بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Memaparkan catatan dengan label idea. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label idea. Papar semua catatan

Selasa, 24 Mei 2011

Di mana kebodohan kita?

* Saya tak kata kita (orang Malaysia) ni bodoh. Tapi sepandai-pandai manusia, memang banyak kelemahan dan ke'bodohan'nya.

Saya sering bertanya pada diri sendiri - kenapa kita masih tidak maju? Pelbagai cara dan usaha sudah dilakukan dalam masyarakat kita dalam usaha mencapai kemajuan. Bahkan slogan 'kita mesti menyaingi bangsa yang lebih maju' acapkali didendang dan dilaungkan. Namun, kita semacam masih terus berada di takuk lama. Usahkan hendak mengatasi bangsa yang maju, nak memajukan diri sendiri pun macam tak dapat-dapat juga. Walaupun Tun Mahathir berusaha membangunkan pelbagai prasarana yang hebat-hebat (KLCC, Cyberjaya, Putrajaya dsb) dan pembangunan industri (elektronik, kenderaan), nampaknya belum cukup untuk membolehkan kita bergelar masyarakat maju. Kenapa agaknya?

Salah satu sebab yang mungkin ialah budaya masyarakat. Masyarakat kita belum mampu membudayakan penerokaan ilmu. Masyarakat perlu sedar, penerokaan bukan setakat mempelajari ilmu yang bertimbun-timbun di sekeliling kita, tetapi juga cuba membentuk suatu kerangka, konsep, elemen ilmu yang baharu. Belajar saja tidak cukup kerana semua orang belajar. Tetapi yang membezakan (dengan ketara sekali) antara bangsa maju dengan yang biasa-biasa ialah bangsa maju begitu banyak meneroka dan menghasilkan ilmu-ilmu yang baharu. Dengan adanya pembentukan ilmu baharu, maka mereka dapat membina pelantar atau jambatan untuk meneroka ilmu yang lebih baharu yang bangsa lain belum mampu mencapainya (termasuklah kita, yang masih terkapai-kapai menghadam ilmu sedia ada).

Selain itu, budaya masyarakat kita lebih tertumpu kepada mempelajari (hanya menerima) pendapat dan pandangan dari bangsa lain, tanpa mahu berfikiran kritikal dan mempersoalkan ilmu yang disampaikan oleh bangsa yang maju. Ini lebih dikenali sebagai budaya pengguna (consumer). Sedangkan apa yang kita terima itu belum tentu betul dan sepatutnya dipersoalkan supaya kita boleh mengungkapkan 'kebenaran' dalam 'ilmu' tersebut. Selain itu dengan hanya mengamalkan budaya pengguna, kita terikat dan bergantung kepada bangsa lain. Sedangkan jika hal ini berterusan, kita akan menjadi pengikut selama-lamanya (kerana kita tidak mampu mengatasi kedudukan mereka disebabkan terus-terusan menjadi 'pak turut'). Budaya pengguna tidak salah. Tetapi pada masa yang sama kita harus manfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari untuk menghasilkan ilmu-ilmu baharu yang belum diteroka oleh bangsa maju. Ini akan memberi kelebihan sekaligus mengatasi mereka.

Kita perlu mengubah budaya pengguna kepada budaya pengeluar (producer). Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu dari bangsa lain, kita sebenarnya sudah ada batu loncatan untuk membuka jalan kepada penerokaan baharu. Mengapa nak tunggu sampai dapat semua? Gunakan, dan manfaatkan apa saja ilmu yang sudah kita miliki. Cuba bentuk satu usaha meneroka ilmu baharu daripada apa sahaja yang kita ada. Sintesiskan suatu kajian dan mulakan penerokaan, kemudian hebahkan apa saja penemuan yang kita rasa bermanfaat kepada masyarakat kita sendiri.

Sebenarnya konsep belajar-mengajar ini sudah lama digalakkan di kalangan umat Islam. Apabila kita belajar sesuatu ilmu, kita digalakkan untuk mengajarnya kepada saudara muslim. Melalui cara ini, bukan sahaja saudara kita dapat mempelajari ilmu baharu, tetapi dengan mengajar kepada orang lain, kita akan terfikir tentang ilmu tersebut. Hasil pemikiran akan mencetuskan pula pembaikan, idea, dan sebagainya. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman kepada ilmu yang kita miliki. Sedangkan jika kita hanya belajar (dan tidak mengajar) kita tidak berapa terdorong untuk berfikir secara kritikal dan memikirkan semula ilmu yang kita pelajari itu (kecuali jika perlu digunakan dalam situasi tertentu). Itulah bezanya budaya belajar dengan kesan budaya belajar-mengajar. Budaya belajar-mengajar itu akan mendorong kita terus berfikir secara kritikal dan jika bernasib baik, orang yang kita ajar itu memperbaiki kesilapan yang tidak kita sedari.

Satu lagi kelemahan masyarakat kita ialah kurang membaca. Bukan masyarakat kita kurang membaca, tetapi tidak ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca. Contohnya dalam 1000 orang mungkin hanya 50 saja membaca. Jumlah ini sedikit. Walaupun setiap individu yang 50 itu membaca 30 buku sebulan (hebat), namun yang penting ialah jumlah individu yang membaca berbanding jumlah bahan yang dibaca. Pembaca yang akan membentuk masyarakat, bukan buku atau bahan bacaan itu. Walaupun seseorang dapat membaca habis keseluruhan kandungan perpustakaan, tidak ada maknanya jika sebahagian besar individu lain tidak membaca.

Budaya membaca penting kerana melalui pembacaan akan menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Namun bukan semua bahan bertulis yang boleh dibaca itu berguna. Sesetengahnya hanya bersifat 'sampah', melalaikan dan tidak bermanfaat. Oleh itu hendaklah memilih bahan bacaan yang sesuai. Jika tidak, kita hanya membuang masa dan jika melalaikan, adalah lebih baik untuk tidak membaca. Bagaimana memilih bahan bacaan yang sesuai? Ini terpulang kepada individu kerana ianya bergantung kepada minat dan keupayaan pembaca memahami apa yang dibacanya. Namun amnya, kita hendaklah memilih bahan bacaan yang memberi kebaikan yang disebutkan di atas tadi - menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Kebaikan-kebaikan ini amnya akan dapat membentuk kita menjadi sebuah masyarakat maju.

