------------
Selasa, 2 Ogos 2011
Sisipan - Selamat Datang Wahai Ramadhan
------------
Rabu, 13 Mei 2009
Sisipan - Membalas kritikan melabel 'ulama makan gaji'
Walaupun ianya bukanlah ditujukan kepada saya, namun di benak saya, timbul persoalan inikah bakal ulama yang akan diwariskan kepada generasi akan datang? Jika ulama pelabel ini yang akan diwariskan, saya tidak hairan jika generasi akan datang terus dilanda pelbagai masalah (mungkin juga bala). Bahkan menyumbang kepada kemunduran Islam di Malaysia. Ini kerana sikap permusuhan yang ditunjukkan mencerminkan jiwa bakal ulama berkenaan. Sudahlah diselubungi semangat perjuangan (kononnya) yang membara, malah dengan mudah (hanya berdasarkan cerita dan andaian) sanggup melabelkan tokoh ulama yang lain sedemikian rupa.
Satu persoalan lain, di manakah sifat ulama yang sepatutnya dilahirkan? Saya tidak mempersoalkan pendirian politik yang dianutinya, tetapi amnya sifat melabel dan mengeji ini tidak pernah diajar dan diwariskan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat. Mungkin ada, tapi ada bukti kukuh. (tidak perlu belajar agama yg tinggi atau mendalam untuk tahu hal ini!) Apatah lagi label berkenaan ditujukan kepada seorang ulama juga!
Persoalan lain yang ingin diujarkan, di manakah keupayaan rasional ulama (pelabel) ini, sanggup melabel dengan hanya mendengar cerita rakan dan andaian peribadi semata-mata (kononnya berdasarkan penilaian bahawa fatwa dikeluarkan ketika isu politik memuncak). Isu ini timbul berikutan tindakan mufti berkenaan yang mengeluarkan kenyataan mengkritik seorang tokoh politik bukan Islam yang membaca sepotong ayat (seakan ayat Al-Quran). Tindakan mufti berkenaan didakwa bermotifkan politik (makan gaji). 'Didakwa'! Sudahlah menghina, asas dan buktinya pun tidak ada! Bagaimana seorang bakal ulama sanggup melabel ulama lain (berdasarkan CERITA dan ANDAIAN!) dan mempertahankan pula seorang AHLI POLITIK yang KAFIR dan merosakkan BACAAN AL-QURAN DAN NAMA SURAH, dan boleh dapat BUKTI! (di http://www.youtube.com) Rasionalkah begitu? Saya tidak mahu membuat generalisasi bahawa inilah keupayaan rasional bakal ulama yang ada sekarang. Mungkin bakal ulama ini saja yg tidak pandai merasional sesuatu perkara. Namun saya risau juga kerana usaha melabel ini disebarkan kepadanya melalui ceramah yang disampaikan oleh rakannya (mungkin ulama juga!). Jadi bukan seorang yang kurang keupayaan rasionalnya. Dan lagi kemungkinan beliau juga akan jadi ulama dan ustaz yang mendidik generasi akan datang!
Pada saya, motif politik tidak timbul kerana tokoh ulama berkenaan sering mengkritik mana-mana pihak (pembangkang atau kerajaan) yang jelas menyentuh sensitiviti umat Islam. Malah dalam hal terbabit saya menyokong benar tindakan mufti berkenaan.
Di sini saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar bidang agama khususnya yang belajar di Timur Tengah (termasuk bakal ulama itu), sebagai seorang bakal ulama atau pejuang agama, pastikan anda semua menghayati apa yang anda pelajari. Andalah tonggak harapan generasi akan datang, kerana di bahu anda terpikul harapan generasi kini untuk mewariskan ilmu agama yang sangat berharga. Bagi kami yang hanya dapat belajar sedikit-sedikit dari sekolah aliran bukan agama dan belajar sendiri, kami tidak mampu memberikan pendidikan agama yang mantap melainkan apa yang kami amalkan dan pelajari (yang sedikit itu). Justeru sebagai harapan bangsa, teladanilah sifat-sifat mulia para Nabi dan Rasul. Ini termasuk memuliakan 'rakan seperjuangan'. Ambil teladan bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. yang memuliakan nabi-nabi yang terdahulu, walaupun Islam sudah 'memadam' kedudukan ajaran mereka. Bahkan sebagai Penghulu sekalian utusan Allah, Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah memperlekeh Nabi dan Rasul yang sebelumnya. (bahkan nasihat Nabi Musa a.s. diikuti oleh Nabi Muhammad S.A.W. ketika meminta mengurangkan jumlah perintah solat!) Jadi apa yang diwarisi daripada Nabi sebenarnya? (ulama pewaris nabi)
Saya ingin saja melabel penulis berkenaan sebagai ulama politik. Bahkan ringan saja benak saya untuk memperlekeh golongan penuntut-penuntut dari Timur Tengah yang banyak terpengaruh dengan fahaman-fahaman berpuak yang begitu ketara di kalangan masyarakat Arab. Namun secara rasional, tidak wajar bagi saya melakukan itu semua kerana budaya ini bukan budaya umat Islam. Umat Islam memuliakan ilmu, menghormati saudara dan ulama. Kita semua harus sedar, walaupun ingin memberi kritikan, ilmuan Islam perlulah menampilkan adab dan akhlak yang terpuji, menonjolkan perdebatan yang sihat. Paling penting, ilmuan Islam berfikiran rasional berpandu naqal (ilmu naqli) dan bukannya atas dasar politik atau fahaman tertentu, apatah lagi menilai mengikut andaian!
Semoga kritikan balas ini memberi kesedaran kepada kita semua. Hormatilah ulama.
