بسم الله الرحمن الرحيم

"We are not in the position to apply pressure on anyone, we are a small country. But we do express our views on things. If we think that people are practicing double standards, we just say so, whether people listen to us or not is a different matter but we feel that we have to give our comment based on the truth." -Tun Dr. Mahathir Mohamad in 'Restoring Muslim's Dignity / Menebus Maruah Ummah'. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. KL. 2002

السلام عليكم ورحمةالله وبركاته - Blog ni berkisar tentang hal-hal berkaitan pembangunan Malaysia ke arah Wawasan 2020, terutama berkaitan pembangunan negara menurut acuan Islam. Kita mempunyai cita-cita yg besar tetapi masih berdiri pada asas yg tidak kukuh. Saat kita jatuh, baru kita sedar di mana kita berpijak. (Ilustrasi: Potret Ibnu Sina)







Rabu, 24 Disember 2008

Makanan HALAL yang suci?

Pagi ini saya dengar lagi IKIM.fm (ala-ala promosi lah pula). Agak lewat. Tapi sempat terdengar promosi produk jus Di Hati keluaran Darul Fuqaha. Jus ini merupakan minuman kesihatan 'fizikal dan rohani', kerana dihasilkan menerusi proses IMP (Islamic Manufacturing Practice). Kali pertama saya dengar tentang IMP, dan menarik sekali, kerana prinsip halal tidak dipandang dari aspek fizikal saja, tetapi menyeluruh supaya khasiatnya memenuhi keperluan jasmani dan rohani. (tip saja, produk boleh rujuk sendiri di laman web Darul Fuqaha).

Sumber ilustrasi: http://www.halal.gov.my/

Saya bukan mahu mengulas tentang produk. Apa yang ingin disentuh adalah kepentingan kajian terhadap industri makanan HALAL di Malaysia dan sejauh mana mutu, kebersihan dan kesucian makanan itu dijaga atas tiket HALAL. HALAL ini saya rujuk sebagai satu jenama/'tiket pelaris', manakala istilah halal (huruf kecil) merujuk konsep halal yang sepatutnya.

Sekarang ini rata-rata komuniti pengeluar makanan di Malaysia sudah mula sedar dengan kepentingan HALAL di Malaysia. Bukan saja di kalangan orang Islam, malah pengeluar yang bukan Islam juga sudah mula berebut-rebut memohon sijil HALAL daripada JAKIM dan HDC (Halal Industry Development Corporation). Fakta ini saya ambil daripada siaran berita yang disiarkan di stesen tv tempatan tidak lama dulu. Tapi ada juga pengeluar makanan beragama Islam masih tidak mahu mendapatkan sijil HALAL. Mengapa agaknya? Entahlah, mungkin ada sebab tersendiri. Tetapi kita semua harus sedar bahawa HALAL ini penting sebagai:
  1. penunjuk bahawa makanan yang dikeluarkan memenuhi standard makanan 'halal' di Malaysia.
  2. meyakinkan pengguna Islam (dan bukan Islam) bahawa makanan yang dikeluarkan diiktiraf 'halal', sekaligus menarik lebih ramai pembeli, kerana,
  3. menunjukkan bahawa kualiti dan bahan makanan itu terjaga (bersih adalah satu keperluan untuk mendapat status HALAL)
Namun faktor 'pelaris' ini juga mendorong wujudnya beberapa kes yang melibatkan pemalsuan logo HALAL. Ini tidak perlu diulas kerana pihak berkuasa sudah melakukan pelbagai usaha dan masih diteruskan bagi menghalang kegiatan ini berleluasa. Terima kasih pada mereka. Kes pemalsuan itu kes yang jelas salah. Namun yang tidak jelas bagaimana?

Sebagai perbincangan dan kajian, adakah produk yang diiktiraf HALAL itu benar-benar halal (suci dan baik)? Ini perlu dipersoalkan kerana ramai melihat bahawa industri makanan boleh maju dan mendapat keuntungan melalui tiket HALAL. Jadi ramai yang berebut untuk memenuhi standard HALAL, tanpa mengetahui konsep halal yang diterapkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian serius juga, selain kes-kes pemalsuan logo HALAL.

Sedangkan konsep halal itu bukan saja HALAL, tetapi perlu dijaga dari segi; (1) kesucian bahannya, (2) kesucian prosesnya (pengilangan, penjualan dsb), dan (3) kesucian jiwa pembuatnya (beragama Islam). Bila disebut pembuat mesti Islam, bukanlah syarikat Islam saja layak. Syarikat milik bukan Islam tetap boleh menghasilkan makanan halal. Tetapi orang yang membuat makanan itu mesti orang Islam yang kuat amalan agamanya. Seperti mana disentuh sebagai IMP di atas.

Ya itulah hakikatnya. Kalau kita mahu iman yang teguh (insya'allah), cubalah cari makanan yang memenuhi 3 kriteria halal itu (harap tidak kebulurlah rakyat Malaysia lepas ni!). Tapi dalam keadaan semasa, sukar rasanya nak dapatkan makanan seperti ini. Maka terpulanglah. Tepuk dada tanya iman. Asalkan yakin halal, kerana Islam itu 'mudah dalam susah'. Tapi jangan sampai meng'halal'kan juga benda yang haram atas sebab terpaksa.

Persoalan utama:
  1. Adakah makanan diiktiraf HALAL itu memenuhi 3 kriteria di atas?
  2. Apakah cara yang berkesan untuk memastikan HALAL itu dikuatkuasakan (bukan setakat untuk dapat sijil)?
  3. Dan apakah cara yang berkesan untuk memastikan usaha tersebut (penerimaan 3 kriteria halal) disambut baik sebagaimana sambutan terhadap HALAL?
Amnya dalam situasi semasa, (secara peribadi) HALAL Jakim itu cukuplah untuk meyakinkan kita semua bahawa produk tersebut halal (kalau tidak, apakah cara selain itu?). Dan saya juga bukan ulama untuk membuat sebarang fatwa atau hukum. Sekadar melontarkan pandangan/persoalan sebagai 'ahli sains'. Namun kajian perlu dilakukan bagi memastikan HALAL yang diputuskan oleh Jakim itu benar-benar menghasilkan produk makanan yang halal dan baik, bukan saja untuk umat Islam, tetapi juga rakyat Malaysia yang lain.

Promosi : untuk menyemak pengesahan Jakim, boleh SMS dengan menaip halal [kodbar produk] (contoh: halal 1234567890) dan hantar kepada 32728 (setiap SMS dicaj 50 sen), atau lawat sendiri laman web Jakim.

Selasa, 23 Disember 2008

Erti Kebebasan dan Peranan Ibu bapa

Pagi ini saya terdengar wawancara di IKIM.fm segmen 'Wanita Hari Ini'. Tetamunya: Pn Rosni Abd Hamid, pengendali rumah Raudah Sakinah (NGO, rumah kebajikan dan pemulihan akhlak), 'Siti' dan 'Nora'. Seorang lagi Yusni, tak pasti siapa. Topik yang dibincangkan adalah peranan Raudah Sakinah (RS) dalam membantu melindungi gadis-gadis yang 'bermasalah' dan mendidik mereka kembali ke jalan yang diredhai Allah. 'Siti' dan 'Nora' adalah antara mereka yang 'bertuah' kerana terselamat dan dapat kembali ke pangkuan masyarakat atas usaha RS (dan izin Allah).

Siti (nama samaran) adalah pelajar IPTA, mengaku menuntut bidang falsafah. Terjebak dalam kes hamil luar nikah. Alhamdulillah beliau sedar dan merujuk RS. Nora (nama samaran), juga pelajar IPTA. Terjebak dalam kes khalwat (walau tinggal serumah dengan bukan Islam) dan murtad. Alhamdulillah, beliau insaf setelah dirujuk ke RS.

Saya tertarik dengan segmen tersebut kerana; (1) Siti dan Nora adalah pelajar IPTA, (2) Menceritakan peranan dan fungsi RS, dan (3) Tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak (terutama gadis). Daripada segmen tersebut, ada beberapa perkara penting perlu diingat dan menjadi rujukan kita semua:
  1. Masuk IPTA bukan bermakna bijak!

    Siti dan Nora adalah pelajar IPTA. Malah Siti belajar falsafah. (dari nada percakapannya jelas ketara tanda-tanda orang memahami falsafah). Tapi mengapa terjebak? Jadi perkara utama perlu diingat oleh kita semua, masuk IPTA bukanlah bermakna kita sudah bijak dan matang dalam menghadapi hidup. Keteguhan akidah perlu dijaga, selain mematangkan pemikiran terhadap cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi. Sebagai seorang tenaga pengajar di IPTA dan Muslim, terasa juga bila mendengar kisah malang sebegini. Apapun kita patut bersyukur dan mendoakan keduanya terus mendapat hidayah Allah (Allah kenal mereka).

  2. Raudah Sakinah dan kepentingan NGO

    NGO seperti Raudah Sakinah mempunyai kepentingan dalam masyarakat. Masyarakat perlu mengambil tahu kewujudan NGO dan rumah perlindungan seperti ini bukan saja untuk membolehkan mangsa merujuk masalah dan mendapatkan khidmat nasihat terbaik. Malah sebagai anggota masyarakat, kita perlu menyokong dan menyumbang apa saja yang mampu untuk membantu mereka. Kehadiran RS adalah untuk menyediakan ruang bagi mereka yang dah 'terlanjur' dan 'bermasalah' untuk kembali ke pangkal jalan. Tapi jangan pula mengambil kesempatan (buat sesuka hati, kemudian cari tempat berlindung.).

Tanggungjawab ibubapa terhadap kebebasan anak-anak

Ini sebenarnya yang saya ingin sentuh. Kita semua perlu tahu bahawa Islam sebenarnya menjaga kebajikan manusia, sejak dari dalam kandungan lagi (baca Al-Quran), sehinggalah mati (dimandi, disolat), hatta sesudah berada di dalam kubur (tahlil, doa, amal jariah). Saya bukan aliran agama, jadi tak dapat ulas spesifik kepada mana-mana ayat Al-Quran atau hadis (malang sekali). Bahkan sebagai Muslim, hak dan peranan setiap insan jelas, sama ada terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Jadi sebagai Muslim, soal menjaga kebajikan bukanlah perkara pelik, apatah lagi terhadap darah daging dan keturunan sendiri.

Sebagai ibubapa, perlu sedar tanggungjawab kita. Rasanya dah banyak diperkatakan. Cuma saya tertarik dengan ulasan tetamu (Pn Rosni) yang mengatakan bahawa 'kalau suruh anak solat, jangan hanya tanya dah solat/belum. Tapi semak bagaimana dia mengambil wudu', lihat cara dia solat.' dan juga 'ramai ibubapa tak ajar anak tentang bab mandi wajib'. Saya amat bersetuju dengannya (kerana saya sendiri membesar dengan cara demikian dan berpendapat perkara sedemikian sudah cukup. Pagi ini baru saya sedar saya silap!).

Ramai ibubapa yang terlalu mempercayai anak dalam soal ibadah. Misalnya dalam bab solat. Jarang sekali saya bertemu dengan ajaran ibubapa yang sanggup melihat bagaimana anaknya melakukan ibadah khusus - spt berwudu', bersolat- kerana beranggapan anak-anak sudah tahu, apatah lagi yang remaja. Walhal remajalah yang berpotensi besar untuk meninggalkannya kerana lebih banyak dugaan dan godaan!

Selain itu ibubapa juga adakala terlalu mempercayai anak-anak dalam urusan harian (ini saya ulas semula dari penerangan tetamu, saya kurang pengalaman). Ramai ibubapa tidak ambil peduli apa yang anak buat dan jarang bertanya khabar, khususnya yang tinggal berjauhan. Maka pelajar seperti 'Siti' yang kesepian dan tidak ada tempat mengadu mudah terjebak dengan jerat cinta dan akhirnya terpengaruh untuk melakukan hubungan seks dengan 'teman kesayangannya'. Manakala 'Nora' yang diberi kebebasan sepenuhnya oleh ibubapa, terlalu obses dengan kebebasan sehingga sanggup murtad, setelah berada dalam dunia bebasnya.

Jadi sebagai ringkasan, peranan ibubapa Muslim terhadap anak-anak hakikatnya ada dua peranan penting:
  1. Memastikan ibadah dan akidah anak-anak terjaga. Jangan terlalu memberi kebebasan tanpa memberi didikan dan pemantauan. Sekolah dan pendidikan formal tidak 100% berkesan.

  2. Memastikan keperluan anak-anak sebagai manusia terbela. Prihatin dengan keperluan anak dari segi (1) fizikal/lahiriah - duit, pakaian, makanan dll - (2) mental/batiniah - perasaan, emosi, dorongan, motivasi dll - dan (3) spiritual/rohaniah - akidah, iman, penghayatan dll.
Janganlah kerana atas dasar 'memberi kebebasan' ibubapa tidak mempedulikan anak-anak. Sebaliknya perlu diawasi. Sebelum mengharapkan anak prihatin pada ibubapa, ibubapa perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dahulu. Maka ibubapa perlu prihatin terhadap anak-anak. Cuma janganlah sampai tahap terlalu mengongkong, kerana ia juga boleh menyebabkan anak memberontak dan bermasalah juga. Tapi sejauh manakah ibubapa perlu memberi kebebasan kepada anak-anak dan seketat manakah pengawasan yang perlu dilakukan terhadap mereka? Entahlah. Semuanya bergantung pada keadaan individu. Mungkin ini yang perlu difikir bersama.

