بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Jumaat, 23 Januari 2009

Memasyarakatkan Pengaturcaraan Komputer

Artikel berikut adalah kesinambungan daripada pos 'Kepentingan Pengaturcaraan' (telah dikemaskini).


Notes: The above image/cartoon was published for illustration purposes only, to the following article, without any commercial or advertising intent. All copyright and credits belong to the original publisher.

'Pendedahan Ilmu Pengaturcaraan di Kalangan Masyarakat dan Pendekatan dalam Pendidikan'

Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengatur cara. Antara penekanan yang perlu diberikan ialah penerangan terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang, dan tidak hanya kepada bidang sains komputer sahaja. Masyarakat juga perlu diberi penerangan tentang pengaturcaraan dan potensinya. Pembangunan perisian tidak hanya terhad kepada komputer peribadi saja kerana apa saja yang menggunakan pemproses mikro, perlukan perisian dan pengaturcaraan. Pendedahan serta penerangan tentang bidang pengaturcaraan dan pembangunan perisian akan dapat membantu memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat erti sebenar pengaturcaraan dan betapa tingginya nilai kemahiran pengaturcaraan.

Komuniti sains komputer sedar tentang perlunya usaha menarik minat masyarakat kepada pengaturcaraan. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan membina bahasa pengaturcaraan yang mudah dipelajari dan digunakan. Ini membolehkan generasi muda seawal Tahun Satu diajar menggunakan bahasa pengaturcaraan. Misalnya, bahasa pengaturcaraan BASIC dibina menggunakan sintaks bahasa yang mudah. Berbanding bahasa yang lebih kompleks, BASIC mudah dipelajari terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang pengaturcaraan. Begitu juga dengan bahasa PASCAL. Manakala bahasa LOGO menggunakan konsep pengaturcaraan grafik untuk menarik minat kanak-kanak kepada bidang pengaturcaraan. Atur cara LOGO terdiri daripada set arahan-arahan untuk melukis dan secara tidak langsung kanak-kanak mudah tertarik untuk mencuba. Selain itu Scratch, AgenSheets, Alice, Baltie, Karel dan Phrogram adalah antara hasil kajian terhadap bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang bertujuan menarik minat kanak-kanak mengatur cara. Pengaruh permainan komputer begitu ketara, kerana kebanyakan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' di atas lebih ke arah mengajak pengatur cara membina permainan komputer mereka sendiri.

Usaha meningkatkan kemahiran pengaturcaraan di kalangan generasi muda boleh dilakukan melalui penerapan kurikulum pengaturcaraan pada peringkat sekolah. Usaha ini akan menjadi lebih mudah dengan bantuan bahasa pengaturcaraan 'pendidikan' yang dinyatakan pada perenggan di atas. Pendedahan awal akan memberi maklumat kepada generasi muda tentang pengaturcaraan dan dengan pengetahuan yang luas akan memudahkan mereka menguasainya apabila dewasa kelak. Selain itu, pendedahan awal juga akan lebih berkesan kerana generasi muda sukakan cabaran dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Apatah lagi jika hasilnya menjanjikan keseronokan kepada mereka seperti pengaturcaraan permainan komputer. Melalui kurikulum pendidikan rendah dan menengah kita boleh memberi pendedahan dengan menyediakan tugasan atau projek yang melibatkan pengaturcaraan kepada pelajar. Jadi pelajar tidak ada pilihan selain mempelajari pengaturcaraan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Setakat ini pengatucaraan telah diajar di peringkat menengah atas di sekolah berasrama penuh dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Bahasa pengaturcaraan yang diajar pula adalah bahasa BASIC, iaitu bahasa yang ringkas dan agak mudah dipelajari.

Mengulas tentang hal ini saya pernah membelek koleksi buku rujukan KBSM berkaitan komputer hasil kerjasama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan. Salah satu buku tersebut mengandungi kursus pengenalan terhadap pengaturcaraan C. Tidak pasti sama ada pihak kementerian telah menggunakannya di sekolah-sekolah. Walaupun secara peribadi saya rasakan kandungannya masih kurang berkesan, usaha ini merupakan satu langkah yang positif ke arah memberi pendidikan dan pendedahan kepada bidang pengaturcaraan di kalangan generasi muda. Cuma kandungannya perlu disemak dan dipertingkatkan dari masa ke semasa supaya lebih berkesan terhadap pelajar.