Khamis, 16 April 2009
Rabu, 15 April 2009
Sisipan - Forum Sastera dan Fiksyen

p/s: Juga akan datang, seminar ASASI 18/4/2009
Sisipan - Surat untuk saudaraku
Bismillahirrahmanirrahim
Buat saudaraku yang sangat dikasihi, semoga sihat selalu. Bagaimana iman hari ini? Semoga sentiasa teguh dalam agama Allah, walaupun berjuta-juta syaitan dan iblis menanti untuk menyesatkan kita. Dan semoga terus dirahmati Allah, dan diperteguhkan jiwa untuk terus berada di atas jalan kebenaran. Buatlah apa tugaspun, asalkan terus mendapat rahmat Tuhan.
Saudaraku,
Saya kepingin sekali berkongsi erti 'azimat berharga' kepada saudara. Bukan apa, mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu kita menjalani hidup seharian yang penuh dengan cabaran. Juga, setidak-tidaknya saat Malaikat Maut menjemput saya nanti, tidaklah saya kecewa kerana tidak menceritakan berita baik ini kepada saudara yang sangat saya kasihi.
Sejak kecil, saya diajar supaya membaca basmallah sebelum makan, dan mengucap tahmid apabila selesai makan. Saya berkenalan pula dengan zikir dan tasbih ketika bersekolah rendah. Namun, ketika itu saya tidak terasa apa-apa ketika mengucapkannya. Ya, mungkin di kotak fikiran saya ingat akan Tuhan bernama Allah, tapi dalam hati sebagai anak kecil (malah hingga sekolah menengah dan dewasa), hati saya masih tidak terasa akan kehebatan 'azimat berharga' ini. Mungkin kerana fikiran yang masih mentah dan kurang pendidikan dari aspek penghayatan, maka saya langsung terfikir tentangnya. Apatah lagi untuk merasainya. Malang!
Apabila dewasa, bekerja dan menjalani kehidupan, perjalanan hidup mula berubah. Pelbagai tekanan dan masalah mula terasa. Cabaran hidup yang memerlukan kematangan untuk mengatasinya, masalah bebanan kerja yang tidak selesai-selesai, memberi seribu macam tekanan dan gangguan emosi yang menghentam jiwa. Hari demi hari, dunia seakan makin sempit. Hidup ini seolah-olah tidak ada bahagia. Pelbagai tekanan menghimpit emosi. Bahkan, fikiran pun diasak bertubi-tubi dengan segala macam suara-suara halus yang menghentam dan memaki hamun kelemahan dan kesilapan diri. Cuba saudara bayangkan!
Namun, siapa sangka, di saat saya benar-benar memerlukan bantuan sokongan moral dan ketenangan jiwa, saya seolah-olah diberi petunjuk untuk kembali kepada asas yang sekian lama saya tinggalkan. Betapa selama ini saya tidak menyedari, bahawa di sebalik ungkapan-ungkapan 'mengingati Tuhan' itu, tersembunyi 1001 macam rahsia yang sangat berharga. Ibarat bayi yang baru bertatih, saya digerakkan untuk memahami apa sebenarnya rahsia yang saya rasa tersembunyi itu. Tidak siapa yang menegur, tiada siapa yang membimbing. Maka teraba-rabalah saya seolah-seolah 'mencari sebatang jarum di dalam gelap'.
Saudaraku,
Benarlah, Allah itu memberi hidayah pada siapa yang diinginiNya. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya mula terasa kehebatan 'azimat berharga' ini. Entah bagaimana, Allah saja yang tahu. Allah beri saya kefahaman, Allah beri saya pedoman, dan rahsia itu mula mengubat jiwa yang sangat-sangat terseksa. Jiwa yang sangat merindui Tuhannya. Benarlah kata orang, 'penderitaan mengajar manusia kesungguhan'.
Dengan berulang kali melafazkan basmallah dan menghayati maknanya, saya mula dapat memahami hakikat diri ini. Mungkin belum sehebat rasa zuhud para Nabi, tetapi itu sudah cukup membuat diri ini sangat-sangat kecil. Betapa kalimah yang saya ucapkan berkali-kali (berbillion tentunya), rupanya adalah satu ubat. Di dalamnya terkandung herba penenang hati, penenteram jiwa. Betapa dengan mengucapkan bismillah yang disertai dengan usaha menghayati maksud 'kebesaran Tuhan', jiwa ini jadi tenang, jadi tenteram. Seolah-olah baru bertemu 1,000,000 kaunselor! Hakikatnya ketenangan itu mungkin tidak dapat walaupun bertemu dengan mana-mana kaunselor pun.
Selain itu saya cuba memahami maksud zikir. Bukan pada bahasanya, tetapi kelazatannya. Saudara tentu tahu apa itu zikir. Tapi saya tidak pasti apakah saudara sudah tahu pentingnya pada jiwa. Zikir mengajar saya supaya mengenal hakikat bahawa diri ini ada pemiliknya, dan pemiliknya hanya satu. Dialah yang memiliki saya, dan Dia jugalah yang memiliki seluruh alam. Tidak pernah terduga sebelumnya, bahawa nafas juga adalah makhluk yang ada pemiliknya. Alangkah daifnya saya! Namun, syukurlah, semua ini dapat juga terduga bila makna zikir itu dapat saya hayati.
