بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Selasa, 24 Mei 2011

Di mana kebodohan kita?

* Saya tak kata kita (orang Malaysia) ni bodoh. Tapi sepandai-pandai manusia, memang banyak kelemahan dan ke'bodohan'nya.

Saya sering bertanya pada diri sendiri - kenapa kita masih tidak maju? Pelbagai cara dan usaha sudah dilakukan dalam masyarakat kita dalam usaha mencapai kemajuan. Bahkan slogan 'kita mesti menyaingi bangsa yang lebih maju' acapkali didendang dan dilaungkan. Namun, kita semacam masih terus berada di takuk lama. Usahkan hendak mengatasi bangsa yang maju, nak memajukan diri sendiri pun macam tak dapat-dapat juga. Walaupun Tun Mahathir berusaha membangunkan pelbagai prasarana yang hebat-hebat (KLCC, Cyberjaya, Putrajaya dsb) dan pembangunan industri (elektronik, kenderaan), nampaknya belum cukup untuk membolehkan kita bergelar masyarakat maju. Kenapa agaknya?

Salah satu sebab yang mungkin ialah budaya masyarakat. Masyarakat kita belum mampu membudayakan penerokaan ilmu. Masyarakat perlu sedar, penerokaan bukan setakat mempelajari ilmu yang bertimbun-timbun di sekeliling kita, tetapi juga cuba membentuk suatu kerangka, konsep, elemen ilmu yang baharu. Belajar saja tidak cukup kerana semua orang belajar. Tetapi yang membezakan (dengan ketara sekali) antara bangsa maju dengan yang biasa-biasa ialah bangsa maju begitu banyak meneroka dan menghasilkan ilmu-ilmu yang baharu. Dengan adanya pembentukan ilmu baharu, maka mereka dapat membina pelantar atau jambatan untuk meneroka ilmu yang lebih baharu yang bangsa lain belum mampu mencapainya (termasuklah kita, yang masih terkapai-kapai menghadam ilmu sedia ada).

Selain itu, budaya masyarakat kita lebih tertumpu kepada mempelajari (hanya menerima) pendapat dan pandangan dari bangsa lain, tanpa mahu berfikiran kritikal dan mempersoalkan ilmu yang disampaikan oleh bangsa yang maju. Ini lebih dikenali sebagai budaya pengguna (consumer). Sedangkan apa yang kita terima itu belum tentu betul dan sepatutnya dipersoalkan supaya kita boleh mengungkapkan 'kebenaran' dalam 'ilmu' tersebut. Selain itu dengan hanya mengamalkan budaya pengguna, kita terikat dan bergantung kepada bangsa lain. Sedangkan jika hal ini berterusan, kita akan menjadi pengikut selama-lamanya (kerana kita tidak mampu mengatasi kedudukan mereka disebabkan terus-terusan menjadi 'pak turut'). Budaya pengguna tidak salah. Tetapi pada masa yang sama kita harus manfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari untuk menghasilkan ilmu-ilmu baharu yang belum diteroka oleh bangsa maju. Ini akan memberi kelebihan sekaligus mengatasi mereka.

Kita perlu mengubah budaya pengguna kepada budaya pengeluar (producer). Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu dari bangsa lain, kita sebenarnya sudah ada batu loncatan untuk membuka jalan kepada penerokaan baharu. Mengapa nak tunggu sampai dapat semua? Gunakan, dan manfaatkan apa saja ilmu yang sudah kita miliki. Cuba bentuk satu usaha meneroka ilmu baharu daripada apa sahaja yang kita ada. Sintesiskan suatu kajian dan mulakan penerokaan, kemudian hebahkan apa saja penemuan yang kita rasa bermanfaat kepada masyarakat kita sendiri.