Kelemahan lain yang menjadi penghalang kita untuk maju ialah sikap ego dan bodoh sombong. Hal ini lumrah, terutamanya di kalangan golongan senior. Dalam masyarakat umpamanya, ada golongan tua yang tidak suka jika golongan muda bersikap agresif walaupun menghasilkan sesuatu kesan positif. Selain didorong rasa ego (merasakan diri mereka lebih bijak), golongan tua seperti ini sebenarnya khuatir akan hilang kedudukan kepada golongan muda. Oleh sebab itu, mereka sedaya-upaya akan menghalang (mencantas) usaha golongan muda untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada yang dimiliki golongan tua. Sikap 'ego tidak bertempat' dan budaya mencantas ini ada di mana-mana sama ada masyarakat, organisasi mahupun keluarga.

Sikap keegoan hanya akan menghalang kemajuan. Tidak dinafikan sesetengah tindakan golongan muda yang agresif turut membawa kesan yang negatif, apatah lagi jika tindakan mereka hanya didorong oleh 'jiwa muda' dan nafsu semata-mata. Namun ada juga golongan muda yang berfikiran matang dan faham dengan tindakan mereka. Setiap tindakan dilakukan dengan cermat, tersusun dan memberi kesan positif. Maka jika ini berlaku, golongan tua atau senior perlu memberi peluang dan sokongan kepada golongan muda. Bukan menghalang mereka. Ini kerana hasilnya akan dinikmati oleh semua individu (jika berjaya). Adalah malang, jika sesetengah golongan tua itu lebih sanggup berada dalam kebodohan, kegelapan, kesusahan atau apa juga situasi negatif, berbanding memberi peluang golongan muda melakukan pembaharuan. Justeru untuk membentuk sebuah masyarakat maju, kita perlu melakukan pembaharuan yang drastik (atau revolusi), termasuklah memusnahkan sikap ego yang menghalang kepada sebarang usaha pembaharuan.

Dalam usaha menjadi masyarakat maju, sebarang usaha pembaharuan harus disokong. Tidak kiralah apa jua kesannya. Sebagai manusia kita hanya boleh berusaha dan yang menentukannya ialah Allah Taala. Sekiranya usaha pembaharuan itu sudah dinilai sehabis-habisnya, dan dijangka memberi kesan positif tetapi sebaliknya, itu bukan salah sesiapa. Itu adalah taqdir. Maka apabila berlaku kesan negatif, kita hendaklah sama-sama berganding bahu mengatasinya dan bukan tuding-menuding menyalahkan pihak lain. Sikap suka tuding-menuding dan menyalahkan pihak lain ini merupakan satu lagi kebodohan kita yang sering terpamer dalam masyarakat. Sedangkan menanggung kesan negatif akibat usaha pembaharuan merupakan suatu risiko, dan mengalaminya adalah lebih baik berbanding tidak berusaha langsung. Budaya masyarakat maju, apabila berlaku suatu kesan negatif, maka hampir semua orang (dalam masyarakat itu) akan berusaha mencari penyelesaiannya. Mereka tidak duduk berdiam diri mahupun menyalahkan pihak lain, sebaliknya terus berusaha menangani masalah yang dihadapi.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan kita yang boleh diungkapkan. Namun penulisan ini cuba mengungkapkan kelemahan yang penting untuk diubah dan diperbaiki. Jika yang diungkap itu dapat diubah, itupun sudah memadai kerana sedikit halangan sudah dapat diatasi. Maka ini dapat meninggikan peluang kita untuk mencapai taraf masyarakat maju pada masa akan datang. "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit"

Jumaat, 8 April 2011

Persoalan - kerja / keluarga ...


Seseorang pernah berkata kepada saya,

"Aku tak suka kerja lebih-lebih. Tapi aku nak luangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Kenapa nak kerja teruk-teruk? Kan lebih baik kalau gunakan masa tu untuk bersama keluarga?"
Orangnya bujang, seorang pendidik junior di universiti. Pada fikiran saya, "Dia ni masih baru lagi. Mungkin skrg beban kerjanya masih sedikit, ataupun belum faham kepentingan berkorban/berbakti utk pembangunan masyarakat." (kalau berfoya-foya sampai mengabaikan keluarga mahupun kerja, itu bukan satu pilihan yang wajar.)

Dulu masa belajar di IPT, saya pernah terfikir - saya akan seimbangkan kedua-duanya. Bekerja kuat untuk masyarakat, dan menghabiskan masa sebaiknya bersama keluarga. Tapi nyata sukar, kerana bila sudah berkeluarga dan bekerja, acapkali terpaksa memilih yang satu dan mengorbankan yang satu lagi (paling tidak sikit saja masa utk yg 1 lagi).

Dan sampai hari ini saya masih tertanya-tanya (flip-flop), mana satu lebih baik ? bekerja lebih masa untuk berkhidmat demi kemajuan masyarakat (sampai terpaksa mengorbankan masa untuk keluarga dan diri sendiri) atau seperti yang saudara itu fikirkan (kurangkan kerja, layan keluarga/diri sendiri)?

Hmmm... yg pasti kedua-duanya penting ... (kesejahteraan masyarakat <=> kesejahteraan keluarga)

Ahad, 5 April 2009

Idea - aspek saintifik dlm berwudhu'

Berikut adalah perbuatan-perbuatan semasa mengangkat hadas kecil iaitu berwudhu' mengikut urutan. Apakah rahsianya?:
  1. membaca basmallah (bismillah)
    Menumpukan semula fokus untuk beribadah dan memohon keberkatan perbuatan kita (hanya kerana Allah)

  2. membasuh tangan
    membersihkan kotoran dan najis yang terdapat di tangan. Menyediakan tangan yang bersih untuk membersihkan anggota lainnya. Jika tidak, mungkin kuman yang melekat di tangan akan dipindahkan pula ke bahagian yang lebih sensitif seperti rongga hidung, mulut dan cuping telinga.

  3. berkumur
    membuang sisa-sisa makanan dari celah gigi, lidah dan rongga mulut. Meneutralkan rembesan enzim dan asid yang masih ada kesan dari mengunyah makanan. Air liur mengandungi enzim dan asid bertujuan mencernakan makanan supaya lebih mudah tercerna apabila masuk ke perut. (Sunnah Nabi S.A.W. kunyah makanan 40x kanan dan kiri dapat menghasilkan kesan yang positif ini.) Sisa makanan yang tertinggal akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan, dan dengan berkumur boleh mengurangkan bau.