Tasbih dan takbir, memuji kesucian Allah dari sifat buruk dan sebarang kelemahan. Betapa di sisi kita, sebenarnya ada 'kaunselor' yang sentiasa bersedia mendengar rintihan 'pesakitnya'. Itulah Allah, Tuhan kita. Betapa 'kaunselor' itu sangat hebat, tidak pernah merungut, mengeji dan merendah-rendahkan masalah jiwa yang kita hadapi. Apatah lagi menghebahkan rahsia diri. Betapa 'kaunselor' itu sangat menyayangi, malah sanggup mendengar berulang kali rintihan 'pesakitnya' tanpa had. Biarlah sampai bila-bila pun, kerana sesungguhnya 'kaunselor' itu Maha Agung dan dengan kuasanya itu Dia memahami dan menyelesaikan masalah kita.
Saudaraku,
Malu rasanya, betapa selama ini saya lupa untuk berterima kasih. Betapa yang saya nampak cuma sekelumit masalah yang menghimpit jiwa, walhal di sebaliknya menggunung nikmat yang tidak terkira. Betapa malangnya, selama ini tidak saya terfikir tahmid (alhamdulillah) itu besar sekali pengertiannya. Bukan setakat kalimah-kalimah 'terima kasih'. Sesungguhnya dengan bersyukur akan bertambah lagi nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Betapa tahmid itu sebenarnya kunci kepada khazanah rahmat dan rezeki yang lebih banyak, menunggu untuk dibuka. Alangkah malangnya saya yang tidak faham erti syukur, walhal berbillion kali disebut kalimah-kalimah tahmid itu. Dan, sesungguhnya dengan memikirkan kesenangan yang telah diperolehi menjadi ubat kepada segala sengsara. Kerana rasa malu yang amat. Kita kerap menangis bila ditimpa musibah tetapi jangan lupa, kita juga lalai bila mendapat senang!
Hakikatnya saya benar-benar bersyukur diberi nikmat dan hidayah untuk memahaminya. Mungkin tidak sehebat bagaimana para Nabi dan Rasul memahami hakikat kejadian diri. Namun sekelumit nikmat ini sudah cukup untuk memberi sejuta kemanisan kepada jiwa yang sentiasa dahagakan bimbingan untuk mencari kebenaran.
Inilah rahsia yang ingin saya kongsikan dengan saudara. Tidak tahulah bagaimana saudara mahu menerimanya, tetapi yang pasti 'azimat' ini benar-benar berharga buat saya. Semoga dengan perkongsian ini, dapatlah sama-sama kita menghayati rahsia nikmat pemberian Tuhan. Mungkin khabar ini cuma sedikit dari selaut rahsia, tapi cukuplah untuk kita mengenal Tuhan dan terus mengkaji rahsia-rahsia yang masih tersimpan.
Marilah kita kembali kepada fitrah, bahawa kita dijadikan untuk beribadah kepadaNya. Marilah kita mengenang kembali asal kejadian kita, dan sama-sama mengajak saudara-saudara kita untuk kembali kembali kepada kebenaran, kembali kepada Islam. Sampaikanlah dakwah kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita cuma Allah yang Satu, dan Muhammad itu pesuruhNya. Mudah-mudahan, terlepas kita dari disoal di akhirat kelak tentang tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah tentang Islam.
Rasanya cukuplah setakat ini. Sesekali kirimlah khabar berita kepada saya. Akhir kata, sambutlah salam manis dari saya. Semoga saudara, saya dan saudara-saudara yang lain terus mendapat hidayah dan rahmat Allah, Tuhan kita semua.
Wassalamualaikum.
-lelucon
Khamis, 2 April 2009
Sisipan - Seminar ASASI

Lagi keterangan lanjut tentang seminar ASASI, rujuk laman web kesturi.net.
Selasa, 31 Mac 2009
Sisipan - Saranan utk para mahasiswa, ilmuan dan pesara
Assalamualaikum / slmt sejahtera
En./Cik/Sdr
Pagi ni saya diberi ilham utk menulis satu saranan '20 sen' buat kita semua. Semoga sama-sama dapat manfaatnya.
Kebelakangan ini negara dihangatkan dengan isu PPSMI. Ramai yang menyokong, dan tak kurang yang membantah. Namun di sebalik semua kesan baik/buruk yang timbul, mungkin PPSMI akan diteruskan. Tidak dapat tidak akan kena pada batang hidung kita, kerana kalangan kita ada yang mempunyai anak-anak, saudara-mara, kawan-kawan yang terpaksa berdepan dengan masalah apabila berkomunikasi dlm bahasa Inggeris.
Antara kesan buruk yang timbul (katanya), ialah kemerosotan pencapaian pelajar-pelajar dlm bidang akademik akibat tidak fasih dalam bahasa Inggeris. Jika benar, ia merugikan sebab bukan sahaja mutu bahasa Inggeris yang sedia rendah itu semakin rendah, malah mengheret sama pencapaian dalam bidang lain iaitu Matematik dan Sains ke tahap yang lebih rendah. Khabarnya gred markah terpaksa diturunkan demi untuk menonjolkan prestasi pelajar yang stabil (walaupun tak stabil). Entahlah.
