بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Jumaat, 2 Disember 2011

Pendidikan holistik

Petikan akhbar:

Doktor berasal dari sekolah agama

Bermula 1 Jun 2004, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) ditubuhkan sebagai fakulti keenam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pada tarikh tersebut Dekan Pengasas melapor diri dan 29 pelajar memulakan pengajian asas di pusat asasi Tamhidi. Kumpulan pelajar ini merupakan calon terbaik yang dipilih Unit Pengurusan Universiti (UPU). Mereka dipilih di kalangan lepasan sekolah agama sejajar dengan hasrat kepimpinan negara mahu memberi peluang istimewa kepada lulusan sekolah agama mendapat tempat dalam jurusan perubatan.
Selama setahun pelajar mengikuti pengajian di Pusat Tamhidi di Politeknik MARA di Bangi. Bermula pada hari pertama, mereka telah dipesan oleh Dekan supaya belajar bersungguh-sungguh dan saling membantu satu sama lain seperti adik dan kakak atau abang.
Berkat ketekunan dan kesungguhan serta bimbingan rapi tenaga pengajar berpengalaman, mereka berjaya mencapai keputusan peperiksaan akhir di Pusat Tamhidi dengan mendapat PNGK 3.5 ke atas.
Keputusan itu melayakkan mereka meneruskan pengajian bidang perubatan dalam tahun 1 pada sesi pengajian 2005/2006.
Dari Bangi, 29 pelajar yang terdiri daripada 13 perempuan dan selebihnya lelaki mendaftar pula di FPSK yang beroperasi di Menara B, Persiaran MPAJ , Jalan Pandan Utama , Kuala Lumpur. FPSK menggunakan lima tingkat daripada Menara B yang diubahsuai mengikut perancangan Dekan Pengasas. Lokasi dipilih kerana ia berdekatan dengan Hospital Ampang yang merupakan hospital pengajar yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan untuk FPSK.
Lain-lain hospital yang turut diberi kebenaran adalah Hospital Temerloh, Tampin dan Jelebu.
Semua kelengkapan pembelajaran dan pengajaran seperti dewan kuliah serta makmal moden dan perpustakaan perubatan disediakan untuk kegunaan pelajar perubatan USIM. Sebuah muzium perubatan, makmal komputer, kafe siber, gimnasium, kafetaria dan bilik rehat pelajar juga disediakan.
Di sini bermulalah pengajian perubatan selama 6 tahun untuk kumpulan pertama seramai 29 orang. Kini FPSK mempunyai seramai seramai 317 pelajar dan jumlah pasti bertambah setiap tahun.
FPSK merupakan satu-satunya fakulti perubatan di negara ini yang masih menggunakan kurikulum konvensional atau tradisional tetapi diubahsuai dan dipermodenkan oleh Dekan Pengasas. Kaedah pengajaran seperti kuliah, pembelajaran berasaskan masalah (PBL), pembelajaran berasaskan kes (CBL), latihan asas klinikal di makmal dan lain-lain lagi diperkenalkan di FPSK.

Pengajaran sebenar klinikal dilakukan di Ampang , Temerloh, Tampin dan Jelebu. Fakulti perubatan yang merupakan satu projek "Top Down" ini pada awalnya mendapat beberapa kemudahan yang diperlukan.
Tetapi sejak kebelakangan ini, FPSK menghadapi kekangan mendapat pensyarah. Namun demikian, ia bukan penghalang untuk FPSK memastikan pengajaran dan latihan terbaik kepada para pelajar.
Ini kerana ramai pakar dari Kementerian Kesihatan, dan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Multimedia turut membantu mengajar.
Para pelajar telah melalui tiga peperiksaaan profesional yang dinilai pakar dari dalam dan luar negara . Laporan yang diterima mengenai taraf sistem pengajaran dan pembelajaran serta penilaian amat memberangsangkan.
Kerjasama
Berkat usaha dan kerjasama semua pakar, program perubatan FPSK diiktiraf oleh Malaysian Qualifying Agency (MQA) dan Malaysian Medical Council (MMC) selama tiga tahun. Insya-Allah, dengan diberi pertambahan perjawatan pensyarah , FPSK akan terus berusaha untuk mendapat pengiktirafan 5 tahun pula dari MQA/MMC.
Satu keistimewaan doktor perubatan lepasan FPSK , USIM ialah semua pelajar menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Ada di kalangan mereka juga berjaya menghafal al-Quran tetapi kebanyakannya menghafal sebahagian daripada al-Quran. Surah lazim dan surah berkaitan sains kesihatan dipilih oleh mereka yang pakar al-Quran.
Mereka juga diajar mengendalikan kematian dari saat seorang nazak sehinggalah dimandi, dikapan dan dibawa ke perkuburan. Selain itu, mereka juga memberi khidmat masyarakat seperti melakukan saringan kesihatan dan nasihat kesihatan di beberapa tempat. Ke mana saja dihantar dan apa jua yang disuruh, mereka lakukan tanpa berkira atau rungutan.
Kini 29 graduan sulung FPSK telah diterima bertugas oleh Kementerian Kesihatan dan ditempatkan di merata hospital di seluruh negara . Mereka ditempatkan dalam pelbagai bidang klinikal sebagai houseman atau doktor siswazah mulai pertengahan Julai 2011.

Posting pertama selama empat bulan telah dilalui dengan jayanya. Mereka telah menunjukkan kemampuan bertugas sebagai doktor perubatan dan akan menjalani khidmat sebagai houseman selama dua tahun.
Harapan fakulti ada kalangan mereka yang akan menyertai FPSK sebagai pensyarah kelak. FPSk tentunya mengharapkan Alumni Perubatan USIM membantu membawa FPSK ke persada yang lebih tinggi lagi. Kejayaan FPSK, USIM adalah kejayaan bangsa dan agama. Begitu juga kegagalan FPSK dianggap sebagai kegagalan bangsa dan agama kita juga.
- USIM
Sumber: Utusan Online (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm)


KOMEN:
Alhamdulillah. Rasa seronok melihat perkembangan pendidikan holistik. Pendidikan sebeginilah yang seharusnya diamalkan dalam sistem pendidikan negara di semua peringkat. Barulah generasi muda dan pemimpin masa depan akan lebih berdaya saing.

Rabu, 10 Ogos 2011

Sisipan Ramadan: Jauhi majlis anjuran syarikat arak dan judi

Berikut dilampirkan teguran bekas Mufti Wilayah Persekutuan terhadap penganjuran majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim oleh syarikat arak dan judi.
Sumber: Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Syarikat judi, arak anjur buka puasa cemar Islam

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pembabitan syarikat judi atau arak dalam sebarang penganjuran majlis berpuasa bersama anak-anak yatim boleh mencemarkan imej Islam kerana jelas pendapatan syarikat-syarikat seumpama itu datangnya daripada sumber yang haram.