Sebenarnya konsep belajar-mengajar ini sudah lama digalakkan di kalangan umat Islam. Apabila kita belajar sesuatu ilmu, kita digalakkan untuk mengajarnya kepada saudara muslim. Melalui cara ini, bukan sahaja saudara kita dapat mempelajari ilmu baharu, tetapi dengan mengajar kepada orang lain, kita akan terfikir tentang ilmu tersebut. Hasil pemikiran akan mencetuskan pula pembaikan, idea, dan sebagainya. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman kepada ilmu yang kita miliki. Sedangkan jika kita hanya belajar (dan tidak mengajar) kita tidak berapa terdorong untuk berfikir secara kritikal dan memikirkan semula ilmu yang kita pelajari itu (kecuali jika perlu digunakan dalam situasi tertentu). Itulah bezanya budaya belajar dengan kesan budaya belajar-mengajar. Budaya belajar-mengajar itu akan mendorong kita terus berfikir secara kritikal dan jika bernasib baik, orang yang kita ajar itu memperbaiki kesilapan yang tidak kita sedari.

Satu lagi kelemahan masyarakat kita ialah kurang membaca. Bukan masyarakat kita kurang membaca, tetapi tidak ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca. Contohnya dalam 1000 orang mungkin hanya 50 saja membaca. Jumlah ini sedikit. Walaupun setiap individu yang 50 itu membaca 30 buku sebulan (hebat), namun yang penting ialah jumlah individu yang membaca berbanding jumlah bahan yang dibaca. Pembaca yang akan membentuk masyarakat, bukan buku atau bahan bacaan itu. Walaupun seseorang dapat membaca habis keseluruhan kandungan perpustakaan, tidak ada maknanya jika sebahagian besar individu lain tidak membaca.

Budaya membaca penting kerana melalui pembacaan akan menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Namun bukan semua bahan bertulis yang boleh dibaca itu berguna. Sesetengahnya hanya bersifat 'sampah', melalaikan dan tidak bermanfaat. Oleh itu hendaklah memilih bahan bacaan yang sesuai. Jika tidak, kita hanya membuang masa dan jika melalaikan, adalah lebih baik untuk tidak membaca. Bagaimana memilih bahan bacaan yang sesuai? Ini terpulang kepada individu kerana ianya bergantung kepada minat dan keupayaan pembaca memahami apa yang dibacanya. Namun amnya, kita hendaklah memilih bahan bacaan yang memberi kebaikan yang disebutkan di atas tadi - menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Kebaikan-kebaikan ini amnya akan dapat membentuk kita menjadi sebuah masyarakat maju.

Kelemahan lain yang menjadi penghalang kita untuk maju ialah sikap ego dan bodoh sombong. Hal ini lumrah, terutamanya di kalangan golongan senior. Dalam masyarakat umpamanya, ada golongan tua yang tidak suka jika golongan muda bersikap agresif walaupun menghasilkan sesuatu kesan positif. Selain didorong rasa ego (merasakan diri mereka lebih bijak), golongan tua seperti ini sebenarnya khuatir akan hilang kedudukan kepada golongan muda. Oleh sebab itu, mereka sedaya-upaya akan menghalang (mencantas) usaha golongan muda untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada yang dimiliki golongan tua. Sikap 'ego tidak bertempat' dan budaya mencantas ini ada di mana-mana sama ada masyarakat, organisasi mahupun keluarga.

Sikap keegoan hanya akan menghalang kemajuan. Tidak dinafikan sesetengah tindakan golongan muda yang agresif turut membawa kesan yang negatif, apatah lagi jika tindakan mereka hanya didorong oleh 'jiwa muda' dan nafsu semata-mata. Namun ada juga golongan muda yang berfikiran matang dan faham dengan tindakan mereka. Setiap tindakan dilakukan dengan cermat, tersusun dan memberi kesan positif. Maka jika ini berlaku, golongan tua atau senior perlu memberi peluang dan sokongan kepada golongan muda. Bukan menghalang mereka. Ini kerana hasilnya akan dinikmati oleh semua individu (jika berjaya). Adalah malang, jika sesetengah golongan tua itu lebih sanggup berada dalam kebodohan, kegelapan, kesusahan atau apa juga situasi negatif, berbanding memberi peluang golongan muda melakukan pembaharuan. Justeru untuk membentuk sebuah masyarakat maju, kita perlu melakukan pembaharuan yang drastik (atau revolusi), termasuklah memusnahkan sikap ego yang menghalang kepada sebarang usaha pembaharuan.

