بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 5 Disember 2012

Koleksi petikan kata-kata orang Melayu terkaya di Malaysia

Berikut adalah koleksi petikan kata-kata YBhg Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang sangat menarik untuk direnung (difikirkan):


  1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.
  2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
  3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
  4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
  5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
  6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
  7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
  8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
  9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
  10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
  11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
  12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
  13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah 
  14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
  15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
  16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
  17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
  18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
  19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
  20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
  21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
  22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
  23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
  24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
  25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.
    Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
  26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
  27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
  28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
  29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
  30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
  31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
  32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
  33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
  34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
  35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
  36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
  37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
  38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
  39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
  40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
  41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
  42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
  43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
  44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
  45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
  46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
  47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
  48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
  49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

petikan dari
SHARIFAH AZIAN BT SYED ENDUT
HR Training & Development / Communication
05710 Alor Star, Kedah Darulaman
MALAYSIA
 

Selasa, 14 Februari 2012

Pentingnya kesepaduan ilmu dunia dan akhirat

Pendidikan adalah asas kemajuan masyarakat. Melalui penyebaran dan pengembangan ilmu pengetahuan, manusia dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup. Namun pendidikan bagaimanakah yang sepatutnya diamalkan? Zaman ini ilmu sains dan teknologi (S&T) menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun cukupkah dengan hanya mendidik anak-anak dengan pengetahuan S&T? Atau cukupkah kita mendedahkan generasi muda kita dengan ilmu pengetahuan sekular yang memisahkan aktiviti keduniaan daripada pengetahuan alam akhirat? Atau adakah kita harus menerapkan ilmu agama saja sebagai persediaan menuju ke alam akhirat, tanpa mempedulikan dunia lagi?

Pendekatan kedua-duanya hendaklah seimbang iaitu pendidikan tentang hal keduniaan (seperti S&T) dan hal alam akhirat (ilmu Islam). Ini kerana ilmu duniawi menyediakan manusia untuk berusaha mencari rezeki, meningkatkan taraf hidup serta memastikan kelangsungan hidup di kalangan manusia yang lain. Sementara ilmu akhirat pula secara khususnya menyediakan manusia untuk selamat dan dapat mengharungi alam akhirat. Maka kedua-dua ilmu perlu dipelajari.

Namun ada lagi yang perlu kita tahu. Kita tidak boleh mempelajarinya secara terpisah, sebaliknya ia harus digabungjalinkan. Sebenarnya kedua-dua ilmu (dunia dan akhirat) saling melengkapi satu sama lain. Walaupun ilmu duniawi membolehkan manusia meneroka pelbagai kemajuan dan meningkatkan kualiti hidup, ilmu akhirat dapat membina ketahanan dalaman seseorang untuk mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup. Ilmu duniawi semata-mata tidak akan dapat membentuk ketahanan dalaman seseorang kerana ianya dibentuk daripada pemikiran manusia juga. Sedangkan ilmu akhirat adalah petunjuk daripada Allah S.W.T. yang mencipta manusia, justeru Allah Maha Mengetahui kelebihan dan kekurangan manusia.

Manakala ilmu akhirat pula perlu disertakan dengan ilmu duniawi. Ilmu akhirat semata-mata tidak dapat menjamin kelangsungan hidup manusia di dunia. Bagaimana kita hendak hidup kalau tidak tahu mendapatkan makanan? Apakah yang dinamakan makanan? Apakah makanan yang sesuai untuk kita? Belum lagi meliputi bidang-bidang ilmu lain yang bukan asas seperti fizik, matematik, kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu akhirat tidak mencakupi hal-hal ini secara khusus. Bahkan Allah S.W.T. menyuruh kita menimba ilmu dengan memerhatikan alam sekeliling dan mendalami seberapa banyak ilmu duniawi yang dapat kita terokai. Amnya dengan mendalami ilmu duniawi boleh memantapkan lagi pegangan agama kita melalui pengajaran daripada alam, meningkatkan kualiti hidup yang sekaligus memudahkan kita beribadah, dan sebagainya.

Rumusannya, dalam membentuk sistem pendidikan masyarakat perlu ada keseimbangan dan suatu pendidikan bersepadu kepada ilmu duniawi dan ukhrawi (ilmu akhirat). Kita tidak boleh hanya menekankan kepada satu aspek saja, atau belajar secara berasingan/terpisah, kerana kedua-duanya saling melengkapi (untuk kita hidup sempurna di dunia dan akhirat). Oleh yang demikian, adalah penting ilmu akhirat iaitu ilmu tentang Islam khususnya tentang hal aqidah diterapkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bukan seperti sekarang yang hanya mementingkan ilmu-ilmu seperti S&T yang hanya melahirkan generasi berilmu dan pintar hal dunia, tetapi kosong di dalam jiwanya!


.

Khamis, 2 Februari 2012

Doraemon - contoh pendidikan dalam hiburan?


Sejak mula mengenali animasi Doraemon sehingga kini, saya hanya memandangnya tak lebih dari sekadar siri animasi yang menarik kepada kanak-kanak. Watak-watak yang comel, penampilan animasi yang ceria dan kepelbagaian jalan cerita (khususnya pengembaraan) menjadi tarikan utama kepada penggemar siri Doraemon. Ditambah pula dengan lagu 'berhantu'nya yang didendangkan oleh penyanyi bersuara 'cute' menarik lebih ramai peminat siri animasi ini. Jadi tidak hairanlah hari ini Doraemon berjaya mengumpul berjuta peminat di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Baru-baru ini saya ditemukan dengan video Doraemon di Youtube (macam biasalah, tv masa kini). Memang seronok mendengar lagunya, sambil mengenang kembali nostalgia lama zaman kanak-kanak. 




