بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 28 Januari 2009

Sisipan - Islam tak cukup bermotivasikah?

Dalam banyak-banyak buku dan artikel berkenaan motivasi yang saya baca (banyak mana? entahlah, banyak la kot), saya jarang jumpa contoh-contoh peribadi Muslim dijadikan sumber motivasi. Yang ada kisah Abraham Lincoln, John D. Rockefeller, dan entah siapa-siapa lagi yang saya tak mahu kenal. Kenapa agaknya? Tak tahulah kalau rujukan saya itu kebetulan bukan ditulis oleh orang Islam. Ada sesetengahnya diterjemah dari karya Barat, dan ada pula sedutan-sedutan dari karya barat walaupun penulisnya orang Islam. Betullah kita kena bersikap terbuka. Tapi kalau dah sampai melupakan kehebatan dan ketokohan tamadun Islam, susahlah.

Kisah Nabi dan para sahabat selalunya kita boleh jumpa dalam petikan-petikan sejarah, kisah-kisah hidup para nabi, rasul dan sahabat dan lain-lain. Dan banyak juga tercatat dalam buku rujukan tentang hukum Fiqh dan sebagainya (rujukan agama). Tapi kenapa tidak diselitkan dalam buku motivasi? Adakah kisah mereka tak relevan untuk dijadikan contoh motivasi masa kini?

Bagaimana contoh 'Zaid bin Harisah dilantik sebagai panglima perang ketika berumur 15 tahun'? Bagaimana kisah semangat para pahlawan Islam yang hanya berjumlah beratus orang menentang tentera Musyrikin yang jumlahnya ribuan orang ketika era Islam sedang berkembang di Madinah? Bagaimana kisah Jaafar bin Abi Talib berusaha menjulang panji tentera Islam walaupun hilang anggota badannya? Apakah Dr Hamka tidak pernah berjuang bersungguh-sungguh sepanjang hidupnya? Bagaimana pula ketokohan Syed Syeikh Tahir Jalaluddin berjuang dalam era sebelum merdeka?

Bukankah ini contoh motivasi yang baik? Hmmm... nampaknya perlu kajian semula terhadap penggunaan contoh-contoh dalam buku-buku motivasi yg ada sekarang. Mungkin perlu diadakan wacana di kalangan penulis khususnya penulis buku dan modul motivasi betapa perlunya mengkaji ketokohan dan biografi tokoh-tokoh tamadun Islam dan tempatan ...

kemaskini [30/01/09]
Waktu saya ke kedai buku hari ini, saya terjumpa 2 buah buku motivasi yang menyenaraikan cerita-cerita (peristiwa) zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, dalam bentuk senarai/koleksi cerita. Saya tidak beli. Alasan saya, sebab ceritanya termasuk peristiwa Nabi s.a.w. dengan isteri, antara baginda dengan para sahabat, yang tidak dinyatakan rujukan. (Apabila menyentuh keperibadian Nabi, saya rasa wajar ditekankan supaya menyertakan sumber rujukannya, sebab sunnah akan jadi ikutan.) Tapi kalau setakat nak jadi 'pembakar semangat' boleh juga dibeli. Walau bagaimanapun saya beli buku 'Pemikiran Hamka' terbitan DBP dulu.

Akademi Sains Islam Malaysia


Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) adalah sebuah persatuan (dulunya elit) yang ditubuhkan sejak tahun 1977. Matlamatnya secara umum adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penyelidik dan saintis untuk memperkembangkan bidang sains dari perspektif keilmuan Islam. ASASI juga memperjuangkan pengembangan ilmu dari aspek kebudayaan Melayu, namun yang ditekankan adalah pengembangan ilmu dari perspektif Islam. Para penyelidik khususnya generasi saintis muda diseru membantu usaha ASASI, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Peranan yang boleh dimainkan sebagai saintis:
  • menganggotai ASASI dan memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan (kelayakan minimum ijazah)
  • memperkembangkan bidang keilmuan Islam (dan warisan keilmuan Melayu)
  • menyumbangkan hasil kajian untuk diterbitkan di Jurnal Kesturi
  • memperluaskan usaha ASASI melalui penyebaran maklumat, latihan dan galakan di kalangan para saintis untuk sama-sama membantu
Lagi tentang ASASI di sini.

Jumaat, 23 Januari 2009

Memasyarakatkan Pengaturcaraan Komputer

Artikel berikut adalah kesinambungan daripada pos 'Kepentingan Pengaturcaraan' (telah dikemaskini).


Notes: The above image/cartoon was published for illustration purposes only, to the following article, without any commercial or advertising intent. All copyright and credits belong to the original publisher.

'Pendedahan Ilmu Pengaturcaraan di Kalangan Masyarakat dan Pendekatan dalam Pendidikan'

Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengatur cara. Antara penekanan yang perlu diberikan ialah penerangan terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang, dan tidak hanya kepada bidang sains komputer sahaja. Masyarakat juga perlu diberi penerangan tentang pengaturcaraan dan potensinya. Pembangunan perisian tidak hanya terhad kepada komputer peribadi saja kerana apa saja yang menggunakan pemproses mikro, perlukan perisian dan pengaturcaraan. Pendedahan serta penerangan tentang bidang pengaturcaraan dan pembangunan perisian akan dapat membantu memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat erti sebenar pengaturcaraan dan betapa tingginya nilai kemahiran pengaturcaraan.