Sehubungan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein berkata, adalah wajar mana-mana pertubuhan anak-anak yatim memastikan terlebih dahulu status pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu bukan daripada syarikat judi atau arak. Pada masa sama beliau menggesa syarikat judi atau arak supaya lebih peka iaitu tidak terlibat dengan sebarang penganjuran majlis berbuka puasa walaupun tujuannya adalah baik.

"Puasa adalah ibadat dan berbuka puasa juga adalah ibadat. Adakah patut kita mencampurkan soal ibadat dengan benda-benda yang haram? Di dalam al-Quran jelas Allah telah memerintahkan kita menjauhi judi dan arak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan secara umum sekiranya terdapat syarikat judi atau arak yang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Muhammad Yusoff berkata, perkara yang dibangkitkan itu bukan berkaitan dengan soal tujuannya baik atau sebaliknya tetapi ia amat berkaitan dengan soal hukum melainkan sekiranya pertubuhan anak yatim itu benar-benar tidak tahu bahawa pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu adalah syarikat judi atau arak.

"Saya amat berharap semua pertubuhan dan rumah anak-anak yatim meneliti terlebih dahulu pihak yang menjemput mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku. Jika ada jemputan daripada mereka kita wajib tolak. "Kita tahu syarikat-syarikat seperti ini mahu melakukan sesuatu yang baik tetapi masalahnya tidak boleh, tidak manis, tidak wajar dan tidak sesuai kerana sumber pendapatan mereka haram,'' katanya. Beliau berkata, sekiranya syarikat-syarikat seperti itu tetap mahu memberi derma kepada anak-anak yatim, mereka boleh mencari anak-anak yatim yang seagama tetapi bukannya kanak-kanak Islam. "Saya percaya banyak lagi syarikat dan korporat Islam yang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dalam bulan Ramadan ini,'' ujarnya.

 Komen Lelucon: Duit yang datang dari sumber yang haram adalah haram. Kasihan anak-anak yatim tu. Walaupun derma untuk anak yatim, syarikat korporat mungkin ada niat untuk promosi. Jadi dah syubhah. Pengurusan tahu pula tu. Jadi tanggunglah dosanya. Mati ke kalau tak berbuka di hotel? Oleh itu berikanlah anak-anak yatim itu duit dari sumber yang halal. Mudah-mudahan jadi anak-anak yang soleh dan solehah. Insya'Allah.

Selasa, 2 Ogos 2011

Sisipan - Selamat Datang Wahai Ramadhan

Sempena bulan beramal ni, saya paparkan semula masukan blog yang lepas (diubahsuai dan disesuaikan dgn bulan Ramadhan). http://lelucon2020.blogspot.com/2009/04/sisipan-surat-untuk-saudaraku.html

------------

'Apa makna basmallah (bismillah), zikir (lailaha illAllah), takbir (Allahu akbar), tasbih (SubhanAllah) dan tahmid (Alhamdulillah) - kepada saya'

بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama Allah Yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)

Buat saudaraku yang sangat dikasihi, semoga sihat selalu. Bagaimana iman hari ini? Semoga sentiasa teguh dalam agama Allah, walaupun nafsu sentiasa menggoda untuk menyesatkan kita. Dan semoga terus dirahmati Allah, serta diperteguhkan jiwa untuk terus berada di atas jalan kebenaran. Buatlah apa tugaspun, asalkan terus mendapat keredhaan Tuhan.


Saudaraku,

Saya kepingin sekali berkongsi erti 'azimat berharga' kepada saudara. Bukan apa, mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu kita menjalani ibadah seharian yang penuh dengan cabaran. Juga, setidak-tidaknya saat Malaikat Maut menjemput saya nanti, tidaklah saya kecewa kerana tidak menceritakan berita baik ini kepada saudara yang sangat saya kasihi.

Sejak kecil, saya diajar supaya membaca basmallah sebelum makan, dan mengucap tahmid apabila selesai makan. Saya berkenalan pula dengan zikir dan tasbih ketika bersekolah rendah. Namun, ketika itu saya tidak terasa apa-apa ketika mengucapkannya. Ya, mungkin di kotak fikiran saya ingat akan Tuhan bernama Allah, tapi dalam hati sebagai anak kecil (malah hingga sekolah menengah dan dewasa), hati saya masih tidak terasa akan kehebatan 'azimat berharga' ini. Mungkin kerana fikiran yang masih mentah dan kurang pendidikan dari aspek penghayatan, maka saya langsung terfikir tentangnya. Apatah lagi untuk merasainya. Malang!

Apabila dewasa, bekerja dan menjalani kehidupan, perjalanan hidup mula berubah. Pelbagai tekanan dan masalah mula terasa. Cabaran hidup yang memerlukan kematangan untuk mengatasinya, masalah bebanan kerja yang tidak selesai-selesai, memberi seribu macam tekanan dan gangguan emosi yang menghentam jiwa. Hari demi hari, dunia seakan makin sempit. Hidup ini seolah-olah tidak ada bahagia. Pelbagai tekanan menghimpit emosi. Bahkan, fikiran pun diasak bertubi-tubi dengan segala macam suara-suara halus yang menghentam dan memaki hamun kelemahan dan kesilapan diri. Cuba saudara bayangkan!

Namun, siapa sangka, di saat saya benar-benar memerlukan bantuan sokongan moral dan ketenangan jiwa, saya seolah-olah diberi petunjuk untuk kembali kepada 'hikmah' yang sekian lama saya tinggalkan. Betapa selama ini saya tidak menyedari, bahawa di sebalik ungkapan-ungkapan 'mengingati Tuhan' itu, tersembunyi 1001 macam rahsia yang sangat berharga. Ibarat bayi yang baru bertatih, saya digerakkan untuk memahami apa sebenarnya rahsia yang saya rasa tersembunyi itu. Tidak siapa yang menegur, tiada siapa yang membimbing. Maka teraba-rabalah saya seperti 'mencari sebatang jarum di dalam gelap'.


Saudaraku,

Benarlah, Allah itu memberi hidayah pada siapa yang diinginiNya. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya mula terasa kehebatan 'azimat berharga' ini. Entah bagaimana, Allah saja yang tahu. Allah beri saya kefahaman, Allah beri saya pedoman, dan rahsia itu mula mengubat jiwa yang sangat-sangat terseksa. Jiwa yang sangat merindui Tuhannya. Benarlah kata orang, 'penderitaan mengajar manusia kesungguhan'.