Mudah-mudahan kita sentiasa diberi hidayah untuk melakukan yang terbaik pada diri kita. Insya'Allah.

Isnin, 22 Disember 2008

Sisipan - Hiburan alternatif untuk Muslim?

Baru-baru ini saya tertonton tayangan semula filem animasi Putih di saluran Astro. Lalu saya terfikir, mengapa dulu filem ini tidak dapat sambutan? Jika dilihat pada industri filem animasi di Malaysia, belum ada kejayaan yang benar-benar boleh dibanggakan seperti filem-filem animasi terbitan Disney Pixar, Dreamworks dll. Mengapa agaknya?

Dari segi teknologi, rasanya tidak banyak yang kurang. Ambil contoh filem Putih, memang ada sedikit kelemahan dari segi pergerakan. Tapi dari segi lakaran, penataan bunyi, suara pelakon pada saya sudah layak untuk bersaing dengan animasi terbitan Disney. Jalan cerita Putih agak menarik. Temanya juga bersifat mendidik, dan dari segi nilai komersial rasanya sedap-sedap juga lagu yang dimuatkan di dalamnya. Dan terbaru, animasi Saladdin (gambar) yang bakal ditayangkan pula pastinya mempamerkan kelainan dari segi mutu yang ketara untuk bersaing dengan animasi luar.

Ini sebagai selingan/mukadimah saja. Yang ingin disampaikan adalah berkenaan mewujudkan hiburan alternatif yang sesuai untuk Muslim. Masyarakat tidak dapat lari dari keinginan menikmati hiburan.Salah satu hiburan yang digemari adalah menonton filem. Dan pos blogger Ainunl tentang wayang juga sedikit sebanyak memperlihatkan 'ketagihan' golongan muda terhadap hiburan ini. (update: sinikal, tapi jadilah utk menggambarkan situasi semasa)

Malangnya, industri perfileman di Malaysia nyata belum dapat memperjelaskan budaya yang sesuai dan sejajar dengan kehendak Islam. Ada pihak yang berpendapat 'nilai' seksi dan komersial (cth aksi ganas, liar) perlu dipertontonkan pada filem supaya laris, menyebabkan filem tidak selari dengan kehendak Islam. Justeru gagal menjadi hiburan alternatif Muslim yang peka pada hukum agama. Tetapi dengan mengharamkan wayang pula mewujudkan 'nada-nada protes' bagi mereka yang belum/kurang faham.

Wayang perlu (citarasa masyarakat kini). Hiburan perlu. Maka apakah kaedah yang sesuai dalam mewujudkan filem yang selari dengan kehendak Islam? Ia juga perlu laris supaya penerbit berminat menghasilkannya lagi. Penangan filem Syukur 21 dan Raihan walaupun satu usaha yang baik, tetapi gagal mencapai keuntungan dan sambutan

Pada saya, filem animasi adalah calon paling sesuai menjadi wahana alternatif dalam menghasilkan filem bercorak Islamik yang laris. Hujah saya, (1) animasi tidak bergantung kepada perwatakan pelakon sebagai unsur komersial, (2) animasi mempunyai daya penarik dari pelbagai sudut (termasuk jalan cerita), (3) watak dalam animasi boleh dicipta, dan (4) animasi rata-rata menarik minat semua golongan dan peringkat usia. Justeru, dapat mengelakkan unsur-unsur negatif bersifat komersial 'terpaksa' diterapkan dalam filem.

Animasi tidak perlu pelakon yang ada nilai komersial, dan tidak terikat dengan pelakon yang 'popular' saja. Lihat saja filem Shrek. Tiada siapa kenal Shrek sebelum ini. Pun tidak ada wanita berpakaian bikini atau skirt, tetapi filem itu mampu mengaut keuntungan berjuta dolar (adegan Shrek mandi ada lah). Siap ada lanjutan. Mengapa? Maknanya budaya Islam juga berpeluang untuk mendapat tempat di kalangan penggemar wayang, walaupun mengharamkan pakaian yang mendedah aurat untuk ditonton. Tak kisahlah imej bertudung pun, kalau ceritanya unik (dan menarik) pasti orang tertarik untuk menonton. Muslim yang peka juga tidak akan keberatan untuk menonton wayang.

Animasi nyata mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Tarikan boleh diolah dari pelbagai sudut dan tidak hanya bergantung kepada ciri komersial saja. Apa yang penting ialah idea dan strategi menarik penonton untuk menontonnya. Misalnya, Monsters Inc. memaparkan alam fantasi yang disandarkan pada retorik 'raksasa bawah katil'. Walhal cerita dongengan sebegitu nyata sudah lapuk dan basi. Tetapi mengapa mencapai keuntungan berjuta dolar? (lebih hebat dari filem Cicak Man yang kononnya ada pelakon 'seksi' Fasha Sandha dan Apek yang kelakar?). Jadi 'jalan cerita' Islamik boleh bergantung kepada ciri penarik pada animasi untuk mengekalkan penonton yang gemarkan hiburan, dan sekaligus menarik minat pendokong untuk datang ke panggung.

Perwatakan/rupa animasi boleh direka dan disesuaikan dengan kehendak jalan cerita. Filem Shrek 'melahirkan' watak raksasa berperut gendut yang menjadi kegilaan peminat filem animasi. Jalan ceritanya memerlukan 'pelakon' seperti Shrek, dan ia pun dicipta sedemikian. Walhal jalan ceritanya bersandarkan dongeng dan cerita rakyat. Rasanya kalau setakat dalam buku cerita kanak-kanak, belum tentu orang akan membacanya. Jadi 'jalan cerita' kehidupan Muslim (yang kononnya membosankan?) tetap ada peluang melahirkan watak yang digilai ramai jika kena gayanya. Jalan ceritanya boleh seperti filem-filem lain, tetapi penampilan wataknya dicipta sesuai dengan kehendak Islam.

Animasi menarik minat semua golongan daripada bayi sehinggalah orang tua (ciri keluarga dan universal). Sukar bagi kategori filem lain untuk mencapai 'kesepakatan' seperti ini, tetapi animasi mampu melakukannya. Dan jika animasi boleh melenyapkan perbezaan paradigma antara pelbagai peringkat umur, mengapa tidak perbezaan budaya (bukan Islam dan Islam)? Justeru budaya Muslim boleh digarap secara halus dalam filem animasi tanpa melunturkan daya penariknya. Penonton tidak terasa itu adalah budaya Islam. Jadi tanggapan mereka lebih mudah 'dibelai' untuk menerima pembaharuan. Selain itu ciri berkenaan boleh menjadi sandaran untuk menarik lebih ramai golongan dan peringkat umur agar mendekati cara hidup Muslim.

Jadi, kepada penghasil karya filem tempatan dan semua pendokong budaya Muslim, haruslah berfikir dari sekarang bagaimana memanfaatkan potensi yang ada dalam filem animasi untuk membudayakan peribadi Musli, tanpa melunturkan minat ke panggung. Sekaligus menyediakan hiburan alternatif kepada Muslim.

Jumaat, 19 Disember 2008

Sinergi (gabungan) Herba

* Kopi Radix sejenis jenama. Tapi yang dipaparkan di sini adalah memperkatakan kelebihan dan revolusi sinergi herba yang terdapat di dalamnya.

* AWAS: Terdapat juga produk 'kopi Radix' palsu di pasaran. Khasiat dan keselamatannya juga meragukan. Untuk mengenalpasti produk tulen, ia menggunakan pelekat 'tulen' HPA pada produk kopi Radix. Isu berkaitan Radix palsu.

Anda pernah dengar slogan 'Mai Secawan!' di televisyen? Itulah iklan kopi Radix. Kopi Radix adalah salah satu produk keluaran Bumiputra Islam, Herba Penawar Al-Wahida (HPA) Industries Sdn. Bhd. Radix merangkumi pelbagai produk keluaran HPA. Tapi yang hendak diwar-warkan di sini adalah berkenaan sinergi herba dalam produk Kopi Radix. (sumber ilustrasi : fozake)

Apa yang menarik ialah kopi Radix merupakan satu revolusi dalam penghasilan produk minuman segera. Sebabnya, kopi Radix adalah hasil sinergi 7 herba (selain kopi, gula dan krimer):
  1. Tongkat Ali
  2. Mengkudu Hutan
  3. Mata Pelanduk
  4. Halban
  5. Larak Hutan
  6. Teja Lawang
  7. Tebu Gajah.
Menurut Pengarah Urusan 1 HPA yang juga bekas penolong pengurus Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) cawangan Perlis, Hj Ismail Ahmad, penyelidikan kopi Radix mengambil masa selama 5 tahun. Malah Hj Ismail ada menulis buku panduan tentang kajian dan khasiat kopi Radix bertajuk 'Radix: Satu Kajian' terbitan HPA.

Produk kopi Radix mendapat pengiktirafan MARDI sebagai antara produk herba terbaik, dan HPA sendiri menerima anugerah khas Perdana Menteri sewaktu MAHA'08 yang lepas, kerana sumbangannya kepada industri herba. Produknya juga diiktiraf selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mendapat pengiktirafan ISO (pengilangan) dan sijil Halal JAKIM.

Antara khasiatnya; (1) meningkatkan tenaga, (2) menambahkan kesuburan, (3) mencegah kanser, (4) mengelakkan sembelit/buasir, dan (5) mencegah kencing manis. Kopi Radix juga dikatakan mengandungi kafein pada tahap yang minimum. Dan (anehnya) boleh digunakan sebagai 'ubat tidur'! (berkesan pada anda? wallahua'lam).

Di Malaysia dikatakan terdapat lebih 3000 spesis herba. Adakala herba-herba tersebut biasa kita dengar, cuma kita tidak tahu khasiatnya (ada juga yang memperlekeh). Walhal nenek moyang kita telah mengamalkannya sejak turun-temurun. Ini adalah satu kelebihan sebenarnya bagi penyelidik bidang botani (dan yang berkaitan) di Malaysia, kerana banyak spesis herba yang boleh dikaji. Berbanding penyelidik Eropah yang terpaksa 'melancong' ke negara-negara beriklim khatulistiwa untuk mendapat sampel, adakala kita hanya perlu mengutipnya di luar rumah! Alangkah bertuahnya Malaysia! (alhamdulillah).

Hakikatnya telah banyak hasil kajian penyelidik tempatan berjaya menampakkan kelebihan-kelebihan herba dari sudut saintifik. Cth: serai wangi, pegaga, halia dsb. yang nyata mempunyai khasiat yang tinggi dari segi perubatan. Malah, khasiat herba juga telah terbukti boleh disinergikan dalam satu produk, dan Kopi Radix (serta sekian banyaknya produk syarikat lain) telah membuktikan herba berpotensi untuk dikomersialkan.

Jadi kejayaan ini seharusnya memberi semangat kepada penyelidik-penyelidik akan datang untuk terus mengkaji kaedah terbaru (cth sinergi, ekstrak dsb.) yang lebih mapan dalam menghasilkan produk komersial dan kegunaan umum, selain mengkaji spesis yang belum terkaji (cth: apakah zat-zat dalam ulam raja dan kacang botol?)

p/s: Selain RADIX, ada juga produk jenama dan syarikat lain yang menggabungkan beberapa herba dalam produk mereka. Tapi saya tak arif, jadi saya tak berani komenlah!

Khamis, 18 Disember 2008

Sisipan - Kelebihan Bersunat

Terjumpa pula bahan menarik. Allahu Akbar...

Male circumcision lowers cervical cancer risk: Study


WASHINGTON: Three studies published on Wednesday add to evidence that circumcision can protect men from the deadly AIDS virus and the sexually transmitted virus that causes cervical cancer.

The reports in the Journal of Infectious Diseases are likely to add to the debate over whether men -- and newborn boys -- should be circumcised to protect their health and perhaps the health of their future sexual partners.

Dr. Bertran Auvert of the University of Versailles in France and colleagues in South Africa tested more than 1,200 men visiting a clinic in South Africa.

They found under 15% of the circumcised men and 22% of the uncircumcised men were infected with the human papilloma virus, or HPV, which is the main cause of cervical cancer and genital warts.

"This finding explains why women with circumcised partners are at a lower risk of cervical cancer than other women," they wrote in their report.

A second paper looking at US men had less clear-cut results, but Carrie Nielson of Oregon Health & Science University and colleagues said they found some indication that circumcision might protect men.

The circumcised men were about half as likely to have HPV as uncircumcised men, after adjustment for other differences between the two groups.

In the third report, Lee Warner of the U.S. Centers for Disease Control and Prevention and colleagues tested African-American men in Baltimore and found 10 percent of those at high risk of infection with HIV who were circumcised had the virus, compared to 22 percent of those who were not.

"Circumcision was associated with substantially reduced HIV risk in patients with known HIV exposure, suggesting that results of other studies demonstrating reduced HIV risk for circumcision among heterosexual men likely can be generalized to the US context," they wrote.
Studies supporting circumcision to reduce HIV transmission had all been done in Africa and US studies were less clear.

Dr. Ronald Gray of Johns Hopkins University in Baltimore and colleagues said they found the reports encouraging.

"In the United States, circumcision is less common among African American and Hispanic men, who are also the subgroups most at risk of HIV," they wrote in a commentary.

"Thus, circumcision may afford an additional means of protection from HIV in these at-risk minorities."

But they noted that the American Academy of Pediatrics does not recommend routine circumcision for newborns.