Komuniti sains komputer sedar tentang perlunya usaha menarik minat masyarakat kepada pengaturcaraan. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan membina bahasa pengaturcaraan yang mudah dipelajari dan digunakan. Ini membolehkan generasi muda seawal Tahun Satu diajar menggunakan bahasa pengaturcaraan. Misalnya, bahasa pengaturcaraan BASIC dibina menggunakan sintaks bahasa yang mudah. Berbanding bahasa yang lebih kompleks, BASIC mudah dipelajari terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang pengaturcaraan. Begitu juga dengan bahasa PASCAL. Manakala bahasa LOGO menggunakan konsep pengaturcaraan grafik untuk menarik minat kanak-kanak kepada bidang pengaturcaraan. Atur cara LOGO terdiri daripada set arahan-arahan untuk melukis dan secara tidak langsung kanak-kanak mudah tertarik untuk mencuba. Selain itu Scratch, AgenSheets, Alice, Baltie, Karel dan Phrogram adalah antara hasil kajian terhadap bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang bertujuan menarik minat kanak-kanak mengatur cara. Pengaruh permainan komputer begitu ketara, kerana kebanyakan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' di atas lebih ke arah mengajak pengatur cara membina permainan komputer mereka sendiri.

Usaha meningkatkan kemahiran pengaturcaraan di kalangan generasi muda boleh dilakukan melalui penerapan kurikulum pengaturcaraan pada peringkat sekolah. Usaha ini akan menjadi lebih mudah dengan bantuan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang dinyatakan pada perenggan di atas. Pendedahan awal akan memberi maklumat kepada generasi muda tentang pengaturcaraan dan dengan pengetahuan yang luas akan memudahkan mereka menguasainya apabila dewasa kelak. Selain itu, pendedahan awal juga akan lebih berkesan kerana generasi muda sukakan cabaran dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Apatah lagi jika hasilnya menjanjikan keseronokan kepada mereka seperti pengaturcaraan permainan komputer. Melalui kurikulum pendidikan rendah dan menengah kita boleh memberi pendedahan dengan menyediakan tugasan atau projek yang melibatkan pengaturcaraan kepada pelajar. Jadi pelajar tidak ada pilihan selain mempelajari pengaturcaraan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Setakat ini pengatucaraan telah diajar di peringkat menengah atas di sekolah berasrama penuh dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Bahasa pengaturcaraan yang diajar pula adalah bahasa BASIC, iaitu bahasa yang ringkas dan agak mudah dipelajari.

Mengulas tentang hal ini saya pernah membelek koleksi buku rujukan KBSM berkaitan komputer hasil kerjasama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan. Salah satu buku tersebut mengandungi kursus pengenalan terhadap pengaturcaraan C. Tidak pasti sama ada pihak kementerian telah menggunakannya di sekolah-sekolah. Walaupun secara peribadi saya rasakan kandungannya masih kurang berkesan, usaha ini merupakan satu langkah yang positif ke arah memberi pendidikan dan pendedahan kepada bidang pengaturcaraan di kalangan generasi muda. Cuma kandungannya perlu disemak dan dipertingkatkan dari masa ke semasa supaya lebih berkesan terhadap pelajar.

Publisiti terhadap industri permainan komputer juga mampu menarik minat golongan remaja mendalami bidang pengaturcaraan. Ini kerana ramai dari kalangan pengatur cara tertarik kepada pengaturcaraan disebabkan keinginan membina permainan komputer dan bersaing sesama mereka. Perkembangan industri permainan komputer di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan bukan saja menjanjikan keseronokan kepada masyarakat, malah menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan yang lumayan. Di negara kita industri ini belum berkembang secara meluas, dan salah satu puncanya adalah faktor kurang kepakaran dalam bidang pengaturcaraan. Perkembangan industri permainan merupakan satu perkembangan yang positif kerana permainan komputer memerlukan pengatur cara dalam pembangunan permainan, selain pengurus, pereka grafik dan penguji permainan. Apabila remaja terdorong untuk melibatkan diri dalam pembangunan permainan atau menghasilkan permainan komputer sendiri, sudah tentu mereka akan berusaha mempelajari pengaturcaraan.

Hakikatnya pengaturcaraan bukan suatu tugas yang mudah. Sebagai seorang tenaga pengajar di IPTA, saya melihat masih banyak perlu dilakukan bagi membolehkan masyarakat tertarik dan mampu menguasai bidang pengaturcaraan. Sedangkan pelajar di IPT pun masih 'terkial-kial' untuk menguasainya, apatah lagi generasi muda di peringkat yang lebih rendah. Walau bagaimanapun tidak mustahil majoriti masyarakat mampu menguasainya suatu hari nanti. Pengaturcaraan bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya bagi mereka yang rajin berusaha mempelajarinya. Kita boleh mencontohi negara India yang walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport oleh negara-negara maju.

Peranan pihak-pihak berkenaan terutama ahli komuniti sains komputer di seluruh negara amat diperlukan dalam melakukan kajian dan penyelidikan bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengaturcaraan di kalangan masyarakat. Sebagai contoh usaha ke arah ini, di kalangan IPT (Awam) misalnya, sentiasa memberi penekanan terhadap kemahiran pengaturcaraan di kalangan lulusan sains komputer bagi memastikan graduan yang dihasilkan dapat meningkatkan bilangan komuniti pengatur cara yang terbaik di negara ini. Sokongan kerajaan juga perlu dalam membantu memberi kesedaran kepada masyarakat melalui penerapan kaedah pengajaran-pembelajaran sains komputer yang lebih berkesan pada peringkat sekolah. Manakala ahli masyarakat perlu memberi sokongan dengan mempelajari dan memberi galakan kepada generasi muda untuk mempelajari pengaturcaraan komputer. Jika semua pihak berganding bahu dan menyumbang tenaga, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi 'kilang' tenaga pakar dalam bidang teknologi maklumat, khususnya pembangunan perisian, selaras dengan matlamat penubuhan MSC.

p/s: Artikel ini saya tulis sekitar tahun 2007. Dihantar ke editor majalah tempatan, tetapi tidak pernah tersiar (kesian...perlu banyak berlatih agaknya). Jadi saya siarkan di sini saja untuk tatapan umum.