  4. memasukkan air ke rongga hidung
    membuang kotoran-kotoran yang terdapat dlm hidung seperti habuk, asap-asap dsb yang ditapis oleh bulu hidung. Selain membuang mukus-mukus (hingus, 'tahi hidung') yang memerangkap kotoran. Kuman-kuman yang terdapat dalam mukus boleh menyebabkan rasa gatal, dan mungkin juga jangkitan penyakit. Dengan membersihkannya, dapat mengelakkan kesan negatif pada tubuh.

  5. berniat seraya membasuh muka
    menumpukan matlamat kepada ibadah, mengikhlaskan niat seraya menenangkan hati kerana 'hanya dengan mengingat Allah hati jadi tenang' (Al-Quran). Membasuh muka membersihkan kotoran-kotoran, daki dan minyak yang terkumpul di kulit muka, bulu kening, misai, janggut dsb. Liang-liang roma jadi bersih dan menyegarkan. Selain itu muka juga mungkin mengandungi saraf-saraf dan salur darah penting ke otak. Dengan membasuh muka dapat membantu mengawal suhu dan aliran darah ke otak sekaligus sebagai pencegahan dan mengurangkan risiko berkaitan salur darah seperti strok dan stress.

  6. membasuh kedua belah tangan hingga atas siku
    membersihkan bahagian tangan dengan sempurna, iaitu membersihkan kotoran, daki, minyak yang terdapat pada kulit dan liang roma di kawasan terlibat. Seperti mana anggota lain, tangan mengandungi liang-liang roma dan kulit, yang penting untuk mengawal suhu badan. Selain itu, sebagai organ deria yang penting, tapak tangan mengandungi saraf-saraf yang sensitif.

  7. menyapu sedikit air di kepala (anak rambut)
    Entah (wallahua'lam). Kemungkinan mengendurkan urat saraf yang terdapat di bahagian kepala. Mungkin terdapat saraf dan salur darah yang penting di situ. Boleh mengurangkan hipertensi. Selain strok, hipertensi dan tekanan jiwa boleh berlaku akibat peningkatan suhu dalam badan dan aliran darah yang cepat (tidak normal). Dengan memperlahankan aliran darah supaya lebih teratur dan normal mengurangkan risiko negatif ke atas sistem tubuh.

  8. menyapu air ke dua cuping telinga
    Membuang kotoran dan sisa minyak yang melekat di cuping telinga. Menjadikan pendengaran lebih sempurna, kerana antara fungsi cuping ialah memerangkap/menangkap gelombang bunyi untuk disalurkan ke dalam salur telinga. Selain itu cuping juga berfungsi mengawal suhu badan, iaitu membebaskan haba melalui permukaan kulit yang lebih luas (cth makhluk lain yang memanfaatkan cuping telinga- gajah). Menyejukkan dengan air boleh membantu mengawal suhu. Jika cuping bersih, maka fungsi-fungsi ini akan lebih sempurna.

  9. membasuh kaki hingga atas buku lali
    membersihkan kotoran, minyak dsb yang melekat di permukaan kulit dan liang roma pada kaki. Mengikut ilmu refleksologi, tapak kaki mengandungi banyak saraf penting (punca saraf refleks) yang memberi kesan kepada seluruh fungsi badan. Selain itu kulit kaki juga merupakan sebahagian sistem kawalan suhu badan. Dengan membasuh kaki, bukan sahaja membersihkan, malah membantu meningkatkan keberkesanan fungsi tubuh.

  10. berdoa
    semuanya dari Allah, dan kepada Allah jua ia kembali. Bila dah tenang kesan dari wudhu', mungkin ini antara masa terbaik untuk berdoa sebab lebih fokus (cadangan saja).

Amnya, selain sekadar menerimanya sebagai satu ibadah dan kebersihan, berwudhu' juga melibatkan anggota-anggota penting dalam sistem saraf dan juga punca-punca untuk bendasing/kuman dsb masuk ke dalam badan. Misalnya - hidung, mulut, lubang telinga, tapak tangan dan tapak kaki adalah punca/jalan masuk utama bagi kuman dan bakteria ke dalam sistem tubuh manusia. Justeru selain setakat untuk bersih dan bersuci, wudhu' juga mampu memastikan terhindarnya jangkitan kuman ke dalam tubuh dan meningkatkan keberkesanan fungsi badan. In termasuklah membantu kawalan sistem saraf, kawalan suhu dan aliran darah dalam tubuh terutamanya ke otak, dan juga dapat menenangkan jiwa (mengurangkan tekanan), sekaligus membantu mengawal emosi.

Sekadar penilaian peribadi berdasarkan ilmu yang Allah beri. Saya bukan pakar kesihatan, biologi mahupun doktor. Mungkin perlu kajian terperinci yang mengkaji kesan ibadah wudhu' terhadap fungsi tubuh, minda dan emosi.

Aspek saintifik yang boleh dikaji oleh penyelidik Muslim:
  1. biologi - kesan wudhu' terhadap fungsi sel, tubuh, sistem limfatik dll.
  2. perubatan - wudhu' dari aspek kesihatan fizikal dan emosi, kawalan penyakit, fungsi air terhadap pengawalan strok dan tekanan mental melalui titik refleksologi dll.
  3. fizik - keupayaan sifat molekul air terhadap tekanan dan suhu badan dan peranannya, metafizik seperti tindakbalas sifat magnetism tubuh terhadap kesan wudhu', biofizik seperti mengkaji pengaruh terhadap keseimbangan terma dalam tubuh kesan dari berwudhu' dll.
  4. psikologi - pengawalan emosi melalui wudhu' dll.
  5. falsafah - hubungan antara sifat kemanusiaan dengan ketuhanan melalui ibadah - kajian kes - wudhu' dll.
  6. kaunseling - wudhu' dan peranannya dalam keseimbangan emosi remaja, peranan wudhu' dalam membantu menghadapi krisis 'ramai alami tekanan mental akibat hilang pekerjaan', dll.
Kelebihan umat Islam ialah pada kekuatan Islam itu sendiri. Kalau umat Islam sendiri tidak menggunakan kelebihan yang ada, amat rugilah kita.