Dengan berulang kali melafazkan basmallah dan menghayati maknanya, saya mula dapat memahami hakikat diri ini. Mungkin belum sehebat rasa zuhud para Nabi, tetapi itu sudah cukup membuat diri ini sangat-sangat kecil. Betapa kalimah yang saya ucapkan berkali-kali (berbillion tentunya), rupanya adalah satu ubat. Di dalamnya terkandung herba penenang hati, penenteram jiwa. Betapa dengan mengucapkan bismillah yang disertai dengan usaha menghayati maksud 'kebesaran Tuhan', jiwa ini jadi tenang, jadi tenteram. Seolah-olah baru bertemu 1,000,000 kaunselor! Hakikatnya ketenangan itu mungkin tidak dapat walaupun bertemu dengan mana-mana kaunselor pun.

Selain itu saya cuba memahami maksud zikir. Bukan pada bahasanya, tetapi kelazatannya. Saudara tentu tahu apa itu zikir. Tapi saya tidak pasti apakah saudara sudah tahu pentingnya pada jiwa. Zikir mengajar saya supaya mengenal hakikat bahawa diri ini ada pemiliknya, dan pemiliknya hanya satu. Dialah yang memiliki saya, dan Dia jugalah yang memiliki seluruh alam. Tidak pernah terduga sebelumnya, bahawa nafas juga adalah makhluk yang ada pemiliknya. Alangkah daifnya saya! Namun, syukurlah, semua ini dapat juga terduga bila makna zikir itu dapat saya hayati.

Tasbih dan takbir, memuji kesucian Allah dari sifat buruk dan sebarang kelemahan. Betapa di sisi kita, sebenarnya ada 'kaunselor' yang sentiasa bersedia mendengar rintihan 'pesakitnya'. Itulah Allah, Tuhan kita. Betapa 'kaunselor' itu sangat hebat, tidak pernah merungut, mengeji dan merendah-rendahkan masalah jiwa yang kita hadapi. Apatah lagi menghebahkan rahsia diri. Betapa 'kaunselor' itu sangat menyayangi, malah sanggup mendengar berulang kali rintihan 'pesakitnya' tanpa had. Biarlah sampai bila-bila pun, kerana sesungguhnya 'kaunselor' itu Maha Agung dan dengan kuasanya itu Dia memahami dan menyelesaikan masalah kita.


Saudaraku,

Malu rasanya, betapa selama ini saya lupa untuk berterima kasih. Betapa yang saya nampak cuma sekelumit masalah yang menghimpit jiwa, walhal di sebaliknya menggunung nikmat yang tidak terkira. Betapa malangnya, selama ini tidak saya terfikir tahmid (alhamdulillah) itu besar sekali pengertiannya. Bukan setakat kalimah-kalimah 'terima kasih'. Sesungguhnya dengan bersyukur akan bertambah lagi nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Betapa tahmid itu sebenarnya kunci kepada khazanah rahmat dan rezeki yang lebih banyak, menunggu untuk dibuka. Alangkah malangnya saya yang tidak faham erti syukur, walhal berbillion kali disebut kalimah-kalimah tahmid itu. Dan, sesungguhnya dengan memikirkan kesenangan yang telah diperolehi menjadi ubat kepada segala sengsara. Kerana rasa malu yang amat. Kita kerap menangis bila ditimpa musibah tetapi jangan lupa, kita juga lalai bila mendapat senang!

Hakikatnya saya benar-benar bersyukur diberi nikmat dan hidayah untuk memahaminya. Mungkin tidak sehebat bagaimana para Nabi dan Rasul memahami hakikat kejadian diri. Namun sekelumit nikmat ini sudah cukup untuk memberi sejuta kemanisan kepada jiwa yang sentiasa dahagakan bimbingan untuk mencari kebenaran.

Inilah rahsia yang ingin saya kongsikan dengan saudara. Tidak tahulah bagaimana saudara mahu menerimanya, tetapi yang pasti 'azimat' ini benar-benar berharga buat saya. Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah sama-sama kita menghayati rahsia nikmat pemberian Tuhan. Mungkin khabar ini cuma sedikit dari selaut rahsia, tapi cukuplah untuk kita mengenal Tuhan dan terus mengkaji rahsia-rahsia yang masih tersimpan.

Marilah kita kembali kepada fitrah, bahawa kita dijadikan untuk beribadah kepadaNya. Marilah kita mengenang kembali asal kejadian kita, dan sama-sama mengajak saudara-saudara kita untuk kembali kembali kepada kebenaran, kembali kepada Islam. Sampaikanlah dakwah kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita cuma Allah yang Satu, dan Muhammad itu pesuruhNya. Mudah-mudahan, terlepas kita dari disoal di akhirat kelak tentang tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah tentang Islam.

Rasanya cukuplah setakat ini. Sesekali kirimlah khabar berita kepada saya. Akhir kata, sambutlah salam manis dari saya. Semoga sempena bulan Ramadhan tahun ini, saudara, saya dan saudara-saudara yang lain terus mendapat hidayah dan rahmat Allah, Tuhan kita semua.

Wassalamualaikum.

-lelucon

Rabu, 27 Julai 2011

Sisipan: Ke Arah Masyarakat Beretika dan Berintegriti - Mampukah kita?


Hmmm... mampukah?

Apapun, program berikut satu langkah yang wajar dipuji. Ia juga wajar diperluaskan kerana zina dan godaan nafsu tidak mengenal usia. 

SEBAHAGIAN 135 pelajar politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur yang menyertai Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Anda Bijak Jauhi Zina di Dusun Eco Resort, Kuantan, baru-baru ini.
BENTONG 26 Julai - Seramai 135 pelajar politeknik dan kolej komuniti zon timur berkampung di Dusun Eco Resort, di sini untuk menyertai program pembangunan sahsiah pelajar 'Anda Bijak Jauhi Zina' anjuran Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, baru-baru ini. Mereka terdiri daripada pelajar Polisas, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Jeli, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Kota Bharu, Kolej Komuniti Paya Besar dan Kolej Komuniti Rompin.
Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, fokus utama selama tiga hari itu bertujuan mendidik, membimbing dan memperkasakan jati diri remaja Islam menerusi latihan insentif yang disediakan penganjur.
Sepanjang program itu, kata beliau, peserta bukan sahaja dibimbing menjauhi aktiviti yang menjurus kepada berlakunya zina, malah, turut dilatih menjadi peer group iaitu membimbing rakan-rakan mereka yang menghadapi masalah sosial sekembalinya ke kampus masing-masing.

Jauhilah Zina. Zina dan maksiat musuh no. 1 negara.

Isnin, 25 Julai 2011

Sekolah Dalam Hospital - Jangan Abaikan Anak Orang Miskin

Program Sekolah dalam Hospital merupakan program hasil cetusan idea isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen. Tujuannya bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di hospital tidak keciciran dan tertinggal pelajaran kerana tidak dapat hadir ke sekolah.