Khamis, 22 Januari 2009

Sisipan - Masyarakat penyelidik yang cerdik?

Tidak Allah jadikan sesuatu dengan sia-sia. Jadikanlah sebagai iktibar untuk kita semua...

(sumber : Berita Harian Online, 22 jan 2009 - http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090121234005/Article/index_html)
SEREMBAN: Seorang pensyarah universiti yang disaman ibu bapanya kerana tidak memberi nafkah kepada mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Lili (bukan nama sebenar), 39, berkata gaji kasar RM4,400 sebulan tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan dan terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zol (bukan nama sebenar), 43.

Dia turut memberitahu mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank, termasuk pinjaman peribadi yang diambilnya, selain gaji diterimanya dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak.

Lili berkata demikian dalam perbicaraan untuk membuat taksiran mengenai kemampuannya membayar nafkah sepanjang hayat kepada ibu dan bapanya.

Tahun lalu, Lili dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya, terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan ibu bapanya mendiami rumah di Kampung Jiboi Baru yang sudah dijual kepada orang lain, tetapi disewakan semula dengan sewa dibayar Lili.

Pada April 2007, Lili dan Zol sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Pakcik K, 72, dan isterinya, Makcik F, 64, kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, pakcik K menyatakan beliau dianugerahkan sebidang tanah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, pada Ogos 1971 serta mendirikan sebuah rumah dan membesarkan lapan anak, termasuk defendan pertama.

Pada 1993 Lili serta Zol mendirikan rumah tangga dan pada 2002, pakcik K memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif.

Pernyataan tuntutan turut menyatakan defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Lili juga didakwa gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu'.

Hakim kemudian menetapkan 24 Februari depan untuk membuat taksiran yang sama terhadap suaminya.
Agaknya ibubapanya dah kecewa sangat. Mungkin juga bukan 100% salah si anak (ada sebab tertentu cth. banyak hutang). Namun sebagai anak, dah jadi tanggungjawab untuk bagi nafkah pada ibubapa dan sedaya-upaya berbakti kepada mereka. Dalam kes di atas, sepasang ibubapa boleh jaga 8 anak (seorang jadi pensyarah!), tapi ... wallahua'lam

p/s: mudah-mudahan kita semua dijauhkan dari mengulangi 'kesilapan anak' di atas. insya'allah

Rabu, 21 Januari 2009

Sisipan - Pakaian yg ideal utk wanita aktif!




Kali ini saya nak promosi baju Muslimah. Masyarakat bukan Islam juga boleh membeli/memakainya.
Kalau suka/berminat, sila lawat blog berkenaan.

Sabtu, 17 Januari 2009

Sisipan - Hi geng!

Sekadar membantu mempromosi filem animasi di Malaysia. Jika dapat sambutan, mungkin mereka patut cuba bina perisian permainan dan keluarkan franchise untuk barangan cenderamata!

(klik gambar untuk keterangan lanjut)

Mula ditayangkan di pawagam : 12/02/2009

Rabu, 14 Januari 2009

Kempen Menghargai Ilmu

Mungkin kita sudah biasa dengar tentang Kempen Membaca. 'Membaca jambatan ilmu', salah satu slogan yang kerap saya dengar ketika sekolah rendah. Waktu itu juga kalau tak silap, dilancarkan Kempen Membaca. Pelbagai program dan aktiviti dijalankan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan dalam membudayakan sikap membaca di kalangan masyarakat, khususnya pelajar sekolah.

Antara yang saya ingat adalah aktiviti yang dinamakan 'Pertandingan Membaca', di mana setiap pelajar diminta menyediakan sebuah buku log. Kami dikehendaki membaca seberapa banyak buku, dan perlu menulis sinopsis bagi setiap buku yang dibaca ke dalam buku log tersebut. Pelajar yang paling banyak menulis sinopsis buku (bermakna paling banyak membaca!) akan dipilih sebagai pemenang dan diberi hadiah. Saya cuba jadi pemenang, tapi tak pernah berjaya. Tapi daripada pertandingan itu, saya kenal perpustakaan dan 'jatuh hati' dengannya. Sedikit sebanyak kempen tersebut memberi kesan pada saya, dan kesannya sampai sekarang saya 'cinta' pada buku (alhamdulillah), dan saya suka menyusun buku hehehe.

Tidak dapat dinafikan, ramai generasi 'celik huruf' di Malaysia telah berjaya diasuh dan dibudayakan dengan sikap membaca. Ini boleh dilihat dengan bertambahnya bahan-bahan bacaan terutama majalah-majalah - hiburan, sukan, permotoran, teknologi, komik, fesyen dsb - dan pelbagai jenis akhbar termasuk tabloid di kedai-kedai. Kalau tiada sambutan, masakan ingin dijual? Dan kebanyakan bahan bacaan ini lazimnya menjadi tumpuan golongan umum, hatta peminta sedekah pun ingin meninjau tajuk akhbar yang dipamerkan! Ini belum mengambilkira perkembangan dan pertambahan penerbit-penerbit buku di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai jenis bahan bacaan lain - jurnal akademik, novel, sisipan akhbar cth esti.dot.my, buku-buku teks dsb.