Di sini disarankan supaya para mahasiswa, para ilmuan dan pesara-pesara yang mempunyai kemahiran dan mutu bahasa Inggeris yang baik, supaya memberi sumbangan dlm mengatasi masalah yg dikatakan timbul akibat pelaksanaan PPSSMI ini, iaitu dengan cara:
- membimbing mana-mana pelajar yang diketahui bermasalah supaya dapat meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris
- memberi nasihat, dorongan dan galakan supaya lebih proaktif utk meningkatkan mutu bahasa Inggeris melalui pembacaan dan sebagainya
- menyediakan peluang-peluang pendidikan - tutorial, kelas tambahan, usrah dsb - yg murah/percuma bagi membantu pelajar yang bermasalah
- menyediakan bahan-bahan pendidikan utk membantu pelajar meningkatkan mutu bahasa Inggeris mahupun subjek lain
- dll yang difikirkan dapat membantu.
saranan ini patut disampaikan pada mahasiswa kerana mereka sepatutnya mempunyai kemahiran yang diperlukan dan sebagai bakal pemimpin, mereka patut digalak memberi sumbangan dan melatih diri untuk menjadi seorang pemimpin. Manakala kepada para ilmuan itu sudah tentulah memberi sumbangan. Kalau tidak, tentu tidak dipanggil ilmuan. Dan buat para pesara (dan bakal pesara), sumbangan anda sangat ditagih kerana golongan lain mungkin sibuk (dan takde masa?) utk memberi sumbangan yang diharapkan ini. Justeru para pesara (dan bakal pesara yg dinasihatkan oleh Menteri jgn disambung kontrak?) boleh terus menyumbang amal bakti dengan memberi bimbingan kepada anak-anak, cucu-cucu, saudara mara atau sesiapa saja yang memerlukan.
Semoga dengan saranan '20 sen' ini, diharapkan kita semua dapat sama-sama menyumbang untuk negara :)
wallahua'lam (Allah lebih tahu)
p/s: kalau rasa bermanfaat haraplah dapat disebarkan. terima kasih
Jumaat, 13 Mac 2009
Sisipan - Bukankah Masa Itu Berharga?
Sedarlah, dalam kita sibuk berdebat dan berdemonstrasi, orang lain sibuk membina teknologi. Sedarlah, menang atau kalah, yang jadi mangsa anak bangsa kita ... apa yang kita buat sebenarnya?
[Kemaskini 31/3/2009]
Nampaknya ada perkembangan yang positif. Alhamdulillah. Terima kasih buat semua yang telah cuba bersepakat demi kebaikan bersama, walaupun masih 'keruh' . (Kenyataan akhbar GMP berhubung pertemuan dengan Menteri Pelajaran)
dan perkembangan terbaru PPSMI setakat 31/3/2009
[1]
PPSMI diteruskan di sekolah menengah?
[sumber: Utusan Online]
KUALA LUMPUR 30 Mac - Keputusan kerajaan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diumumkan tidak lama lagi, tidak semestinya dengan meneruskan dasar itu bulat-bulat atau menolaknya sama sekali.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa yang diutamakan ialah menyesuaikan dasar itu mengikut pencapaian kanak-kanak tempatan.
"Sama ada kita memansuhkan PPSMI atau tidak, saya percaya itu tidak menentukan atau memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan.
"Kementerian mempunyai cadangan yang hendak dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Salah satu ialah menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Jelas Hishammuddin, cadangan lain ialah memulakan PPSMI di tahun empat sehingga sekolah menengah dan menggunakan bahasa penghantar yang ditentukan oleh sekolah sendiri.
"Satu lagi cadangan ialah menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di tahun satu hingga tiga diikuti dwibahasa pada tahun empat hingga enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.
"Jangan lihat PPSMI saja yang menentukan kelangsungan dan kedudukan bahasa kebangsaan kerana usaha memartabatkan bahasa memerlukan pelbagai pendekatan serta penggemblengan semua pihak," katanya.
Sementara itu dalam jawapan kepada soalan asal Firdaus, Hishammuddin menjelaskan, empat perkara utama yang diambil kira berhubung isu PPSMI ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar diperkasakan.
"Dua lagi perkara yang diambil kira ialah kompetensi guru mengajar Sains dan Matematik serta pencapaian murid dalam kedua-dua mata pelajaran itu terus dipertingkatkan," katanya.
Tambah Hishammuddin, dalam konteks PPSMI yang melibatkan pelaburan besar, tenaga pengajar yang ramai iaitu 165,000 guru dan enam juta murid yang melalui dasar ini, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua kajian.
"Semua pihak tidak perlu terlalu emosi kerana sememangnya isu ini sesuatu isu yang penting. Akhirnya kalau kita silap membuat keputusan, kita akan ralat 10 atau 20 tahun.
"Kemudian ketika itu anak-anak kita toleh ke belakang dan kata mereka inilah yang membuat keputusan tidak bijak dan tidak tepat," katanya.
[2]
Syor PPSMI bermula Tahun Empat
Oleh Sazarina Shahrim dan Liza Wasilan
bhnews@bharian.com.myKUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mencadangkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, manakala penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu diteruskan di sekolah menengah.
Kementerian turut mencadangkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hanya dimulakan pada Tahun Empat hingga sekolah menengah atau menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi mata pelajaran terbabit.
Selain itu, sekolah diberi kuasa menentukan penggunaan bahasa pengantar dua subjek itu, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu adalah antara cadangan dikemukakan kementeriannya kepada Kabinet berhubung PPSMI.
"Kerajaan tidak akan menolak dasar PPSMI ataupun menerima dasar itu secara bulat-bulat. Kita tidak perlu melihat perkara ini sebagai situasi kalah-kalah, tolak bulat-bulat atau terima bulat-bulat.
"Apa yang kita hendak lihat adalah menyesuaikannya mengikut pencapaian anak-anak kita," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di Dewan Negara, semalam.Hishammuddin berkata, cadangan itu dibuat hasil daripada pelbagai perbincangan, mesyuarat dan persidangan secara terbuka yang dibuat, antaranya membabitkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak kerajaan dan pembangkang.
Pada sidang media selepas itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno menafikan dakwaan kononnya beliau cuba menidakkan peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam proses kemerdekaan negara ketika memberikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu.
Beliau berkata, dakwaan itu yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, tidak bertanggungjawab kerana ucapannya sudah disalah tafsir.