Saya memuji inisiatif kerajaan serta mereka yang terlibat. Namun program ini harus dikaji keberkesanan dan kaedah pelaksanaannya kerana beberapa faktor:
  • Adakah kanak-kanak atau pelajar yang sakit itu dapat menghayati sepenuhnya sesi pembelajaran-pengajaran yang dijalankan? Berbaloikah wang yang dibelanjakan untuk mengajar mereka?
  • Cukupkah bilangan guru yang diperlukan (11 orang di setiap hospital)? Selama ini sekolah biasa pun kekurangan guru.
  • Berapa kos yang diperlukan untuk melaksanakan program tersebut? Adakah lebih baik berbanding sesi kelas biasa, atau menerusi telekonferens?
  • dll faktor.
Selain itu perlu juga dikaji,
  • Berapa ramaikah pelajar yang sihat tetapi ketinggalan pelajaran kerana dihimpit kemiskinan?
  • Bagaimana nasib mereka? 
  • Bagaimana dengan nasib anak-anak yang terbiar disebabkan ibubapa sakit dan tidak mampu menangggung persekolahan mereka?
Saya berharap kerajaan tidak mengabaikan mereka.

Khamis, 14 Julai 2011

Ulasan Buku - A Doctor In The House

Sumber imej: Laman web Tun Dr Mahathir


Tajuk buku : ‘A Doctor In The House’ - The Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad
Penerbit : MPH Publisher
Harga : RM100


Buku ini merupakan buku yang paling tebal pernah saya baca - ~800 muka surat. Namun saya tidak bosan membacanya. Bahkan ada masa saya kena memaksa diri untuk berhenti membacanya, demi melakukan tugas harian lain. Oleh sebab itu juga saya habis membaca dalam masa 2 minggu (cukup cepat bagi saya, untuk buku setebal itu).

Buku ini merupakan catatan pengalaman peribadi mantan Perdana Menteri ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Selain sebagai Perdana Menteri paling lama mentadbir (22 tahun), beliau juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia. Sepanjang tempoh pentadbirannya yang cukup lama itu, nyata tidak dipersiakan oleh Tun. Pelbagai projek dilaksanakan bagi memajukan Malaysia.

Usaha Tun Mahathir amnya banyak bergantung kepada kesinambungan usaha pembangunan yang dilakukan oleh Tun Razak. Melalui usaha Tun Razak, pembangunan Malaysia digerakkan melalui Dasar Ekonomi Baru, Dasar Sekolah Kebangsaan, dan usaha pembangunan masyarakat luar bandar melalui FELDA. Usaha Tun Razak menjadi pemangkin kepada pembangunan Malaysia, khususnya ekonomi orang Melayu dan kemajuan dari aspek perpaduan kaum. Apabila Tun Hussein Onn mengambil alih jawatan Perdana Menteri, semua usaha Tun Razak diteruskan tanpa perubahan yang drastik.

Namun apabila Tun Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri pelbagai pembaharuan drastik diperkenalkan, selain meneruskan kesinambungan usaha Perdana Menteri sebelum beliau. Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah Dasar Pandang ke Timur, projek kereta nasional (PROTON), projek lebuhraya Utara-Selatan, projek Jambatan Pulau Pinang, pengenalan industri mikroelektronik (dan penubuhan MIMOS), pembuatan motosikal pertama nasional (MODENAS) dan kereta ke-2 (PERODUA), dan banyak lagi usaha yang memajukan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Tidak cukup dengan itu Tun juga memberi sinar baharu kepada sistem pentadbiran kerajaan seperti mesin perakam waktu, disiplin dalam perkhidmatan awam, dan pemindahan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya.

Memoir ini memberi kesempatan pada pembaca menelusuri perjalanan hidup Tun Mahathir sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah beliau bersara daripada kerajaan. Pelbagai kisah suka-duka beliau ditulis dalam buku ini. Antaranya pengalaman sebagai remaja ketika pendudukan Jepun, saat-saat awal penglibatan beliau dengan politik dan memasuki sekolah perubatan (kemudian menjadi doktor), penglibatannya dengan UMNO dan juga pengalaman pahit semasa mengalami serangan jantung dan terpaksa dibedah. Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana memoir ini juga merupakan sebuah buku sejarah kerana Tun turut menulis tentang sejarah Tanah Melayu dan proses mencapai kemerdekaan. Justeru sangat sesuai untuk dijadikan rujukan golongan muda yang mungkin tidak mengetahui fakta sejarah selain yang ditulis dalam buku teks di sekolah.

Amnya melalui memoir beliau, Tun Mahathir juga cuba menyelitkan pelbagai penjelasan terhadap isu-isu yang dialami beliau, khususnya yang membabitkan UMNO dan jawatan Perdana Menteri. Kesempatan ini digunakan oleh Tun dalam menjelaskan rasional tindakan-tindakan beliau yang dulunya tidak ada ruang untuk disampaikan kepada umum. Isu-isu membabitkan 'pertelagahan' beliau dengan Tunku Abdul Rahman, kontroversi penyingkiran beliau dari UMNO, pertandingan dengan Tengku Razaleigh (yang mengakibatkan pengharaman UMNO dan penubuhan S46 dan UMNO baru), dan isu yang paling hangat membabitkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang dengan berusaha memberi penjelasan yang cukup terperinci, termasuk yang mungkin tidak akan diketahui oleh orang ramai yang tidak membaca memoir ini.

Tun Mahathir juga turut menulis tentang pelbagai perkara berkaitan tugas dan pengalamannya sebagai doktor, wakil rakyat, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dalam membangunkan status serta pencapaian orang Melayu. Pelbagai kisah teladan, nasihat, peringatan, panduan, dan sebagainya yang (mungkin) ditujukan khas kepada orang Melayu dan generasi muda masa depan.

Keseluruhannya, sebagai pembaca dan orang Melayu Islam, saya benar-benar berpuas hati dengan penulisan memoir ini. Bukan sahaja ia memperkenalkan saya kepada Mahathir Mohamad, malah membantu saya memahami pelbagai perkara yang membabitkan sejarah negara dan proses pembangunannya yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Mahathir. Sebagai generasi muda, adalah penting bagi saya untuk mengetahui dan mendalami perkara ini. Hal ini supaya saya lebih menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam menghasilkan sebuah negara Malaysia yang saya kecapi pada hari ini. Saya juga dapat mendalami pelbagai perkara dan rasionalnya, terutama yang membabitkan aspek pemodenan dan dasar pembangunan negara. Secara tidak langsung, dengan memahami tahap kompleksiti dan kesukaran melaksanakannya, saya dapat menghargai dan mudah-mudahan dapat membantu meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Tun Mahathir.