Dalam usaha menjadi masyarakat maju, sebarang usaha pembaharuan harus disokong. Tidak kiralah apa jua kesannya. Sebagai manusia kita hanya boleh berusaha dan yang menentukannya ialah Allah Taala. Sekiranya usaha pembaharuan itu sudah dinilai sehabis-habisnya, dan dijangka memberi kesan positif tetapi sebaliknya, itu bukan salah sesiapa. Itu adalah taqdir. Maka apabila berlaku kesan negatif, kita hendaklah sama-sama berganding bahu mengatasinya dan bukan tuding-menuding menyalahkan pihak lain. Sikap suka tuding-menuding dan menyalahkan pihak lain ini merupakan satu lagi kebodohan kita yang sering terpamer dalam masyarakat. Sedangkan menanggung kesan negatif akibat usaha pembaharuan merupakan suatu risiko, dan mengalaminya adalah lebih baik berbanding tidak berusaha langsung. Budaya masyarakat maju, apabila berlaku suatu kesan negatif, maka hampir semua orang (dalam masyarakat itu) akan berusaha mencari penyelesaiannya. Mereka tidak duduk berdiam diri mahupun menyalahkan pihak lain, sebaliknya terus berusaha menangani masalah yang dihadapi.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan kita yang boleh diungkapkan. Namun penulisan ini cuba mengungkapkan kelemahan yang penting untuk diubah dan diperbaiki. Jika yang diungkap itu dapat diubah, itupun sudah memadai kerana sedikit halangan sudah dapat diatasi. Maka ini dapat meninggikan peluang kita untuk mencapai taraf masyarakat maju pada masa akan datang. "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit"

Khamis, 14 April 2011

Saya cakap apa yang sepatutnya!

"When I condemned the currency traders at the height of their attack on the East Asian countries I was punished by having the currency of my country devalued further. I was told to cease and desist. I did not and the currency and the stock market and the image of Malaysia suffered. What I have said today may attract other punitive actions. That is a risk that I have to take. That is a risk that my own country will take. But I have to say what I have to say." - Tun Dr Mahathir Mohammed, in his speech during The IX Summit of the G-15, Montego Bay, Jamaica on 10th Feb 1999.

(Terjemahan: "Apabila saya menyalahkan 'penyangak' (pedagang) matawang ketika kemuncak serangan mereka ke atas negara-negara Asia Timur, saya dihukum dengan nilai matawang negara saya disusutkan lagi. Saya disuruh berhenti (meneruskan tindakan). Tapi saya tidak (berhenti) dan matawang, bursa saham dan imej Malaysia terjejas teruk. Apa yang saya katakan hari ini mungkin akan menimbulkan lebih banyak hukuman. Itu adalah risiko yang terpaksa saya tanggung. Itu adalah risiko yang terpaksa negara saya hadapi. Tapi saya kena cakap apa yang perlu saya cakap")

Sumber: Razali Kidam and Amidah Hamim (compilers) (1999) Collections of Mahathir's Speech 1999. Information Department of Malaysia. KL. pp16.

Jumaat, 8 April 2011

Persoalan - kerja / keluarga ...


Seseorang pernah berkata kepada saya,

"Aku tak suka kerja lebih-lebih. Tapi aku nak luangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Kenapa nak kerja teruk-teruk? Kan lebih baik kalau gunakan masa tu untuk bersama keluarga?"
Orangnya bujang, seorang pendidik junior di universiti. Pada fikiran saya, "Dia ni masih baru lagi. Mungkin skrg beban kerjanya masih sedikit, ataupun belum faham kepentingan berkorban/berbakti utk pembangunan masyarakat." (kalau berfoya-foya sampai mengabaikan keluarga mahupun kerja, itu bukan satu pilihan yang wajar.)