"As a consequence of this AAP decision, Medicaid does not cover circumcision costs, and this is particularly disadvantageous for poorer African American and Hispanic boys who, as adults, may face high HIV exposure risk," Gray and colleagues wrote.

"It is also noteworthy that circumcision rates have been declining in the US, possibly because of lack of Medicaid coverage."

Medicaid is the state-federal health insurance program for the poor and disabled.

Thirty-three million people globally are infected with AIDS, which has no cure and no vaccine. HPV is the most common sexually transmitted infection in the world, with 20 million people in the United States infected. It causes cervical cancer, which kills 300,000 women globally every year. - Reuters
(sumber: blog Encik Fuzail)

Penyelidik Islam macammana? Takkanlah nak tunggu dan baca saja kejayaan dunia Barat dan bukan Islam membongkar rahsia alam? Sama-samalah kita fikirkan...

Sisipan - Yakin kuasa dan taqdir Allah

Saya tak bercadang nak pos sebarang kemasukan baru, tapi berita ini menggamit perhatian saya untuk memaparkannya di sini:

Bismillah jadi pendinding

KEMAMAN 17 Dis. - Seorang warga emas percaya amalan membaca bismillah dan doa setiap kali melangkah keluar dari rumahnya yang turut dijadikan kedai runcit membantu menyelamatkan premisnya daripada menjadi mangsa pencuri baru-baru ini.

Che Ibrahim Che Abdullah, 57, yakin kejadian misteri menimpa seorang pencuri yang 'terperangkap' dalam kedainya selama dua malam sehingga hampir maut akibat kelaparan dan dahaga ketika dia sekeluarga balik kampung pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini semata-mata kuasa Allah hasil amalannya itu. (1)

Warga emas itu menolak anggapan dia menggunakan ilmu hitam sebagai pendinding untuk 'memagar' rumahnya daripada dimasuki pencuri.

''Ini semua kuasa Allah, saya tidak ada apa-apa ilmu mengenai kejadian ini," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai di sini baru-baru ini. (2)

Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Disember lalu, seorang pemuda berusia 30-an memasuki kedai itu dipercayai untuk mencuri ketika Che Ibrahim sekeluarga pulang berhari raya di Selising, Kelantan.

Selepas tiga hari pulang berhari raya, dia terkejut melihat keadaan kedainya bertaburan, malah isterinya pengsan melihat keadaan itu manakala dari dalam bilik tidur terdengar bunyi orang mengerang kesakitan.

Apabila dijenguk ke dalam bilik itu, warga emas itu menemui seorang lelaki dalam keadaan lemah dan dia mendakwa gagal keluar daripada kedai itu kerana tidak mampu melihat apa-apa dan terdapat 'lembaga' yang menghalangnya daripada keluar.

Menurut Che Ibrahim, kedainya sebelum ini pernah dipecah masuk apabila dia sekeluarga pulang ke kampung mereka di Selising tetapi pencuri tersebut tidak mengambil apa-apa walaupun boleh berbuat demikian.

Tidak tahan dengan kejadian itu, dia yang telah berniaga 20 tahun mengamalkan bacaan bismillah dan doa memohon perlindungan Allah setiap kali meninggalkan premisnya. (3)

''Ramai yang bertanya apa ilmu saya amalkan, tetapi terus-terang saya katakan tiada apa-apa ilmu dan semua kejadian ini adalah kuasa Allah," ujarnya.

Kata Che Ibrahim, jika difikirkan secara logik lelaki tersebut boleh mengambil apa jua makanan di kedainya tetapi kerana tidak dapat melihat apa-apa menyebabkannya terpaksa berlapar selama tiga hari.

''Nasib baik saya tinggalkan kedai selama tiga hari saja, kalau saya pulang lebih daripada seminggu, mungkin lain pula jadinya kepada lelaki tersebut," katanya yang lega lelaki itu dapat diselamatkan. (4)

Dia juga bersyukur kerana tiada barangan yang hilang termasuk wang tunai. (5)

Saya tandakan sikap-sikap terpuji (1-5) untuk renungan bersama:

  1. Yakin bahawa Allah mendengar permohonan dan doanya
  2. Yakin dengan kebesaran Allah dan merasa rendah diri dengan kelebihan yang diterima
  3. Mengamalkan bacaan basmallah dan doa
  4. Belas terhadap insan lain (walaupun orang itu berniat jahat padanya)
  5. Bersyukur dengan perkara yang berlaku.
Saya jadi malu pada diri sendiri.

Sebagai seorang penyelidik, tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, hendaklah sentiasa mendahulukan agama. Jangan dek kerana terlalu mementingkan kerja, lupa tanggungjawab dan tuntutan agama. Antara perkara yang perlu direnungkan bersama:
  1. Janganlah kesibukan bereksperimen dsb. dijadikan alasan untuk mengabaikan suruhan dan perintah Tuhan.
  2. Sebaiknya penyelidikan dijadikan wadah untuk mendekatkan diri dan mengenal kebesaran serta keagungan Allah.
  3. Jadikan urusan penyelidikan sebagai wadah untuk beribadah seperti basmallah sebelum melakukan kerja, berzikir semasa menunggu keputusan eksperimen, berdoa ketika eksperimen gagal, bersyukur jika berjaya dll.
  4. Ikhlas - melakukan penyelidikan untuk kepentingan dan kemajuan ummah, bukan semata-mata urusan kerja untuk gaji atau populariti.
  5. dsb.
Insya'Allah, kejayaan akan dicapai dengan lebih manis dan bermakna. :)

p/s: Baru pulang dari menziarahi saudara yang terlantar di hospital. Beliau kemalangan. Tapi masih bernyawa, cuma kaki berskru kerana patah kaki di 3 tempat (cuma?). Lebih dari cukup untuk menginsafkan diri...


Isnin, 15 Disember 2008

Makna di sebalik waktu solat fardhu

Apakah rahsia dan makna yang tersirat di sebalik waktu solat Fardhu - Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'?

Beberapa petunjuk yang mungkin berkaitan :
  1. Haram solat ketika matahari tegak di atas kepala
  2. Tidur selepas Subuh dan Asar tidak digalakkan
  3. Solat memberi kesan kepada sistem fisiologi tubuh (kajian penyelidik UM)
  4. ...?
hmmm....

(subhanallah... Maha Suci Allah yang mengetahui rahsia alam ini...)

Khamis, 11 Disember 2008

Ciri Pemimpin

(dikemaskini-15/12/2008) - Ahad lepas saya dapat menonton sedikit siaran sudut motivasi Datuk Dr. Hj Mohd Fadhilah Kamsah di Tv3. Tidak ingat apa nama rancangannya, disiarkan pada 7.00-7.30 pg. YBhg Datuk membincangkan tentang pemimpin, dan yang saya dapat tonton adalah berkenaan ciri-ciri pemimpin. Antara ciri pemimpin:
  1. Boleh memimpin diri sendiri-
    Pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik pada anak buahnya. Maka pemimpin harus membimbing diri sendiri dan mencapai kejayaan terlebih dahulu, sebelum memimpin orang lain. Biasanya bagi mereka yang dilahirkan dengan bakat semulajadi untuk jadi pemimpin sudah ada ciri seperti ini. Cuma yang perlu ditekankan kepimpinan yang baik mestilah mengamalkan nilai dan akhlak yang positif, supaya menjadi contoh yang positif kepada anak buah.

  2. Boleh memimpin orang lain-
    Sebagai pemimpin perlulah ada pengikut/orang bawahan dll. Memimpin orang bukan suatu tugas yang mudah. Ini kerana manusia ada pelbagai karenah, ragam, mood dll. Jadi keupayaan seorang pemimpin lebih dilihat berdasarkan kejayaan anak buahnya, berbanding kejayaannya semata-mata. Selain itu pemimpin juga mestilah berpengaruh dan mendominasi pemikiran anak buahnya. Ini penting kerana pemimpin perlu mengajak orang lain (anak buah) untuk bersama-sama menjayakan objektif dan matlamatnya. Jika tidak mendapat kerjasama dari anak buah, matlamat pasti sukar dicapai. Bagaimana untuk mendominasi terpulang pada pemimpin. Ada yang menggunakan kuasa, ada juga yang menunjukkan contoh dan tauladan. Kadar keberkesanan sesuatu kaedah bergantung kepada bentuk dan corak kumpulan yang dipimpin.

  3. Boleh melahirkan pengganti-
    Ini jarang ada di kalangan pemimpin. Biasanya seorang pemimpin boleh memimpin diri, dan kebanyakan pemimpin boleh memimpin orang lain untuk mencapai matlamat pemimpin tersebut. Tetapi jarang ada pemimpin yang mampu memimpin orang lain untuk jadi sepertinya. Rata-rata pemimpin yang baru akan berusaha sendiri untuk mencapai taraf seperti pemimpin yang ada. Sedangkan jika dibantu pemimpin baru akan lebih cepat matang dan bersedia. Mungkin faktor 'naik kepala' sering menghantui pemikiran pemimpin yang ada. Namun sebenarnya ada kebaikan jika diamalkan. (1) Pemimpin lama akan lebih disegani, dan (2) Pemimpin lama dapat meneruskan agendanya. Apabila pemimpin dapat melahirkan pelapis, secara tak langsung menunjukkan pencapaian dan kewibawaannya. Walaupun sudah tidak menjadi pemimpin (cth bersara), agenda diteruskan kerana idea dan pemikirannya sudah diterap pada pemimpin pelapis.

  4. Sedia dipimpin-
    Dan berbanding 3 ciri di atas, mungkin ini paling sukar dilihat di kalangan pemimpin. Faktor ego dan bersifat manipulatif sering menguasai seseorang pemimpin, dan menjadi faktor penghalang kepada kesediaan untuk dipimpin. Tetapi pemimpin yang baik perlu sedia menerima kelemahan diri, dan mendapatkan nasihat daripada orang lain. Hakikatnya manusia tidak sempurna, dan adakala nasihat/pandangan orang lain lebih berkesan terhadap masalah yang kita hadapi.

Dan sebagai tambahan, pemimpin juga perlu jadi:
  1. Pembimbing
  2. Contoh
  3. Pembina semangat
Ciri ini lebih merupakan intipati kepada 4 ciri yang dinyatakan sebelumnya.

Mengapa saya nyatakan di sini?
Kerana penyelidik sebenarnya secara tidak langsung adalah 'pemimpin', dalam erti kata penyelidik akan memimpin masyarakat untuk mempelajari dan menerima suatu ilmu baru. Sebagaimana seorang pengurus syarikat ingin memastikan ideanya dapat membangunkan dan memajukan syarikat, seorang penyelidik perlu memastikan ideanya dapat diterima oleh masyarakat dan dapat memajukan masyarakatnya ke arah yang lebih baik.

Kepentingan Pengaturcaraan

[kemaskini : 22 Jan 2009]

Mungkin masih ramai yang belum mengetahui kepentingan pengaturcaraan. Malah ada juga di kalangan pelajar yang telah mengikuti program Sains Komputer beberapa semester di IPT tetapi masih tidak tahu mengapa mereka belajar atau melakukan pengaturcaraan. Ini memang mendukacitakan. Hal ini boleh diibaratkan seperti budak kecil 3 tahun yang sedang memegang not RM1000 (tidak tahu nilai benda yang dimiliki). Tapi tak mengapa. Kita sama-sama belajar, kerana selagi ada nyawa kita masih punya tanggungjawab untuk terus belajar. Hakikatnya setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bagi pelajar/individu berkenaan, perlulah mendalami dan mengulangkaji semula tujuan pembelajarannya supaya mudah mendapat pekerjaan kelak.

Kepentingan Perisian dan Aplikasi Komputer

Dalam zaman teknologi komputer begitu meluas, komputer digunakan di mana-mana, dan tidak terhad kepada perkakas elektronik yang dipanggil komputer peribadi (PC) saja. Bahkan peti ais dan mesin basuh sudah ada sistem elektronik, iaitu sebahagian komputer. Cuba bandingkan mesin basuh yang dihasilkan pada tahun 80-an dengan mesin basuh automatik sekarang. Apa yang berbeza? Salah satunya adalah cara ia berfungsi. Mesin basuh 'lama' berfungsi secara manual atau mekanikal. Tetapi mesin basuh automatik moden sudah boleh melakukan kerja basuhan secara lengkap (basuh, bilas, kering) dengan hanya menekan 1 butang saja. Semuanya dengan bantuan sistem elektronik.

Tanpa sistem elektronik, perkakas elektrik kurang berkemampuan untuk 'berfikir' sendiri dan memerlukan sistem mekanikal/elektrikal yang kompleks. Itupun jika ada. Dari segi saiz, ia lebih besar. Prestasinya juga jauh ketinggalan. Dengan adanya sistem elektronik, perkakas elektrik tersebut mampu melakukan pelbagai tugas secara automatik dan pantas dengan hanya memerlukan sistem yang bersaiz kecil. Mungkin kita tahu semua ini. Tapi tidak ramai yang tahu bahawa sistem ini menggunakan perisian untuk beroperasi.

Ramai di kalangan kita yang sudah mahir menggunakan komputer peribadi. Selain itu penggunaan komputer riba dan permainan video juga turut meluas. Kita sedang menggunakan komputer untuk melayari internet (membaca blog ini). Kita juga mungkin baru saja selesai menaip dokumen dan laporan untuk dihantar esok. Kawan-kawan kita pula sedang bermain perisian permainan dengan seronok sekali hingga terlupa soal makan-minum. Komputer tidak akan berguna tanpa perisian. Begitu juga konsol permainan video. Dengan adanya pelbagai perisian dengan pelbagai fungsi, maka semua perkakas elektronik dapat berfungsi dan dapat dimanfaatkan.