Selain bahan bercetak yang umum, saya percaya perkembangan teknologi media massa dan penyiaran telah berjaya memperluas dan meningkatkan lagi minat membaca di kalangan masyarakat. Siaran televisyen dan radio (utk kempen), papan-papan tanda/iklan, laman-laman web internet dan pelbagai bahan bercetak seperti katalog, brochure termasuk kad jemputan kahwin - kini mampu menjadi pemangkin kepada pembudayaan membaca. Kad jemputan?! Kenapa tidak? Dewasa ini kad jemputan kahwin pun dah semakin canggih dan menarik. Ada juga dimuatkan kata-kata pujangga, dan maksud ayat Al-Quran dan hadis. Ada satu ketika saya dan ahli keluarga bersembang memperkatakan tentang keunikan kad jemputan kahwin yang baru diterima, dan masing-masing sibuk bergilir ingin membacanya. Dan kebelakangan ini, umum sering memperkatakan tentang papan tanda, dan selain sekadar mengetahui nama tempat dsb, masing-masing sibuk membaca papan tanda untuk mencari isu dan kesalahan (ejaan, bahasa dsb). Kan membaca!

Manakala di internet, selain laman web, antara yang terkini adalah blog (saya kata terkini kerana saya baru tahu memanfaatkannya! alahai...). Blog menarik minat pelbagai golongan yang melayari internet kerana selain menyediakan bahan bacaan dan pelbagai media lain, blog juga menjadi wahana untuk masyarakat berwacana, melahirkan pendapat, ekspresi, kritikan dan lain-lain. Dahulu ini hanya boleh dilakukan dengan 'surat pembaca' di majalah atau akhbar. Tetapi sekarang, semudah menulis diari, mudah sekali dikemaskini! Yang paling bagusnya, dengan adanya kandungan-kandungan menarik di blog-blog tertentu menarik ramai golongan masyarakat untuk membaca. Ini sangat bagus, kerana ia adalah salah satu mekanisma dalam kempen membaca. Hatta Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini (beberapa bulan lepas) secara umum mengakui betapa blog merupakan salah satu media yang berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat (rakyat).

Cuma, adakah perkembangan ini menunjukkan bahawa kualiti pembacaan dan budaya ilmu di kalangan masyarakat juga telah berkembang? Sejauh manakah kita berjaya mendidik generasi muda terhadap kepentingan ilmu? Dan sejauh manakah generasi muda menghargai ilmu? Seperti yang diungkapkan oleh Dr Danial Zainal Abidin (pendakwah, pemotivasi, ahli perubatan Islam) - 'yang penting bukan berapa banyak yang kita baca, tapi apa yang kita baca'. Adakah ini bermakna masyarakat sudah pandai memilih bahan bacaan yang bermanfaat? Amnya, saya tidak tahu. Cuma pada saya, saya sedar kepentingan ilmu (alhamdulillah).

Umum perlu faham, dalam mempelajari ilmu budaya membaca saja tidak cukup. Penilaian terhadap bahan bacaan juga memainkan peranan penting. Tidak ada maknanya jika kita membaca berjam-jam, tetapi 'ilmu' yang kita dapat tidak bermakna. Maka samalah kita dengan orang yang tidak membaca (walaupun kita membaca!).

Apabila membaca, kita perlu mengetahui (1) matlamat pembacaan, (2) kandungan bahan bacaan, dan (3) kebolehpercayaan bahan bacaan. Sebenarnya banyak lagi faktor yang perlu dipertimbangkan. Tapi saya mampu bincangkan faktor ini saja. Jadilah, sekadar mengungkapkan kepentingan menilai bahan bacaan.

Dalam mempertimbangkan matlamat pembacaan, matlamat yang paling utama adalah untuk mendapatkan atau mempelajari ilmu. Banyak matlamat lain. Misalnya menghilangkan rasa bosan, merangsang pemikiran dan lain-lain. (ini saya tak bincang, saya fokus kepentingan membaca untuk ilmu). Ilmu pula banyak definisi. Antaranya, pengetahuan dan maklumat. Dalam erti kata lain supaya kita tahu. Jadi apakah matlamat ilmu yang kita baca? Persoalan ini perlu dijawab dulu sebelum menghabiskan masa untuk membaca. Dari sini kita tahu kebaikan matlamat pembacaan kita. Jika matlamatnya baik, berbaloilah masa yang dihabiskan untuk membaca.

Sesuatu bahan bacaan boleh mengandungi pelbagai jenis kandungan. Ada yang berguna, ada yang tidak. Semua yang ada di alam ini adalah ilmu. Sama ada berguna/tidak, terpulang kepada si pembaca, iaitu matlamat dia membaca. Anda sebagai pembaca, yang menilai bahan bacaan anda, kerana anda yang akan memanfaatkannya. Masa itu masa anda. Kalau anda membazir masa pada benda yang anda rasa tak berguna, maka anda yang rugi (harap blog ini berguna!). Bukan saya, bukan orang lain.

Tetapi ini juga merujuk kepada kualiti sesuatu bahan bacaan. Jika suatu bahan bacaan itu dirasakan berkualiti oleh ramai orang (umum), maka ilmu yang diperolehi dari bahan bacaan itu akan tetap berguna, walaupun tidak memenuhi matlamat asal pembaca. Misalnya, fakta 'Malaysia ditubuhkan pada 1963'. Mungkin pembaca sekadar ingin tahu bila Malaysia merdeka, jadi anda rasa tidak berguna. Tetapi fakta ini berkait rapat dengan sejarah Malaysia, dan ia tetap fakta. Maka ia mungkin berguna pada masa lain. Jadi ia tetap berguna dan tidak sia-sia.