Dulu masa belajar di IPT, saya pernah terfikir - saya akan seimbangkan kedua-duanya. Bekerja kuat untuk masyarakat, dan menghabiskan masa sebaiknya bersama keluarga. Tapi nyata sukar, kerana bila sudah berkeluarga dan bekerja, acapkali terpaksa memilih yang satu dan mengorbankan yang satu lagi (paling tidak sikit saja masa utk yg 1 lagi).

Dan sampai hari ini saya masih tertanya-tanya (flip-flop), mana satu lebih baik ? bekerja lebih masa untuk berkhidmat demi kemajuan masyarakat (sampai terpaksa mengorbankan masa untuk keluarga dan diri sendiri) atau seperti yang saudara itu fikirkan (kurangkan kerja, layan keluarga/diri sendiri)?

Hmmm... yg pasti kedua-duanya penting ... (kesejahteraan masyarakat <=> kesejahteraan keluarga)

Isnin, 20 Disember 2010

Ni hao! (ulasan buku)

Tajuk: Guanxi - Microsoft, China and Bill Gates' Plan to Win the Road Ahead
Penulis: Robert Buderi, Gregory T. Huang
Penerbit: Random House Business Books
ISBN: 978-1-90-52112-7
Tahun: 2006
Harga: RM19.90 (tertakluk harga kedai)






Ringkasnya, Guanxi banyak berkisar tentang penubuhan dan aktiviti MSRA (atau Microsoft Research Asia) di China. MSRA merupakan satu langkah Microsoft menembusi (dan menguasai) pasaran perisian di China. Selain itu MSRA merupakan salah satu strategi Microsoft untuk memanfaatkan sumber tenaga mahir teknologi maklumat (TM) yang banyak dihasilkan oleh pusat pengajian tinggi China.

MSRA yang terletak di wilayah Zhongguancun, Beijing, diasaskan pada tahun 1998 oleh Kai-Fu Lee (Lee Kai Fu) dengan bantuan pegawai Microsoft termasuk Nathan Myhrvold - Ketua Pegawai Teknologi Microsoft, Dan Ling - Pengarah Microsoft China, George Chen dan Xiaoning Ling. Kai-Fu Lee dilantik sebagai pengarah MSRA yang pertama. MSRA kemudian disertai oleh Harry Shum, Ya-Qin Zhang dan Hongjiang Zhang sebagai timbalan pengarah, yang kemudiannya dilantik sebagai pengarah apabila Kai-Fu Lee berpindah ke Redmond (ibu pejabat Microsoft), dan disertai pula oleh Ya-Qin. Pada awal penubuhan MSRA iaitu dalam masa 12 bulan selepas penubuhannya, MSRA (ketika itu Microsoft Research China) telah berjaya menghasilkan 28 penerbitan jurnal antarabangsa dan 49 permohonan paten. Sejak itu MSRA terus berkembang dan menghasilkan pelbagai teknologi yang kemudiannya diserap ke dalam pelbagai jenis produk Microsoft seperti Microsoft Office 2003, Windows Vista, MSN dsb. Selain itu MSRA juga menempatkan Jian Wang, perekacipta teknologi 'Digital Ink' (pengecam tulisan tangan atau cetakan kepada bentuk digital) yang kemudiannya menjadi ciri utama produk PC Tablet keluaran Microsoft. Amnya MSRA benar-benar memberi sumbangan seperti yang diharapkan oleh Microsoft, bahkan lebih dari jangkaan.