Hmmm....
Rabu, 11 Februari 2009
Sisipan - Sayembara Fiksyen S&T
Sayembara Fiksyen Sains, Teknologi
Oleh ZUHAYATI YAZID
pengarang@utusan.com.myKUALA LUMPUR 10 Feb. – Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi yang dilancarkan hari ini menjadi medium terulung bagi menggalakkan pemikiran saintifik, kreatif dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia.
Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia itu menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.
Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai RM15,000 manakala kedua RM7,500, ketiga RM5,000 serta lima pemenang sagu hati masing-masing menerima RM500 di samping setiap pemenang membawa pulang watikah dan trofi.
Sempena penganjuran sayembara itu, sejumlah enam bengkel bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi akan diadakan seluruh negara.
Siri pertama telah diadakan pada 31 Januari lalu di Johor Bahru diikuti Kuala Lumpur (7 Februari) sebelum dianjurkan di Kota Kinabalu pada 28 Februari ini, diikuti Kota Bharu (7 Mac), Alor Setar (14 Mac) dan berakhir di Kuching (21 Mac).
Pelancaran sayembara yang julung-julung kali memfokuskan fiksyen sains dan teknologi itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin di sini petang ini.
Pada majlis itu, Zaini dan Mohamed Hashim menandatangani memorandum persefahaman mewakili UTM dan Kumpulan Utusan bagi penganjuran sayembara itu.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak; dan Timbalan Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Marzuki Khalid.
Mereka yang berminat menghantar novel untuk menyertai sayembara itu boleh mengisi borang penyertaan yang boleh didapatkan daripada pihak sekretariat di Penerbit UTM Press di UTM, Skudai, Johor atau dimuat turun dari laman web www.penerbit.utm.my atau www.mybooks.com.my.
Tarikh tutup penyertaan bagi sayembara itu ialah pada 31 Ogos ini manakala penyampaian hadiah-hadiah dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.
Dalam ucapannya, Zaini berkata, sayembara itu merupakan inisiatif UTM dan Kumpulan Utusan ke arah melahirkan modal insan kreatif yang berorientasikan pemikiran sains dan teknologi.
Menurutnya, bengkel-bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi itu pula bertujuan mendapatkan karya benar-benar bermutu dan memenuhi genre fiksyen sains dan teknologi untuk menyertai sayembara berkenaan.
“Tamadun yang maju di seluruh dunia dipengaruhi penguasaan ilmu yang tinggi dan dibina menerusi budaya membaca, mencipta, menulis dan menerbitkan buku yang hebat.
“Saya percaya manuskrip untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi ini tidak hanya bercerita dan menampilkan kecanggihan teknologi malah kita harap ia menggarap dan mengadunkan aspek nilai dan ideologi secara mantap serta memiliki impak positif,” katanya.
Zaini berkata, penyertaan sayembara itu terbuka kepada individu atau berkumpulan tetapi sesebuah kumpulan tidak boleh melebihi tiga ahli.
“Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya. Tiada had penyertaan sama ada bagi peserta individu atau berkumpulan,” ujar beliau.
Mohd. Nasir dalam ucapannya pula berkata, jalinan kerjasama Kumpulan Utusan dan UTM itu bertujuan meningkatkan martabat bidang penulisan tanah air.
“Ini akan memperkayakan lagi khazanah karya-karya tempatan selain memberi ruang lebih luas kepada para penulis untuk mengetengahkan hasil mereka dalam bentuk lebih kreatif,” ujarnya.
Tambahnya, semua karya pemenang sayembara itu akan diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menyertai sayembara atau bengkel-bengkel yang diadakan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian 07-5218166
p/s: bolehlah mula berkarya dan berfantasi!
Jumaat, 23 Januari 2009
Memasyarakatkan Pengaturcaraan Komputer
Notes: The above image/cartoon was published for illustration purposes only, to the following article, without any commercial or advertising intent. All copyright and credits belong to the original publisher.
'Pendedahan Ilmu Pengaturcaraan di Kalangan Masyarakat dan Pendekatan dalam Pendidikan'
Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengatur cara. Antara penekanan yang perlu diberikan ialah penerangan terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang, dan tidak hanya kepada bidang sains komputer sahaja. Masyarakat juga perlu diberi penerangan tentang pengaturcaraan dan potensinya. Pembangunan perisian tidak hanya terhad kepada komputer peribadi saja kerana apa saja yang menggunakan pemproses mikro, perlukan perisian dan pengaturcaraan. Pendedahan serta penerangan tentang bidang pengaturcaraan dan pembangunan perisian akan dapat membantu memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat erti sebenar pengaturcaraan dan betapa tingginya nilai kemahiran pengaturcaraan.
Komuniti sains komputer sedar tentang perlunya usaha menarik minat masyarakat kepada pengaturcaraan. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan membina bahasa pengaturcaraan yang mudah dipelajari dan digunakan. Ini membolehkan generasi muda seawal Tahun Satu diajar menggunakan bahasa pengaturcaraan. Misalnya, bahasa pengaturcaraan BASIC dibina menggunakan sintaks bahasa yang mudah. Berbanding bahasa yang lebih kompleks, BASIC mudah dipelajari terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang pengaturcaraan. Begitu juga dengan bahasa PASCAL. Manakala bahasa LOGO menggunakan konsep pengaturcaraan grafik untuk menarik minat kanak-kanak kepada bidang pengaturcaraan. Atur cara LOGO terdiri daripada set arahan-arahan untuk melukis dan secara tidak langsung kanak-kanak mudah tertarik untuk mencuba. Selain itu Scratch, AgenSheets, Alice, Baltie, Karel dan Phrogram adalah antara hasil kajian terhadap bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang bertujuan menarik minat kanak-kanak mengatur cara. Pengaruh permainan komputer begitu ketara, kerana kebanyakan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' di atas lebih ke arah mengajak pengatur cara membina permainan komputer mereka sendiri.