Ada ilmu yang benar, dan ada ilmu yang salah. Ilmu yang benar, sudah tentulah ia bagus, kerana ilmu yang benar sudah tentu berguna (cuma berguna 'bagaimana', 'bila' dan 'di mana' belum tahu) . 'Ilmu' yang salah atau tidak benar adalah ilmu juga, sebab dengan mempelajarinya kita jadi 'tahu'. Cuma, apa yang kita 'tahu' itu tidak berguna, kerana ia salah, tidak benar atau tidak tepat. Maka semasa membaca, kita perlu memastikan bahawa bahan bacaan itu memiliki tahap kebolehpercayaan yang tinggi, atau dengan kata lain ia 'betul'.

Tapi ini pendapat dan penilaian saya saja terhadap penilaian bahan bacaan. Semuanya terpulang pada anda yang menimba ilmu. Cuma saya menyarankan pada diri saya dan tuan-tuan semua, pilihlah bahan bacaan yang bermanfaat kerana masa itu sangat berharga, dan hidup di dunia hanya sekali (maaf ya, tiada istilah reincarnation atau 'kelahiran semula' dalam Islam)!

Hakikatnya, Al-Quran adalah sumber utama ilmu pada kita, dan benar secara mutlak (tidak boleh dinafikan, ikut/imani saja). Jadi, bacalah Al-Quran. Dalam Islam, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang dipelajari dan diajarkan kepada orang lain). Apabila kita membaca, perlu faham bahawa kita membaca untuk mendapat ilmu. Apabila telah berilmu, sebaiknya diajarkan kepada orang lain (jika mampu).

Semoga 'cetusan minda yang daif' ini dapat menjadi pedoman dan panduan kita dalam meningkatkan kualiti pembacaan kita. Bacaan dan ilmu yang berkualiti akan menghasilkan masyarakat yang berilmu dan berkualiti, dan sesungguhnya inilah yang kita perlukan untuk mencapai taraf masyarakat yang bertamadun menjelang tahun 2020 nanti!

p/s: maaf la terlewat sedikit.... blog ini berkualiti atau tidak? hmmmm....

Sisipan - Apa erti boikot?


Jangan beli! hehehe


(selingan saja)



Rabu, 7 Januari 2009

Sisipan - Boikot barang Israel (dan sikap pemalas!)

Pada awalnya, saya agak keberatan untuk turut serta dalam kempen 'boikot Israel' ini. (Sekadar menyumpah di dalam hati). TAPI...

'Sesuatu' menyedarkan saya. Sebagai menyahut 'panggilan jihad' seluruh saudara Muslim di seluruh dunia, saya menyeru pada diri saya dan tuan/puan sekelian,

BERTINDAK SEKARANG!

Apa yang kita semua boleh lakukan:
  1. Pengguna -ELAKKAN melanggan keluaran francais dan produk Amerika dan sekutu Israel - KFC, McD, Coca-Cola, Starbuck, Burger King, Kraft dll (Blogspot terlibat tak? hmmm...). Untuk pelanggan 'setia' KFC di utara, jemput singgah ke restoran alternatif - Radix Fried Chicken (RFC), HPA di Sg Petani, Kedah.
  2. Pengimport, pelanggan - batalkan kontrak (jika boleh) dengan syarikat-syarikat Amerika/Israel/sekutu.
  3. Pengeksport - hentikan eksport ke Amerika/Singapura/Israel/sekutu . Biar mereka tahu bagaimana rasa 'kebulur' dan kurang bekalan. Biar mereka 'mati kutu'.
  4. Mendoakan kesejahteraan dan keampunan kepada mangsa-mangsa yang terkorban/menderita dalam perang Hamas(Palestin)-Israel (update: Hamas, bukan Hizbullah)
  5. Mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang dilanda penindasan Israel
  6. Istimewa untuk perokok - berhenti merokok ...
Belum teruja? Lihat gambar 'anak kita' di bawah!

"Ya, Allah ..." (kata anda)
Kasihan?

Kalau kita masih membeli barangan Amerika dan Israel, maka kita pun sama...

PEMBUNUH!

Apa kena mengena dengan pemalas? Ya, kita ketinggalan dan umat Islam ditindas sebab kita pemalas! Dalam pada kita hanya bersorak, menempik, dan mengutuk Israel dan Amerika (mereka membalas dengan senyum sinis!), umat Islam perlu majukan diri! Bangun, wahai saudaraku!

Bangunkan teknologi! Bangunkan ilmu! Bangunkan industri! Bangunkan ekonomi! Insya'allah kita tidak akan dijajah lagi!

p/s: Jangan lupa sedekahkan bacaan al-fatihah untuk saudara Muslim yang terkorban. Al-Fatihah...

Selasa, 6 Januari 2009

Che Det (Tun) dan PPSMI

Petikan ini saya salin dari blog che det (Tun Dr Mahathir). Untuk difikir dan dipertimbangkan bersama ...
Sains dan Matematik

22. Saya ucap terimakasih kepada Cikgu Dari Ulu yang belajar sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya dan sekarang menjadi guru sains dalam bahasa Melayu juga.

23. Namun saudara sokong penggunaan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik.

24. Ya. Program ini bukan untuk memusnahkan identiti bangsa Melayu.

25. Saya sebenarnya mendapat pelajaran dari sekolah rendah hingga ke Universiti (perubatan) dalam Bahasa Inggeris.

26. Saya fikir saya masih boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, walaupun tidak sebaik seperti pakar bahasa.

27. Adat resam dan budaya saya adalah adat resam dan budaya Melayu.

28. Saya percaya saya diterima sebagai Melayu.

29. Jelas menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris tidak menjadikan saya kurang Melayu.

30. Takkanlah hanya kerana belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan kita lupa bahasa kita, dan kita kurang Melayu.

31. Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Untuk ini sudah ada matapelajaran bahasa Inggeris.

32. Penggunaan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik adalah kerana ilmu ini mengguna perkataan-perkataan yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa. Juga ilmu-ilmu baru dalam bidang sains terutamanya diterokai dan diperkenalkan melalui kertas-kertas akademik hampir tiap hari. Dan hampir semuanya didapati di dalam bahasa Inggeris.

33. Kita boleh terjemahkan kertas-kertas ini. Untuk ini kita perlu penterjemah yang fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa kita dan juga berkelulusan dalam bidang sains berkenaan. Kita tidak ada ramai orang seperti ini sekarang pun. Jika ada pun mereka tidak berminat untuk kerja ini sepanjang hayat. Apabila semua belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, di manakah akan kita cari orang yang fasih dalam bahasa Inggeris untuk membuat penterjemahan.

34. Dalam satu pertemuan saya telah beri contoh dalam bidang telekomunikasi, khususnya telefon sel. Kecanggihannya bertambah sepanjang masa. Ini semua adalah hasil pemahaman dalam ilmu dan teknologi "micro circuit", dalam cip, dan bagaimana menulis "software" untuknya.

35. Kita tidak perlu bahasa Inggeris untuk mengguna segala kemudahan dalam cell-phone. Tetapi untuk mencipta dan meningkatkan keupayaan cell-phone kita perlu ilmu yang berkenaan yang mana ilmu ini terdapat dalam bahasa Inggeris. Mungkin sudah ada buku-buku dalam bahasa Melayu berkenaan sains ini tetapi saya belum jumpa buku yang boleh menolong kita mencipta alatan yang mengguna sains ini. Sehingga kita ada buku ini kita perlu buku dalam bahasa Inggeris, syarahan dalam bahasa Inggeris, tunjuk ajar dalam bahasa Inggeris. Jika tidak maka kita akan terus jadi bangsa pengguna.

36. Untuk menjadi bangsa maju kita perlu ilmu pengetahuan yang luas. Hanya boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan kita bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa maju yang lain.

37. Saya sayangkan bahasa saya. Sejak 1947 lagi saya telah perjuangkan bahasa saya. Bukanlah niat saya untuk mengenepikan bahasa dan bangsa saya apabila saya buat keputusan untuk mengguna bahasa Inggeris dalam sains dan matematik. Niat saya ialah sebaliknya. Niat saya ialah supaya bangsa saya tidak ketinggalan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik yang begitu penting dalam menentukan maju/mundurnya sesuatu bangsa. Niat saya ialah supaya bangsa saya akan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang termaju di dunia.

38. Insya'allah apabila kita di masa akan datang sudah dapat mendiri tamadun Melayu yang termaju sama seperti tamadun moden yang terkenal di dunia, apabila pendita-pendita dan saintis Melayu dapat meneroka dan menyumbang kepada keilmuan sains dunia, maka pada masa itu para saintis asing akan mempelajari bahasa Melayu untuk mendapat ilmu sains sepertimana orang Arab mempelajari bahasa Yunani, Hindi, Cina, untuk menguasai ilmu-ilmu yang diterokai oleh bangsa-bangsa ini; sepertimana orang Eropah mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu-ilmu sains dan matematik yang diterokai dan dikuasai oleh orang Arab pada abad ke-15 Masehi.

39. Inilah sejarah keilmuan tamadun manusia sejak zaman Hammurabi lagi.

Pendirian saya dalam isu ini - pada prinsip dan matlamatnya, saya sokong idea PPSMI dan Tun (saya sependapat dengan Tun hehehe). Cuma masalah timbul apabila pelaksanaannya yang tidak sistematik dan adhoc membuatkannya jadi kelam kabut dan membebankan. Yang jadi mangsa anak-anak dan murid sekolah, dan guru pun malas nak beri sokongan. Jadi saya sokong jika PPSMI dihentikan SEMENTARA sehingga kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan (dan tidak membebankan) dapat dirangka, dibentuk dan dikaji.

Cerita tentang Wawasan

Kesinambungan daripada pertanyaan leeann terhadap S&T dan wawasan 2020. Pos kali ini akan memerihalkan tentang Wawasan 2020, 9 cabaran yang disenaraikan untuk ditangani, dan kepentingan penyelidikan S&T dan bukan S&T terhadap Wawasan 2020.

Wawasan 2020 ialah pandangan Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia negara membangun dengan corak negara Malaysia yang diingini menjelang tahun 2020. Pandangan ini dikemukakan pada persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dalam kertas kerja bertajuk "Malaysia - The Way Forward".

Wawasan 2020 bermatlamat untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.

Petikan kertaskerja Tun Dr Mahathir tentang Wawasan 2020;

"Matlamat utama yang patut kita tuju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Adakah kita mahu menjadi seperti 19 negara sekarang yang digelar negara maju? Setiap daripada 19 buah negara ini mempunyai kekuatan tersendiri. Tetapi setiap negara itu juga mempunyai kelemahannya. Tanpa meniru salah satu daripada negara berkenaan, kita masih boleh membangun. Kita patut menjadi negara maju mengikut cita rasa kita.

Malaysia tidak patut dibangunkan daripada segi ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, sosial, kejiwaan, psikologi dan kebudayaan. Kita mesti maju dalam erti kata perpaduan nasional dan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kejiwaan, maruah bangsa dan keyakinan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi negara bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokrasi liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing dinamik, giat dan kental.

Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita akhirnya mengatasi sembilan cabaran strategi yang kita hadapi sejak kelahiran kita sebagai negara merdeka."
(Tun Dr. Mahathir Mohammad "Malaysia Melangkah Ke Hadapan", 28 Februari 1994) dalam (Zurinah Hassan, 1994).

9 Cabaran Wawasan 2020:
  1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
  2. Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan
  3. Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang
  4. Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika
  5. Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi
  6. Membina masyarakat yang maju dan saintifik
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang
  8. Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya
  9. Memupuk dan membina masyarakat makmur

Tun Dr Mahathir memberi definasi/maksud 'negara Malaysia maju' dalam petikan ucapan berikut (Pusat Dagangan Dunia Putra, 8 Nov 1991);
"Kita telah membentuk Wawasan 2020 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Negara maju yang dimaksudkan bukan semata-mata negara industri yang pendapatan perkapitanya adalah sekian banyak. Yang dimaksudkan dengan negara maju ialah negara yang berupaya membangunkan diri sendiri melalui penguasaan ilmu, kecekapan dan moral yang tinggi yang akan membolehkan kita bersaing dengan Negara maju yang lain dalam semua bidang"

Zurinah Hassan (1994) menerangkan ciri kemajuan yang dimaksudkan ialah
"… kebolehan, pengetahuan serta taraf hidup yang sama atau lebih baik daripada negara maju. Kemajuan yang diingini ialah kemajuan yang lebih menyeluruh dengan mengambil iktibar dari keruntuhan aspek kerohanian yang berlaku di negara maju."

Peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masing-masing, seperti yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad, Wawancara RTM "Bersama Perdana Menteri" Julai 1993) dalam (Zurinah Hassan, 1994);
"Kita tidak boleh bertindak dengan berkesan tanpa memahami apa yang kita buat dan apa hasil daripadanya. Setiap rakyat perlu memahami pembabitan mereka dalam proses pembangunan negara."
Konsep penyatuan usaha ke arah satu matlamat ini perlu dilihat sebagai satu sinergi (Covey, 2004), iaitu gabungan pelbagai usaha dari pelbagai sudut dan perspektif untuk mencapai satu matlamat yang diinginkan. Melalui konsep sinergi, "1 tambah 1 sama dengan 3" bukan 2. Secara prinsipnya, beban yang boleh ditanggung oleh sekumpulan gabungan kayu, lebih banyak dari hasil tambah semua beban yang ditanggung setiap kayu tersebut. Maka 'hasil gabungan usaha' adalah lebih banyak berbanding 'gabungan hasil usaha' setiap individu. Gabungan usaha ini melibatkan kerjasama dari pelbagai bidang dan cabang ilmu.

Salah satu golongan terpenting adalah komuniti penyelidikan, yang menjadi tunggak untuk menyahut cabaran ke-6 -menjadi masyarakat maju dan saintifik. Komuniti bidang penyelidikan memainkan peranan penting kerana penyelidikan memperluas ilmu dan teknologi. Ilmu adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara. Hakikatnya untuk menjadi negara maju, usaha pendidikan dan penyebaran ilmu tidak setakat mempelajari ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Sebaliknya komuniti penyelidik perlu proaktif menyelidik dan membongkar ilmu-ilmu baru, mengkaji, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Malah, penyelidikan adalah nadi dan asas kepada semua bidang. Kemajuan penyelidikan secara langsung dan tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang-bidang lain (cth industri, pendidikan, pertanian, pengurusan dll), sekaligus memajukan negara. Maka tidak hairanlah Singapura sanggup mengeluarkan belanja besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pada tahun 2008 merupakan negara ketiga mengeluarkan perbelanjaan terbesar untuk R&D.

Penyelidikan adalah proses yang mengaplikasi dan memperkembang bidang sains dan teknologi (S&T). S&T telah diakui antara ilmu terpenting dewasa ini. Ini kerana sains membongkar dan menerangkan pelbagai fenomena alam secara sistematik. Justeru menjadi satu proses pengembangan ilmu. Manakala teknologi merupakan aplikasi sains dan pemangkin kepada pembangunan dalam membantu kehidupan manusia. Amnya sains mendorong teknologi, dan teknologi juga boleh mendorong sains. Kedua-duanya terkandung dan menjadi keutamaan dalam penyelidikan.

Dengan adanya sains, manusia lebih memahami sesuatu fenomena alam, dan berasaskan sains manusia dapat maju dengan penghasilan teknologi. Manusia juga boleh maju dengan ilmu sains kerana ia meningkatkan tahap pemikiran dan gaya hidup. Manakala teknologi memantapkan pencapaian hidup manusia melalui penghasilan bahan dan alat yang lebih moden seperti bahan makanan, ubatan, senjata dll, sekaligus meningkatkan prestasi dan pencapaian manusia. Teknologi juga boleh mendorong (semula) sains dengan penghasilan radas, bahan dan kemudahan eksperimen yang lebih canggih untuk kajian sains. Bangsa yang maju dengan sains boleh mengatasi bangsa yang kurang/tidak maju, kerana sains memberikan mereka 'kekuatan' dan kelebihan dari segi ilmu dan teknologi.