Petunjuk lain :
  • Apabila kamu marah, diam. Kalau masih tak reda, duduk. Kalau masih tak reda, baring. Kalau masih tak reda, berwudhu' (sumber: maksud hadis)
  • Setiap titis air wudhu' menghapuskan dosa
  • hanya sah berwudhu' dgn air mutlak (suci dan bersih). Makruh berwudhu' dengan air yang telah terdedah pada sinar matahari (panas). Air yang telah digunakan untuk berwudhu' (yang kurang dari 2 kolah=? liter) tidak sah untuk digunakan lagi.
  • wudhu' boleh digantikan dengan debu yang suci (tayammum) jika tiada air. Apa rahsia debu yang suci?
Wallahua'lam.

Rabu, 28 Januari 2009

Sisipan - Islam tak cukup bermotivasikah?

Dalam banyak-banyak buku dan artikel berkenaan motivasi yang saya baca (banyak mana? entahlah, banyak la kot), saya jarang jumpa contoh-contoh peribadi Muslim dijadikan sumber motivasi. Yang ada kisah Abraham Lincoln, John D. Rockefeller, dan entah siapa-siapa lagi yang saya tak mahu kenal. Kenapa agaknya? Tak tahulah kalau rujukan saya itu kebetulan bukan ditulis oleh orang Islam. Ada sesetengahnya diterjemah dari karya Barat, dan ada pula sedutan-sedutan dari karya barat walaupun penulisnya orang Islam. Betullah kita kena bersikap terbuka. Tapi kalau dah sampai melupakan kehebatan dan ketokohan tamadun Islam, susahlah.

Kisah Nabi dan para sahabat selalunya kita boleh jumpa dalam petikan-petikan sejarah, kisah-kisah hidup para nabi, rasul dan sahabat dan lain-lain. Dan banyak juga tercatat dalam buku rujukan tentang hukum Fiqh dan sebagainya (rujukan agama). Tapi kenapa tidak diselitkan dalam buku motivasi? Adakah kisah mereka tak relevan untuk dijadikan contoh motivasi masa kini?

Bagaimana contoh 'Zaid bin Harisah dilantik sebagai panglima perang ketika berumur 15 tahun'? Bagaimana kisah semangat para pahlawan Islam yang hanya berjumlah beratus orang menentang tentera Musyrikin yang jumlahnya ribuan orang ketika era Islam sedang berkembang di Madinah? Bagaimana kisah Jaafar bin Abi Talib berusaha menjulang panji tentera Islam walaupun hilang anggota badannya? Apakah Dr Hamka tidak pernah berjuang bersungguh-sungguh sepanjang hidupnya? Bagaimana pula ketokohan Syed Syeikh Tahir Jalaluddin berjuang dalam era sebelum merdeka?

Bukankah ini contoh motivasi yang baik? Hmmm... nampaknya perlu kajian semula terhadap penggunaan contoh-contoh dalam buku-buku motivasi yg ada sekarang. Mungkin perlu diadakan wacana di kalangan penulis khususnya penulis buku dan modul motivasi betapa perlunya mengkaji ketokohan dan biografi tokoh-tokoh tamadun Islam dan tempatan ...

kemaskini [30/01/09]
Waktu saya ke kedai buku hari ini, saya terjumpa 2 buah buku motivasi yang menyenaraikan cerita-cerita (peristiwa) zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, dalam bentuk senarai/koleksi cerita. Saya tidak beli. Alasan saya, sebab ceritanya termasuk peristiwa Nabi s.a.w. dengan isteri, antara baginda dengan para sahabat, yang tidak dinyatakan rujukan. (Apabila menyentuh keperibadian Nabi, saya rasa wajar ditekankan supaya menyertakan sumber rujukannya, sebab sunnah akan jadi ikutan.) Tapi kalau setakat nak jadi 'pembakar semangat' boleh juga dibeli. Walau bagaimanapun saya beli buku 'Pemikiran Hamka' terbitan DBP dulu.

Selasa, 6 Januari 2009

Che Det (Tun) dan PPSMI

Petikan ini saya salin dari blog che det (Tun Dr Mahathir). Untuk difikir dan dipertimbangkan bersama ...
Sains dan Matematik

22. Saya ucap terimakasih kepada Cikgu Dari Ulu yang belajar sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya dan sekarang menjadi guru sains dalam bahasa Melayu juga.

23. Namun saudara sokong penggunaan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik.

24. Ya. Program ini bukan untuk memusnahkan identiti bangsa Melayu.

25. Saya sebenarnya mendapat pelajaran dari sekolah rendah hingga ke Universiti (perubatan) dalam Bahasa Inggeris.

26. Saya fikir saya masih boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, walaupun tidak sebaik seperti pakar bahasa.

27. Adat resam dan budaya saya adalah adat resam dan budaya Melayu.

28. Saya percaya saya diterima sebagai Melayu.

29. Jelas menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris tidak menjadikan saya kurang Melayu.

30. Takkanlah hanya kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan kita lupa bahasa kita, dan kita kurang Melayu.

31. Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Untuk ini sudah ada matapelajaran bahasa Inggeris.

32. Penggunaan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik adalah kerana ilmu ini mengguna perkataan-perkataan yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa. Juga ilmu-ilmu baru dalam bidang sains terutamanya diterokai dan diperkenalkan melalui kertas-kertas akademik hampir tiap hari. Dan hampir semuanya didapati di dalam bahasa Inggeris.

33. Kita boleh terjemahkan kertas-kertas ini. Untuk ini kita perlu penterjemah yang fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa kita dan juga berkelulusan dalam bidang sains berkenaan. Kita tidak ada ramai orang seperti ini sekarang pun. Jika ada pun mereka tidak berminat untuk kerja ini sepanjang hayat. Apabila semua belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, di manakah akan kita cari orang yang fasih dalam bahasa Inggeris untuk membuat penterjemahan.

34. Dalam satu pertemuan saya telah beri contoh dalam bidang telekomunikasi, khususnya telefon sel. Kecanggihannya bertambah sepanjang masa. Ini semua adalah hasil pemahaman dalam ilmu dan teknologi "micro circuit", dalam cip, dan bagaimana menulis "software" untuknya.