Usaha meningkatkan kemahiran pengaturcaraan di kalangan generasi muda boleh dilakukan melalui penerapan kurikulum pengaturcaraan pada peringkat sekolah. Usaha ini akan menjadi lebih mudah dengan bantuan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang dinyatakan pada perenggan di atas. Pendedahan awal akan memberi maklumat kepada generasi muda tentang pengaturcaraan dan dengan pengetahuan yang luas akan memudahkan mereka menguasainya apabila dewasa kelak. Selain itu, pendedahan awal juga akan lebih berkesan kerana generasi muda sukakan cabaran dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Apatah lagi jika hasilnya menjanjikan keseronokan kepada mereka seperti pengaturcaraan permainan komputer. Melalui kurikulum pendidikan rendah dan menengah kita boleh memberi pendedahan dengan menyediakan tugasan atau projek yang melibatkan pengaturcaraan kepada pelajar. Jadi pelajar tidak ada pilihan selain mempelajari pengaturcaraan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
Setakat ini pengatucaraan telah diajar di peringkat menengah atas di sekolah berasrama penuh dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Bahasa pengaturcaraan yang diajar pula adalah bahasa BASIC, iaitu bahasa yang ringkas dan agak mudah dipelajari.
Mengulas tentang hal ini saya pernah membelek koleksi buku rujukan KBSM berkaitan komputer hasil kerjasama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan. Salah satu buku tersebut mengandungi kursus pengenalan terhadap pengaturcaraan C. Tidak pasti sama ada pihak kementerian telah menggunakannya di sekolah-sekolah. Walaupun secara peribadi saya rasakan kandungannya masih kurang berkesan, usaha ini merupakan satu langkah yang positif ke arah memberi pendidikan dan pendedahan kepada bidang pengaturcaraan di kalangan generasi muda. Cuma kandungannya perlu disemak dan dipertingkatkan dari masa ke semasa supaya lebih berkesan terhadap pelajar.
Publisiti terhadap industri permainan komputer juga mampu menarik minat golongan remaja mendalami bidang pengaturcaraan. Ini kerana ramai dari kalangan pengatur cara tertarik kepada pengaturcaraan disebabkan keinginan membina permainan komputer dan bersaing sesama mereka. Perkembangan industri permainan komputer di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan bukan saja menjanjikan keseronokan kepada masyarakat, malah menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan yang lumayan. Di negara kita industri ini belum berkembang secara meluas, dan salah satu puncanya adalah faktor kurang kepakaran dalam bidang pengaturcaraan. Perkembangan industri permainan merupakan satu perkembangan yang positif kerana permainan komputer memerlukan pengatur cara dalam pembangunan permainan, selain pengurus, pereka grafik dan penguji permainan. Apabila remaja terdorong untuk melibatkan diri dalam pembangunan permainan atau menghasilkan permainan komputer sendiri, sudah tentu mereka akan berusaha mempelajari pengaturcaraan.
Hakikatnya pengaturcaraan bukan suatu tugas yang mudah. Sebagai seorang tenaga pengajar di IPTA, saya melihat masih banyak perlu dilakukan bagi membolehkan masyarakat tertarik dan mampu menguasai bidang pengaturcaraan. Sedangkan pelajar di IPT pun masih 'terkial-kial' untuk menguasainya, apatah lagi generasi muda di peringkat yang lebih rendah. Walau bagaimanapun tidak mustahil majoriti masyarakat mampu menguasainya suatu hari nanti. Pengaturcaraan bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya bagi mereka yang rajin berusaha mempelajarinya. Kita boleh mencontohi negara India yang walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport oleh negara-negara maju.
Peranan pihak-pihak berkenaan terutama ahli komuniti sains komputer di seluruh negara amat diperlukan dalam melakukan kajian dan penyelidikan bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengaturcaraan di kalangan masyarakat. Sebagai contoh usaha ke arah ini, di kalangan IPT (Awam) misalnya, sentiasa memberi penekanan terhadap kemahiran pengaturcaraan di kalangan lulusan sains komputer bagi memastikan graduan yang dihasilkan dapat meningkatkan bilangan komuniti pengatur cara yang terbaik di negara ini. Sokongan kerajaan juga perlu dalam membantu memberi kesedaran kepada masyarakat melalui penerapan kaedah pengajaran-pembelajaran sains komputer yang lebih berkesan pada peringkat sekolah. Manakala ahli masyarakat perlu memberi sokongan dengan mempelajari dan memberi galakan kepada generasi muda untuk mempelajari pengaturcaraan komputer. Jika semua pihak berganding bahu dan menyumbang tenaga, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi 'kilang' tenaga pakar dalam bidang teknologi maklumat, khususnya pembangunan perisian, selaras dengan matlamat penubuhan MSC.
p/s: Artikel ini saya tulis sekitar tahun 2007. Dihantar ke editor majalah tempatan, tetapi tidak pernah tersiar (kesian...perlu banyak berlatih agaknya). Jadi saya siarkan di sini saja untuk tatapan umum.
Rabu, 21 Januari 2009
Sisipan - Pakaian yg ideal utk wanita aktif!


Kali ini saya nak promosi baju Muslimah. Masyarakat bukan Islam juga boleh membeli/memakainya.
Kalau suka/berminat, sila lawat blog berkenaan.