Publisiti terhadap industri permainan komputer juga mampu menarik minat golongan remaja mendalami bidang pengaturcaraan. Ini kerana ramai dari kalangan pengatur cara tertarik kepada pengaturcaraan disebabkan keinginan membina permainan komputer dan bersaing sesama mereka. Perkembangan industri permainan komputer di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan bukan saja menjanjikan keseronokan kepada masyarakat, malah menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan yang lumayan. Di negara kita industri ini belum berkembang secara meluas, dan salah satu puncanya adalah faktor kurang kepakaran dalam bidang pengaturcaraan. Perkembangan industri permainan merupakan satu perkembangan yang positif kerana permainan komputer memerlukan pengatur cara dalam pembangunan permainan, selain pengurus, pereka grafik dan penguji permainan. Apabila remaja terdorong untuk melibatkan diri dalam pembangunan permainan atau menghasilkan permainan komputer sendiri, sudah tentu mereka akan berusaha mempelajari pengaturcaraan.

Hakikatnya pengaturcaraan bukan suatu tugas yang mudah. Sebagai seorang tenaga pengajar di IPTA, saya melihat masih banyak perlu dilakukan bagi membolehkan masyarakat tertarik dan mampu menguasai bidang pengaturcaraan. Sedangkan pelajar di IPT pun masih 'terkial-kial' untuk menguasainya, apatah lagi generasi muda di peringkat yang lebih rendah. Walau bagaimanapun tidak mustahil majoriti masyarakat mampu menguasainya suatu hari nanti. Pengaturcaraan bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya bagi mereka yang rajin berusaha mempelajarinya. Kita boleh mencontohi negara India yang walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport oleh negara-negara maju.

Peranan pihak-pihak berkenaan terutama ahli komuniti sains komputer di seluruh negara amat diperlukan dalam melakukan kajian dan penyelidikan bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengaturcaraan di kalangan masyarakat. Sebagai contoh usaha ke arah ini, di kalangan IPT (Awam) misalnya, sentiasa memberi penekanan terhadap kemahiran pengaturcaraan di kalangan lulusan sains komputer bagi memastikan graduan yang dihasilkan dapat meningkatkan bilangan komuniti pengatur cara yang terbaik di negara ini. Sokongan kerajaan juga perlu dalam membantu memberi kesedaran kepada masyarakat melalui penerapan kaedah pengajaran-pembelajaran sains komputer yang lebih berkesan pada peringkat sekolah. Manakala ahli masyarakat perlu memberi sokongan dengan mempelajari dan memberi galakan kepada generasi muda untuk mempelajari pengaturcaraan komputer. Jika semua pihak berganding bahu dan menyumbang tenaga, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi 'kilang' tenaga pakar dalam bidang teknologi maklumat, khususnya pembangunan perisian, selaras dengan matlamat penubuhan MSC.

p/s: Artikel ini saya tulis sekitar tahun 2007. Dihantar ke editor majalah tempatan, tetapi tidak pernah tersiar (kesian...perlu banyak berlatih agaknya). Jadi saya siarkan di sini saja untuk tatapan umum.

8 ulasan:

  1. em,mungkin orang susah nak faham kot..sebab saya pun kena baca ulang kali...huhu.tapi menarik..atau penerbit tak berminat..macam mane nak bangunkan kalau penerbit pun tak de kesedaran tentang kepentingannya..
    hasilnya pasti lumayan kiranya ia betul2 dapat dilakukan..
    tapi generasi sekarang makin suka pada ilmu komputer..cuma perlu lebih pendedahan..(jgn ilmu tak berkaitan sudah)sbb segalanya di hujung jari anda

    BalasPadam
  2. saya sangat meminati pengaturcaraan sejak dari zaman kolej lagi. pada masa tu kami belajar C++ Borland dan VB.

    sekarang ni maybe ramai dah jadi pakar HTML. mana tak nya, dengan adanya myspace, blog dan sebagainya HTML dah jadi begitu penting untuk tujuan pengeditan dan sebagainya.