Perisian tidak wujud dengan sendiri. Ia juga suatu 'benda' dan perlu dibina. Mesin tidak mampu membina perisian*. Sepertimana proses menghasilkan suratkhabar, mesin hanya dapat mencetak tetapi kandungannya perlu dikarang, disunting dan disusun, sebelum dihantar ke kilang untuk dicetak. Perisian juga perlu ditulis/dikarang, dikompil dan disimpan ke dalam satu ruang storan. Selepas itu barulah boleh disalin dalam jumlah yang banyak ke dalam ruang storan setiap komputer atau perkakas elektronik. Jadi siapa yang membina/menulis perisian? (perisian bagi perkakas elektronik seperti mesin basuh automatik disimpan di dalam cip yang dipanggil ROM atau Read Only Memory).


Peranan pengaturcara

Pengaturcaraan adalah menyusun langkah-langkah penyelesaian masalah. Tapi sebelum kita mengetahui mendalam tentang pengaturcaraan, kita perlu tahu kenapa kita melakukannya. Analogi melakukan pengaturcaraan ialah umpama kita hendak mengajar orang yang belum tahu ABC supaya boleh mengeja 'penswastaan'. Susah kan? Namun berbanding manusia yang perlu masa untuk belajar, komputer hanya perlu diarahkan dan sepantas kilat boleh menyelesaikan masalah.

Komputer adalah mesin pengiraan yang pantas dan sophisticated. Komputer boleh menyelesaikan pengiraan-pengiraan yang melibatkan nombor dan formula yang kompleks dalam sekelip mata. Mungkin tak sempat kelip mata! Tetapi masalahnya, komputer tidak boleh berfikir dan bertindak sendiri*. Komputer perlu diarahkan untuk melaksanakan sesuatu, dan pengaturcara akan menulis arahan-arahan yang boleh difahami oleh komputer. Manakala arahan-arahan komputer kebanyakannya adalah dalam bentuk aturcara* (arahan bukan aturcara dipanggil interaktif). Dalam melakukan tugas pengaturcaraan, pengaturcara menyusun arahan-arahan dalam bentuk bahasa tabii atau bahasa percakapan yang dipanggil pseudokod, dan menukarkannya ke dalam bahasa pengaturcaraan paras tinggi (pengaturcara boleh juga terus menulis dalam bahasa pengaturcaraan). Kemudian aturcara ini ditukar pula kepada mesin. Komputer akan membaca arahan dalam bahasa mesin dan melakukan seperti yang diarahkan.

Arahan mesti jelas serta diskrit. Apabila memberi arahan kepada komputer, pengaturcara tidak boleh agak-agak, atau menulis arahan yang tidak tetap.

Andaikan kita mengaturcara komputer supaya mengira kadar ketumpatan air dalam sebuah tangki. Jika formula ketumpatan air tidak dimasukkan dengan jelas, komputer tidak boleh melakukan pengiraan dengan betul. Misalnya isipadu air mengunakan pembolehubah X, tetapi kemudiannya menggunakan pembolehubah Y. Jika menggunakan X, teruslah menggunakan X, kerana komputer hanya akan menggunakan apa yang kita arahkan.

Pengaturcara juga tidak boleh main agak-agak (assume). Kalau kita arahkan komputer mengira menggunakan 3 langkah, maka 3 langkah yang akan dilakukan. Jika kita mengarahkan komputer menggunakan 3 langkah tetapi menjangka komputer akan menambah langkah 4, maka jangkaan kita silap. Jika kita mengharapkan 4 langkah, maka kita perlu menulis arahan 4 langkah*.

Berbalik kepada persoalan, siapa yang membina perisian, maka pengaturcara adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan perisian dengan menulis aturcara. Perisian adalah output dari pengkompilan aturcara. Komputer masih memerlukan kepintaran manusia mengarahkannya untuk menyelesaikan masalah, dan pengaturcara melakukan pengaturcaraan untuk menghasilkan perisian. Maka bidang pengaturcaraan penting untuk dipelajari supaya pelbagai perisian yang menggerakkan perkakas elektronik dapat dihasilkan.


Kepentingan bidang pengaturcaraan dalam industri

Dengan meluasnya penggunaan komputer, bererti bertambahlah permintaan terhadap tenaga mahir dalam pengaturcaraan. Ini kerana pertambahan aplikasi komputer akan meningkatkan peluang dalam bidang pembangunan dan pemasaran perisian. Misalnya permintaan terhadap pembangunan aplikasi komputer yang umum (cth penyunting dokumen) mahupun spesifik (cth aplikasi pengawal untuk loji nuklear). Selain itu kebanyakan organisasi, syarikat dan perniagaan memerlukan komputer dalam memantapkan operasi. Justeru permintaan terhadap pembangunan aplikasi yang spesifik untuk satu-satu organisasi (custom made) juga akan meningkat. Manakala perkembangan teknologi internet sebagai medium pemasaran dan perniagaan juga mendorong permintaan terhadap perisian aplikasi internet. Semua ini belum mengambilkira perkembangan industri multimedia seperti permainan video dan perfileman yang menggunakan aplikasi 3D, CGI dll yang semakin mendapat sambutan. Justeru pasaran kerja akan lebih terbuka luas bagi mereka yang mahir mengaturcara.

Selain itu, dewasa ini ramai tenaga pengaturcara diperlukan. Ini kerana projek pembangunan perisian bukanlah satu tugas yang mudah dan remeh. Malah ianya boleh jadi kompleks, memakan masa berbulan-bulan untuk disiapkan dan diuji, dan boleh memakan belanja berjuta-juta ringgit. Ini samalah juga dengan projek-projek seperti pembinaan bangunan dan kereta. Dalam projek pembangunan perisian yang kompleks, pengaturcara diperlukan untuk menganalisa masalah yang memerlukan perisian untuk menyelesaikannya, membina aturcara, menguji dan memasangnya supaya dapat berjalan/berfungsi dengan baik. Membaiki masalah yang melibatkan perjalanan perisian hanya boleh dilakukan oleh pengaturcara*. Bukan seperti pendingin hawa yang dibina di kilang dan dibaiki/diselenggara oleh juruteknik saja!

Pengaturcaraan sangat penting untuk dipelajari selain untuk merebut peluang pasaran kerja. Hakikatnya, ramai orang terlepas pandang bahawa pengaturcaraan sangat penting untuk pelbagai bidang, malah boleh dijadikan sebagai hobi dan aktiviti masa lapang yang menyeronokkan. Sebenarnya kita tidak perlu terlalu bergantung kepada pengaturcara yang lulus program Sains Komputer. Sebaliknya kita sendiri boleh (dan adakala perlu) mempelajarinya untuk memudahkan tugas harian kita, walaupun kita terlibat dalam bidang lain seperti perakaunan, biologi dsb.

Jika kita seorang ahli penyelidik biologi, mempelajari pengaturcaraan berkaitan boleh membantu kita membina perisian yang kita sendiri perlukan. Misalnya kita menyelidik tentang struktur molekul DNA (contoh). Mungkin orang belum pernah melihat atau mempelajari molekul DNA. Jadi bagaimana akan ada perisian yang boleh menganalisis struktur molekul DNA kerana mana-mana pengaturcara pun tidak mengetahui tentang DNA? Tetapi jika penyelidik yang mahir tentang molekul DNA ini boleh mengaturcara, maka dia boleh membina perisian penganalisis dan memudahkannya melakukan eksperimen/analisa. Ini kerana pengiraan menggunakan perisian dapat menjimatkan masa dan tenaga (berfikir). Lebih menguntungkan jika orang lain pun ingin menggunakan perisian itu untuk kegunaan mereka.

Harapnya jelaslah sudah kepentingan pengaturcaraan pada kita semua. Mungkin saya akan tambah lagi jika ada bahan dan kesempatan. Insya'allah.

(*) Nota: ada pernyataan yang sebenarnya lebih kompleks dan perlu penerangan lebih terperinci, tetapi dimudahkan untuk memudahkan kefahaman.

Sabtu, 6 Disember 2008

Jangan 'over' ya, cikgu!

Ini adalah berkenaan cikgu yang 'terlebih' bereksperimen. Mungkin bukan salah dia atau sesiapa, cuma salah tanggapan akibat faktor sejarah lampau di AS...

Teacher sorry for binding girls in slavery lesson

Sebagai mengingatkan diri (dan pembaca), dalam memberi pendidikan perlu berhati-hati. Mutakhir ini pelajar-pelajar sekolah, remaja dan belia sudah terdedah kepada pelbagai pengaruh (positif dan negatif) kesan perkembangan teknologi dan minda. Natijahnya (dan malang sekali), ada kalangan mereka memilih jalan yang negatif dalam memberi reaksi dan tindakbalas kepada tindakan kita. Justeru sebagai guru, kita perlu berwaspada dalam tindakan, bukan saja demi kebaikan pelajar itu sendiri, tetapi juga kebajikan kita (kalau penampar 'murid' melayang, jangan mengamuk pula!)

Selain itu, yang ingin diungkap adalah kaedah eksperimen. Contoh kes tersebut di atas adalah berkenaan seorang guru yang bereksperimen dalam meningkatkan kesan dan mutu pembelajaran. Beliau cuba memberi contoh realistik kepada kandungan modul, tetapi disalah tanggap. Akibatnya, pelajar menganggap dia dipersendakan dan kecil hati (jadi tak berkesanlah!).

Oleh itu apabila merancang eksperimen, perlulah mengambil kira faktor sekeliling dan kesannya terhadap subjek eksperimen. Apatah lagi kalau melibatkan manusia dan haiwan, kerana selain ada perasaan, subjek juga sebenarnya dilindungi undang-undang (manusia ada hak asasi, privasi dll, haiwan ada akta perlindungan). Perancangan yang teliti dapat mengelakkan kesan buruk semasa dan selepas eksperimen, kerana kita ada persediaan yang rapi. Tapi semuanya ketentuan Allah. Kalau berlaku sesuatu di luar jangkaan, redha sajalah!

Selasa, 2 Disember 2008

Struktur Penyeliaan Penyelidikan

Tempoh hari (lama juga) saya terdengar wawancara di radio IKIM.fm berkenaan struktur penyeliaan penyelidikan di universiti di luar negara. Tamu wawancara ketika itu (malangnya tidak tahu siapa) mengulas tentang kebaikan dan kelebihan sistem penyeliaan di UK.

Menurut beliau, penyeliaan penyelidikan di UK, suatu makmal akan diketuai oleh seorang professor. Professor ini akan bertanggungjawab terhadap makmal kendaliannya. Di bawah seliaan professor ini juga terdapat (beberapa orang) pembantu professor. Di Malaysia pembantu professor lebih dikenali sebagai professor madya (madya bererti separuh). Di bawah pembantu professor, akan ada beberapa orang pelajar pasca graduat dan penyelidik (biasanya Master dan PhD). Mereka ini juga merupakan pembantu-pembantu penyelidik kepada projek berkenaan. Setiap mereka pula akan menyelia dan membantu pelajar-pelajar bacelor dan projek tahun akhir. Sistem bertetingkat atau hirarki ini ada juga diamalkan di negara kita. Pengalaman sewaktu bekerja di Malaysia Genome Institute (MGI), di UKM ketika itu, mendedahkan saya kepada struktur sebegini.

Namun pengalaman dan ilmu yg cetek tak memungkinkan saya memberi penilaian professional di sini. Sekadar pandangan peribadi, bahawa pendekatan seperti ini nyata berkesan dalam melahirkan tenaga penyelidik dalam jumlah yang ramai, kerana (1) kepakaran dan bantuan sentiasa diberi, (2) mudah berbincang tentang masalah kerana di bawah projek yang sama dan bantuan yg diberikan.

Pengaturcaraan - Pengenalan

Bila berfikir tentang blog ini, saya baru teringat. Dalam banyak-banyak pos saya, belum ada yang khusus tentang sains komputer (sedangkan itu penyelidikan utama saya!). Maka untuk pos kali ini adalah untuk memperkenalkan bidang pengaturcaraan. Mungkin sebab selama ni saya menulis untuk diri sendiri, maka rasa tak penting 'memperkenalkan' subjek yang arif bagi saya. Tidak apa. Boleh juga jadi 'ulangkaji'!

Pengaturcaraan sangat rapat dengan istilah komputer. Ini kerana komputer tidak boleh berfungsi tanpa perisian. Pengaturcaraan adalah satu kerja (atau aktiviti) menyusun langkah-langkah penyelesaian masalah dalam bentuk diskrit untuk dilaksanakan oleh komputer. Set langkah ini dinamakan aturcara. Perisian ialah hasil dari kompilasi aturcara ke dalam bentuk kod mesin. Jadi perisian merujuk kepada langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh komputer dalam bentuk kod mesin, dan pengaturcaraan adalah kerja untuk menghasilkan perisian.