Rabu, 14 Januari 2009
Kempen Menghargai Ilmu
Antara yang saya ingat adalah aktiviti yang dinamakan 'Pertandingan Membaca', di mana setiap pelajar diminta menyediakan sebuah buku log. Kami dikehendaki membaca seberapa banyak buku, dan perlu menulis sinopsis bagi setiap buku yang dibaca ke dalam buku log tersebut. Pelajar yang paling banyak menulis sinopsis buku (bermakna paling banyak membaca!) akan dipilih sebagai pemenang dan diberi hadiah. Saya cuba jadi pemenang, tapi tak pernah berjaya. Tapi daripada pertandingan itu, saya kenal perpustakaan dan 'jatuh hati' dengannya. Sedikit sebanyak kempen tersebut memberi kesan pada saya, dan kesannya sampai sekarang saya 'cinta' pada buku (alhamdulillah), dan saya suka menyusun buku hehehe.
Tidak dapat dinafikan, ramai generasi 'celik huruf' di Malaysia telah berjaya diasuh dan dibudayakan dengan sikap membaca. Ini boleh dilihat dengan bertambahnya bahan-bahan bacaan terutama majalah-majalah - hiburan, sukan, permotoran, teknologi, komik, fesyen dsb - dan pelbagai jenis akhbar termasuk tabloid di kedai-kedai. Kalau tiada sambutan, masakan ingin dijual? Dan kebanyakan bahan bacaan ini lazimnya menjadi tumpuan golongan umum, hatta peminta sedekah pun ingin meninjau tajuk akhbar yang dipamerkan! Ini belum mengambilkira perkembangan dan pertambahan penerbit-penerbit buku di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai jenis bahan bacaan lain - jurnal akademik, novel, sisipan akhbar cth esti.dot.my, buku-buku teks dsb.
Selain bahan bercetak yang umum, saya percaya perkembangan teknologi media massa dan penyiaran telah berjaya memperluas dan meningkatkan lagi minat membaca di kalangan masyarakat. Siaran televisyen dan radio (utk kempen), papan-papan tanda/iklan, laman-laman web internet dan pelbagai bahan bercetak seperti katalog, brochure termasuk kad jemputan kahwin - kini mampu menjadi pemangkin kepada pembudayaan membaca. Kad jemputan?! Kenapa tidak? Dewasa ini kad jemputan kahwin pun dah semakin canggih dan menarik. Ada juga dimuatkan kata-kata pujangga, dan maksud ayat Al-Quran dan hadis. Ada satu ketika saya dan ahli keluarga bersembang memperkatakan tentang keunikan kad jemputan kahwin yang baru diterima, dan masing-masing sibuk bergilir ingin membacanya. Dan kebelakangan ini, umum sering memperkatakan tentang papan tanda, dan selain sekadar mengetahui nama tempat dsb, masing-masing sibuk membaca papan tanda untuk mencari isu dan kesalahan (ejaan, bahasa dsb). Kan membaca!
Manakala di internet, selain laman web, antara yang terkini adalah blog (saya kata terkini kerana saya baru tahu memanfaatkannya! alahai...). Blog menarik minat pelbagai golongan yang melayari internet kerana selain menyediakan bahan bacaan dan pelbagai media lain, blog juga menjadi wahana untuk masyarakat berwacana, melahirkan pendapat, ekspresi, kritikan dan lain-lain. Dahulu ini hanya boleh dilakukan dengan 'surat pembaca' di majalah atau akhbar. Tetapi sekarang, semudah menulis diari, mudah sekali dikemaskini! Yang paling bagusnya, dengan adanya kandungan-kandungan menarik di blog-blog tertentu menarik ramai golongan masyarakat untuk membaca. Ini sangat bagus, kerana ia adalah salah satu mekanisma dalam kempen membaca. Hatta Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini (beberapa bulan lepas) secara umum mengakui betapa blog merupakan salah satu media yang berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat (rakyat).
Cuma, adakah perkembangan ini menunjukkan bahawa kualiti pembacaan dan budaya ilmu di kalangan masyarakat juga telah berkembang? Sejauh manakah kita berjaya mendidik generasi muda terhadap kepentingan ilmu? Dan sejauh manakah generasi muda menghargai ilmu? Seperti yang diungkapkan oleh Dr Danial Zainal Abidin (pendakwah, pemotivasi, ahli perubatan Islam) - 'yang penting bukan berapa banyak yang kita baca, tapi apa yang kita baca'. Adakah ini bermakna masyarakat sudah pandai memilih bahan bacaan yang bermanfaat? Amnya, saya tidak tahu. Cuma pada saya, saya sedar kepentingan ilmu (alhamdulillah).
Umum perlu faham, dalam mempelajari ilmu budaya membaca saja tidak cukup. Penilaian terhadap bahan bacaan juga memainkan peranan penting. Tidak ada maknanya jika kita membaca berjam-jam, tetapi 'ilmu' yang kita dapat tidak bermakna. Maka samalah kita dengan orang yang tidak membaca (walaupun kita membaca!).
Apabila membaca, kita perlu mengetahui (1) matlamat pembacaan, (2) kandungan bahan bacaan, dan (3) kebolehpercayaan bahan bacaan. Sebenarnya banyak lagi faktor yang perlu dipertimbangkan. Tapi saya mampu bincangkan faktor ini saja. Jadilah, sekadar mengungkapkan kepentingan menilai bahan bacaan.