Tetapi hakikatnya, dalam mencapai wawasan 2020, pengembangan ilmu tidak harus tertumpu pada perspektif S&T sahaja. Sejarah telah membuktikan pada zaman kegemilangan Rom, Yunani, Parsi, Islam, Eropah dan lain-lain, pelbagai bidang ilmu bergerak seiring. Falsafah, sastera, sains, logik/mantik, matematik dan lain-lain, semuanya didalami, dipelajari dan diperluaskan. Malah dewasa ini, Amerika dan Jepun bukan saja maju dalam bidang ilmu sains, tetapi juga hiburan dan seni kreatif (misalnya animasi dan perisian multimedia). Ini kerana bidang ilmu selain S&T memberi impak kepada komuniti umum, iaitu mampu bertindak sebagai wahana dan wacana alternatif kepada hasil penemuan kajian dan penyebarannya kepada masyarakat. Tanpa bidang media kreatif, misalnya, penyebaran ilmu sains akan jadi perlahan dan terhad. Tetapi kerana hasil kreatif yang bersifat santai menarik minat semua golongan, lantas menjadikan penyebaran ilmu dan maklumat lebih berkesan, khususnya dari aspek budaya dan sosial.

Ilmu bukan S&T juga boleh menjadi pencetus idea. Bidang penulisan fiksyen menjadi pencetus idea kepada penyelidikan S&T melibatkan robot. Istilah dan konsep robot diperkenalkan melalui penulisan sebuah novel fiksyen, lama sebelum wujudnya robot yang pertama. Al-Quran pula merupakan sebuah 'karya maha Agung', dan hakikatnya banyak fenomena-fenomena alam tercatat di dalamnya yang boleh menjadi pencetus idea dan petunjuk kepada penyelidikan S&T. Al-Quran tidak boleh difahami hanya dengan ilmu sains, sebaliknya pemahaman sastera Arab dan kemantapan ilmu agama (naqli) akan memudahkan maksudnya ditafsirkan. Manakala dengan adanya kemajuan dalam bidang S&T seperti komputer membantu pula pengembangan ilmu bukan S&T. Proses timbal-balik ini secara tidak langsung menjadi satu contoh konsep sinergi, iaitu gabungan semua bidang ilmu (S&T dan bukan S&T) membolehkan kemajuan yang dicapai oleh setiap bidang tersebut saling membantu dan menjadi lebih berkesan.

Paling penting, keharmonian dari aspek budaya masyarakat dan prinsip spiritual juga perlu diberi perhatian. Jika dilihat dari 9 cabaran yang disenaraikan, 8 merujuk kepada prinsip ini. Ini kerana kemajuan S&T saja tidak dapat menjamin kemajuan sebenar. Ia perlu disinergikan dengan bidang-bidang dan cabang ilmu bukan S&T, khususnya ilmu agama. Bagi umat Islam, akidah dan iman perlu dimantapkan selari dengan perkembangan S&T, dan Al-Quran adalah sandaran dan tunjang kepada ilmu tersebut. Jika Al-Quran kata haram, haram. Jika halal, halal. Pegangan akidah yang teguh akan menjamin ilmu S&T dan bukan S&T yang diamalkan akan membawa kemajuan, dan bukan merosakkan keharmonian dalam masyarakat.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan ini menjadi faktor kepada penguasaan dalam ilmu dan bidang tertentu. Ilmu-ilmu ini sangat diperlukan oleh negara. Maka semua golongan rakyat, tak kira bidang penyelidikan, pendidikan, industri yang melibatkan dalam apa jua bidang ilmu sekalipun, perlu memahami peranan masing-masing dan terlibat ke arah mencapai wawasan 2020. Kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat itu. Bukan hanya komuniti yang terlibat dengan ilmu S&T saja.

Sebagai orang Islam dan mukmin, renungkan maksud ayat Al-Quran berikut (Surah Al-Mukminun, Ayat 61) :
"Orang mukmin adalah orang yang bersegera untuk mendapatkan segala kebaikan dan merekalah orang yang berada di hadapan dalam mendapatkan kebaikan itu.".
Sesungguhnya, manusia yang terbaik adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain (dan diri sendiri). Kita tidak dilahirkan untuk menjadi sia-sia dan bukan dengan sia-sia.

Rujukan:
  1. Zurinah Hassan (1994). Wawasan 2020 : Huraian 9 Cabaran. Penerbitan Perwarna, Shah Alam.
  2. Covey, Stephen R. (2004). The 7 Habits of Highly Effective People. Free Press. NY.

Jumaat, 2 Januari 2009

Sisipan - Kesihatan mata

Ringkas saja. Sekadar panduan untuk kita semua.

Tahukah anda (dan saya) selain vitamin A, penjagaan kesihatan mata juga memerlukan pengambilan makanan/minuman pelengkap (supplement) berikut:
  • vitamin C
  • multivitamin
  • air beralkali (bukan air bateri, tetapi air mineral beralkali).
  • blueberry (kek, jem, roti dll boleh didapati di kebanyakan kedai runcit dan pasaraya)
Selain penjagaan makanan, untuk menjaga kesihatan mata, juga beringat supaya anda tidak terlalu kerap terdedah kepada
  • gelombang mikro (microwave). Maknanya, kalau menggunakan ketuhar gelombang tu, tak perlulah dijengah selalu!
  • skrin monitor CRT atau sumber cahaya yang terlalu terang (LCD? hmmm)
Selain itu, tip kesihatan lain adalah mengamalkan minum air masak sekurang-kurangnya 3 hari dalam seminggu (sehari bermaksud tidak minum air lain - cth kopi, teh dll - selain air masak sepanjang hari berkenaan).

Untuk ubat dan produk penjagaan kesihatan mata, syarikat Permata Hijrah menyediakan beberapa pilihan produk. Selain itu, air beralkali juga boleh didapati daripada syarikat HPA dan Permata Hijrah. (maaflah, keterangan lanjut tentang syarikat boleh cari sendiri. Sekadar tip saja).

Sumber: ulasan dari 'segmen tajaan', IKIM.fm

p/s: sebelum ini saya tahu vitamin A saja. Terima kasih juga kepada tuan/puan yang 'baru sampai'! :)