Dahulu mesin hanya merujuk pada komputer atau pemproses sebenar. Tapi kini terdapat perisian yang digelar 'mesin maya' atau VM (virtual machine). Perisian ini mengambil alih fungsi mesin sebenar untuk melaksanakan perisian. Jadi secara mudahnya, perisian tidak perlu mesin sebenar untuk dilaksanakan, sebaliknya dengan menggunakan VM, output perisian boleh dihasilkan. (hakikatnya perisian VM perlu mesin sebenar juga untuk 'berfungsi', cuma VM mampu melindungi perisian yang hendak dilarikan / 'execute' daripada bergantung kepada sesuatu mesin sebenar). Tujuan VM adalah membolehkan sesuatu perisian bersifat mudah-alih, sebab VM lebih murah dan perisian (secara amnya) dapat dilarikan pada mana-mana mesin sebenar.

Pengaturcaraan melibatkan bahasa pengaturcaraan. Pernah dengar PHP? HTML? C? Visual Basic? Java? Semua ini adalah antara bahasa pengaturcaraan yang dikenali ramai (kalangan ahli komputer). Secara terperinci HTML, PHP dan C adalah 3 jenis bahasa berbeza. Tapi untuk memudahkan, kita andaikan sebagai satu bahasa pengaturcaraan saja. Contoh:
(1)
#include "stdio.h"

int main (void)
{

printf("Selamat Pagi, Malaysia!\n");
return 0;
}

Contoh (1) di atas adalah aturcara dalam bahasa C. Aturcara akan disimpan dalam fail teks (misalnya 'ucapan.c') dan dikompil menggunakan perisian yang dipanggil pengkompil. Pengkompil khusus pada sesuatu bahasa pengaturcaraan, dan pengkompil untuk aturcara (1) adalah pengkompil C. Output pengkompil adalah fail perisian yang boleh dilaksanakan. Ia juga dipanggil program atau aturcara. Apabila dilaksanakan, akan mengeluarkan output berikut pada skrin:
(2)
Selamat Pagi, Malaysia!
Ini adalah satu contoh ciri perisian, iaitu mengeluarkan output. Tugas perisian lebih kepada untuk melakukan pengiraan dan komputasi. Apabila mengungkap istilah 'pengiraan', sebenarnya teks yang terpapar dalam (2) adalah hasil pengiraan (walaupun sekadar memaparkan teks). Jadi pengaturcaraan hakikatnya adalah langkah penyelesaian pengiraan. Maka tidak hairanlah ramai pakar pengaturcaraan biasanya mereka yang mahir Matematik, atau orang Matematik mudah mahir pengaturcaraan. Tapi bak kata pepatah 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Sesiapa saja boleh menguasainya jika berusaha bersungguh-sungguh. Individu yang melakukan kerja pengaturcaraan pula dipanggil pengaturcara. Dalam industri pembangunan perisian dan aplikasi komputer, pengaturcara adalah salah satu golongan yang penting. Hakikatnya ramai lagi yang penting seperti pengurus projek, penganalisis sistem, perekabentuk, penguji, selain pengaturcara. Cuma dalam skop hobi atau eksperimen, seorang saja boleh menjawat semua tugas berkenaan.

Pelaksanaan perisian melibatkan tiga ciri utama, iaitu input, proses dan output (IPO). Ada juga yang memandang perisian sebagai sebuah sistem atau fungsi kerana mengandungi IPO. (IPO adalah konsep umum yang terpakai pada banyak bidang, termasuk sains komputer). Maka pengaturcara perlu mahir konsep IPO dan perisian untuk memahami pengaturcaraan, kerana pengaturcaraan adalah untuk menghasilkan perisian, dan perisian melakukan fungsi IPO.

Rasanya cukuplah untuk pengenalan. Insya'allah, ada masa (atau kesempatan dsb yang berkaitan) saya sambung lagi.

Isnin, 1 Disember 2008

Sisipan

Saya baru kemaskini blog. Mengalukan kedatangan tetamu. Maklumlah kebelakangan ini ada pula kunjungan-kunjungan luar. Kemaskini kebanyakannya melibatkan butiran sampingan (bukan pos/catatan). Mudah-mudahan saya dapat terus mengirimkan pos-pos yang berguna di blog ini. Khususnya berkaitan dunia penyelidikan. Jadilah untuk tatapan sendiri dan sesiapa yang sudi.

Buat tuan-tuan/puan-puan yang telah mengunjungi blog ini, terima kasih saya ucapkan. Teruskan berkunjung, dan harap kita dapat sama-sama belajar. Bagi yang terlibat dalam penyelidikan, teruskan usaha (atau apa saja asalkan berguna). Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmah dari Allah S.W.T. atas sumbangan kita pada ummah. Insya'allah. -

'Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk'.

p/s: Disebabkan blog ni dah macam rojak 'pasemboq', boleh juga gunakan 'index' di sebelah kiri utk melawat pos yang berkenan saja.

Qa'edah melaksana dan membahagikan daging Qurban

Sekadar menyampaikan saranan seorang tamu di rancangan radio (tak silap IKIM.fm). Pagi ini saya terdengar wawancara berkenaan usaha melaksanakan ibadah Qurban untuk diagihkan kepada saudara Islam di negara Bangladesh. Rasanya tak perlu diulas lagi berkenaan penderitaan mangsa bencana dan saudara-saudara Islam yang menderita kemiskinan di negara berkenaan dan negara lain. Rasanya rakyat Malaysia sudah maklum dan banyaknya usaha membantu kini boleh dilihat di mana-mana. Mudah-mudahan kita semua dapat sama-sama membantu. Insya'allah.

Cuma yang menjadi fokus di sini, apakah qa'edah yang berkesan untuk melaksanakan ibadah Qurban bagi tujuan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan bagaimana cara pengagihan yang berkesan. (ini ditanya dan minta disampaikan oleh tamu wawancara berkenaan).

Saya juga ingin mengungkap kes berkaitan satu masa dahulu. Satu parti politik mengadakan acara Qurban besar-besaran (ini bukan ruang politik ya!). Ramai peserta terlibat, dan banyaklah daging qurban yang berjaya dihasilkan. Namun, dengarnya hasil qurban berkenaan tidak berjaya diagihkan sepenuhnya, kerana yang ditumpukan oleh pihak pengurusan acara ialah acara menyembelih besar-besaran, tetapi terlupa bagaimana dan kepada siapa hasilnya disumbangkan. Ini contoh kes kegagalan pengagihan hasil Qurban sahaja dan bukan perbincangan politik.

Sebenarnya masalah ini tidak hanya melibatkan hasil Qurban saja. Malahan hasil zakat juga turut menanggung masalah yang sama. Urusan pengumpulan tidak lagi menjadi soal (mungkin ada, cuma tidak serius), kerana sudah banyak ditubuhkan pusat dan kaunter-kaunter pungutan zakat bagi memudahkan umat Islam membayarnya (hatta di koridor hospital cth. PPUM). Tahniah diucapkan. Cumanya, masalah pengagihan masih berlaku, iaitu bagaimana mengagihkan hasil secara berkesan kepada mereka yang memerlukan. Satu contoh kaedah pengagihan /penggunaan wang kutipan zakat boleh dirujuk pada post saya yang lepas.

Jadi, sebagai penyelidik yang terlibat dalam bidang berkenaan, bolehlah mula mengkaji. Sama ada bagi hasil ibadah Qurban, akikah, mahupun zakat dan lain-lain. Sumbangan ini sangat penting kerana dapat dapat dimanfaatkan oleh orang Islam. Besar tu pahalanya! (insya'allah).

Sabtu, 29 November 2008

Khas untuk semua penyelidik di Malaysia

Saya mulakan dengan dengan pepatah ini:
'Dalam gelap gelita sedikit cahaya lilin besar ertinya' *
(*Saya terlupa rujukan.)
Penyelidikan bukan satu tugas yang mudah. Hakikat penyelidikan dalam dunia realiti ialah kita mencari benda yang kita sendiri tidak pasti. 'Pemandu' kita hanya hipotesis, dan setiap petunjuk yang ditemui dalam perjalanan meyakinkan kita bahawa 'pemandu' kita membawa kita ke destinasi yang benar.

Maka dalam pencarian ini, kita jangan cepat berputus asa. Sebagai kaedah memotivasi diri, kita harus ingat setiap hasil penyelidikan adalah satu penemuan, setidak-tidaknya pada kita (ilmu yang baru dipelajari), dan jika bernasib baik ilmu yang baru kita pelajari itu akan membawa kita kepada ilmu yang semua orang belum tahu. Walau sekecil (remeh) mana dirasakan penemuan itu, bak kata pepatah di atas, adalah satu 'cahaya', dan dalam keadaan gelap gelita (tanpa ilmu), sekecil mana 'cahaya' itu ia nyata amat bermakna. Maka kita harus berbangga dengan setiap hasil penyelidikan yang diperolehi, kerana kita telah menyumbang sesuatu. Hatta 'kegagalan' yang direkodkan juga dapat dijadikan rujukan kepada penyelidikan akan datang.

Penyelidik merupakan kunci utama kepada kemajuan dalam era perkembangan sains dan teknologi. Ini kerana kemajuan dinilai berasaskan kepada jumlah hasil penyelidikan yang berjaya diaplikasikan. Namun tidak bermakna penyelidikan asas tidak berguna. Walaupun belum berjaya diaplikasikan atau dikenalpasti kegunaannya, ia tetap satu 'ilmu' dan mungkin akan menjadi kunci penting kepada pembangunan negara satu hari nanti, mungkin 100 tahun lagi.

Namun begitu, sebagai penyelidik, kita tidak seharusnya lupa asal kejadian dan matlamat kita (manusia) dijadikan. Maka seharusnya kita kembali dan sentiasa berada di atas jalan yang Allah perintahkan. Jangan kerana sibuk menyelidik, ibadah yang fardhu ditinggalkan, ibadah yang sunat diabaikan. Semuanya perlu seiring, kerana agama melengkapi kehidupan, dan kehidupan memerlukan agama. Alangkah indahnya jika kita sebagai penyelidik, pada masa yang sama dapat menjadi rujukan dalam hal agama. Barulah lengkap istilah 'ulama' (orang berilmu).

Jadi dalam pada kita sibuk menyelidik, mari kita sama-sama berdoa pada Allah yang menguasai alam ini agar setiap penyelidikan kita sentiasa mendapat keberkatan dan rahmah keampunan dariNya (seperti biasa, dimulakan dengan Basmallah & Solawat atas Nabi) :

'Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah tuhan yang maha berkuasa. Yang menguasai seluruh langit dan bumi dan segala isinya. Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan insan-insan yang bertuah yang dapat membongkar rahsia alam yang Engkau ciptakan. Jadikanlah kami insan-insan yang terus berusaha menyumbang bakti dalam membangunkan negara dan masyarakat kami. Kami bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau kurniakan pada kami. Berilah kami kekuatan dan semangat untuk terus berusaha. Rahmatilah usaha kami dan jadikanlah setiap usaha kami sebagai satu usaha ke arah jalan yang Engkau redhai. Mudah-mudahan, setiap sumbangan kami akan mengukuhkan lagi keimanan dan pegangan agama kami dan memperkasakan seluruh umat Islam di seluruh alam ini'. Amin. Ya Rabbal Alamin.

Jumaat, 28 November 2008

Makhluk terbaru ditemui


Mungkin lepas ini perumpamaan 'lembik macam sotong' dah tak boleh pakailah. Sotong pun ada yang bersiku ...

Website National Geographic

Allahu akbar...

-luc

Nafsu & Emosi - Perbandingan kecil agama dan sains

Apakah dia nafsu? Persoalan ini mungkin mudah dijawab oleh para ulama. Adakah nafsu diiktiraf dalam sains? Apakah pula emosi? Jarang pakar rujuk agama memperkatakan tentang emosi, kerana selalu yang dikaitkan dengan tingkahlaku buruk/baik adalah berpunca dari nafsu. Ahli sains pula lebih mudah mendefinasikan emosi berbanding nafsu.

Apakah kaitan nafsu dengan emosi? Adakah yang disebut 'emosi' dalam sains merujuk pada 'nafsu'? Nafsu selalunya dirujuk sebagai keinginan. Tapi di mana letaknya emosi dari sudut agama? Adakah sama dengan jiwa?

Post ini bukanlah bertujuan mencari kaitan nafsu dan emosi, tetapi mengkaji betapa lengkap dan 'saintifik'nya bukti agama terhadap bidang sains.

Nafsu diterangkan dengan jelas dalam Al-Quran. Bahkan menurut riwayat, nafsu adalah sejenis makhluk (Allah adalah pencipta/khaliq. SelainNya adalah makhluk). Dijelaskan dalam peristiwa bagaimana Allah S.W.T. menguji aqal dan nafsu, yang mana aqal dengan sekali soal mengakui kebesaran Maha Pencipta (Allah). Manakala nafsu 'terpaksa' melalui 3 sesi soaljawab dan siksaan sebelum mengakui kebesaran Allah.

Dari perspektif agama, apabila seseorang berbuat baik/jahat, adalah didorong oleh nafsu. Apabila kita melakukan sesuatu, bermakna kita bertindak mengikut nafsu. Aqal membantu manusia mengawal nafsu, kerana pertimbangan aqal membezakan nafsu kepada yang baik, atau buruk. Nafsu akan mempengaruhi otak, kerana otak akan membuat pertimbangan berdasarkan keinginan (nafsu).

Qa'edah mengawal nafsu diterangkan dalam Al-Quran, iaitu (1) Menggunakan aqal, dan (2) Memperbanyakkan ibadah (berzikir, berpuasa dll). Malahan, (2) ialah qa'edah berkesan membantu (1) mengawal nafsu, jika (1) kurang berkesan.