Dalam mempertimbangkan matlamat pembacaan, matlamat yang paling utama adalah untuk mendapatkan atau mempelajari ilmu. Banyak matlamat lain. Misalnya menghilangkan rasa bosan, merangsang pemikiran dan lain-lain. (ini saya tak bincang, saya fokus kepentingan membaca untuk ilmu). Ilmu pula banyak definisi. Antaranya, pengetahuan dan maklumat. Dalam erti kata lain supaya kita tahu. Jadi apakah matlamat ilmu yang kita baca? Persoalan ini perlu dijawab dulu sebelum menghabiskan masa untuk membaca. Dari sini kita tahu kebaikan matlamat pembacaan kita. Jika matlamatnya baik, berbaloilah masa yang dihabiskan untuk membaca.
Sesuatu bahan bacaan boleh mengandungi pelbagai jenis kandungan. Ada yang berguna, ada yang tidak. Semua yang ada di alam ini adalah ilmu. Sama ada berguna/tidak, terpulang kepada si pembaca, iaitu matlamat dia membaca. Anda sebagai pembaca, yang menilai bahan bacaan anda, kerana anda yang akan memanfaatkannya. Masa itu masa anda. Kalau anda membazir masa pada benda yang anda rasa tak berguna, maka anda yang rugi (harap blog ini berguna!). Bukan saya, bukan orang lain.
Tetapi ini juga merujuk kepada kualiti sesuatu bahan bacaan. Jika suatu bahan bacaan itu dirasakan berkualiti oleh ramai orang (umum), maka ilmu yang diperolehi dari bahan bacaan itu akan tetap berguna, walaupun tidak memenuhi matlamat asal pembaca. Misalnya, fakta 'Malaysia ditubuhkan pada 1963'. Mungkin pembaca sekadar ingin tahu bila Malaysia merdeka, jadi anda rasa tidak berguna. Tetapi fakta ini berkait rapat dengan sejarah Malaysia, dan ia tetap fakta. Maka ia mungkin berguna pada masa lain. Jadi ia tetap berguna dan tidak sia-sia.
Ada ilmu yang benar, dan ada ilmu yang salah. Ilmu yang benar, sudah tentulah ia bagus, kerana ilmu yang benar sudah tentu berguna (cuma berguna 'bagaimana', 'bila' dan 'di mana' belum tahu) . 'Ilmu' yang salah atau tidak benar adalah ilmu juga, sebab dengan mempelajarinya kita jadi 'tahu'. Cuma, apa yang kita 'tahu' itu tidak berguna, kerana ia salah, tidak benar atau tidak tepat. Maka semasa membaca, kita perlu memastikan bahawa bahan bacaan itu memiliki tahap kebolehpercayaan yang tinggi, atau dengan kata lain ia 'betul'.
Tapi ini pendapat dan penilaian saya saja terhadap penilaian bahan bacaan. Semuanya terpulang pada anda yang menimba ilmu. Cuma saya menyarankan pada diri saya dan tuan-tuan semua, pilihlah bahan bacaan yang bermanfaat kerana masa itu sangat berharga, dan hidup di dunia hanya sekali (maaf ya, tiada istilah reincarnation atau 'kelahiran semula' dalam Islam)!
Hakikatnya, Al-Quran adalah sumber utama ilmu pada kita, dan benar secara mutlak (tidak boleh dinafikan, ikut/imani saja). Jadi, bacalah Al-Quran. Dalam Islam, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang dipelajari dan diajarkan kepada orang lain). Apabila kita membaca, perlu faham bahawa kita membaca untuk mendapat ilmu. Apabila telah berilmu, sebaiknya diajarkan kepada orang lain (jika mampu).
Semoga 'cetusan minda yang daif' ini dapat menjadi pedoman dan panduan kita dalam meningkatkan kualiti pembacaan kita. Bacaan dan ilmu yang berkualiti akan menghasilkan masyarakat yang berilmu dan berkualiti, dan sesungguhnya inilah yang kita perlukan untuk mencapai taraf masyarakat yang bertamadun menjelang tahun 2020 nanti!
p/s: maaf la terlewat sedikit.... blog ini berkualiti atau tidak? hmmmm....
Rabu, 7 Januari 2009
Sisipan - Boikot barang Israel (dan sikap pemalas!)
'Sesuatu' menyedarkan saya. Sebagai menyahut 'panggilan jihad' seluruh saudara Muslim di seluruh dunia, saya menyeru pada diri saya dan tuan/puan sekelian,
- Pengguna -ELAKKAN melanggan keluaran francais dan produk Amerika dan sekutu Israel - KFC, McD, Coca-Cola, Starbuck, Burger King, Kraft dll (Blogspot terlibat tak? hmmm...). Untuk pelanggan 'setia' KFC di utara, jemput singgah ke restoran alternatif - Radix Fried Chicken (RFC), HPA di Sg Petani, Kedah.
- Pengimport, pelanggan - batalkan kontrak (jika boleh) dengan syarikat-syarikat Amerika/Israel/sekutu.
- Pengeksport - hentikan eksport ke Amerika/Singapura/Israel/sekutu . Biar mereka tahu bagaimana rasa 'kebulur' dan kurang bekalan. Biar mereka 'mati kutu'.
- Mendoakan kesejahteraan dan keampunan kepada mangsa-mangsa yang terkorban/menderita dalam perang Hamas(Palestin)-Israel (update: Hamas, bukan Hizbullah)
- Mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang dilanda penindasan Israel
- Istimewa untuk perokok - berhenti merokok ...
Kasihan?
Kalau kita masih membeli barangan Amerika dan Israel, maka kita pun sama...
PEMBUNUH!
Bangunkan teknologi! Bangunkan ilmu! Bangunkan industri! Bangunkan ekonomi! Insya'allah kita tidak akan dijajah lagi!