Kesimpulannya, buku memoir ini sangat berharga untuk dilepaskan. Bacalah, dan hayatilah kandungannya. Mungkin dalam aspek akademik memoir ini bukanlah bahan ilmiah yang teknikal. Namun ia juga bukanlah bahan bacaan yang bersifat popular semata-mata kerana sarat dengan pelbagai panduan, pengajaran dan ilmu yang ditulis oleh seorang negarawan ulung. Secara peribadi, walaupun Tun tidak dianggap seorang ulama, saya menganggap Tun Mahathir adalah tokoh pemikir terbilang era zaman moden yang sudah layak duduk sebaris dengan tokoh Islam zaman silam seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun - berdasarkan usaha dan visi beliau dalam memodenkan umat Islam dan masyarakat amnya.

Sebagai baris akhir - Syabas dan terima kasih Tun Mahathir Mohamad – tokoh dunia moden Islam.

Sabtu, 9 Julai 2011

Sadisnya pelajar IPT hari ini...


Pelik, sedih, kecewa!

Begitulah untuk menggambarkan perasaan saya. Hari ini, 9 Julai 2011, akan tercatit satu lagi 'peristiwa hitam' dalam sejarah negara Malaysia. Gara-gara Perhimpunan BERSIH, kononnya bermatlamat mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya secara adil(?), berlaku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Hakikatnya peristiwa ini sangat mendukacitakan. Jelas sekali apa yang berlaku bukan untuk mencapai 'matlamat' asalnya. Sebaliknya ia merupakan suatu perhimpunan yang ketara didalangi oleh pemimpin parti politik pembangkang dan pemimpin pertubuhan tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan, bertujuan untuk memenuhi kepentingan mereka yang kononnya begitu yakin untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Namun saya bukan hendak berbicara soal politik. Sebaliknya yang ingin diulas ialah penglibatan pelajar dalam perhimpunan tersebut. Cukup menyedihkan dan tersentuh hati saya apabila pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi (IPT) yang mudah sekali diperalatkan demi kepentingan individu tertentu. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Mengapa terjadi sedemikian? Bukankah pelajar IPT adalah golongan bijak pandai?

Bagi saya, seharusnya pelajar IPT cukup matang untuk menilai baik-buruk tindakan mereka. Bahkan dalam sesuatu aktiviti yang tidak ada matlamat yang mantap seperti perhimpunan BERSIH ini, pelajar harus boleh menilainya dengan lebih baik - iaitu dengan tidak menyertainya.

Saya berpendapat golongan pelajar IPT perlu ada pendirian dan melaksanakan gerakan mereka berpandukan matlamat dan prinsip sendiri. Bukannya menjadi alat politik seperti yang berlaku sekarang. Jelas sekali pelajar IPT di Malaysia belum ada pendirian. Fikiran mereka belum matang (terutama pemimpin pelajar tersebut) sehingga diperalatkan sedemikian rupa hanya untuk kepentingan individu atau pihak tertentu.

Walhal sebagai pelajar IPT, mereka harus cerdik dan cukup matang untuk membangkitkan isu-isu yang lebih dekat dengan diri mereka dan bidang pendidikan. Banyak isu-isu di IPT hingga kini masih lagi berlaku dan tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, khususnya kementerian pengajian tinggi dan pihak universiti itu sendiri. Di manakah peranan pemimpin dan persatuan pelajar? Di manakah peranan pelajar dalam menuntut hak mereka?

Misalnya, mutu pembelajaran di universiti jelas semakin merosot. Pencapaian dan kelulusan yang diperolehi tidak membantu graduan di sektor industri. Kadar pengangguran graduan IPT makin meningkat. Ini menunjukkan sesi pengajian universiti tidak membantu meningkatkan prestasi atau kemahiran pelajar. Bahkan lebih buruk lagi, banyak IPT di Malaysia kini lebih menumpukan kepada KPI (Key Performance Index) penyelidikan. Keutamaan yang keterlaluan terhadap soal penerbitan dan penyelidikan yang mengetepikan kebajikan dan pendidikan pelajar, menyebabkan ada kalangan pensyarah sudah tidak mementingkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar tidak lagi mendapat kualiti pembelajaran yang diperlukan.

Bukankah ini yang seharusnya pelajar perjuangkan - iaitu mendapatkan hak terhadap pelajaran yang berkualiti dan bermutu? Kenapa tidak diperjuangkan? Adakah dengan menukar kerajaan boleh menyelesaikan semua masalah pelajar? Belum tentu! Sebabnya pemimpin pembangkang pun 2x5 sahaja. Bahkan jika dilihat pencapaian pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang, haru-biru dibuatnya. Inikah 'kerajaan' yang diharapkan untuk menyelesaikan masalah pelajar?

Malangnya pemimpin pelajar yang cetek pengalaman ini lebih suka kepada hal-hal politik dan berhimpun dalam perhimpunan yang boleh bertukar menjadi ganas (mungkin seronok disembur air, macam hero!). Bukan sahaja ia tidak berkait langsung dengan pelajaran, bahkan boleh membuatkan mereka dibuang universiti. Adakah dengan dibuang atau digantung universiti mencapai matlamat sebagai pelajar?

Begitulah sadisnya pemikiran pelajar IPT yang dikatakan sangat bijak pandai ...

Jumaat, 3 Jun 2011

Bahasa salah - Surat terbuka untuk DUMEX (M)























Perhatikan mesej 'Komplete Nutri' yang digunakan sebagai motto pengiklanan di atas. (sumber: Danone Dumex (M) Sdn Bhd)


Versi Bahasa Inggeris

To:
Customer Support and Service Dept.
Danone Dumex (M) Sdn. Bhd.


Dear sir/madam,

Today i went to a nearby supermarket and bought two packs of Dugro 3-6. I've been buying Dugro since my daughter was a baby, and i maintains with your products until now (she is 5 years old now). She likes it a lot, and i've no problem being a loyal customer for Dugro.

My complaint is not about your product, but on its marketing/advertising. I believed most multinational companies normally concerned about the local culture where they are selling their products. And so is Dumex. Sadly, when i saw the latest advertising campaign, i felt that Dumex is not at par with other multinational companies which are seem more concern about the locals (e.g. Dutch Lady or Nestle). Using 'komplete nutri' as motto simply shows that Dumex does not care to promote correct usage of Bahasa Malaysia or shows Dumex is not sensitive with such issue (which is supposed to be 'Nutrisi Sempurna', by the way). 'Komplete nutri' is obviously neither English nor Bahasa Malaysia. So what is the purpose of creating these terms?

I really hoped that Dumex would give more attention to my complaint, as people especially the Malays are more concern with language after the 'chaos' made by the PPSMI issue. Some of them might be your customers, like me. I hoped Dumex can do something about this.

Thank you.

-lelucon
blogger (http://lelucon2020.blogspot.com)


p/s: Gunakanlah Bahasa Malaysia dengan betul.

Khamis, 2 Jun 2011

'Mentekedarah' hasil titik peluh orang lain?