Kemudian entah macam mana, saya terpanggil pula untuk mencari terjemahan senikata lagu Doraemon dan saya berjaya menemukan senikata tersebut (terima kasih Halidi Sharifuddin - http://doraemonbintangku.blogspot.com). Senikatanya adalah seperti berikut:

Lirik lagu (Jepun):

konna koto ii na
dekitara ii na
anna yume konna yume ippai aru kedo

minna minna minna
kanaete kureru
fushigina POKKE de kanaete kureru
sora wo jiyuu ni tobitai na

(hai! takekoputaa!)

AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON

shukudai touban shiken ni otsukai
anna koto konna koto taihen dakedo

minna minna minna
tasukete kureru
benrina dougu de tasukete kureru
omocha no heitai da

(sore! tototsugeki!)

AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON

anna toko ii na
iketara ii na
kono kuni ano shima takusan aru kedo

minna minna minna
ikasete kureru
mirai no kikai de kanaete kureru
sekai ryokou ni ikitai na

(ufufufu.... doko demo DOA!)

AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON

AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON

-----------------------------------------------------------------------------
Lirik Lagu (Bahasa Melayu):

Bagusnya pekerjaan ini
Syoknya dapat melakukannya
Walaupun punyai banyak keinginan nak buat yang itu, nak buat yang ini...

Apa saja keinginan
Boleh sahaja tertunai
Dengan poket misteri keinginan dapat ditunaikan
Ingin sekali terbang bebas di angkasa

(Nah! Helikopter buluh!)

An, An, An,
Saya amat menyukai
DORAEMON

Kerja sekolah, giliran bertugas, perperiksaan
Walaupun teruk kena buat tugas dan buat tugas ini

Apa tugasan sekalipun
Boleh saja dibantu
Dengan alat istimewa dapat dibantu
Ini dia askar mainan!

(Maju! SERANG!)

An, An, An,
Saya amat menyukai
DORAEMON

Bagusnya tempat itu
Alangkah seronoknya kesana
Ke negara itu dan ke pulau ini dan bayak tempat lagi

Kemana-mana sahaja
Boleh sahaja pergi
Dengan mesin perentas masa hajat dapat ditunaikan
Seronoknya dapat melancong seluruh dunia

(Ufufufu....Pintu kemana sahaja)

An, An, An,
Saya amat menyukai
DORAEMON

An, An, An,
Saya amat menyukai
DORAEMON 
Saya tidak pandai berbahasa Jepun. Jadi saya andaikan terjemahan itu betul. Cuba perhatikan senikata lagunya, dan hayati. Apa yang kita dapat sebagai maksud tersiratnya? Dapatkah kita cari aspek pendidikan dalam senikata lagu tersebut? 

Boleh kata hampir seluruh senikatanya merupakan saranan berbentuk pendidikan. Inilah rupanya maksud lagu Doraemon yang saya sendiri tidak pernah ambil tahu. Mungkin lagunya yang 'berhantu' menjadi ikutan dan siulan ramai. Tapi saya tidak yakin ramai yang sedar makna tersirat yang cukup berharga di sebalik lagu tersebut. Paling tidak pun, saya sendiri.

Sebenarnya, sepanjang saya mengikuti siri animasi ciptaan Fujio F Fujiko ini ada beberapa elemen yang saya lihat begitu ketara dan menjadi tema kepada siri animasi Doraemon. Elemen tersebut ialah:
  • pengembaraan
  • teknologi masa depan (Doraemon, pasti sentiasa ada)
  • sekolah dan latihan ulangkaji
  • buku (Nobita ada almari buku sendiri! dan Ensiklopedia!)
  • sikap yang baik
Bagi yang sering mengikuti siri ini, mungkin boleh semak elemen-elemen tersebut. Semua episod Doraemon pasti akan mengandungi elemen-elemen ini. Cuma yang baru saya tahu ialah lagunya pun ada elemen pendidikan dan sarat dengan nasihat! Jadi kebudayaan Jepun termasuk budaya ilmunya memang jelas digarap dan diterapkan dengan baik ke dalam siri ini.

Jadi, bagi saya siri Doraemon merupakan satu contoh hiburan berpendidikan yang sangat berjaya. Kecuali beberapa unsur lucah ringan yang termuat dalam siri ini (iaitu watak Sizuka atau watak utama lain berbogel, pun budaya Jepun), saya menganggap bahawa siri Doraemon merupakan antara contoh terbaik kepada penerapan pendidikan melalui hiburan. Bahkan siri ini berjaya pula menarik minat penonton dan penyokong fanatik dari serata dunia. Yang tidak baik tak perlulah ditiru!

Mungkin penerbit animasi di Malaysia boleh meningkatkan lagi pencapaian seperti mana Upin & Ipin dan BoboiBoy. Namun yang penting ialah peningkatan dalam aspek penerapan pendidikan ke dalam hiburan generasi muda khususnya kanak-kanak. Apa yang saya nampak, unsur asas pendidikan sudahpun ada (misalnya Upin & Ipin yang bertemakan anak-anak Tabika KEMAS). Cuma masih kurang.

Kedua-dua siri animasi tempatan ini makin popular. Namun peningkatan biarlah berterusan. Jangan cepat berpuas hati. Kalau boleh biarlah ada siri animasi berteraskan budaya Malaysia sepenuhnya yang popular di seluruh dunia! (sepertimana Doraemon yang bertemakan budaya Jepun)

Siapa kata bahan berilmu tak boleh 'jual' (laku)?



Jumaat, 13 Januari 2012

Ilmu, Kemajuan dan Iman Kena Seiring!

Persoalan memantapkan aqidah...






Dalam kita mengejar kemajuan, utamakanlah yang utama...