Bagaimana pula dengan emosi? Sains psikologi, umpamanya, sering mengaitkan emosi dengan sikap. Apabila berasa gembira, emosi akan mempengaruhi kita untuk melakukan perkara yang baik (atau yang disangka baik) untuk melahirkan kegembiraan. Apabila sedih, emosi sedih mempengaruhi kita untuk berdiam diri, murung atau melakukan perkara yang boleh menghilangkan kesedihan. Emosi juga mempengaruhi otak.

Tapi apakah penyelesaian mengawal emosi? Emosi dikatakan berkait dgn keseimbangan hormon dalam badan. Bagaimana nak mengawalnya? Pengamal perubatan mencadangkan supaya bertenang sebagai satu kaedah mengawal emosi. Dengan apa? Salah satu penyelesaian moden melalui penggunaan ubat penenang. Manakala qa'edah lain seperti bersiar-siar, bersenam/bersukan dll. Qa'edah spiritual adalah dengan yoga, meditasi dan sebagainya (yang haram untuk umat Islam). Manakala umat Islam digalakkan beribadah seperti berzikir, bersolat dll (yg mana adalah qa'edah mengawal nafsu).

Jadi qa'edah penyelesaian melalui agama lebih menyeluruh. Jadi mengapa sains tidak mahu menerima pendekatan agama (dan sering menafikannya)?

Perbincangan pendek ini mungkin belum mengemukakan hujah yang kukuh. Tetapi dapat menjelaskan bahawa, pendekatan agama yang kadangkala nampak seperti tidak 'saintifik' sebenarnya lebih berkesan dan lengkap. Maka pendekatan agama tidak seharusnya diketepikan dalam menerangkan bukti/hasil penyelidikan.

Ahli sains dan ilmuan Islam perlu memainkan peranan mengetengahkan cabang ilmu agama ke dalam bidang sains sebagai pelengkap. Cuma lebih banyak 'bukti-bukti sains' perlu dicari supaya membuka mata pengkaji dan ilmuan sains (yg tidak menerima 'bukti agama') agar dapat menerima ilmu yang telah lengkap tetapi 'belum saintifik' itu.

Perbezaan otak manusia

(Gambar di bawah adalah sekadar ilustrasi dan bukan dengan niat mengaibkan si mati)



Benarkah otak manusia berbeza-beza? Hmmmm.... Gambar di atas (sekitar 1890, Buenos Aires) menunjukkan tengkorak penjenayah yang dibelah untuk menilai perbezaan yang terdapat pada otak penjenayah tersebut berbanding otak manusia (baik). Hakikatnya tidak ada beza, kerana baik atau jahat seseorang bergantung pada nafsunya, dan kewarasan akalnya berfikir.

Tapi bagaimana pula perbezaan antara lelaki dan perempuan? Mungkin ada beza. Saya belum sempat nak cari maklumat, tapi jadilah untuk mengungkapkan sedikit persoalan, walaupun saya bukanlah daripada jurusan perubatan.

Hakikatnya terdapat banyak perbezaan biologi antara lelaki dan wanita, terutama yang melibatkan sistem pembiakan. Tapi adakah perbezaan ini merangkumi otak? Beberapa petunjuk memungkinkan hipotesis ini:
  1. Enzim dan hormon yang berbeza dirembeskan di dalam badan mengikut jantina. Misalnya hormon testosteron hanya pada lelaki, dan hormon paistrogen pada wanita. Perbezaan ini berlaku kerana adanya organ-organ yang mengawal kadar rembesan, dan salah satunya adalah otak.
  2. Lelaki sering dikatakan kurang memberi fokus pada sesuatu kerja yang dilakukan (cepat bosan), manakala wanita lebih tekun dan fokus pada kerja. Itu sebab sektor industri lebih suka memilih operator wanita (faktor kurang karenah pun mungkin juga). Fokus adalah hasil aktiviti otak.
  3. (kalau tak silap), wanita lebih cepat nyanyuk atau lebih ramai jumlahnya berbanding lelaki. Nyanyuk disebabkan kemampuan otak yang merosot akibat pertambahan usia dan kurangnya keupayaan reproduksi badan.
  4. Emosi wanita lebih mudah terangsang berbanding lelaki. Mungkin juga ini disebabkan kehadiran-kehadiran hormon tertentu dalam badan. Tapi, otak yang mengawal semua aktiviti badan, termasuklah bagaimana tindakbalas terhadap rangsangan emosi. Jadi otak juga terlibat
  5. ... (belum jumpa atau tak ingat)
Jadi, persoalannya, adakah benar terdapat perbezaan? Sama-samalah kita cari jawapannya.

-luc

Sabtu, 15 November 2008

Ulasan buku

Untuk pertama kali, saya akan memuatkan ulasan buku tentang penyelidikan yang saya baca. Harapnya selepas ini saya dapat memuatkan lebih banyak ulasan-ulasan seperti ini. Insya'Allah.

Tajuk: Writing The Research Paper.
Pengarang: Kuang Ching Hei, Maya Khemlani David
Jum. M/S: 64
Penerbit: Penerbit UPM (Tel:03-89468851)
Harga: RM 13.00

Buku ini memerihalkan tentang asas penyelidikan dan kaedah menulis kertas kerja penyelidikan. Ia sangat sesuai dibaca bagi mereka yang baru menceburi bidang penyelidikan, mereka yang mahu mengenali bidang penyelidikan, mahupun mereka yang berasa sukar untuk memahami bidang penyelidikan. Buku ini ditulis dengan bahasa yang mudah, tidak terlalu teknikal, dan memerihalkan penyelidikan secara umum. Namun perspektif lebih diutamakan dari sudut kajian sosial. Walau bagaimanapun mereka yang terlibat dengan bidang sains tetap boleh membacanya.

Kelemahan yang ketara adalah penulis tidak menyentuh soal kajian penyelidikan yang sebaiknya dilakukan bagi penyelidikan yang baharu, dan tidak pernah dilakukan. Mungkin penulis menumpukan fokus kepada pelajar yang baru berjinak-jinak dengan penyelidikan dan sebagai satu pengenalan, sekadar menggalakkan mereka melakukan apa saja penyelidikan yang dirasakan sesuai.

Walau bagaimanapun, saya mencadangkan anda membacanya. Harga yang agak murah, tips-tips yang berguna dan praktikal, diselitkan dengan komik-komik sampingan, contoh-contoh semasa, tidak membosankan dan tidak terlalu teknikal. Sangat sesuai dibaca sebagai pengenalan kepada bidang penyelidikan dan penulisan kertas kerja penyelidikan.

Penilaian: **** (4/5)

p/s: Saya ambil masa 4-5 jam untuk membacanya.

Jumaat, 14 November 2008

Pembangunan Tamadun : Antara Agama dan Kemajuan

Sekadar hendak mengulas isu berikut:

sumber:
Elaun guru Kafa naik Januari

KUALA LUMPUR: Elaun guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM1,200 sebulan mulai 1 Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata elaun guru itu yang pada masa kini RM500 sebulan, tidak dinaikkan sejak 22 tahun lalu.

Katanya, mereka layak untuk diberi elaun setimpal memandangkan kadar inflasi yang meningkat setiap tahun dan ia adalah penghargaan dan pengiktirafan kepada pejuang Islam.

"Kenaikan ini kerana menyedari selama ini paras gaji dan kedudukan pegawai agama (guru agama) tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan terlalu berhati-hati untuk membelanjakan gaji atau elaun mereka yang menegakkan syiar Islam," katanya selepas merasmikan Majlis Ihtifal Perdana dan penyampaian Sijil Tadika Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan di Wilayah Persekutuan itu dihadiri 2,900 pelajar daripada 5,662 Tadika Islam JAWI dan MAIWP menamatkan alam tadika.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MAIWP berkata, oleh kerana kutipan zakat MAIWP mencecah RM200 juta setahun maka adalah munasabah guru berkenaan mendapat kenaikan elaun.

Sehubungan itu, katanya, negeri lain digalakkan mencontohi MAIWP untuk menaikkan kadar elaun guru SRA dan Kafa di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 625 jawatan guru tadika di Wilayah Persekutuan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang (sehingga 2012) bagi menampung keperluan guru sedia ada yang pada masa kini seramai 278 orang.

Beliau berkata, MAIWP juga akan menaik taraf Tadika Islam Jawi dan MAIWP yang kini berjumlah sebanyak 78 buah.

"Jika selama ini tadika Islam hanya menumpang di masjid, flat dan dewan orang ramai, maka premis tadika Islam yang lebih baik dan mesra akan dibangunkan," katanya. - Bernama
Perhatian yang diberikan oleh menteri yang berkenaan sewajarnya dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, dan seharusnya dihargai. Bayangkan sejak 22 tahun tidak pernah mendapat kenaikan gaji. Walhal para pendidik SRA dan KAFA memainkan peranan penting dalam memastikan generasi muda terus dibekalkan ilmu akhirat yang cukup (selain sumbangan pusat pendidikan yang lain yang seumpamanya). Peranan mereka jelas begitu penting, di saat generasi muda terdedah kepada gelombang globalisasi yang mudah menghanyutkan mereka yang lemah imannya.

Justeru usaha ini merupakan satu pembaharuan ke arah memantapkan sistem pendidikan asas Islam di Malaysia, kerana kenaikan gaji akan menjanjikan jaminan sumber pendapatan lebih baik kepada tenaga pendidik KAFA. Ini sekaligus memberi mereka semangat untuk lebih tekun mendidik dan menggalakkan mereka memberi fokus kepada pengajaran, bukan sibuk mencari pendapatan sampingan. Satu lagi kebaikannya adalah dapat menarik perhatian lebih ramai golongan yang mencari kerja, dan membolehkan pihak yang menguruskan SRA dan KAFA memilih tenaga pengajar yang benar-benar berwibawa dan berkebolehan, tidaklah sekadar mengajar bagai 'melepas batuk di tangga'.

Namun perkembangan ini hanya berlaku di bawah wilayah tadbiran MAIWP. Diharapkan negeri-negeri lain mengambil pendekatan yang sama dalam memantapkan lagi sistem pendidikan Islam di negara ini.

p/s: Teringat waktu saya sekolah, ustazah di SRA, pagi 'mengajar' (menoreh) pokok getah, petang mengajar kami.

Terbaru (4 Dis 2008) - PUZPP (Pusat Urus Zakat Pulau Pinang) mengambil pendekatan yang sama dengan MAIWP dengan menaikkan elaun guru agama dan KAFA sebanyak 50%. Syabas dan terima kasih atas kesedaran pihak berkenaan terhadap kepentingan agama pada tamadun.

Khamis, 13 November 2008

Pembudayaan dan Pemerkasaan Bahasa

Semalam saya selesai menghadiri seminar Antarabangsa Linguistik & Pembudayaan Bahasa Melayu ke 4 di FBMK, UPM. Seminar yang berlangsung selama 2 hari ini mengungkapkan hasil-hasil kajian terkini berkenaan bahasa Melayu. Menariknya, ketika seminar ini saya berpeluang mendengar pembentangan kertas dasar oleh Prof Emiritus Dr Abdullah Hassan. Itulah pertama kali saya mendengar pembentangan beliau. Sungguh menggagumkan. Tanpa pergerakan badan yang banyak dan dengan gaya bersahaja, beliau memperlihatkan ketokohan sebagai seorang yang ahli dalam bahasa Melayu. Gaya ucapan, lenggok bahasa dan susunan kata beliau menarik perhatian saya untuk mendengar sepanjang 1 jam pembentangan (malangnya, terganggu dek seorang 'jurujual' di sebelah saya yang mengambil kesempatan menjual buku, dan mendakwa dia seorang tokoh bahasa. memalukan!).

Prof Abdullah membentangkan kertas dasar berkenaan 'berbudi bahasa' yang benar-benar memberi kesan pada diri saya. Antara isi yang disampaikan adalah betapa pentingnya 'berbudi bahasa dalam berbahasa'. Pertuturan juga dikatakan berkait rapat dengan pencapaian akademik seseorang. Menurut Prof Abdullah daripada hasil kajian ringkas, terdapat korelasi menunjukkan penggunaan bahasa yang baik dapat membantu pencapaian seseorang. Namun Prof. Abdullah berpendapat hal berkenaan masih sebagai andaian dan belum dibuktikan.

Sememangnya berbudi bahasa itu sangat penting. Selain membudayakan bahasa yang betul, berbudi bahasa mencerminkan keperibadian seseorang. Kita boleh nilai peribadi seseorang daripada gaya percakapannya. Misalnya, menurut Prof Abdullah, nama gelaran perlu dipraktikkan dengan betul dan tidak dipandang remeh. Penggunaan nama gelaran boleh menjadi kayu ukur budi bahasa seseorang. Panggilan 'pakcik' dan 'abang' tidak boleh digunakan untuk orang yang berpangkat lebih tinggi, misalnya kepada ketua di pejabat. Sebaliknya panggilan lebih formal seperti 'Dr', 'Datuk', 'Encik' harus digunakan. Ini mencerminkan rasa hormat kita pada mereka, secara tak langsung 'mengambil hati'. Ini adalah contoh 'berbudi bahasa dalam berbahasa' yang dibentangkan oleh Prof Abdullah.