'Mentekedarah' lebih kurang sama maknanya dengan 'menikmati' (berlebihan). Tidak tahulah siapa yang menciptanya. Istilah ini bukanlah istilah bahasa standard, tapi bahasa slanga atau dialek yang acapkali digunakan di kalangan orang biasa-biasa atau percakapan seharian.

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah sikap 'suka lepas tangan' dan 'tidak ambil pusing' para pensyarah terhadap pelajar di bawah kendaliannya untuk program pasca graduat (sarjana/doktor falsafah (PhD)). Mungkin hal ini tidak melibatkan semua pensyarah institut pengajian tinggi (IPT). Namun yang nyata hal ini semakin membimbangkan, kerana saban hari makin kerap pula isu ini dibangkitkan oleh teman-teman yang terlibat sebagai pelajar. Maka secara tidak langsung, hal ini harus diberi perhatian bagi mereka yang sedang berkira-kira untuk melanjutkan pengajian dalam program terbabit (sarjana/PhD).

Umumnya, setiap pelajar yang menyambung pelajaran di peringkat sarjana atau PhD akan diletakkan di bawah bimbingan / kendalian seorang pensyarah, sebagai penyelia pelajar. Penyelia merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan pelajar terbabit dapat melakukan penyelidikan dan menyiapkan laporan tesisnya sebagai syarat layak mendapat anugerah sarjana / PhD. Justeru, penyelia sepatutnya memberi bimbingan sebaik mungkin dan melayani masalah, keperluan, kemusykilan dan sebagainya yang dihadapi oleh pelajar sepanjang tempoh penyelidikan.

NAMUN, hal yang berlaku sekarang ialah pensyarah/penyelia yang sepatutnya membimbing pelajar tersebut akan melakukan perkara-perkara berikut:
  • Memberitahu pelajar panduan umum tentang pengajian dan 'tanggungjawab'nya untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan (minimum 2 tahun untuk sarjana, atau 3 tahun untuk PhD, yang pelajar sudah sedia maklum). Selain itu, 'lantak ko' (terpulang pada pelajar itu sendiri);
  • Memaksa pelajar melakukan tugas penyelidikan yang lain, yang berbeza sama sekali dengan apa yang dimohon atau dinyatakan dalam proposal (di luar kemahuan pelajar), kemudian menyalahkan pelajar apabila projek gagal atau apabila timbul masalah;
  • Hari ini suruh lain, esok suruh lain, masa pembentangan tanya lain?;
  • Menyerahkan bulat-bulat kepada pelajar untuk melakukan penyelidikan, dan hanya tunggu hasil atau keputusan;
dan bermacam-macam lagi perkara pelik yang menimbulkan masalah kepada pelajar.

Kemudian apabila tugas-tugas penyelidikan mula diambilkira dalam penilaian prestasi, maka masalah yang lebih 'parah' mula menular di kalangan para pensyarah yang menyelia pelajar sarjana/PhD. Hari ini, kita akan sering mendengar masalah berhubung penulisan makalah / penerbitan jurnal (yang memberi markah kepada penilaian kerja pensyarah), seperti berikut:
  1. Penyelia akan meminta pelajar menulis makalah untuknya.
    'Bagaimana?' tanya pelajar itu yang masih tidak tahu hala tuju.
    'Pandai-pandailah', jawab penyelia dengan senang hati.

  2. Penyelia akan meminta namanya dimasukkan dalam senarai penulis makalah, walhal penyelia tidak menulis sepatah (haram) perkataan pun dalam makalah tersebut!;
  3. Penyelia akan meminta namanya dimasukkan DAN diletakkan sebagai penulis utama (pertama), walaupun kandungan makalah itu adalah hasil penulisan dan kerja pelajarnya!;
  4. Penyelia akan 'melenting' kerana pelajar tidak mempedulikan permintaannya (masalah 2 di atas)

Untuk makluman semua, penulisan makalah ialah sebagai laporan hasil kerja penyelidikan. Biasanya bagi pelajar sarjana / PhD, pelajar memang sepatutnya menulis makalah kerana penyelidikan tersebut dilakukan oleh pelajar dan tentunya dia lebih faham. Namun perlu diingat, secara etikanya, NAMA ORANG YANG MENULIS DALAM MAKALAH ITU SAHAJA YANG SEPATUTNYA DILETAKKAN SEBAGAI PENULIS! (Kecuali dengan pertimbangan, jika ada idea penting individu lain (cth. penyelia) yang dimuatkan dalam makalah tersebut, maka boleh diletakkan namanya bersama. Namun nama penulis utama mestilah nama yang pertama.) Ini adalah etika dalam penulisan, tidak kiralah penyelia atau individu lain itu seorang pensyarah senior, profesor madya, profesor mahupun individu yang bergelar Dato' sekalipun! (maklum sajalah, ramai ahli akademik sudah bergelar Dato'...)

Jadi masalah yang berlaku melibatkan penyelia-pelajar di atas tak ubah seperti yang saya sebut 'mentekedarah' hasil titik peluh orang lain. Ini kerana, sudahlah penyelia mengambil sikap lepas tangan dan tidak mahu membimbing pelajar kendaliannya, kemudian meminta pula namanya dimasukkan dalam senarai penulis (kerana dia tahu akan dikira untuk markah penilaian). Tidak malukah mereka ini?

Hal ini bukan sahaja memburukkan imej pensyarah / penyelia yang berkaliber, malahan memburukkan lagi usaha kita yang cuba memajukan bidang penyelidikan dan saintifik ke arah mencapai taraf negara maju.

Sebenarnya isu ini tidak melibatkan semua pensyarah. Ada juga saya dengar, penyelia yang suka dan bersungguh-sungguh membantu pelajarnya. Bahkan ada juga yang sampai berlebih-lebihan (pelajar pula yang 'goyang kaki'). Namun begitu, masalah ini saban hari semakin ketara dan menular pula, seolah-olah menjadi budaya dan kebiasaan di kalangan pensyarah! (siapa tak mahu kerja senang?)

Disebabkan hal ini, saya ingin mengingatkan bakal pelajar ijazah sarjana atau PhD, bersedia sebaik mungkin dari aspek persiapan, pengetahuan dan sebagainya sebelum memohon melanjutkan pelajaran. Jika anda menghadapi masalah-masalah yang disebutkan, sekurang-kurangnya anda telah bersedia untuk menghadapi dan mampu menanganinya. Pilihlah bakal penyelia dengan sebaiknya. Ketahui hak anda, supaya tidak dipergunakan sewenang-wenangnya oleh 'ilmuan' (kononnya) yang ingin mengambil kesempatan.

