh dilakukan dengan gopoh-gapah, perlu masa dan diuruskan dengan teliti.
Misalnya, dari segi persediaan, kita mungkin perlu masa untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran, peralatan, prosedur dan sebagainya. Kita perlu tekun dalam menyediakan semua keperluan. Ada penyelidikan yang perlukan bahan eksperimen yang perlu disediakan dalam tempoh yang lama, contohnya sampel dalam kajian berkaitan mikrobiologi. (tapi sekarang ada byk syarikat jual sampel utk eksperimen).
Kerja penyelidikan pula perlu dilakukan dengan teliti. Apatah lagi kalau eksperimen yang begitu sensitif terhadap persekitaran, dan utk mendapatkan keputusan yang baik perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ada juga eksperimen yg perlukan tempoh yang lama untuk siap. Ada juga yang perlu diulang beberapa kali utk mendapatkan keputusan yang jitu dan tepat.
Manakala dari segi hasil penyelidikan, perlu ketelitian dalam membuat kesimpulan, sbb kalau kesimpulan silap, sia-sialah eksperimen yang kita lakukan. Pengurusan dan analisis data perlu dilakukan dengan teliti supaya tidak berlaku kesilapan cth menyalin data. - Jujur -
This is a must. Kalau tak jujur, jangan jadi penyelidik. Kalau setakat nak cover up sana-sini, kelentong, bodek etc. aku nasihatkan jangan jadi penyelidik. Nak jadi ahli politik ke, penguatkuasa ke, tu pasal korang la. Akhirat nanti jawab. Penyelidik kaji benda yang orang belum tahu. Jadi orang mengharapkan penyelidik utk jelaskan benda yg penting tapi orang tak tahu. Kalau korang tak jujur, tu yang jadi kapal terbang terhempas la, kerosakan genetik dsb. So kena jujur, tak kira la dalam analisis ke, buat kesimpulan ke. Jadi pastikan nak jadi penyelidik kena jujur, biarpun (orang kata) 'pahit utk ditelan'. 'A fact is a fact'. - Bersemangat dan bersungguh-sungguh -
Buat penyelidikan bukan setakat main cuba-cuba. Korang tahu tak Alexander Graham Bell gagal 2000x dlm eksperimen? Akhirnya dia berjaya jadi pencipta telefon. Jadi kalau tak bersemangat, sorry to say, korang akan gagal terus. Sebabnya, penyelidikan adalah mengkaji benda yang baru, jadi risiko gagal akan sentiasa ada. Kalau tak bersemangat, gagal 100x terus give-up. Jadi penyelidik kena ada semangat dan kesungguhan. - Sedia berkongsi dan membantu -
Penyelidik akan jumpa ilmu baru, benda baru. Orang lain pun nak tahu juga. Jadi kena sedia berkongsi. Penyelidikan sinonim dengan glamor dan duit. Sebabnya, penemuan terbaru akan buat orang kagum dengan korang, masuk suratkhabar dan jurnal penyelidikan seluruh dunia. Tambah lagi kalau menang Nobel Prize. Lepas tu penemuan korang boleh dipaten dan kalau orang berminat, orang akan beli lesen untuk paten tu atau bayar royalti. Ada yang cecah jutaan ringgit. Jadi glamor dan duit boleh buat orang gelap mata. Ini punca ramai penyelidik susah nak berkongsi ilmu yang penting (ilmu yang tak penting mmg ramai yg nak kongsi). Takut kena potong jalan. Tapi sebagai penyelidik sepatutnya kita kena sedia berkongsi penemuan kita, dan sedia bantu orang lain pula. Jangan kedekut ilmu. - Ikhlas untuk menyumbang ilmu -
Penyelidikan adalah utk mencari ilmu baru. Penyelidik kena ikhlas buat penyelidikan untuk mencari ilmu. Jangan tuju duit dan glamor. Semua ini akan datang sendiri kalau berjaya dalam penyelidikan. Ini juga berkait dengan ciri-ciri yg dah aku sebut. Apabila korang ikhlas, maka akan datanglah rajin, jujur, semangat dan nak berkongsi ilmu. Hakikatnya, semuanya berkait dengan niat kita buat penyelidikan. Jika niat baik, baiklah yang datang. Kalau dah niat buruk/tak betul, buruklah jadinya. - Kreatif -
Kreatif ni lebih kepada ciri semulajadi. Kadang-kadang ada yg dilahirkan kreatif, boleh berfikir dan timbulkan macam-macam idea. Mereka cukup bertuah dapat ilham walaupun takde pengalaman. Tapi hakikatnya, ada juga orang yang asalnya tak kreatif, tapi boleh jadi kreatif melalui latihan. Aku takde bukti, secara teorinya idea boleh dijana (generate) dgn persekitaran dan pengalaman kita. Persekitaran boleh memberi ilham dan mencetuskan idea. Orang terfikir nak cipta motorsikal bila tengok basikal dan enjin. Leonardo Da Vinci cetuskan ilham reka kapal terbang dgn lukisan manusia bersayap, idea daripada bentuk burung. Secara teorinya, kalau banyakkan latihan, tak mustahil lama-lama sifat dalaman kita mampu utk berfikir idea baru sbb gambaran persekitaran dah masuk dalam otak dan cuma perlu gabungkan saja. - Berfikiran Kritikal -
Sudah tentu la penyelidik kena berfikiran kritis / kritikal (rujuk post lepas).