35. Kita tidak perlu bahasa Inggeris untuk mengguna segala kemudahan dalam cell-phone. Tetapi untuk mencipta dan meningkatkan keupayaan cell-phone kita perlu ilmu yang berkenaan yang mana ilmu ini terdapat dalam bahasa Inggeris. Mungkin sudah ada buku-buku dalam bahasa Melayu berkenaan sains ini tetapi saya belum jumpa buku yang boleh menolong kita mencipta alatan yang mengguna sains ini. Sehingga kita ada buku ini kita perlu buku dalam bahasa Inggeris, syarahan dalam bahasa Inggeris, tunjuk ajar dalam bahasa Inggeris. Jika tidak maka kita akan terus jadi bangsa pengguna.

36. Untuk menjadi bangsa maju kita perlu ilmu pengetahuan yang luas. Hanya boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan kita bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa maju yang lain.

37. Saya sayangkan bahasa saya. Sejak 1947 lagi saya telah perjuangkan bahasa saya. Bukanlah niat saya untuk mengenepikan bahasa dan bangsa saya apabila saya buat keputusan untuk mengguna bahasa Inggeris dalam sains dan matematik. Niat saya ialah sebaliknya. Niat saya ialah supaya bangsa saya tidak ketinggalan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik yang begitu penting dalam menentukan maju/mundurnya sesuatu bangsa. Niat saya ialah supaya bangsa saya akan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang termaju di dunia.

38. Insya'allah apabila kita di masa akan datang sudah dapat mendiri tamadun Melayu yang termaju sama seperti tamadun moden yang terkenal di dunia, apabila pendita-pendita dan saintis Melayu dapat meneroka dan menyumbang kepada keilmuan sains dunia, maka pada masa itu para saintis asing akan mempelajari bahasa Melayu untuk mendapat ilmu sains sepertimana orang Arab mempelajari bahasa Yunani, Hindi, Cina, untuk menguasai ilmu-ilmu yang diterokai oleh bangsa-bangsa ini; sepertimana orang Eropah mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu-ilmu sains dan matematik yang diterokai dan dikuasai oleh orang Arab pada abad ke-15 Masehi.

39. Inilah sejarah keilmuan tamadun manusia sejak zaman Hammurabi lagi.

Pendirian saya dalam isu ini - pada prinsip dan matlamatnya, saya sokong idea PPSMI dan Tun (saya sependapat dengan Tun hehehe). Cuma masalah timbul apabila pelaksanaannya yang tidak sistematik dan adhoc membuatkannya jadi kelam kabut dan membebankan. Yang jadi mangsa anak-anak dan murid sekolah, dan guru pun malas nak beri sokongan. Jadi saya sokong jika PPSMI dihentikan SEMENTARA sehingga kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan (dan tidak membebankan) dapat dirangka, dibentuk dan dikaji.

Rabu, 24 Disember 2008

Makanan HALAL yang suci?

Pagi ini saya dengar lagi IKIM.fm (ala-ala promosi lah pula). Agak lewat. Tapi sempat terdengar promosi produk jus Di Hati keluaran Darul Fuqaha. Jus ini merupakan minuman kesihatan 'fizikal dan rohani', kerana dihasilkan menerusi proses IMP (Islamic Manufacturing Practice). Kali pertama saya dengar tentang IMP, dan menarik sekali, kerana prinsip halal tidak dipandang dari aspek fizikal saja, tetapi menyeluruh supaya khasiatnya memenuhi keperluan jasmani dan rohani. (tip saja, produk boleh rujuk sendiri di laman web Darul Fuqaha).

Sumber ilustrasi: http://www.halal.gov.my/

Saya bukan mahu mengulas tentang produk. Apa yang ingin disentuh adalah kepentingan kajian terhadap industri makanan HALAL di Malaysia dan sejauh mana mutu, kebersihan dan kesucian makanan itu dijaga atas tiket HALAL. HALAL ini saya rujuk sebagai satu jenama/'tiket pelaris', manakala istilah halal (huruf kecil) merujuk konsep halal yang sepatutnya.

Sekarang ini rata-rata komuniti pengeluar makanan di Malaysia sudah mula sedar dengan kepentingan HALAL di Malaysia. Bukan saja di kalangan orang Islam, malah pengeluar yang bukan Islam juga sudah mula berebut-rebut memohon sijil HALAL daripada JAKIM dan HDC (Halal Industry Development Corporation). Fakta ini saya ambil daripada siaran berita yang disiarkan di stesen tv tempatan tidak lama dulu. Tapi ada juga pengeluar makanan beragama Islam masih tidak mahu mendapatkan sijil HALAL. Mengapa agaknya? Entahlah, mungkin ada sebab tersendiri. Tetapi kita semua harus sedar bahawa HALAL ini penting sebagai:
  1. penunjuk bahawa makanan yang dikeluarkan memenuhi standard makanan 'halal' di Malaysia.
  2. meyakinkan pengguna Islam (dan bukan Islam) bahawa makanan yang dikeluarkan diiktiraf 'halal', sekaligus menarik lebih ramai pembeli, kerana,
  3. menunjukkan bahawa kualiti dan bahan makanan itu terjaga (bersih adalah satu keperluan untuk mendapat status HALAL)
Namun faktor 'pelaris' ini juga mendorong wujudnya beberapa kes yang melibatkan pemalsuan logo HALAL. Ini tidak perlu diulas kerana pihak berkuasa sudah melakukan pelbagai usaha dan masih diteruskan bagi menghalang kegiatan ini berleluasa. Terima kasih pada mereka. Kes pemalsuan itu kes yang jelas salah. Namun yang tidak jelas bagaimana?

Sebagai perbincangan dan kajian, adakah produk yang diiktiraf HALAL itu benar-benar halal (suci dan baik)? Ini perlu dipersoalkan kerana ramai melihat bahawa industri makanan boleh maju dan mendapat keuntungan melalui tiket HALAL. Jadi ramai yang berebut untuk memenuhi standard HALAL, tanpa mengetahui konsep halal yang diterapkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian serius juga, selain kes-kes pemalsuan logo HALAL.

Sedangkan konsep halal itu bukan saja HALAL, tetapi perlu dijaga dari segi; (1) kesucian bahannya, (2) kesucian prosesnya (pengilangan, penjualan dsb), dan (3) kesucian jiwa pembuatnya (beragama Islam). Bila disebut pembuat mesti Islam, bukanlah syarikat Islam saja layak. Syarikat milik bukan Islam tetap boleh menghasilkan makanan halal. Tetapi orang yang membuat makanan itu mesti orang Islam yang kuat amalan agamanya. Seperti mana disentuh sebagai IMP di atas.