Dalam soal membudaya dan memperkasakan bahasa Melayu, wajar diambil perhatian. Mutakhir ini bahasa Melayu semakin kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat lebih senang dan cenderung untuk mengujarkan bahasa Inggeris sebagai bahasa harian. Natijahnya, budaya negatif (khususnya yang telah popular di Barat) lebih mudah menular melalui pembudayaan bahasa. Bahasa kesat dan lucah secara senyap mempengaruhi remaja menjadi liar dan biadap. Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Justeru dalam membendung gejala negatif, salah satu cara adalah dengan cara mempromosi bahasa Melayu yang kaya dengan nilai positif, misalnya unsur berbudi bahasa yang dinyatakan di atas. Bukan sahaja dapat membendung masalah sosial, malah dapat memartabatkan semula bahasa Melayu.

Kebetulan akhbar Berita Harian (online) hari ini melaporkan isu berkaitan bahasa, seperti berikut: Sumber: (BH Online, 13 Nov 2008)
'Usah pinggir BM dalam subjek Sains, Matematik'
Tun Rahman Ya'kub bantah pengajaran guna bahasa Inggeris

Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my

KUCHING: Bahasa Melayu akan menjadi bahasa melukut di tepi gantang jika Kementerian Pelajaran meneruskan keputusan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang membantah keputusan itu sekeras-kerasnya, berkata bahasa Melayu tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak berkata, setakat ini tiada bukti bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak dapat bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, sejak dasar Bahasa Kebangsaan dilaksanakannya pada 1970, kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Melayu bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, malah ramai yang bergelar pakar dalam Sains dan Matematik di negara ini sekarang, mempelajarinya dalam bahasa Melayu.

"Jadi, langkah Kementerian Pelajaran mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu harus ditentang.

"Saya membantah keputusan itu sekeras-kerasnya dan pihak berkaitan perlu mengajar kedua-dua subjek itu semula dalam bahasa Melayu," katanya selepas berucap pada majlis Wacana Ilmu bertajuk Pembangunan Pendidikan di Sarawak, anjuran Institut Aminuddin Baki di Pusat Maklumat Islam (PMI) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak melarang warga negara ini mempelajari bahasa lain, termasuk bahasa Jerman, namun tidak setuju kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris kerana ia akan memberi kesan mendalam kepada murid-murid yang mempelajarinya terutama peringkat rendah.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan akan menimbulkan pelbagai masalah berkaitan termasuk kos yang tinggi bagi menyediakan tenaga pengajar yang dapat menarik murid mempelajari kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Beliau yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, orang politik tidak sepatutnya campur tangan dalam soal bahasa, sebaliknya menyerahkannya kepada pakar bidang itu membuat keputusan.

Katanya, sebarang keputusan yang hendak dibuat harus dirujuk kepada beberapa pakar dalam bidang berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1970-an, negara berdepan dengan kekurangan guru Sains yang kritikal.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, beliau pergi ke Indonesia untuk mendapatkan kerjasama dengan meminjamkan seberapa ramai guru Sains selama tiga tahun untuk bertugas di sekolah di negara ini.

"Hasilnya amat membanggakan dan ramai guru dari Indonesia enggan pulang ke tanah air mereka selepas tempoh tiga tahun berakhir kerana mereka selesa dengan keamanan dan perpaduan di negara ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, mentaliti pemimpin Melayu Sarawak pada zaman penjajah rajah kulit putih ialah tidak mahu melihat orang Melayu mendapat pendidikan sempurna kerana khuatir akan menyaingi mereka.

Selain itu katanya, masalah kewangan dan sikap tidak yakin kepada kemampuan diri sendiri menyebabkan ramai di antara mereka tidak melanjutkan pelajaran.

Bukanlah bermakna bahasa lain misalnya bahasa Inggeris harus dipinggirkan. Cuma bahasa Melayu mempunyai nilai murni dan unsur kebudayaan yang dapat memupuk masyakat dengan nilai yang positif. Ini sekaligus mendorong bahasa Melayu sesuai untuk dijadikan bahasa ilmu, kerana bahasa Melayu itu sendiri bersifat mendidik. Maka wajarlah sekiranya bahasa Melayu dibudayakan dan diperkasakan semula menjadi bahasa yang utama. Jika boleh menjadi bahasa utama di rantau Asia Tenggara.

p/s: sedikit sebanyak kesan menghadiri seminar bahasa ;)

Rabu, 5 November 2008

Bahasa Melayu dan Penyelidikan

Bila Tun Dr Mahathir bercakap pasal Bahasa Inggeris utk Sains dan Matematik, ramai pejuang bahasa 'menentang'. Hujah mereka, ramai budak Melayu tak dapat faham. Ramai pelajar luar bandar yang akan ketinggalan. Bahasa Melayu akan terpinggir. Aku tak kata mereka salah, dan Tun pun tak salah. Semua betul. Mungkin perlu ada satu kajian terperinci dan menyeluruh utk menjayakannya. Bukan secara add-hoc sampai semua bergaduh!

Bagi aku Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ada peranan dan kepentingan masing-masing. Bila buat research aku perlu bahasa Inggeris sbb komuniti research lebih utamakan bahasa Inggeris. Kalau tidak, yg Jepun sembang dgn Jepun, Finland dgn Finland dan Amerika dgn Amerika. Bagi komuniti penyelidik, bahasa Inggeris penting dalam komunikasi antarabangsa.

...Bahasa Melayu dulu tak la penting sangat bagi aku. Aku ingat lagi waktu form 5, cikgu BM aku (tima kasih cikgu Maznan, MRSM Serting) penah denda aku sbb tak buat homework. Kalau kelas BM mmg antara kelas yg paling bosan. Cikgu lawak cane pun, aku bosan bila fikir bab bahasa. Tapi itu dulu. Ok sambung...

In fact, sekarang aku buat research bidang Computational Morphology. Tak tau la korang penah dengar ke tak. Aku penah dengar, sbb aku dah buat research hahaha. Kalau dulu perkataan 'kata kerja' pun dah buat aku tidur, skrg benda ni la yg buat aku celik mata sampai 3-4 pagi.

Bahasa Melayu ni menarik sebenarnya. Baru sekarang aku respek pengkaji-pengkaji bahasa Melayu, sbb kalau diorang tak buat kajian, haram payah aku nak dapat rujukan. Sebenarnya Bahasa Melayu ni cantik. Korang kaji la, dan hayati. Sbb walaupun aku bidang sains (komputer), makin lama aku kaji Bahasa Melayu, baru aku tau kat mana kecantikannya.... jatuh cinta, siot!

-luc

Ahad, 2 November 2008

Menjaga kebersihan - kebangkitan era Mahadeiji

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan. Hadis Nabi Muhammad S.A.W pun ada sebut (maksudnya) : 'Kebersihan adalah sebahagian daripada iman'. Di samping kita menjaga kebersihan jiwa dan badan kita, kita juga perlu jaga kebersihan alam sekitar utk kesejahteraan bersama.

Aku nak komen pos Tun Mahathir dalam blognya, pasal 'sampah' (http://test.chedet.com/che_det/2008/11/snippets-18.html). Aku tertarik apabila Tun ambil contoh budaya orang Jepun dan persepsi mereka terhadap sampah bila memperkatakan tentang penggunaan incenerator di Malaysia. Sejak dulu lagi Tun mmg minat dengan Jepun.

Kalau kita semak balik berkenaan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar mutakhir ini (cth. perjanjian Kyoto), sememangnya Jepun yang byk bagi sumbangan pada peringkat global. Amerika Syarikat yang kononnya maju dan memperjuangkan keamanan dunia, tak sanggup turut serta. kenapa? Aku mmg tak peduli dengan AS sbb mereka sememangnya byk beretorik a.k.a. cakap tak serupa bikin (aku pun lebih kurang). Cuma kenapa pula Jepun yang dah maju nak menjaga alam sekitar? Kalau difikirkan, pembinaan teknologi dan menjaga alam sekitar merupakan usaha berbentuk kontra. Hakikatnya, teknologi hingga sekarang lebih byk memusnahkan alam sekitar berbanding membina.

Ini sebenarnya berkaitan dengan budaya dan corak kehidupan masyarakat Jepun yang berdisiplin. Satu sebab lain adalah sifat kontra teknologi/alam semulajadi memberi cabaran utk bagaimana nak membolehkannya bergerak seiring. Jadi Jepun sebenarnya menyahut cabaran ini, sekaligus menunjukkan pemikiran mereka yag jauh ke depan. Sepatutnya, umat Islam boleh buat lebih baik daripada apa yang orang Jepun dah buat.

Japanese flag. Copyright (c). Allright reserved.
(tah sapa punya tah)

Apa yg penting, (1) orang Malaysia patut mencontohi sikap Jepun yang perihatin dgn alam sekitar, dan sebaiknya berusaha memelihara alam sekitar seperti yg mereka lakukan; dan (2) Mencontohi corak pemikiran yang sentiasa berusaha untuk kemajuan (dgn cara yg baik). Kalau Jepun bangkit ketika era Meiji, Malaysia pula bangkit pada era Mahadeiji.

-luc

Ahad, 19 Oktober 2008

Kesungguhan dalam bekerja

Apakah kaitan kesungguhan dan fokus? Inilah yang aku nak kupas pada pos kali ni. Selain tu aku nak bincang kepentingan merancang aktiviti.

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar pada hari ni, kita tak boleh tumpukan perhatian pada 1 benda saja. Misalnya, kalau kita seorang cikgu, bukan hari-hari kita tumpu pada kerja mengajar saja. Ini disebabkan budaya dan corak kehidupan harian kita di Malaysia dah berubah. Mungkin pagi kita mengajar, petang kena cuci kereta, malam kira budjet bulanan (atau lepak kedai kopi?). Tu belum kira tugas mengasuh/bermain2 dgn anak, menukar lampin (pakai buang) dan sebagainya. Hakikatnya urusan harian kita pada zaman moden semakin bertambah, dan utk menjadi manusia yg cemerlang, kita kena pandai menguruskan masa dan aktiviti yang perlu dilakukan, sekaligus memastikan kesungguhan dan prestasi kerja tidak merosot.

Salah satu kaedah yg dicadangkan dalam sebuah buku motivasi, adalah dgn menyenaraikan semua aktiviti yg perlu / ingin kita lakukan, kemudian berikan id keutamaan (misalnya A bg yg paling penting, dan C bg yg paling kurang penting). Kemudian tugas boleh disempurnakan berdasarkan keutamaan. Aktiviti berlabel A boleh disempurnakan dahulu, kemudian B, dan akhirnya C.

Bunyinya macam mudah dan berkesan, tetapi hakikatnya tidak praktikal. Bila masa nak susun prioriti? Baru nak susun, dah ada kerja lain. Teori ni kata bangun awal pagi, set jadual, susun prioriti. Bagus bangun pagi, tapi sempat ke susun prioriti?

Aku setuju kita bangun awal pagi untuk rancang aktiviti. Tapi tak perlu renyah sangat. Senaraikan saja mana yang perlu dibuat dan susun terus. Tak perlu A, B, C (kalau dapat buat yang lengkap, lebih baik). Bagi orang Islam sepatutnya dah cemerlang. Kita dah diwajibkan bangun pagi, solat Subuh. (orang tua-tua kata, bagus keluar awal pagi, rezeki banyak.) Sebenarnya, salah satu kelebihan bangun awal pagi adalah utk merancang jadual harian kita. Sebaiknya seblum Subuh, jadi lepas solat Subuh tu dah boleh mula aktiviti. Pada yang payah bangun pagi, insaflah (peringatan pada diri aku juga). Tidur awal. Bangun pukul 4@5. Ada masa > 1 jam sebelum Subuh, rancang akitiviti (mungkin kita boleh belajar dari adik Amalina yg dapat 17A suatu masa dulu).

Susun jadual adalah satu cara bantu kita fokus pada aktiviti yang kita lakukan. Sebabnya, dlm keadaan teratur, kita tak tergopoh-gapah, maka mudah kita nak beri fokus pada apa yang kita lakukan (tak ambilkira gangguan dari orang lain/faktor semasa). Kuncinya ialah perancangan. Perancangan yang teliti dapat bantu kita susun aktiviti dan fokus pada matlamat yang perlu dicapai/disempurnakan. Bila kita fokus, kita boleh beri seluruh usaha kita pada aktiviti yg kita fokus. Kita akan jadi lebih bersungguh-sungguh, sbb kita tahu apa yg kita nak capai, dapat ukur keupayaan, dapat kenalpasti masalah dan sebagainya. Jadi secara tak langsung kita bersedia hasil daripada perancangan. Jadi byk benda/konsep yang berkait apabila bercakap soal fokus dan kesungguhan.

Apa pun, fokus sangat penting apabila kita buat sesuatu. Apa saja kerja, termasuk kerja penyelidikan. Kalau tidak, kita jadi malas atau buat sambil lewa, sebab mungkin keutamaan/fokus kita dah kepada aktiviti lain. Kalau pada penyelidik, kesannya penyelidikan akan jadi kurang bermutu, tiada hasil (tu pun kalau tak gagal). Perlu ingat, untuk berjaya dalam penyelidikan, minat saja tidak menjamin kesungguhan dan kejayaan. Perlu ada fokus. Jadi fokus pada kerja dan mula merancang dari sekarang.

-luc



Jumaat, 17 Oktober 2008

Menjana kepelbagaian kemahiran


a.k.a. multi-skilled worker

Rumah sebelah rumah aku tengah menjalani proses pengubahsuaian. Cantik gak, cuma aku tak tertarik pun (mungkin sbb aku belum mampu nak buat huhuhu). Tapi aku tertarik dgn cara pekerjanya (warga Indonesia) menyiapkan kerja mereka.