Dalam melakukan tugas penyelidikan dan melaksanakan tugas penerbitan (laporan penyelidikan), ETIKA HARUS DIJAGA. Penyelidikan dan bidang keilmuan itu merupakan satu tugas yang mulia. Setiap individu yang terlibat, sama ada pensyarah (penyelia) mahupun pelajar harus ikhlas dan bersungguh-sungguh melakukan tugas penyelidikan. Bagi yang belum terlibat dalam bidang penyelidikan, masalah yang dinyatakan di sini agak teknikal dan sukar difahami. Namun apabila anda melaluinya (harap-harap tidaklah), mungkin anda akan dapat merasai betapa seriusnya masalah ini.

Harapnya, apa yang diperkatakan di sini dapat dijadikan panduan oleh pembaca yang ingin melanjutkan pengajian dalam program sarjana atau PhD untuk mengelakkan masalah pada masa akan datang. Insya'Allah.

Selasa, 24 Mei 2011

Di mana kebodohan kita?

* Saya tak kata kita (orang Malaysia) ni bodoh. Tapi sepandai-pandai manusia, memang banyak kelemahan dan ke'bodohan'nya.

Saya sering bertanya pada diri sendiri - kenapa kita masih tidak maju? Pelbagai cara dan usaha sudah dilakukan dalam masyarakat kita dalam usaha mencapai kemajuan. Bahkan slogan 'kita mesti menyaingi bangsa yang lebih maju' acapkali didendang dan dilaungkan. Namun, kita semacam masih terus berada di takuk lama. Usahkan hendak mengatasi bangsa yang maju, nak memajukan diri sendiri pun macam tak dapat-dapat juga. Walaupun Tun Mahathir berusaha membangunkan pelbagai prasarana yang hebat-hebat (KLCC, Cyberjaya, Putrajaya dsb) dan pembangunan industri (elektronik, kenderaan), nampaknya belum cukup untuk membolehkan kita bergelar masyarakat maju. Kenapa agaknya?

Salah satu sebab yang mungkin ialah budaya masyarakat. Masyarakat kita belum mampu membudayakan penerokaan ilmu. Masyarakat perlu sedar, penerokaan bukan setakat mempelajari ilmu yang bertimbun-timbun di sekeliling kita, tetapi juga cuba membentuk suatu kerangka, konsep, elemen ilmu yang baharu. Belajar saja tidak cukup kerana semua orang belajar. Tetapi yang membezakan (dengan ketara sekali) antara bangsa maju dengan yang biasa-biasa ialah bangsa maju begitu banyak meneroka dan menghasilkan ilmu-ilmu yang baharu. Dengan adanya pembentukan ilmu baharu, maka mereka dapat membina pelantar atau jambatan untuk meneroka ilmu yang lebih baharu yang bangsa lain belum mampu mencapainya (termasuklah kita, yang masih terkapai-kapai menghadam ilmu sedia ada).

Selain itu, budaya masyarakat kita lebih tertumpu kepada mempelajari (hanya menerima) pendapat dan pandangan dari bangsa lain, tanpa mahu berfikiran kritikal dan mempersoalkan ilmu yang disampaikan oleh bangsa yang maju. Ini lebih dikenali sebagai budaya pengguna (consumer). Sedangkan apa yang kita terima itu belum tentu betul dan sepatutnya dipersoalkan supaya kita boleh mengungkapkan 'kebenaran' dalam 'ilmu' tersebut. Selain itu dengan hanya mengamalkan budaya pengguna, kita terikat dan bergantung kepada bangsa lain. Sedangkan jika hal ini berterusan, kita akan menjadi pengikut selama-lamanya (kerana kita tidak mampu mengatasi kedudukan mereka disebabkan terus-terusan menjadi 'pak turut'). Budaya pengguna tidak salah. Tetapi pada masa yang sama kita harus manfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari untuk menghasilkan ilmu-ilmu baharu yang belum diteroka oleh bangsa maju. Ini akan memberi kelebihan sekaligus mengatasi mereka.

Kita perlu mengubah budaya pengguna kepada budaya pengeluar (producer). Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu dari bangsa lain, kita sebenarnya sudah ada batu loncatan untuk membuka jalan kepada penerokaan baharu. Mengapa nak tunggu sampai dapat semua? Gunakan, dan manfaatkan apa saja ilmu yang sudah kita miliki. Cuba bentuk satu usaha meneroka ilmu baharu daripada apa sahaja yang kita ada. Sintesiskan suatu kajian dan mulakan penerokaan, kemudian hebahkan apa saja penemuan yang kita rasa bermanfaat kepada masyarakat kita sendiri.

Sebenarnya konsep belajar-mengajar ini sudah lama digalakkan di kalangan umat Islam. Apabila kita belajar sesuatu ilmu, kita digalakkan untuk mengajarnya kepada saudara muslim. Melalui cara ini, bukan sahaja saudara kita dapat mempelajari ilmu baharu, tetapi dengan mengajar kepada orang lain, kita akan terfikir tentang ilmu tersebut. Hasil pemikiran akan mencetuskan pula pembaikan, idea, dan sebagainya. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman kepada ilmu yang kita miliki. Sedangkan jika kita hanya belajar (dan tidak mengajar) kita tidak berapa terdorong untuk berfikir secara kritikal dan memikirkan semula ilmu yang kita pelajari itu (kecuali jika perlu digunakan dalam situasi tertentu). Itulah bezanya budaya belajar dengan kesan budaya belajar-mengajar. Budaya belajar-mengajar itu akan mendorong kita terus berfikir secara kritikal dan jika bernasib baik, orang yang kita ajar itu memperbaiki kesilapan yang tidak kita sedari.

Satu lagi kelemahan masyarakat kita ialah kurang membaca. Bukan masyarakat kita kurang membaca, tetapi tidak ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca. Contohnya dalam 1000 orang mungkin hanya 50 saja membaca. Jumlah ini sedikit. Walaupun setiap individu yang 50 itu membaca 30 buku sebulan (hebat), namun yang penting ialah jumlah individu yang membaca berbanding jumlah bahan yang dibaca. Pembaca yang akan membentuk masyarakat, bukan buku atau bahan bacaan itu. Walaupun seseorang dapat membaca habis keseluruhan kandungan perpustakaan, tidak ada maknanya jika sebahagian besar individu lain tidak membaca.

Budaya membaca penting kerana melalui pembacaan akan menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Namun bukan semua bahan bertulis yang boleh dibaca itu berguna. Sesetengahnya hanya bersifat 'sampah', melalaikan dan tidak bermanfaat. Oleh itu hendaklah memilih bahan bacaan yang sesuai. Jika tidak, kita hanya membuang masa dan jika melalaikan, adalah lebih baik untuk tidak membaca. Bagaimana memilih bahan bacaan yang sesuai? Ini terpulang kepada individu kerana ianya bergantung kepada minat dan keupayaan pembaca memahami apa yang dibacanya. Namun amnya, kita hendaklah memilih bahan bacaan yang memberi kebaikan yang disebutkan di atas tadi - menambahkan pengetahuan, mematangkan fikiran, menambahkan idea dan menggalakkan berfikir. Kebaikan-kebaikan ini amnya akan dapat membentuk kita menjadi sebuah masyarakat maju.