Ya itulah hakikatnya. Kalau kita mahu iman yang teguh (insya'allah), cubalah cari makanan yang memenuhi 3 kriteria halal itu (harap tidak kebulurlah rakyat Malaysia lepas ni!). Tapi dalam keadaan semasa, sukar rasanya nak dapatkan makanan seperti ini. Maka terpulanglah. Tepuk dada tanya iman. Asalkan yakin halal, kerana Islam itu 'mudah dalam susah'. Tapi jangan sampai meng'halal'kan juga benda yang haram atas sebab terpaksa.

Persoalan utama:
  1. Adakah makanan diiktiraf HALAL itu memenuhi 3 kriteria di atas?
  2. Apakah cara yang berkesan untuk memastikan HALAL itu dikuatkuasakan (bukan setakat untuk dapat sijil)?
  3. Dan apakah cara yang berkesan untuk memastikan usaha tersebut (penerimaan 3 kriteria halal) disambut baik sebagaimana sambutan terhadap HALAL?
Amnya dalam situasi semasa, (secara peribadi) HALAL Jakim itu cukuplah untuk meyakinkan kita semua bahawa produk tersebut halal (kalau tidak, apakah cara selain itu?). Dan saya juga bukan ulama untuk membuat sebarang fatwa atau hukum. Sekadar melontarkan pandangan/persoalan sebagai 'ahli sains'. Namun kajian perlu dilakukan bagi memastikan HALAL yang diputuskan oleh Jakim itu benar-benar menghasilkan produk makanan yang halal dan baik, bukan saja untuk umat Islam, tetapi juga rakyat Malaysia yang lain.

Promosi : untuk menyemak pengesahan Jakim, boleh SMS dengan menaip halal [kodbar produk] (contoh: halal 1234567890) dan hantar kepada 32728 (setiap SMS dicaj 50 sen), atau lawat sendiri laman web Jakim.

Isnin, 22 Disember 2008

Sisipan - Hiburan alternatif untuk Muslim?

Baru-baru ini saya tertonton tayangan semula filem animasi Putih di saluran Astro. Lalu saya terfikir, mengapa dulu filem ini tidak dapat sambutan? Jika dilihat pada industri filem animasi di Malaysia, belum ada kejayaan yang benar-benar boleh dibanggakan seperti filem-filem animasi terbitan Disney Pixar, Dreamworks dll. Mengapa agaknya?

Dari segi teknologi, rasanya tidak banyak yang kurang. Ambil contoh filem Putih, memang ada sedikit kelemahan dari segi pergerakan. Tapi dari segi lakaran, penataan bunyi, suara pelakon pada saya sudah layak untuk bersaing dengan animasi terbitan Disney. Jalan cerita Putih agak menarik. Temanya juga bersifat mendidik, dan dari segi nilai komersial rasanya sedap-sedap juga lagu yang dimuatkan di dalamnya. Dan terbaru, animasi Saladdin (gambar) yang bakal ditayangkan pula pastinya mempamerkan kelainan dari segi mutu yang ketara untuk bersaing dengan animasi luar.

Ini sebagai selingan/mukadimah saja. Yang ingin disampaikan adalah berkenaan mewujudkan hiburan alternatif yang sesuai untuk Muslim. Masyarakat tidak dapat lari dari keinginan menikmati hiburan.Salah satu hiburan yang digemari adalah menonton filem. Dan pos blogger Ainunl tentang wayang juga sedikit sebanyak memperlihatkan 'ketagihan' golongan muda terhadap hiburan ini. (update: sinikal, tapi jadilah utk menggambarkan situasi semasa)

Malangnya, industri perfileman di Malaysia nyata belum dapat memperjelaskan budaya yang sesuai dan sejajar dengan kehendak Islam. Ada pihak yang berpendapat 'nilai' seksi dan komersial (cth aksi ganas, liar) perlu dipertontonkan pada filem supaya laris, menyebabkan filem tidak selari dengan kehendak Islam. Justeru gagal menjadi hiburan alternatif Muslim yang peka pada hukum agama. Tetapi dengan mengharamkan wayang pula mewujudkan 'nada-nada protes' bagi mereka yang belum/kurang faham.

Wayang perlu (citarasa masyarakat kini). Hiburan perlu. Maka apakah kaedah yang sesuai dalam mewujudkan filem yang selari dengan kehendak Islam? Ia juga perlu laris supaya penerbit berminat menghasilkannya lagi. Penangan filem Syukur 21 dan Raihan walaupun satu usaha yang baik, tetapi gagal mencapai keuntungan dan sambutan

Pada saya, filem animasi adalah calon paling sesuai menjadi wahana alternatif dalam menghasilkan filem bercorak Islamik yang laris. Hujah saya, (1) animasi tidak bergantung kepada perwatakan pelakon sebagai unsur komersial, (2) animasi mempunyai daya penarik dari pelbagai sudut (termasuk jalan cerita), (3) watak dalam animasi boleh dicipta, dan (4) animasi rata-rata menarik minat semua golongan dan peringkat usia. Justeru, dapat mengelakkan unsur-unsur negatif bersifat komersial 'terpaksa' diterapkan dalam filem.

Animasi tidak perlu pelakon yang ada nilai komersial, dan tidak terikat dengan pelakon yang 'popular' saja. Lihat saja filem Shrek. Tiada siapa kenal Shrek sebelum ini. Pun tidak ada wanita berpakaian bikini atau skirt, tetapi filem itu mampu mengaut keuntungan berjuta dolar (adegan Shrek mandi ada lah). Siap ada lanjutan. Mengapa? Maknanya budaya Islam juga berpeluang untuk mendapat tempat di kalangan penggemar wayang, walaupun mengharamkan pakaian yang mendedah aurat untuk ditonton. Tak kisahlah imej bertudung pun, kalau ceritanya unik (dan menarik) pasti orang tertarik untuk menonton. Muslim yang peka juga tidak akan keberatan untuk menonton wayang.