Apa yg membuat aku tertarik ialah (1) Diorang mmg tekun dan rajin, (2) Diorang tak memilih kerja (rasa aku la), pasal semua kerja yg berbeza pun diorang buat, (3) Diorang penyabar (mgkin terpaksa, tu aku tak tau). Kalau dinilai sikap diorang ni, aku rasa diorang patut jadi penyelidik.

Kenapa tidak? Sikap rajin dan tekun memang penting dalam penyelidikan. Macam aku post sebelum ni, antara ciri penyelidik yang penting adalah rajin. Apa kerja pun kalau tak rajin, susah nak berjaya (kecuali korang ada orang suruhan). Ketekunan pun perlu ada. Kalau buat kerja acuh tak acuh, mungkin lambat siap. Tu pun kalau tak terbengkalai sebab dah putus asa. Tapi aku bukan nak bincang ciri penyelidik. Korang boleh boleh rujuk post sebelum ni.

Dalam post ni, aku nak bincang pasal sikap yang nombor 2 tu. Tak memilih kerja. Untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia memerlukan ramai pekerja yg mahir dalam pelbagai bidang, dan sanggup buat apa saja kerja yang ditugaskan. Misalnya macam pekerja Indonesia tu la. Aku tengok diorang buat macam-macam kerja. Mula-mula menyimen, pasang bahagian depan dgn bumbung, pasang jubin dll (dll. pasal aku tak pasti dan tak nampak). Di tempat lain pula, pekerja Indonesia ada yang bekerja di sektor perladangan, kilang, perniagaan malah di rumah. Mungkin bagi pekerja Indonesia, diorang terpaksa. Sebab peluang diorang terhad. Diorang perlu cari duit dan terpaksa merantau. Jadi diorang terpaksa rebut mana-mana peluang yang ada. (Malah, pekerja Indonesia yang buat kerja sebelah rumah aku beritahu, isteri dia sekarang berada di Texas, kerja sebagai pembantu rumah orang Malaysia di sana.). Mungkin korang boleh kata diorang ni takkan sanggup buat pelbagai kerja kalau tak terpaksa.

Tapi macammana pulak dgn orang Jepun? Seorang pensyarah UPM yang buat kajian di Jepun (dan aku baca buku pasal orang Jepun pun cakap benda yang sama.), pekerja Jepun serba boleh dan tak memilih kerja. Kalau korang ambik sorang pekerja Jepun, pada satu masa diorang buat satu kerja. Siap kerja, pekerja ni akan cuba buat benda lain pulak cth. sapu sampah. Selain sbb diorang ni tak memilih dan ada pelbagai kemahiran, budaya Jepun tak suka duduk diam. Tu antara sbb diorang boleh jadi begitu maju dalam tempoh cuma 10 tahun selepas dibom oleh Amerika! Sekarang orang Amerika pun berebut pakai kenderaan Nissan berbanding Ford.

Jadi sepatutnya sebagai orang Malaysia, kita tidak terlampau memilih kerja. Rebut saja apa jua peluang yang ada dan lakukan bersungguh-sungguh. Malangnya di Malaysia kita masih kurang kesedaran ini. Banyak syarikat tak sanggup ambil pekerja tempatan sebab orang Malaysia cerewet, khususnya orang Melayu. Syarikat tempatan ambil pekerja asing bukan semata-mata kos lebih murah. Sebabnya aku rasa kos boleh jadi lagi mahal sebab nak merasuah imigresen (bukan semua warga jabatan imigresen dan syarikat terlibat rasuah). Tapi berbaloi, sebab pekerja asing khususnya dari negara seperti Bangladesh, India, Myanmar dan Vietnam (dan byk lagi), mereka ni tak cerewet. Suruh buat apa saja, diorang akan buat asalkan dengan bayaran. Jadi kalau nak maju (dan jugak kurangkan kebanjiran warga asing kat Malaysia ni), satu cara adalah orang Malaysia kena ubah sikap dan mentaliti kononnya kita ni warga elit. Rebut saja peluang yang ada.

Tapi korang mungkin akan beralasan, tak semua kerja kita boleh buat. Bergantung kepada kemahiran. Betul. Tapi ini berlaku sebab kita juga. Kita kurang kemahiran, dan inilah yang aku nak tegaskan. Kita perlu bersedia dan pelbagaikan kemahiran yang kita ada. Kalau kita fokus pada satu kemahiran saja, maka peluang kita jadi terhad. Jadi kenapa tak cuba mahirkan diri dalam pelbagai bidang? Pilihlah untuk memahirkan diri dalam 3-4 bidang yang berkaitan. Misalnya, kalau korang tukang jahit baju, belajarlah jahit kasut, guna mesin penenun automatik (cth. buat lencana), dan belajar cara memperkembangkan perniagaan. Jadi peluang-peluang yang wujud akan bertambah sbb boleh rebut semua permintaan dari bidang-bidang yang berbeza.

Jadi ini yang aku nak sampaikan. Keperluan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai amat diperlukan. Sebabnya, populasi penduduk di Malaysia ni tak ramai. Tapi untuk menjadi sebuah negara maju, banyak kerja yang perlu dilakukan. Pembangunan yg pesat dalam tempoh singkat amat mustahil, melainkan seorang pekerja boleh melakukan dua atau tiga tugas (lebih dari satu). Jadi tanggungjawab di bahu korang (dan aku) utk menyempurnakan tanggungjawab ni.

Macam aku sekarang, aku bekerja di sektor pendidikan dan penyelidikan. Pada masa yang sama aku cuba jadi penulis yang baik (cth di blog ni lah). Itu ikhtiar aku lah. Korang pun kena bantu jayakan impian pemimpin dan generasi akan datang untuk realisasikan wawasan 2020, iaitu Malaysia maju pada tahun 2020 - luc.

Khamis, 16 Oktober 2008

Jangan jadi pemalas

Aku belum nak post bhgn-2 critical thinking. Tapi aku nak cite pasal sifat malas.

Aku rasa semua orang ada rasa malas. Ianya juga subjektif. Malas boleh jadi negatif pada perspektif seseorang, tapi mungkin positif pada orang lain. Kekuatan dalaman seseorang mempengaruhi sikap dan perspektif terhadap malas. Itu sebab ada yang boleh kawal, ada yang tak boleh. Yang boleh kawal dia akan cuba atasi rasa malas. Yang tak boleh atau tak mahu kawal dia akan ikut saja rasa malas dia.

Sifat malas tak menjurus pada benda yg negatif semata-mata. Kadang2 bila kita letih kita jadi malas. Kita rasa nak berehat. Berehat memulihkan kekuatan badan dan otak. Berehat boleh menenangkan perasaan. Jadi malas yg menjurus kepada berehat secara logiknya bukanlah negatif. Jadi bila korang rasa malas, janganlah risau.

Tapi aku bukanlah nak suruh korang jadi malas. Aku nak promote sikap rajin. So aku nak bagi korang senarai 'ubat' bagi rasa malas. Ni pendapat yang aku dapat dari kengkawan dalam sebuah forum. Ada yg bagus, biasa dan bunyi kelakar pun ada hehehe. Tapi aku dah edit la. Harap2 lepas ni korang tak malas lah (mudah-mudahan aku pun sama).

  1. ingat tujuan manusia 'dilahirkan ke dunia'
  2. perbanyakkan ibadah - malas mungkin godaan syaitan
  3. istighfar banyak-banyak
  4. bersyukur pada Allah yang menjadikan kita
  5. baca doa ma'thurot (doa-doa Nabi S.A.W., disusun oleh Imam Hassan Al-Bana)
  6. kena ada motivator
  7. ubah mind-set
  8. kena ada plan aktiviti
  9. kena ada angan-angan
  10. berfikiran positif
  11. selesaikan masalah yg ganggu fikiran (masalah awek etc.)
  12. rajin-rajinkan diri
  13. join aktiviti kemasyarakatan
  14. jangan ikut hati (yg malas)
  15. relax ?

Satu yang menarik ialah 'ubat' yang no. 15, relax. Mungkin nampak pelik, tapi sebenarnya logik. Macam pendapat aku di awal tadi, relax juga boleh kurangkan malas. Mungkin kita malas sbb fikiran berserabut. Jadi bila dah bertenang, kita boleh berfikir secara sihat dan teratur a.k.a. waras.

Jadi rajin-rajinkanlah diri. Harap boleh tingkatkan produktiviti dan hasil penyelidikan koranglah :)

Isnin, 13 Oktober 2008

Sisipan - Kepentingan Jaringan Sekerja Bagi Wanita

by MAMA_LASER (aku yg edit)

Meskipun kemasukkan penuntut wanita di universiti melebihi lelaki, penyertaan mereka dlm sektor korporat amat kurang. Mungkin ini kerana pendakian tangga koporat yg penuh ranjau memerlukan ketabahan dan kebijaksanaan. Walaupun ramai kenalan lelaki, kita bagi wanita ini masih memerlukan kenalan wanita utk berbincang. Wanita menghadapi lebih tekanan bekerja berbanding lelaki. Yg boleh berbincang pd tahap yg sama dgn rakan sejawatan sewaktu bermain golf atau minum2 ptg. Manakala wanita tidak ada masa utk melakukan itu semua kerana biasanya mrk terpaksa bekejar pulang utk melayani anak dan suami.

Walaupun kedua2 suami isteri bekerja, isteri juga diharapkan dpt memastikan keharmonian dan keteraturan rumahtangga. Satu cara mengurangkan tekanan ini dan membolehkan wanita bertukar fikiran dgn kenalan mereka ialah melalui jaringan kerja. Ia membantu keyakinan diri melalui berkongsi dan belajar dari pengalaman dan pengetahuan kenalan, dan asas terbaik memupuk persahabatan.

Sewaktu mendaki tangga koporat, kita memerlukan byk sokongan. Selain sokongan emosi, kita juga memerlukan sokongan mental, buah fikiran, idea, pengetahuan dan pengalaman. Seorang manusia tidak dpt melalui satu peristiwa seorg diri, kerana itu apabila kita ada jaringan kenalan yg luas, kita dpt bertukar fikiran, pengalaman dan pengetahuan.

Penjaringan boleh dilakukan secara rasmi dan tdk rasmi, terancang ataupun tidak. Profesional ataupun sosial. Penjaringan dlm suasana rasmi pejabat, bersama pelanggan, mesyuarat dan acara pertubuhan dan persatuan. Acara minum ptg, mkn mlm, jamuan tdk rasmi biasanya lbh santai. Persidangan dan seminar lbh terbuka. Suasana terancang berlaku apabila persatuan mengadakan majlis lbih santai. Pertemuan professional pula adalah apabila ia berlaku sesama rakan yg sebidang (sama bidang).

Satu cara ialah kita tak pernah melupakan kad nama apabila ke mana2. Apabila bertemu kenalan baru, maniskan muka dan ringankan mulut. Mulakan dgn small talk. Dlm kalangan professional, mungkin kita boleh berbincang perkembangan mutakhir bidang kita. Pada persidangan, perbincangan mengenai tajuk seminar amat sesuai tetapi harus diselangi dgn cerita ringan. Saya juga sering menggunakan jaringan utk meningkatkan imej sykt.

Jgn lakukan hubungan perniagaan pd pertemuan pertama. Kepercayaan mengambil masa utk dipupuk. Lakukan secara halus selepas bertemu dua tiga kali. Rahsia memenangi hati kenalan ialah mengingati wajah dan nama mereka. Cara mudah utk mengingati nama dan wajah ialah dgn 'image association'.

Meskipun kita dpt membina jaringan kerja secara meluas namun sesetengah pertubuhan masih mengenakan syarat yg ketat khususnya kpd kaum wanita. Pertubuhan kebajikan dan persatuan wanita pula kerap disalah anggap sebagai tmpt bergossip, bersaing mengenai pakaian, perhiasan serta berombongan. Hakikatnya ramai persatuan isteri mempengaruhi kerjaya suami.

Kerana itu sukar bagi wanita menembusi persatuan yg dikuasai oleh lelaki. Mungkin persepsi mrk cara wanita berpersatuan masih kolot. Mungkin juga wanita masih terperangkap cara lama menjaring kerja.

Pertubuhan kebajikan mungkin mendekatkan kita kpd org tertentu dan membuka peluang baru dlm suasana yg lbih santai. Sesetengah syarikat memberikan keahlian kelab golf atau country kpd pengurusnya agar mereka dpt bertembung dgn org tertentu dan memudahkan pembinaan jaringan kerja. Bagi eksekutif wanita satu cara terbaik utk menemui rakan drpd pelbagai bidang ialah melalui toastmasters. Ini diadakan selepas waktu pejabat dan acara minum ptg. Pertemuan ini diadakan secara terancang dlm suasana santai. Toastmasters adalah utk memupuk agar kita tampil lebih yakin dari segi komunikasi utk membina jaringan kerjaya.

Jaringan kerja menemukan kita dgn org baru dan membuka pelbagai pintu. Dlm mencarta kemajuan kerjaya, lbh byk pintu yg kita buka lbih beraneka tangga ke puncak. Dlm dunia koporat ada satu falsafah yg menyebut 'He Who Dies With Most Toys Wins'. Oleh itu kerja keras, cerita semalam adalah merupakan berita hari ini.

Editor: ni satu benda baru yg patut difikirkan oleh golongan wanita. Jangan terlebih jaring dah la.... :)