Kelemahan lain yang menjadi penghalang kita untuk maju ialah sikap ego dan bodoh sombong. Hal ini lumrah, terutamanya di kalangan golongan senior. Dalam masyarakat umpamanya, ada golongan tua yang tidak suka jika golongan muda bersikap agresif walaupun menghasilkan sesuatu kesan positif. Selain didorong rasa ego (merasakan diri mereka lebih bijak), golongan tua seperti ini sebenarnya khuatir akan hilang kedudukan kepada golongan muda. Oleh sebab itu, mereka sedaya-upaya akan menghalang (mencantas) usaha golongan muda untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada yang dimiliki golongan tua. Sikap 'ego tidak bertempat' dan budaya mencantas ini ada di mana-mana sama ada masyarakat, organisasi mahupun keluarga.

Sikap keegoan hanya akan menghalang kemajuan. Tidak dinafikan sesetengah tindakan golongan muda yang agresif turut membawa kesan yang negatif, apatah lagi jika tindakan mereka hanya didorong oleh 'jiwa muda' dan nafsu semata-mata. Namun ada juga golongan muda yang berfikiran matang dan faham dengan tindakan mereka. Setiap tindakan dilakukan dengan cermat, tersusun dan memberi kesan positif. Maka jika ini berlaku, golongan tua atau senior perlu memberi peluang dan sokongan kepada golongan muda. Bukan menghalang mereka. Ini kerana hasilnya akan dinikmati oleh semua individu (jika berjaya). Adalah malang, jika sesetengah golongan tua itu lebih sanggup berada dalam kebodohan, kegelapan, kesusahan atau apa juga situasi negatif, berbanding memberi peluang golongan muda melakukan pembaharuan. Justeru untuk membentuk sebuah masyarakat maju, kita perlu melakukan pembaharuan yang drastik (atau revolusi), termasuklah memusnahkan sikap ego yang menghalang kepada sebarang usaha pembaharuan.

Dalam usaha menjadi masyarakat maju, sebarang usaha pembaharuan harus disokong. Tidak kiralah apa jua kesannya. Sebagai manusia kita hanya boleh berusaha dan yang menentukannya ialah Allah Taala. Sekiranya usaha pembaharuan itu sudah dinilai sehabis-habisnya, dan dijangka memberi kesan positif tetapi sebaliknya, itu bukan salah sesiapa. Itu adalah taqdir. Maka apabila berlaku kesan negatif, kita hendaklah sama-sama berganding bahu mengatasinya dan bukan tuding-menuding menyalahkan pihak lain. Sikap suka tuding-menuding dan menyalahkan pihak lain ini merupakan satu lagi kebodohan kita yang sering terpamer dalam masyarakat. Sedangkan menanggung kesan negatif akibat usaha pembaharuan merupakan suatu risiko, dan mengalaminya adalah lebih baik berbanding tidak berusaha langsung. Budaya masyarakat maju, apabila berlaku suatu kesan negatif, maka hampir semua orang (dalam masyarakat itu) akan berusaha mencari penyelesaiannya. Mereka tidak duduk berdiam diri mahupun menyalahkan pihak lain, sebaliknya terus berusaha menangani masalah yang dihadapi.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan kita yang boleh diungkapkan. Namun penulisan ini cuba mengungkapkan kelemahan yang penting untuk diubah dan diperbaiki. Jika yang diungkap itu dapat diubah, itupun sudah memadai kerana sedikit halangan sudah dapat diatasi. Maka ini dapat meninggikan peluang kita untuk mencapai taraf masyarakat maju pada masa akan datang. "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit"

Khamis, 14 April 2011

Saya cakap apa yang sepatutnya!

"When I condemned the currency traders at the height of their attack on the East Asian countries I was punished by having the currency of my country devalued further. I was told to cease and desist. I did not and the currency and the stock market and the image of Malaysia suffered. What I have said today may attract other punitive actions. That is a risk that I have to take. That is a risk that my own country will take. But I have to say what I have to say." - Tun Dr Mahathir Mohammed, in his speech during The IX Summit of the G-15, Montego Bay, Jamaica on 10th Feb 1999.

(Terjemahan: "Apabila saya menyalahkan 'penyangak' (pedagang) matawang ketika kemuncak serangan mereka ke atas negara-negara Asia Timur, saya dihukum dengan nilai matawang negara saya disusutkan lagi. Saya disuruh berhenti (meneruskan tindakan). Tapi saya tidak (berhenti) dan matawang, bursa saham dan imej Malaysia terjejas teruk. Apa yang saya katakan hari ini mungkin akan menimbulkan lebih banyak hukuman. Itu adalah risiko yang terpaksa saya tanggung. Itu adalah risiko yang terpaksa negara saya hadapi. Tapi saya kena cakap apa yang perlu saya cakap")

Sumber: Razali Kidam and Amidah Hamim (compilers) (1999) Collections of Mahathir's Speech 1999. Information Department of Malaysia. KL. pp16.

Jumaat, 8 April 2011

Persoalan - kerja / keluarga ...


Seseorang pernah berkata kepada saya,

"Aku tak suka kerja lebih-lebih. Tapi aku nak luangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Kenapa nak kerja teruk-teruk? Kan lebih baik kalau gunakan masa tu untuk bersama keluarga?"
Orangnya bujang, seorang pendidik junior di universiti. Pada fikiran saya, "Dia ni masih baru lagi. Mungkin skrg beban kerjanya masih sedikit, ataupun belum faham kepentingan berkorban/berbakti utk pembangunan masyarakat." (kalau berfoya-foya sampai mengabaikan keluarga mahupun kerja, itu bukan satu pilihan yang wajar.)

Dulu masa belajar di IPT, saya pernah terfikir - saya akan seimbangkan kedua-duanya. Bekerja kuat untuk masyarakat, dan menghabiskan masa sebaiknya bersama keluarga. Tapi nyata sukar, kerana bila sudah berkeluarga dan bekerja, acapkali terpaksa memilih yang satu dan mengorbankan yang satu lagi (paling tidak sikit saja masa utk yg 1 lagi).

Dan sampai hari ini saya masih tertanya-tanya (flip-flop), mana satu lebih baik ? bekerja lebih masa untuk berkhidmat demi kemajuan masyarakat (sampai terpaksa mengorbankan masa untuk keluarga dan diri sendiri) atau seperti yang saudara itu fikirkan (kurangkan kerja, layan keluarga/diri sendiri)?

Hmmm... yg pasti kedua-duanya penting ... (kesejahteraan masyarakat <=> kesejahteraan keluarga)