Animasi nyata mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Tarikan boleh diolah dari pelbagai sudut dan tidak hanya bergantung kepada ciri komersial saja. Apa yang penting ialah idea dan strategi menarik penonton untuk menontonnya. Misalnya, Monsters Inc. memaparkan alam fantasi yang disandarkan pada retorik 'raksasa bawah katil'. Walhal cerita dongengan sebegitu nyata sudah lapuk dan basi. Tetapi mengapa mencapai keuntungan berjuta dolar? (lebih hebat dari filem Cicak Man yang kononnya ada pelakon 'seksi' Fasha Sandha dan Apek yang kelakar?). Jadi 'jalan cerita' Islamik boleh bergantung kepada ciri penarik pada animasi untuk mengekalkan penonton yang gemarkan hiburan, dan sekaligus menarik minat pendokong untuk datang ke panggung.

Perwatakan/rupa animasi boleh direka dan disesuaikan dengan kehendak jalan cerita. Filem Shrek 'melahirkan' watak raksasa berperut gendut yang menjadi kegilaan peminat filem animasi. Jalan ceritanya memerlukan 'pelakon' seperti Shrek, dan ia pun dicipta sedemikian. Walhal jalan ceritanya bersandarkan dongeng dan cerita rakyat. Rasanya kalau setakat dalam buku cerita kanak-kanak, belum tentu orang akan membacanya. Jadi 'jalan cerita' kehidupan Muslim (yang kononnya membosankan?) tetap ada peluang melahirkan watak yang digilai ramai jika kena gayanya. Jalan ceritanya boleh seperti filem-filem lain, tetapi penampilan wataknya dicipta sesuai dengan kehendak Islam.

Animasi menarik minat semua golongan daripada bayi sehinggalah orang tua (ciri keluarga dan universal). Sukar bagi kategori filem lain untuk mencapai 'kesepakatan' seperti ini, tetapi animasi mampu melakukannya. Dan jika animasi boleh melenyapkan perbezaan paradigma antara pelbagai peringkat umur, mengapa tidak perbezaan budaya (bukan Islam dan Islam)? Justeru budaya Muslim boleh digarap secara halus dalam filem animasi tanpa melunturkan daya penariknya. Penonton tidak terasa itu adalah budaya Islam. Jadi tanggapan mereka lebih mudah 'dibelai' untuk menerima pembaharuan. Selain itu ciri berkenaan boleh menjadi sandaran untuk menarik lebih ramai golongan dan peringkat umur agar mendekati cara hidup Muslim.

Jadi, kepada penghasil karya filem tempatan dan semua pendokong budaya Muslim, haruslah berfikir dari sekarang bagaimana memanfaatkan potensi yang ada dalam filem animasi untuk membudayakan peribadi Musli, tanpa melunturkan minat ke panggung. Sekaligus menyediakan hiburan alternatif kepada Muslim.

Isnin, 15 Disember 2008

Makna di sebalik waktu solat fardhu

Apakah rahsia dan makna yang tersirat di sebalik waktu solat Fardhu - Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'?

Beberapa petunjuk yang mungkin berkaitan :
  1. Haram solat ketika matahari tegak di atas kepala
  2. Tidur selepas Subuh dan Asar tidak digalakkan
  3. Solat memberi kesan kepada sistem fisiologi tubuh (kajian penyelidik UM)
  4. ...?
hmmm....

(subhanallah... Maha Suci Allah yang mengetahui rahsia alam ini...)

Isnin, 1 Disember 2008

Qa'edah melaksana dan membahagikan daging Qurban

Sekadar menyampaikan saranan seorang tamu di rancangan radio (tak silap IKIM.fm). Pagi ini saya terdengar wawancara berkenaan usaha melaksanakan ibadah Qurban untuk diagihkan kepada saudara Islam di negara Bangladesh. Rasanya tak perlu diulas lagi berkenaan penderitaan mangsa bencana dan saudara-saudara Islam yang menderita kemiskinan di negara berkenaan dan negara lain. Rasanya rakyat Malaysia sudah maklum dan banyaknya usaha membantu kini boleh dilihat di mana-mana. Mudah-mudahan kita semua dapat sama-sama membantu. Insya'allah.

Cuma yang menjadi fokus di sini, apakah qa'edah yang berkesan untuk melaksanakan ibadah Qurban bagi tujuan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan bagaimana cara pengagihan yang berkesan. (ini ditanya dan minta disampaikan oleh tamu wawancara berkenaan).

Saya juga ingin mengungkap kes berkaitan satu masa dahulu. Satu parti politik mengadakan acara Qurban besar-besaran (ini bukan ruang politik ya!). Ramai peserta terlibat, dan banyaklah daging qurban yang berjaya dihasilkan. Namun, dengarnya hasil qurban berkenaan tidak berjaya diagihkan sepenuhnya, kerana yang ditumpukan oleh pihak pengurusan acara ialah acara menyembelih besar-besaran, tetapi terlupa bagaimana dan kepada siapa hasilnya disumbangkan. Ini contoh kes kegagalan pengagihan hasil Qurban sahaja dan bukan perbincangan politik.

Sebenarnya masalah ini tidak hanya melibatkan hasil Qurban saja. Malahan hasil zakat juga turut menanggung masalah yang sama. Urusan pengumpulan tidak lagi menjadi soal (mungkin ada, cuma tidak serius), kerana sudah banyak ditubuhkan pusat dan kaunter-kaunter pungutan zakat bagi memudahkan umat Islam membayarnya (hatta di koridor hospital cth. PPUM). Tahniah diucapkan. Cumanya, masalah pengagihan masih berlaku, iaitu bagaimana mengagihkan hasil secara berkesan kepada mereka yang memerlukan. Satu contoh kaedah pengagihan /penggunaan wang kutipan zakat boleh dirujuk pada post saya yang lepas.

Jadi, sebagai penyelidik yang terlibat dalam bidang berkenaan, bolehlah mula mengkaji. Sama ada bagi hasil ibadah Qurban, akikah, mahupun zakat dan lain-lain. Sumbangan ini sangat penting kerana dapat dapat dimanfaatkan oleh orang Islam. Besar tu pahalanya! (insya'allah).

Jumaat, 28 November 2008

Nafsu & Emosi - Perbandingan kecil agama dan sains

Apakah dia nafsu? Persoalan ini mungkin mudah dijawab oleh para ulama. Adakah nafsu diiktiraf dalam sains? Apakah pula emosi? Jarang pakar rujuk agama memperkatakan tentang emosi, kerana selalu yang dikaitkan dengan tingkahlaku buruk/baik adalah berpunca dari nafsu. Ahli sains pula lebih mudah mendefinasikan emosi berbanding nafsu.