    BalasPadam
  3. fahana_ann:kalau editor/pembaca tak faham, salah saya le hehehe
    kemajuan ekonomi India salah satunya menerusi IT. Tapi MSC di Malaysia mcm kurang berjaya. Kenapa agaknya? hmmm...

    faisal:C++ dan VB? kira bagus la tu. Kalau terus diamal dan diaplikasikan, lagi bagus. Tambah skill bangunkan pangkalan data, matematik je. Boleh bangunkan perisian sendiri- aplikasi perakaunan ke, pengurusan bajet ke.Ingatkan bidang kewangan... :)

    BalasPadam
  4. boleh buat pendedahan untuk kemajuan ekonomi india dengan IT?macam menarik je..macam tak percaya pun ada..hehehe..sy bukan orang komputer sebab tu tak berapa nak faham.hehehe

    BalasPadam
  5. Perkembangan IT di India membantu ekonomi sbb:

    1)-menyediakan peluang pekerjaan, dan membantu perkembangan industri lain
    'Efficient utilization of skilled labor forces in the IT sector can help an economy achieve a rapid pace of economic growth.', dan
    'The IT industry helps many other sectors in the growth process of the economy including the services and manufacturing sectors.'
    Information technology Industry

    2)-pembangunan ekonomi yg pesat dlm masa yg singkat
    'Visiting the centre, you would think that for India's IT businesses, the sky is the limit. Rarely has an industry grown so rapidly for so long. It has boasted annual growth rates of nearly 30% in the past ten years, with revenues now nearing $50 billion, about 5.4% of India's GDP.'
    Is India's technology boom slowing? (preview)

    3)-peningkatan pelaburan asing
    'Many large organizations in North America and Europe have turned to India for help in completing development projects. Computers and software tools cost about the same in India as they do everywhere else, and doing offshore development means that a firm in North America or Europe will spend significantly more on telecommunications costs. The big savings is in people. An experienced developer in India might make a quarter of what an equivalent developer in America would be paid. Because salaries make up such a large percentage of development projects, Indian firms can present an impressive cost advantage.'
    Where software is king: IT in India

    p/s: tak buat rujukan terperinci. sekali lalu saja. saya bukan pakar ekonomi hehehe zzzzz...

    BalasPadam
  6. ok ler..
    gud job..
    huhuhu;p

    BalasPadam
  7. Salam.
    Tanya, apa pendapat pemilik blog sendiri mengenai tahap pemahaman pengaturcaraan untuk pelajar sekolah menengah di dalam subjek ICT di Malaysia.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  8. (Haiba) - maaf. tak perasan ada pertanyaan ni. Jujurnya, saya pun tak berani kata (sbb tkde data dan statistik). Tapi saya nampak ada peningkatan berbanding dahulu. Maklum sajalah zaman internet dan teknologi. Bebudak semakin bijak/matang (tak termasuk yg ter'sasar' dan tersesat). Tapi saya yakin blm mantap utk kita berlepas tangan dan berehat. Perlu ada lebih banyak modul yang berkesan untuk memantapkan sistem pendidikan ICT yg ada. Bukan bermakna yg ada itu tidak bagus, tapi perlu sentiasa ada peningkatan supaya hasil yg akan datang lebih baik drpd yg ada skrg.
    tahap pemahaman pelajar sekolah blh dibantu jika cikgu-cikgu sentiasa proaktif menyediakan contoh-contoh pengaturcaraan yg terkini dan praktikal. Sekolah bukan universiti. Sasarkan pd aturcara yg praktikal. Sesekali blhlah bg contoh yg canggih misalnya cara buat aturcara E-Shopping, aturcara simulasi kereta dan sebagainya supaya minda pelajar terdorong utk cuba bina sesuatu yg hebat dan praktikal.
    Skdr cadangan.

    BalasPadam