Buku ini sangat menarik untuk dibaca kerana menceritakan kesungguhan tenaga kerja Microsoft yang berasal dari China terutama Kai-Fu Lee dan rakannya dalam membina MSRA. Dalam waktu yang singkat, MSRA bukan sahaja menghasilkan pelbagai penyelidikan malah menjadi penyumbang utama kepada pelbagai teknologi dalam produk Microsoft. Buku ini juga mengulas kesungguhan pihak kerajaan dan mereka yang terbabit dengan pembangunan penyelidikan dan pengajian tinggi di China untuk membangunkan bidang penyelidikan (sains komputer). Usaha ini juga merupakan antara penyumbang kepada pembangunan pesat MSRA. Pada masa yang sama MSRA turut menyumbang kepada penyelidikan dan pendidikan di China dengan merekrut ramai graduat untuk dilatih dan menimba pengalaman di MSRA. Hubungan erat antara bidang pusat pengajian tinggi dan penggiat industri (Microsoft) berjaya menghasilkan pencapaian yang bukan sahaja memberi pulangan kepada Microsoft tetapi juga meningkatkan lagi bidang penyelidikan di China. Usaha ini patut dikaji oleh kerajaan Malaysia untuk memajukan bidang penyelidikan dan pendidikan di Malaysia.

Amnya semasa era Tun Mahathir inisiatif MSC telah cuba menarik minat pelabur seperti Sun, HP dan Microsoft untuk menjayakan MSC. Malah Bill Gates pun menjadi anggota panel penasihat MSC. Namun hasilnya tidaklah membanggakan kerana syarikat-syarikat TM utama dunia tidak berminat membuka pusat penyelidikan di MSC. Mereka nyata lebih berminat dengan negara seperti India dan China. Bahkan Korea, Jepun, Taiwan dan Singapura lebih menarik perhatian pelabur TM. Antara punca yang jelas ialah kegagalan sistem pengajian tinggi di Malaysia melahirkan sumber tenaga kerja berkualiti yang cukup untuk menarik minat pelabur seperti Microsoft dan lain-lain. Justeru kelemahahan dan punca 'kegagalan' MSC sewajarnya dikaji supaya dapat membantu Malaysia meningkatkan mutu penyelidikan di Malaysia.

Isu perpindahan Kai-Fu Lee daripada Microsoft ke Google juga patut diteladani, di mana antara penyebabnya (seperti yang didakwa oleh Kai-Fu) ialah permintaannya yang mahukan Microsoft menyumbang lebih banyak kepada industri teknologi maklumat di China. Selain strategi pelaksanaan yang lebih berkesan (pemusatan aktiviti-aktiviti penyelidikan Microsoft di China), Kai-Fu mengharapkan Microsoft mengotakan janji untuk menyumbang USD100 juta (dlm bentuk out-source, iaitu pemberian kontrak) kepada syarikat-syarikat China sebagai sumbangan China menjayakan MSRA. Namun apabila cadangannya ditentang oleh Microsoft, Kai-Fu mengambil keputusan berpindah. Walaupun Kai-Fu lulusan US (bahkan menjadi rebutan syarikat-syarikat TM US), namun semangatnya untuk membangunkan tanah kelahirannya wajar menjadi contoh kepada rakyat Malaysia, terutama yang berada di luar negara, untuk menyumbang kepada kepada pembangunan negara.

Amnya buku ini bagus untuk dibaca oleh sesiapa yang berminat mendalami pengalaman membangunkan bidang penyelidikan, khususnya kaedah penubuhan pusat penyelidikan seperti institut dan sebagainya. Juga sesuai kepada ejen (penggerak) syarikat asing dalam memantapkan operasi syarikat, atau yang berminat beroperasi di negara China. Namun wajar diingatkan kepada pembaca Muslim, kaedah berparti banyak dinyatakan dalam buku ini, dan tidak harus dicontohi (walaupun meraikan individu bukan Islam). Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan pengajaran (untuk dihindarkan).



picture source : http://books.google.com.my/books?id=iGX1AAAACAAJ&dq=guan+xi+microsoft&source=gbs_similarbooks_s&cad=1