Apakah kaitan nafsu dengan emosi? Adakah yang disebut 'emosi' dalam sains merujuk pada 'nafsu'? Nafsu selalunya dirujuk sebagai keinginan. Tapi di mana letaknya emosi dari sudut agama? Adakah sama dengan jiwa?

Post ini bukanlah bertujuan mencari kaitan nafsu dan emosi, tetapi mengkaji betapa lengkap dan 'saintifik'nya bukti agama terhadap bidang sains.

Nafsu diterangkan dengan jelas dalam Al-Quran. Bahkan menurut riwayat, nafsu adalah sejenis makhluk (Allah adalah pencipta/khaliq. SelainNya adalah makhluk). Dijelaskan dalam peristiwa bagaimana Allah S.W.T. menguji aqal dan nafsu, yang mana aqal dengan sekali soal mengakui kebesaran Maha Pencipta (Allah). Manakala nafsu 'terpaksa' melalui 3 sesi soaljawab dan siksaan sebelum mengakui kebesaran Allah.

Dari perspektif agama, apabila seseorang berbuat baik/jahat, adalah didorong oleh nafsu. Apabila kita melakukan sesuatu, bermakna kita bertindak mengikut nafsu. Aqal membantu manusia mengawal nafsu, kerana pertimbangan aqal membezakan nafsu kepada yang baik, atau buruk. Nafsu akan mempengaruhi otak, kerana otak akan membuat pertimbangan berdasarkan keinginan (nafsu).

Qa'edah mengawal nafsu diterangkan dalam Al-Quran, iaitu (1) Menggunakan aqal, dan (2) Memperbanyakkan ibadah (berzikir, berpuasa dll). Malahan, (2) ialah qa'edah berkesan membantu (1) mengawal nafsu, jika (1) kurang berkesan.

Bagaimana pula dengan emosi? Sains psikologi, umpamanya, sering mengaitkan emosi dengan sikap. Apabila berasa gembira, emosi akan mempengaruhi kita untuk melakukan perkara yang baik (atau yang disangka baik) untuk melahirkan kegembiraan. Apabila sedih, emosi sedih mempengaruhi kita untuk berdiam diri, murung atau melakukan perkara yang boleh menghilangkan kesedihan. Emosi juga mempengaruhi otak.

Tapi apakah penyelesaian mengawal emosi? Emosi dikatakan berkait dgn keseimbangan hormon dalam badan. Bagaimana nak mengawalnya? Pengamal perubatan mencadangkan supaya bertenang sebagai satu kaedah mengawal emosi. Dengan apa? Salah satu penyelesaian moden melalui penggunaan ubat penenang. Manakala qa'edah lain seperti bersiar-siar, bersenam/bersukan dll. Qa'edah spiritual adalah dengan yoga, meditasi dan sebagainya (yang haram untuk umat Islam). Manakala umat Islam digalakkan beribadah seperti berzikir, bersolat dll (yg mana adalah qa'edah mengawal nafsu).

Jadi qa'edah penyelesaian melalui agama lebih menyeluruh. Jadi mengapa sains tidak mahu menerima pendekatan agama (dan sering menafikannya)?

Perbincangan pendek ini mungkin belum mengemukakan hujah yang kukuh. Tetapi dapat menjelaskan bahawa, pendekatan agama yang kadangkala nampak seperti tidak 'saintifik' sebenarnya lebih berkesan dan lengkap. Maka pendekatan agama tidak seharusnya diketepikan dalam menerangkan bukti/hasil penyelidikan.

Ahli sains dan ilmuan Islam perlu memainkan peranan mengetengahkan cabang ilmu agama ke dalam bidang sains sebagai pelengkap. Cuma lebih banyak 'bukti-bukti sains' perlu dicari supaya membuka mata pengkaji dan ilmuan sains (yg tidak menerima 'bukti agama') agar dapat menerima ilmu yang telah lengkap tetapi 'belum saintifik' itu.

Perbezaan otak manusia

(Gambar di bawah adalah sekadar ilustrasi dan bukan dengan niat mengaibkan si mati)



Benarkah otak manusia berbeza-beza? Hmmmm.... Gambar di atas (sekitar 1890, Buenos Aires) menunjukkan tengkorak penjenayah yang dibelah untuk menilai perbezaan yang terdapat pada otak penjenayah tersebut berbanding otak manusia (baik). Hakikatnya tidak ada beza, kerana baik atau jahat seseorang bergantung pada nafsunya, dan kewarasan akalnya berfikir.

Tapi bagaimana pula perbezaan antara lelaki dan perempuan? Mungkin ada beza. Saya belum sempat nak cari maklumat, tapi jadilah untuk mengungkapkan sedikit persoalan, walaupun saya bukanlah daripada jurusan perubatan.

Hakikatnya terdapat banyak perbezaan biologi antara lelaki dan wanita, terutama yang melibatkan sistem pembiakan. Tapi adakah perbezaan ini merangkumi otak? Beberapa petunjuk memungkinkan hipotesis ini:
  1. Enzim dan hormon yang berbeza dirembeskan di dalam badan mengikut jantina. Misalnya hormon testosteron hanya pada lelaki, dan hormon paistrogen pada wanita. Perbezaan ini berlaku kerana adanya organ-organ yang mengawal kadar rembesan, dan salah satunya adalah otak.
  2. Lelaki sering dikatakan kurang memberi fokus pada sesuatu kerja yang dilakukan (cepat bosan), manakala wanita lebih tekun dan fokus pada kerja. Itu sebab sektor industri lebih suka memilih operator wanita (faktor kurang karenah pun mungkin juga). Fokus adalah hasil aktiviti otak.
  3. (kalau tak silap), wanita lebih cepat nyanyuk atau lebih ramai jumlahnya berbanding lelaki. Nyanyuk disebabkan kemampuan otak yang merosot akibat pertambahan usia dan kurangnya keupayaan reproduksi badan.
  4. Emosi wanita lebih mudah terangsang berbanding lelaki. Mungkin juga ini disebabkan kehadiran-kehadiran hormon tertentu dalam badan. Tapi, otak yang mengawal semua aktiviti badan, termasuklah bagaimana tindakbalas terhadap rangsangan emosi. Jadi otak juga terlibat
  5. ... (belum jumpa atau tak ingat)
Jadi, persoalannya, adakah benar terdapat perbezaan? Sama-samalah kita cari jawapannya.

-luc